Sering kali masyarakat kita memberi penghargaan dan penghormatan yang tidak kena pada tempatnya. Mereka yang bergambar lebih dikenali berbanding mereka yang bekerja. Mereka yang berpolitik lebih disanjungi berbanding mereka yang berkhidmat.
Ini kerana kita mudah terpedaya dengan gaya, malah terpesona dengan “karisma” politikus. Kita memperlekehkan mereka yang tidak pandai mengayun nada suaranya ketika berpidato. Kita lebih teruja dengan mereka yang berapi-api dalam ucapannya, sambil menumbuk-numbuk ke udara. Mereka yang jujur dan rendah diri terlalu “membosankan”, umpama masakan yang berkhasiat, selalunya kurang menyelerakan.
Akhirnya kita dapat apa yang kita kejar. Mereka yang beretorik, mereka yang licik dalam mainan kuasa, berjaya mendominasi politik. Mereka lompat-melompat dan terjun-menerjun tanpa diikat janji, mahupun dipegang amanah. Kemudian mereka menangguk di air yang telah dikeruhkan mereka sendiri.
Sebelum ceburi politik
Barangkali ramai sahabat Melayu mengenali cikgu Lee selepas mendiang menceburi bidang politik ketika Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat) ditubuhkan pada tahun 1999. Hakikatnya, cikgu Lee sudah mula aktif sejak zaman universiti lagi. Mendiang menyandang jawatan pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Sains Malaysia (PBTUSM) pada tahun 1983/84.
Pada zaman itu, kesedaran politik siswa-siswi masih rendah, malah golongan warga menara gading keberatan untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Mendiang merombak struktur organisasi PBTUSM, untuk merangkumi bakat-bakat daripada pelbagai bidang. Maka, mereka yang berminat dengan sastera, tarian, budaya dan sebagainya, diberi pentas untuk menyerlahkan bakat di PBTUSM. Ia membuka ruang untuk idealisme berkembang dan menular di atas wadah yang meraikan kepelbagaian ini.
Rombakan ini memberi kesan kepada PBTUSM seterusnya, melahirkan aktivis politik dan gerakan sosial tempatan dari zaman ke zaman. Misalnya, Teresa Kok (ahli parlimen Seputeh), Gan Pei Nei (bekas Adun Rawang), Ginie Lim (bekas exco Melaka), Chua Yee Ling (bekas ADUN Kuala Sepetang), Soh Sook Hwa (bendahari PSM) adalah alumni PBTUSM. Pengarah Eksekutif Bersih 2.0, Yap Swee Seng, yang juga aktivis hak asasi manusia; Ng Chai Heng, setiausaha kehormat Dong Zong, pun lahir daripada PBTUSM.
Selepas menamatkan pengajian di USM, cikgu Lee menyertai sayap pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor (KLSCAH sekarang), malah mengetuai sayap ini pada tahun 1990-92. Mendiang melanjutkan usaha untuk menterjemahkan idealisme kepada pelaksanaan. Hakikatnya, ramai dalam kalangan generasi cikgu Lee yang berkongsi wadah KLSCAH ini kekal aktif untuk memupuk kesedaran sivik dan menggerakkan reformasi politik sehingga hari ini.
Kita diuji dalam perjuangan ketika berdepan dengan pengorbanan. Padahal, cikgu Lee seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang pada tahun 1990-an. Pada tahun 1996, Centre For Malaysian Chinese yang diasaskan pertubuhan Cina memerlukan bakat mendiang, lantas cikgu Lee memohon untuk bersara awal dari SMJK Yu Hua. Dengan kata lain, mendiang kehilangan wang pencennya, dan bersedia untuk berdepan dengan hidup yang tidak terjamin ketika tua dan uzur kelak.
Tegas dalam isu pendidikan
Cikgu Lee ialah orang yang sentiasa bersedia menawarkan dirinya apabila keadaan memerlukan. Pada tahun 2001, tercetusnya satu kejadian di mana SJKC Damansara, Petaling Jaya ditutup. Penduduk tempatan bangkit untuk mempertahankan hak pendidikan komuniti, menuntut agar bangunan sekolah asal dibuka semula untuk pengajaran dan pembelajaran.
Sepanjang tempoh lapan tahun perjuangan ini, pelajar-pelajarnya ditempatkan dalam kontena yang diubahsuai sebagai bilik darjah sementara. Dengan pengalamannya sebagai seorang guru, cikgu Lee menawarkan diri untuk mengajar di situ.
Mengimbas kisah silam ini, salah seorang rakan sekerja mendiang ketika itu menceritakan pengalaman bersama cikgu Lee. Tidak mudah, kerana kebanyakan tenaga pengajar adalah orang baru yang belum pernah terlatih, maka cikgu Lee perlu membimbing guru-guru baru ini dalam hal pengajaran. Namun pada masa yang sama, cikgu Lee seorang yang mudah didampingi, melayan “guru bimbingannya” sebagai sahabat.
“Cikgu Lee bertoleransi dengan kami dalam hampir semua hal. Kecuali sekali, apabila mendiang mendapati saya tersilap ketika menjelaskan fenomena luruh di Malaysia. Dengan serius cikgu Lee berkata kepada saya, ‘Sebagai seorang guru, kita harus melengkapi diri kita dengan menimba lebih ilmu melalui pembacaan. Jangan sesekali kita menyemai ilmu yang salah dalam kalangan pelajar. Boleh jadi kita mengelirukan mereka.’”
“Saya rasa cukup bersalah pada ketika itu. Saya lebih berhati-hati ketika mengajar selepas itu,” kata Ng Chui Cheng ketika mengenang detik saat bersama cikgu Lee dalam catatannya di Facebook.
Adun Kajang
Untuk veteran PKR, cikgu Lee akan dikenang sebagai antara pengasas parti dalam kalangan komuniti Cina. Tidak ramai Cina yang berani turun berdemontrasi di peringkat awal gelombang Reformasi tercetus, namun sosok cikgu Lee telah berada di jalan raya sejak tahun 1998 lagi. Malah menurut rakannya, cikgu Lee mengajak mereka untuk pergi bersama ke rumah Anwar Ibrahim setelah timbalan perdana menteri itu dipecat pada 2 September 1998.
Cikgu Lee cukup serasi dengan PKR, wadah yang berbilang kaum. Mendiang tidak kekok untuk menyantuni akar umbi pelbagai kaum, dan bertungkus-lumus untuk meluaskan pengaruh partinya. Tidak pasrah selepas kecundang dalam PRU11 pada tahun 2004, mendiang kembali untuk menempuh kubu MCA di DUN Kajang pada tahun 2008, menyumbang satu kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat pada tahun 2008.
Perlu diingatkan, bahawa kemenangan cikgu Lee pada tahun 2008 bukan dilambung gelombang tsunami politik semata-mata, tetapi usaha yang dicurahkan di peringkat akar umbi untuk bertahun-tahun lamanya. Kesungguhan cikgu Lee diiktiraf apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menyimpan niat untuk bertanding di DUN Kajang pada tahun 2008, memberi laluan kepada PKR lantaran penghormatan mereka terhadap cikgu Lee.
Nama Lee Kim Sin terlalu dekat dengan Kajang. Mendiang menubuhkan Kajang Heritage Centre pada tahun 2000, merakamkan sejarah tempatan, dan mengusahakan pembangunan seni-budaya komuniti. Cikgu Lee tidak kedekut untuk berkongsi ilmu pengetahuannya, malah dijemput ke merata tempat untuk berkongsi pengalamannya dalam pembangunan komuniti.
Dikhianati parti sendiri
Pengisahan kerjaya politiknya tidak sempurna tanpa mengungkit kejadian mendiang digugurkan sebagai calon Adun Kajang dalam PRU13 pada tahun 2013. Prestasi cikgu Lee yang unggul di Kajang diambil kesempatan dengan meletakkan calon terjun, Lee Chin Cheh, mengandaikan pengundi akan tetap menyokong PKR kerana keterdesakan untuk mengekalkan Selangor di bawah Pakatan Rakyat ketika itu.
Cikgu Lee mempunyai alasan yang baik untuk memberontak, keluar parti dan menyerang pemimpinnya, kerana mendiang dikhianati parti sendiri. Namun, cikgu Lee memilih untuk akur kepada keputusan parti, dan berkempen untuk calon PKR yang lain sepanjang PRU13. Malah, apabila kerusi DUN Kajang dikosongkan untuk “Langkah Kajang”, Cikgu Lee kembali berkempen untuk memenangkan presidennya ketika itu, Wan Azizah dalam pilihan raya kecil.
Mendiang tidak mengungkit kisah pengkhianatan ini, sungguhpun ia melukakan hati. Mereka yang berkebolehan tidak bimbang hilang wadah. Mendiang bukan politikus yang taasub kuasa, dan bukan jenis manusia yang menunjuk-nunjuk untuk menarik perhatian. Sebaliknya, mendiang adalah insan yang sentiasa berkhidmat dengan tulus ikhlas. Mendiang mungkin lebih dikenali masyarakat Cina, tetapi tidak asing untuk masyarakat bukan Cina. Dengan kata lain, pendekatan mendiang disambut baik masyarakat berbilang kaum.
Cikgu Lee meneruskan kerja komunitinya, dari pemeliharaan tapak warisan sejarah, sehinggalah penjagaan alam. Daripada catatan sahabatnya, hampir kesemua mengaku belajar sesuatu daripada Cikgu Lee. Jiwanya sarat dengan ilmu, sentiasa terpanggil untuk membela golongan terpinggir, dan tidak teragak-agak untuk tampil menegakkan keadilan.
Sesungguhnya, cikgu Lee adalah teladan untuk penggiat politik, seni budaya dan gerakan sosial. Seorang yang peramah, rendah diri, mesra dan penyabar. Namun kita hanya mampu mengeluh setelah kehilangannya. Kita hanya mulai “nampak” sumbangan dan pengorbanannya yang tidak ternilai setelah ketiadaannya. Sepatutnya kita renung bersama, mengapa tidak kita menghargai tokoh sedemikian, juga kerja-kerjanya ketika mendiang masih hidup?
*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini edisi bahasa Melayu (19 Mei 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/575143
Facebook Comments