Isu ketuanan Melayu muncul kembali. Ketika kuasa UMNO semakin tergugat, pasti “ketuanan Melayu” menjadi isu. Berbeza dari kebiasaan, pada kali ini PAS turut sama dalam menjulang keris ketuanan Melayu.
Dari sudut sejarah lama, istilah ketuanan Melayu tidak pernah wujud. Demikianlah dakwaan Prof Khoo Kay Kim dalam satu wawancara. Ia juga tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Justeru itu, tidak kurang tokoh politik di Malaysia yang menolaknya.
Apa yang pasti, tercatat dalam sejarah bahawa ungkapan ini bermula pada tahun 1986. Bermula dari satu ucapan seorang pemimpin UMNO, Abdullah Kok Lanas di Singapura. Menurut ceritanya, asal ungkapannya adalah “Malay dominance” yang kemudian diterjemahkan kepada “ketuanan Melayu”. Sejak itu, ungkapan ketuanan Melayu bergema dan menjadi permainan lidah pemimpin-pemimpin UMNO.
Walau bagaimanapun, tiada definisi jelas mengenai maksud “ketuanan Melayu”. Lantaran daripada itu, maksudnya diberi tafsiran yang pelbagai. Apapun, persepsi yang lahir dari maksud ketuanan Melayu boleh digariskan kepada beberapa perkara penting: (a) Melayu adalah tuan dan menganggap bangsa selain Melayu sebagai pendatang di Malaysia; (b) bangsa selain Melayu berada dalam kalangan kasta rendah.
Tuan dan Kewarganegaraan
Selepas Nabi wafat, konsep kewarganegaraan dalam kerajaan umat Islam berasaskan anutan agama. Seseorang non-muslim dari negara luar, apabila masuk ke dalam sesebuah negara, pasti akan dikira sebagai warganegara dengan cara memeluk agama Islam. Jika tidak memeluk Islam, maka dia diminta membayar jizyah (cukai anutan agama). Dengan demikian, dia dikenali sebagai kafir zimmi (non-muslim yang kerajaan wajib menjaga keamanan dan kebajikannya). Andai dia tetap berkeras tidak mahu membayar jizyah dan tidak memeluk Islam, maka dia dikenali sebagai kafir harbi (non-muslim yang kerajaan tidak wajib menjaga keamanan dan kebajikannya, malahan ia boleh diperangi).
Sistem kewarganegaraan sebegini sudah tidak diamalkan lagi. Dalam konsep Negara Bangsa (Inggeris: Nation State), kewarganegaraan tidak tertakluk kepada anutan agama. Di Malaysia, sesiapa sahaja yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan dan perlembagaan, layak menjadi warganegara, tidak kira apa anutan agamanya atau bangsa dan kaumnya. Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, malahan berketurunan Bangladesh, Pakistan dan Indonesia pun boleh menjadi warganegara Malaysia, apabila mereka memenuhi segala syarat dan ketetapan yang digariskan kerajaan dan perlembagaan. Apabila sudah dijadikan warganegara, maka tidak wajar andainya sebilangan warganegara dianggap mulia, sementara sebilangan warganegara yang lain dianggap hina.
Sepertimana yang sedia maklum, Nabi saw tidak berasal dari Madinah, tetapi Mekah. Namun, apabila Baginda sampai di Madinah (ketika itu:Yasrib), Baginda dilantik menjadi ketua kerajaan. Dengan pelantikan itu, ada sebilangan warga tempatan tidak bersetuju. Mereka sering meremeh-remeh dan merancang untuk memastikan Nabi Muhammad saw keluar dari Madinah.
Diceritakan dalam hadis, ketua mereka bernama Abdullah bin Ubai bin Salul yang terkenal sebagai ketua orang munafiq pernah berkata: “Pasti orang mulia akan keluarkan orang-orang hina dari Madinah”. Tindakan meremeh-remehkan Nabi sebagai orang hina (orang luar) tidak disukai Tuhan sehingga Tuhan menurunkan ayat al-Quran yang mengecam tindakan jahat mereka. (Surah al-Munafiqun 63: 8)
Kisah yang termaktub dalam al-Quran ini, membuktikan bahawa amalan menganggap warganegara sedia ada sebagai pendatang bukanlah sesuatu yang baik. Lebih-lebih lagi, tindakan sebegitu boleh melahirkan prejudis sesama warganegara.
Perhambaan dan perkauman
Sikap merasakan diri sebagai tuan, sedikit sebanyak melahirkan rasa kalangan yang berbeza sebagai hamba. Paling kurang pun, wujud kekastaan sesama warganegara. Islam tidak pernah setuju dengan amalan perhambaan sesama manusia. Ini kerana, Islam mengajar perhambaan hanya berlaku kepada Tuhan yang maha Esa.
Dalam Hadis ada diceritakan bahawa seorang sahabat Nabi yang bernama al-Rib’I bin ‘Amir pernah berkata di hadapan Raja Parsi yang bernama Rustum dengan katanya, “Sesungguhnya kami (Orang Islam) dihantar untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah”.
Bukan sekadar menolak perhambaan sesama manusia, Islam turut menolak amalan perkauman sempit. Nabi Muhammad saw pernah marah kepada seorang sahabat yang bernama Abu Zar al-Ghiffari yang berbangsa Arab kerana memanggil seorang sahabat berbangsa Habsyah (Afrika) “Wahai anak kepada perempuan kulit hitam”.
Dalam Hadis, Nabi Muhammad saw pernah berkata, “Bangsa Arab tidak lebih mulia berbanding bangsa lain.” (al-Mukjam al-Awsat, hadis no:4749). Al-Quran juga pernah mencela kalangan orang Islam yang tidak mengamalkan Islam (Arab: munafiq) yang membangkitkan soal kelayakan sesuatu jawatan berasaskan warna kulit dengan kata al-Quran, “Wahai manusia, kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan beretnik-etnik, supaya kamu saling kenal-mengenali.” (Surah al-Hujurat 49:13)
Afirmatif
Konsep membantu amat besar diajar dalam Islam. Namun, Islam mengajar bahawa membantu itu bukan melahirkan kejahatan yang lain. Konsep membantu yang diajar dalam Islam adalah kepada orang-orang yang memerlukan, tidak kira apa bangsa dan apa anutan agama.
Ekoran itu, didapati dalam Islam terdapat konsep zakat; orang-orang kaya bertanggungjawab membantu orang yang miskin. Malahan dalam kisah Saidina Omar, beliau pernah memberikan bantuan zakat kepada orang Yahudi berbangsa bani Israel yang tidak beragama Islam.
Penutup
Dari kupasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:
Pertama, konsep ketuanan Melayu tidak terdapat dalam Islam, mahupun perlembagaan dan sejarah tanah Melayu. Oleh sebab itu, terdapat beberapa tokoh besar di Malaysia yang menolak konsep Ketuanan Melayu, seperti Allahyarham Nik Abdul Aziz, Anwar Ibrahim, Dr.Mahathir, Dr.Wan Azizah, Rafidah Aziz dan sebagainya.
Kedua, konsep ketuanan Melayu adalah propaganda UMNO yang dimulakan oleh seorang pemimpin UMNO bernama Abdullah Kok Lanas pada tahun 1986. Sejak itu, ia menjadi modal politik UMNO dalam berhadapan dengan musuh politik mereka.
Ketiga, dari sudut persepsi, konsep ketuanan Melayu melahirkan semangat perkauman, merasakan bangsa selain Melayu sebagai hamba; atau paling kurang pun, wujud rasa kekastaan atas asaskan perbezaan kaum. Sikap sebegini ternyata bercanggaan dengan ajaran Islam.
Disiarkan di Oriental Daily (10 November 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/267027
Facebook Comments