Semasa saya terlibat dengan kelas Memahami Islam dan anjuran bersama Saudara Socio-Cultural Research dengan beberapa NGO, misalnya Tan Kah Kee Foundation dan Ruang Kongsi di Pulau Pinang - yang dihadiri masyarakat non-muslim, khususnya berketurunan Cina, saya cuba membezakan antara Islam dengan tafsiran Islam, untuk menjelaskan pengamalan Islam yang berbeza di merata dunia.
Maksudnya, pengamalan Islam di negara lain, ada kalanya berbeza dengan pengamalan Islam di Malaysia, bergantung kepada tafsiran masing-masing. Lantas saya diajukan soalan, mengapa pengamalan Islam di Malaysia, lebih cenderung kepada penafsiran yang sempit?
Dari pengamatan saya, ulama-ulama negara Mesir, kadangkala jauh lebih progresif berbanding cara fikir ulama-ulama di Malaysia. Soal bersalaman lelaki dan wanita, mereka tidak rigid berbeza jauh dengan sikap ulama di Malaysia.
Negara Arab
Muslim Melayu di Malaysia, rata-rata mereka mendapat pendidikan Islam dari beberapa buah negara Arab. Antaranya, Mesir, Jordan, Syria, Saudi (Mekah dan Madinah), Yaman, Iraq, Morocco, di samping beberapa buah negara bukan Arab, seperti Indonesia, India, Pakistan, malah Iran.
Menarik untuk direnung, hampir semua negara yang muslim - Melayu pergi menuntut ilmu Islam di sana – majoriti rakyatnya beragama Islam. Dengan itu mereka agak jarang berjumpa dan berkomunikasi dengan non-muslim.
Semasa menuntut di Pakistan, dalam jangka hampir empat tahun di sana, hanya seorang lelaki non-muslim - beragama Hindu - yang saya jumpa. Itupun, dia agak takut untuk mengaku sebagai beragama Hindu. Mungkin faktor pertembungan Islam Hindu di Pakistan India menjadikan lelaki tersebut tidak berani mengakui agama anutannya.
Memandangkan majoriti masyarakat negara Arab beragama Islam, di sana kita akan bertemu pergaduhan sesama muslim berasaskan kepada mazhab, Sunni- Syiah. Lebih parah, mereka kadangkala saling berbunuh-bunuhan, dan di setiap pihak mereka mempunyai ulama yang memfatwakan bahawa tindakan mereka itu sebagai benar. Kejadian ini sering berlaku di Iraq dan Pakistan, malah di Afghanistan.
Kesan psikologinya, apabila mereka kembali ke Malaysia, pergaulan mereka agak terbatas. Mereka berasa janggal untuk berkomunikasi dengan masyarakat yang berbeza agama dan bangsa. Kesannya, sedikit sebanyak wujud prejudis terhadap masyarakat non-muslim. Apatah lagi, dengan perkembangan politik di Malaysia yang masih berorientasikan kaum dan anutan agama.
Penafsiran Konservatif
Antara negara yang bilangan pelajar muslim Malaysia paling ramai dalam menuntut ilmu Islam adalah Mesir Universiti al-Azhar. Pemilihan menuntut ilmu Islam di sana, kerana faktor hubungan baik antara institusi Islam di Malaysia dengan Universiti al-Azhar untuk sekian lama. Keadaan ini agak berbeza dengan hubungan institusi Islam Malaysia dengan universiti di negara Arab yang lain, malah negara Pakistan dan India.
Bukan tidak ada, bahkan agak ramai juga ulama dari negara Arab mempunyai penafsiran Islam yang progresif. Contohnya, al-Imam Abu Zuhrah (Mesir) yang pernah memfatwakan bahawa tiada hukuman rejam dalam Islam; Taha Jabir (Iraq) yang memfatwakan bahawa tiada hukuman bunuh bagi pesalah murtad; al-Qaradawi (Mesir) dan Rashid Ghaonushi (Tunisia) yang menyatakan bahawa tidak salah mengundi calon pilihanraya dari kalangan non-muslim; al-Qurahdhagi (Iraq) yang memfatwakan bahawa wanita boleh menjadi presiden bagi sesebuah negara dan banyak lagi.
Namun, pandangan ulama yang dikemukakan ini, agak kurang menjadi pembacaan kalangan pelajar Islam dan ulama di Malaysia.
Di Universiti al-Azhar, Mesir mungkin berbeza dengan universiti di negara-negara lain pelajar di sana tidak diwajibkan, bahkan sekadar digalakkan sahaja masuk kelas. Pelajar muslim-Melayu ini, kebiasaannya selalu bermuzakarah (belajar dan berbincang) sesama mereka. Semasa peperiksaan, mereka lebih kepada menghafal buku silibus tanpa mereka faham perbincangan yang dikemukakan dalam silibus tersebut. Makanya, mereka agak jarang mendengar kupasan ilmu daripada ulama-ulama Azhar, tetapi lebih mengetahui kupasan ilmu yang datang sesama mereka.
Amalan sebegitu memberikan kesan - jika diperhatikan, amat ramai pelajar Malaysia dari Universiti al-Azhar tidak ada kemampuan membaca kitab-kitab Arab. Makanya, banyak wacana progresif dalam kalangan ulama Arab tidak diketahui mereka.
Sikap
Saya pernah ditanya sikap kebiasaan pelajar agama Islam dalam berinteraksi dengan masyarakat yang berbeza agama dan kaum dengan mereka. Saya nyatakan, majoritinya agak tidak menggembirakan. Ini hasil dari kesan komunikasi mereka di negara mereka menuntut ilmu, malah selepas mereka pulang ke Malaysia.
Dengan sebab itu, saya pernah mencadangkan agar pelajar-pelajar muslim ini dihantar belajar juga ke negara-negara Barat yang bilangan non-muslimnya pula majoriti. Tujuannya, untuk mengubah sudut pandang mereka terhadap masyarakat non-muslim, terutama dari sudut pergaulan dan komunikasi.
Realiti ini sebenarnya berlaku pada ramai ulama Islam di dunia. Contohnya, Dr.Rashid Ghaonushi (Tunisia) yang sebelum beliau tinggal di Perancis, beliau mempunyai pandangan yang cukup konservatif. Namun, setelah beberapa ketika tinggal di negara Barat itu, beliau mempunyai sudut pandang agama yang jauh berbeza dengan sebelum beliau tinggal di sana.
Penutup
Tidak dinafikan, sikap dan cara berfikir tentang agama, dipengaruhi juga tempat mendapat pendidikan. Dengan sebab itu, bagi mereka yang mempunyai pendidikan di negara Arab, walaupun tidak semua, tetapi agak ramai yang agak sukar dalam berinteraksi dengan masyarakat non-muslim.
Mengikut kebiasaannya, mereka yang mempunyai pergaulan yang merentasi anutan agama dan kaum, mereka mempunyai pendekatan beragama yang agak berbeza dengan kebiasaan.
Dengan sebab itu, saya secara peribadi mencadangkan agar mereka yang mendapat pendidikan di negara Arab ini, perlu mendapat pendidikan juga di negara yang bilangan muslim minoriti.
*Disiarkan di Oriental Daily (6 April 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/285770
Facebook Comments