Oleh: Wan Ji bin Wan Hussin
Mahkamah syariah di Terengganu menetapkan bahawa dua orang perempuan yang terlibat dengan amalan lesbian dikenakan hukuman enam kali sebatan dan denda RM3,300. Memandangkan ia diputuskan di peringkat mahkamah syariah, justeru dianggap ia adalah hukuman syariah.
Setakat ini, ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin telah mengeluarkan pendapat dengan menyatakan, kesalahan ini tidak sewajarnya digunakan pendekatan memalukan, iaitu dengan dilakukan sebatan secara terbuka. Terutama, pelaksanaan ini mempunyai kaitan dengan populis politik kepartian. Ia dapat dilihat dengan kempen dan sebaran melalui media massa yang berlogokan parti politik tertentu. Lebih tidak sopan, apabila ia digunakan seperti mewujudkan persepsi kepada pihak yang berbeza parti dengan mereka.
Walau bagaimana pun, artikel ini akan mengupas perkara ini kepada beberapa topik seperti berikut:
Satu : Pendalilan ulama tentang Lesbian
Dalam bahasa Arab, lesbian disebut “al-Sihaq”, atau “al-musahaqah”. Ia merujuk kepada amalan seks sejenis sesama perempuan. Ia berbeza dengan seks sejenis bagi kaum lelaki yang disebut sebagai gay.
Berkenaan hukum amalan lesbian ini, terdapat beberapa perbahasan yang ia seperti berikut:
Pendapat pertama, amalan ini adalah berdosa besar. Ini berasaskan kepada beberapa dalil:
Dalil pertama, gambaran orang beriman adalah orang yang menjaga kemaluan mereka, iaitu firman Allah:
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
“dan orang-orang yang menjaga kemaluannya.” (Surah al-Mukminun 23 : 5)
Dalil kedua, adalah hadis:
سِحَاقُ النِّسَاءِ زِنًا بَيْنَهُنَّ
“Hubungan sejenis sesama wanita adalah zina.” (Syu’ab al-Iman, hadis no : 5082)
Dalil ketiga, adalah hadis:
وَإِذَا أَتَتِ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ فَهُمَا زَانِيَتَانِ
“apabila seorang perempuan mendatangi seorang perempuan yang lain (hubungan sejenis), kedua-duanya adalah berzina.” (al-Sunan al-Kubra (al-Baihaqi), hadis no : 17033)
Pendapat kedua, ia sememang dosa, tetapi tidak sampai ke tahap salah satu dari dari dosa-dosa besar. Pendapat mereka disandarkan kepada beberapa hujah:
Hujah pertama, firman Allah dari surah al-mukminun (23), ayat 5 yang dijadikan dalil pendapat pertama itu tidak dinyatakan secara jelas dan terang bahawa ia merujuk kepada amalan lesbian. Malahan, Ibn al-Arabi menyatakan bahawa ayat ini dikhususkan kepada lelaki sahaja, tanpa termasuk kepada perempuan. Ini dilihat pada ayat sambungan (ayat 6) yang menyebut:
إِلَّا عَلى أَزْواجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمانُهُمْ
“kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.” (Surah al-Mukminun 23 : 6) ((Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jld 12, hlmn 105;
قَالَ ابْنُ الْعَرَبِيِّ:” مِنْ غَرِيبِ الْقُرْآنِ أَنَّ هَذِهِ الْآيَاتِ الْعَشْرَ عَامَّةٌ فِي الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، كَسَائِرِ أَلْفَاظِ الْقُرْآنِ الَّتِي هِيَ مُحْتَمِلَةٌ لَهُمْ فَإِنَّهَا عَامَّةٌ فِيهِمْ، إِلَّا قوله” وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حافِظُونَ” فَإِنَّمَا خَاطَبَ بِهَا الرجال خاصة دون الزوجات، بدليل قوله:” إِلَّا عَلى أَزْواجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمانُهُمْ”)) Demikian juga, al-Tabari menyatakan bahawa maksud dengan kemaluan di sini adalah kemaluan lelaki, iaitu dari pihak hadapan (zakar). ((Tabari, Jami’ a-Bayan fi Ta’wil al-Quran, jld 19, hlmn 10 :
والذين هم لفروج أنفسهم وعنى بالفروج في هذا الموضع: فروج الرجال، وذلك أقبالهم))
Hujah kedua, hadis yang dijadikan sandaran, hadis dalam kitab Sya’b al-Iman, iaitu hadis “hubungan sesama jenis adalah zina”, didapati hadis tersebut adalah lemah, kerana terdapat perawi hadis yang bernama Osman bin Abd al-Rahman al-Harrani yang menurut Qutaibah sepertimana yang dinukilkan oleh al-Bukhari bahawa beliau meriwayatkan hadis dari kaum lemah ((Al-Jurjani, al-Kamil Fi Du’afa al-Rijal, jld 6, hlmn 296
قَالَ البُخارِيّ قَالَ قتيبة عُثْمَان بْن عَبد الرَّحْمَنِ يروي عَن قوم ضعاف)) . Demikian juga, ada perawi bernama ‘Anbasah bin Sa’id bin Ghunaim al-Kila’i, yang menurut Abu Hatim bahawa beliau tidak kuat, dan menurut Abu Zur’ah bahawa hadis-hadis yang beliau riwayatkan adalah mungkar. ((Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta’dil, jld 6, hlmn 400. عنبسة بن سعيد بن غنيم الكلاعي روى عن مكحول روى عنه اسمعيل بن عياش والوليد بن مسلم وعمرو بن بشر بن السرح سمعت أبي يقول ذلك، وسألته عنه فقال ليس بالقوى، نا عبد الرحمن قال سئل أبو زرعة عن عنبسة بن سعيد بن غنيم فقال احاديثه منكرة))
Hujah ketiga, hadis yang dijadikan sandaran, iaitu hadis dalam kitab al-Sunan al-Kubra “apabila seorang perempuan mendatangi seorang perempuan yang lain (hubungan sejenis), kedua-duanya adalah berzina”, didapati hadis ini ada perawi bernama Muhammad bin Abd al-Rahman yang dianggap ulama hadis sebagai mungkar dan ada sebilangan ulama hadis lain anggap hadis riwayatnya perlu ditinggalkan kerana dia kerap berbohong. ((Ibn al-Mulqan, al-Badr al-Munir, jld 6, hlmn 606;
قَالَ الْبَيْهَقِيّ: مُحَمَّد بن عبد الرَّحْمَن هَذَا لَا أعرفهُ، وَهُوَ مُنكر (بِهَذَا) الْإِسْنَاد
قَالَ: وَسَأَلت أبي عَنهُ (فَقَالَ) : مَتْرُوك الحَدِيث، كَانَ يكذب، ويفتعل الحَدِيث))
Dari hujah-hujah yang dikemukakan, didapati tidak terdapat satu nas yang sahih dan sarih menyatakan bahawa ia sebagai berdosa besar. Sebaliknya, ia dinilai sebagai berdosa juga berdasarkan kepada penafsiran ulama terhadap ayat al-Quran dan hadis, iaitu seperti berikut:
Pertama, amalan lesbian dianggap sebagai salah satu amalan keji. Firman Allah:
وَاللَّذَانِ يَأْتِيَانِهَا مِنْكُمْ فَآذُوهُمَا فَإِنْ تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا عَنْهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّابًا رَحِيمًا
“Dan terhadap dua orang yang melakukan perbuatan keji di antara kamu, maka berilah hukuman kepada keduanya, kemudian jika keduanya bertaubat dan memperbaiki diri, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Nisa’ 4 : 16)
Kedua, walaupun dalam al-Quran tidak disebut amalan lesbian secara jelas, tetapi al-Quran ada menjelaskan tentang amalan liwat. Justeru, ditafsirkan bahawa hukumnya adalah sama. Firman Allah:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ
“Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun (di dunia ini) sebelummu?”” (Surah al-A’raf 7 : 80)
Ketiga, dalam hadis ada menyatakan larangan perempuan melihat aurat sesama mereka, dan dilarang dari seseorang satu baju sesama jenis. Dengan demikian, ditafsirkan bahawa sudah pasti dilarang amalan lesbian. Abu Sa’id al-Khudri berkata bahawa Sabda Nabi saw:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
“tidak boleh lelaki melihat aurat lelaki, dan tidak boleh perempuan melihat aurat perempuan, dan tidak boleh lelaki bersama lelaki dalam satu baju, dan tidak boleh perempuan bersama perempuan dalam satu baju.” (Muslim, hadis no : 338)
Keempat, amalan Lesbian dianggap bercanggah dengan kebiasaan dalam hubungan seks. Justeru, ia dianggap bercanggah dengan fitrah manusia.
Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan bahawa tiada satu nas yang sarih dan sahih menyatakan bahawa amalan lesbian adalah dosa besar. Walau bagaimanapun, dengan penafsiran terhadap beberapa ayat al-Quran dan hadis, majoriti ulama (malahan ada dakwa sebagai ijmak) bahawa amalan tersebut adalah berdosa.
Dua: Hukuman di dunia
Dari sudut hukuman di dunia, perlu dilihat kepada dua kerangka:
- Dosa bersifat peribadi, maka tidak dikenakan hukuman.
- Doa yang berlaku di khalayak awam, maka baru dikenakan hukuman.
Amalan lesbian, jika dilakukan dalam ruangan tertutup, maka tidak dikenakan hukuman. Ini kerana, sesuatu kesalahan yang diambil tindakan hukuman (al-‘Uqubah), semestinya berlaku dalam ruangan awam.
Dalil bahawa hukuman tidak dikenakan tanpa dalam ruangan awam adalah seperti berikut:
Pertama, dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa hukuman bagi kesalahan zina adalah sebat sebanyak 100 sebatan. Firman Allah:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَة
“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera.” (Surah al-Nur 24 : 2)
Hukuman kepada penzina dengan seratus sebatan, ia tidak akan berlaku kecuali dibuktikan terlebih dahulu dengan empat orang saksi yang adil. Dalilnya adalah Firman Allah:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah al-Nur 24:4)
Disyaratkan empat orang saksi tersebut, setiap seorang itu perlu orang yang adil secara definisi syariah; iaitu tidak melakukan dosa besar, dan tidak melazimi dosa kecil.
Kata al-Hitab al-Ra’ini:
الْعَدَالَةُ الْمُحَافَظَةُ الدِّينِيَّةُ عَلَى اجْتِنَابِ الْكَذِبِ وَالْكَبَائِرِ وَتَوَقِّي الصَّغَائِرِ وَأَدَاءُ الْأَمَانَةِ وَحُسْنُ الْمُعَامَلَةِ لَيْسَ مَعَهَا بِدْعَةٌ أَوْ أَكْثَرُهَا
“Adil adalah penjagaan keagamaan dengan hindari dari pendustaan, dosa besar dan selamatkan diri dari dosa kecil, menunaikan amanah, mempunyai hubungan manusia dengan baik, tanpa disertai dengan amalan bid’ah.” ((Al-Ru’aini, Mawahib al-Jalil Fi Syarh Mukhtasar Khalid, jld 6, hlmn 151))
Dan menyaksikan kejadian zina tersebut tidak boleh kecuali melihat dengan mata kepala; nampak masuk zakar lelaki dalam kemaluan perempuan itu sepertimana masuknya kayu celak dalam botol celak; atau seperti tali timba masuk dalam telaga. Dalilnya adalah hadis riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah:
جَاءَ الْأَسْلَمِيُّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَشَهِدَ عَلَى نَفْسِهِ أَنَّهُ أَصَابَ امْرَأَةً حَرَامًا أَرْبَعَ مَرَّاتٍ، كُلُّ ذَلِكَ يُعْرِضُ عَنْهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ فِي الْخَامِسَةِ، فَقَالَ: «أَنِكْتَهَا؟» قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: «حَتَّى غَابَ ذَلِكَ مِنْكَ فِي ذَلِكَ مِنْهَا؟» قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: «كَمَا يَغِيبُ الْمِرْوَدُ فِي الْمُكْحُلَةِ، وَالرِّشَاءُ فِي الْبِئْرِ؟» قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: «فَهَلْ تَدْرِي مَا الزِّنَا؟» قَالَ: نَعَمْ، أَتَيْتُ مِنْهَا حَرَامًا مَا يَأْتِي الرَّجُلُ مِنَ امْرَأَتِهِ حَلَالًا، قَالَ: «فَمَا تُرِيدُ بِهَذَا الْقَوْلِ؟» قَالَ: أُرِيدُ أَنْ تُطَهِّرَنِي، فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ
“al-Aslami datang kepada Nabi dan bersaksi bahawa dia pernah berzina dengan seseorang perempuan secara haram. Ia ulangi perkara itu sebanyak empat kali, yang semua itu Nabi saw berpaling darinya. Lalu dia berpaling untuk kali kelima, Nabi saw bertanya, apakah benar kamu melakukan itu? Dia menjawab, benar. Nabi tanya lagi, hingga tenggelam (zakar kamu) ke dalam (faraj perempuan itu)? Dia jawab, benar. Nabi berkata lagi, “Sepertimana tenggelam kayu celak dalam botol celak, sepertimana tali timba masuk dalam telaga?” Dia menjawab, benar. Berkata Nabi, “Apakah kamu tahu, apa itu zina?” Dia menjawab, benar (saya tahu). Aku mendatangi perempuan itu secara haram sepertimana seseorang lelaki bersetubuh dengan isterinya secara halal. Nabi saw berkata, apa yang kamu mahu dari perkataan ini? Dia berkata, aku kamu kamu bersihkan dosaku. Lalu, Nabi saw menyuruh agar direjam. ((Abu Daud, بَابُ رَجْمِ مَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ, hadis no : 4428)) ”
Hadis ini menjelaskan bahawa zina yang dipastikan berlaku itu adalah perlu secara pasti kemaluan lelaki masuk ke dalam faraj perempuan itu sepertimana kayu celak masuk dalam botolnya; atau seperti tali timba masuk dalam telaga.
Apabila zina yang dikenakan hukuman hudud dalam keadaan perlu kepada empat orang saksi yang begitu baik, sehingga disyaratkan adil; dan kejadian itu berlaku dengan dilihat dengan mata kepala bahawa nampak masuk kemaluan lelaki dalam kemaluan perempuan sepertimana kayu celak masuk dalam botol celak; atau seperti tali timba masuk dalam telaga, menjadi bukti bahawa kejadian zina yang dikenakan hukuman itu, jika dilakukan di tempat yang sudah sampai di ruangan awam.
Kedua, dalam al-Quran terdapat larangan dari tajassus, iaitu mengintip. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain.” (Surah al-Hujurat 49 : 12)
Begitu juga, al-Imam al-Qurtubi ada menyatakan bahawa Saidina Omar tidak mengambil tindakan undang-undang kepada Abu Mihjan al-Saqafi yang minum arak dalam rumahnya.
Al-Qurtubi meriwayatkan:
وَقَالَ أَبُو قِلَابَةَ: حُدِّثَ عُمَرُ ابن الْخَطَّابِ أَنَّ أَبَا مِحْجَنٍ الثَّقَفِيَّ يَشْرَبُ الْخَمْرَ مَعَ أَصْحَابٍ لَهُ فِي بَيْتِهِ، فَانْطَلَقَ عُمَرُ حَتَّى دَخَلَ عَلَيْهِ، فَإِذَا لَيْسَ عِنْدَهُ إِلَّا رَجُلٌ، فَقَالَ أَبُو مِحْجَنٍ: إِنَّ هَذَا لَا يَحِلُّ لَكَ! قَدْ نَهَاكَ اللَّهُ عَنِ التَّجَسُّسِ، فَخَرَجَ عُمَرُ وَتَرَكَهُ
“Berkata Abu Qilabah, diceritakan Omar bahawa Abu Mihjan al-Saqafi minum arak bersama kawan-kawannya di rumahnya. Omar menerobos masuk, didapati tiada orang bersama dengannya kecuali seseorang lelaki. Abu Mihjan berkata, perbuatan kamu ini tidak halal, kerana Allah telah melarang kamu dari melakukan intipan. Omar terus keluar dan meninggalkannya (tidak dikenakan hukuman).” ((Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jld 16, hlmn 333))
Cerita yang hampir sama juga diceritakan oleh Abdul Rahman bin Auf bahawa Saidina Omar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf yang minum arak bukan di ruangan awam.
Kata Abdul Rahman bin Auf:
حَرَسْتُ مَعَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا لَيْلَةً الْمَدِينَةَ، فَبَيْنَا نَحْنُ نَمْشِي شَبَّ لَنَا سِرَاجٌ، فَانْطَلَقْنَا نَؤُمُّهُ، فَلَمَّا دَنَوْنَا إِذَا بَابٌ مُجَافٍ عَلَى قَوْمٍ لَهُمْ فِيهِ أَصْوَاتٌ وَلَغَطٌ، فَأَخَذَ عُمَرُ بِيَدِي، وَقَالَ لِي: أَتَدْرِي بَيْتُ مَنْ هَذَا؟ قُلْتُ: لَا، قَالَ: هَذَا بَيْتُ رَبِيعَةَ بْنِ أُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ، وَهُمُ الْآنَ شَرْبٌ، فَمَا تَرَى؟ قُلْتُ: أَرَى قَدْ أَتَيْنَا مَا نَهَانَا اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَنْهُ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {وَلَا تَجَسَّسُوا} [الحجرات: 12] ، فَرَاجَعَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، وَتَرَكَهُمْ
“Aku berjaga bersama saidina Omar di satu malam di Madinah. Ketika kami berlalu, kelihatan cahaya lampu menyinari. Kami menghampirinya. Ketika kami hampir, didapati pintu tertutup yang kedengaran suara beberapa orang. Omar memegang tanganku, dan berkata kepadaku, Kamu tahu, rumah siapakah ini? Aku jawab, ini adalah rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf, mereka sedang minum arak. Omar bertanya, apa pandangan kamu? Aku jawab, aku berpendapat kita telah melakukan perkara yang Allah haram, kerana Allah menyatakan jangan kamu mengintip (Surah al-Hujurat, ayat 12). Omar pulang dan meninggalkan mereka (tidak mengambil tindakan undang-undang).” ((Al-Kharaiti, Makarim al-Akhlak, hadis no : 425))
Bukan sekadar berlaku pada Saidina Omar dan Abdul Rahman bin Auf, malahan kejadian yang hampir sama berlaku pada Abdullah bin Mas’ud; bahawa beliau melarang diambil tindakan dari orang yang melakukan tindakan bukan di ruangan awam.
Daripada Zaid bin Wahab:
أُتِيَ ابْنُ مَسْعُودٍ فَقِيلَ هَذَا فُلَانٌ تَقْطُرُ لِحْيَتُهُ خَمْرًا، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: «إِنَّا قَدْ نُهِينَا عَنِ التَّجَسُّسِ وَلَكِنْ إِنْ يَظْهَرْ لَنَا شَيْءٌ نَأْخُذْ بِهِ»
“Ibn Mas’ud dibawa seseorang yang kelihatan titisan arak menitip di janggutnya. Berkata Abdullah (ibn Mas’ud), kita dilarang dari mengintip. Namun, jika berlaku secara terbuka, baru kita ambil tindakan” ((Abu Daud, hadis no : 4890))
Ketiga, dalam hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan bahawa sesuatu yang dilakukan secara terbuka, dilarang dari dibuka. Tindakan itu menyebabkan sudah mendapat kemaafan dari Allah.
Daripada Abu Hurairah, bahawa beliau Nabi saw bersabda:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا المُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ المُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولَ: يَا فُلاَنُ، عَمِلْتُ البَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
“Setiap umatku akan dimaafkan kecuali orang yang mujahir. Sesungguhnya orang yang melakukan mujaharah adalah lelaki yang melakukan sesuatu amalan (kejahatan) pada waktu malam, kemudian di waktu pagi, Allah telah menutup (aibnya), tetapi dia berkata kepada, wahai fulan, malam tadi aku melakukan amalan begian begian. Sesungguhnya Allah telah menutup aibnya, pada waktu paginya dia yang membuka aibnya yang telah ditutup oleh Allah.” ((Al-Bukhari, بَابُ سَتْرِ المُؤْمِنِ عَلَى نَفْسِهِ, hadis no : 6069))
Keempat, dalam hadis dipamerkan bahawa Nabi saw mengelak dari dijatuhkan hukuman kepada individu yang berzina secara tersembunyi. Tetapi, Baginda terpaksa laksanakan juga atas permintaan penzina tersebut. Dalilnya dalam hadis muslim, Buraidah bercerita:
جَاءَ مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، طَهِّرْنِي، فَقَالَ: «وَيْحَكَ، ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللهَ وَتُبْ إِلَيْهِ»، قَالَ: فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ، ثُمَّ جَاءَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، طَهِّرْنِي، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَيْحَكَ، ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللهَ وَتُبْ إِلَيْهِ»، قَالَ: فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ، ثُمَّ جَاءَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، طَهِّرْنِي، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِثْلَ ذَلِكَ حَتَّى إِذَا كَانَتِ الرَّابِعَةُ، قَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ: «فِيمَ أُطَهِّرُكَ؟» فَقَالَ: مِنَ الزِّنَى، فَسَأَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَبِهِ جُنُونٌ؟» فَأُخْبِرَ أَنَّهُ لَيْسَ بِمَجْنُونٍ، فَقَالَ: «أَشَرِبَ خَمْرًا؟» فَقَامَ رَجُلٌ فَاسْتَنْكَهَهُ، فَلَمْ يَجِدْ مِنْهُ رِيحَ خَمْرٍ، قَالَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَزَنَيْتَ؟» فَقَالَ: نَعَمْ، فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ
“Maiz bin Malik datang kepada Nabi dan berkata, Wahai Rasulullah, bersihkan aku. Baginda berkata, celaka kamu. Pergi balik dan bertaubatlah kepadaNya. Maiz pergi tidak jauh, kemudian datang kembali dan berkata, Wahai Rasulullah, bersihkan aku. Sekali lagi Nabi saw berkata, celaka kamu. Pergi balik dan bertaubatlah kepadaNya. Dia pergi tidak jauh, kemudian datang kembali dan berkata, Wahai Rasulullah, bersihkan aku. Nabi berkata sama seperti sebelumnya sehingga kali keempat. Nabi pun bertanya kepadanya, aku perlu bersihkan kamu dari kesalahan apa? Dia menjawab, dari kesalahan zina. Nabi saw bertanya lagi, apakah dia sedang gila? Dia jawab bahawa dia tidak gila. Nabi tanya lagi, apakah dia minum arak? Berdiri seseorang lelaki mencium bau mulutnya, didapati tiada bau arak. Rasulullah bertanya, apakah kamu telah berzina? Dia menjawab, benar. Lalu Nabi saw menyuruh dia direjam.” ((Muslim, بَابُ مَنِ اعْتَرَفَ عَلَى نَفْسِهِ بِالزِّنَى, hadis no : 1695))
Dalam mensyarahkan hadis ini, Imam al-Nawawi berkata:
وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ دَلِيلٌ عَلَى سُقُوطِ إِثْمِ الْمَعَاصِي الْكَبَائِرِ بِالتَّوْبَةِ وَهُوَ بِإِجْمَاعِ المسلمين
“Hadis ini adalah dalil bahawa gugur dosa-dosa besar dengan taubat berdasarkan ijmak orang Islam.” ((Al-Nawawi, Minhaj Syarh Muslim, jld 11,hlmn 199))
Berkata Ibn Hajar al-Asqalani:
وَيُؤْخَذُ مِنْ قَضِيَّتِهِ أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ لِمَنْ وَقَعَ فِي مِثْلِ قَضِيَّتِهِ أَنْ يَتُوبَ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى وَيَسْتُرَ نَفْسَهُ وَلَا يَذْكُرُ ذَلِكَ لِأَحَدٍ كَمَا أَشَارَ بِهِ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ عَلَى مَاعِزٍ
“Diambil (pengajaran) dari isu (Maiz) ini bahawa digalakkan bagi mereka yang melakukan kesalahan seperti Maiz bahawa dia bertaubat kepada Allah, dan dia sembunyikan kesalahan dirinya tanpa disebut kepada seorang pun, sepertimana yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar terhadap Maiz.” ((Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Baru, jld 12, hlmn 125))
Jelas bahawa pelaksanaan hukuman atau undang-undang dikenakan, jika kesalahan itu berlaku di ruangan awam. Kesalahan yang berlaku dalam ruangan peribadi, tidak dikenakan hukuman, sebaliknya pelaku kesalahan itu cukup sekadar bertaubat kepada Allah swt.
Tiga: Takzir dan Maslahah
Memandangkan tiada nas yang sahih dan sarih menyatakan hukuman terhadap pesalah musahaqah, makanya majoriti ulama menyatakan bahawa hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah berasaskan kepada maslahah. Maslahah dalam perdebatan Islam bukan ditentukan oleh pemerintah. Jika tidak, sudah pasti kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah dianggap sebagai maslahah, dan ini sudah pasti mustahil bagi sifat Islam.
Di samping disyaratkan agar keputusan hukum itu tidak bercanggah dengan hukum qatie, al-Buti menyatakan dalam kitab Dhawabit al-Maslahah bahawa sesuatu kemaslahatan yang mahu dicapai hendaklah dalam kerangka tidak menafikan maslahah yang lebih besar. Makanya tidak hairan, Bin Bayyah pernah menyatakan bahawa, antara perkara maqasid syariah yang ramai manusia abaikan adalah apabila mereka tidak menjaga imej baik agama Islam.
Justeru, pemerintah boleh kenakan hukuman kepada pengamal musahaqah, andai itu tidak melahirkan imej buruk pada Islam. Namun, jika melahirkan imej buruk pada imej Islam, tidak semestinya hukuman tersebut dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, sebilangan ulama menyatakan secara terang-terangan bahawa hukuman yang dikenakan kepada pesalah musahaqah yang sabit kesalahan (yang dilakukan dalam ruangan terbuka) adalah takzir. Antara yang berkata sedemikian adalah al-Syarwani dari mazhab al-Syafie dengan berkata:
وَلَا بِإِتْيَانِ الْمَرْأَةِ الْمَرْأَةَ بَلْ تُعَزَّرَانِ
“dan tidak (dikenakan hudud) dengan perempuan mendatangi perempuan, malahan kedua-duanya dikenakan hukuman takzir.” ((Ibn Hajar al-Haisami, Tuhfah al-Minhaj fi Syarh al-Minhaj, jld 9, hlmn 104))
Begitu juga, al-Imam Ibn Quddamah:
وَإِنْ تَدَالَكَتْ امْرَأَتَانِ، فَهُمَا زَانِيَتَانِ مَلْعُونَتَانِ؛ لِمَا رُوِيَ عَنْ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - أَنَّهُ قَالَ: «إذَا أَتَتْ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، فَهُمَا زَانِيَتَانِ:» . وَلَا حَدَّ عَلَيْهِمَا لِأَنَّهُ لَا يَتَضَمَّنُ إيلَاجًا، فَأَشْبَهَ الْمُبَاشَرَةَ دُونَ الْفَرْجِ، وَعَلَيْهِمَا التَّعْزِيرُ لِأَنَّهُ زِنًى لَا حَدَّ فِيهِ، فَأَشْبَهَ مُبَاشَرَةَ الرَّجُلِ الْمَرْأَةَ مِنْ غَيْرِ جِمَاعٍ
“Jika saling bergosok-gosok dua wanita (berhubungan seks sesama wanita), maka kedua-dua mereka adalah melakukan amalan zina yang terlaknat. Ini berdasarkan hadis daripada Nabi saw bahawa, apabila perempuan mendatangi perempuan, maka kedua-dunya berzina (hadis ini doif, lihat perbahasan di atas). Tidak dikenakan hukuman hudud kepada keduanya, kerana tidak ada Ilaj (tenggelam kepala zakar dalam kemaluan). Justeru, ia menyamai berhubungan tidak melalui faraj. Namun, kedua-dunya dikenakan hukuman takzir, kerana ia adalah zina yang tidak dikenakan hudud.” ((Ibn Quddamah, al-Mughni, jld 9, hlmn 61))
Dari perbahasan ini, didapati bahawa hukuman yang dikenakan kepada pesalah musahaqah tidak termaktub dalam nas secara sahih dan sarih (jelas). Justeru, tiada hukuman hudud bagi kesalahan ini. Justeru, pelaksanaan hukum yang berlaku berlegar dalam lingkungan ijtihad (takzir), yang sudah pasti implikasi pelaksanaan tidak boleh mendatangkan kerosakan pada imej Islam.
Empat: Pelaksanaan di khalayak awam
Pelaksanaan sesuatu hukuman di khalayak ramai, al-Quran hanya nyatakan bagi kesalahan hudud, iaitu dalam kesalahan zina sahaja. Firman Allah:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.” (Surah al-Nur 24 : 2)
Dalam ayat ini, dinyatakan perlu dihadiri oleh sebilangan orang untuk menyaksikan hukuman ketika dilaksanakan. Ulama tidak sepakat dalam menyatakan tentang kewujudan orang yang melihat hukuman dilaksanakan.
Ibn Asyur menyatakan bahawa ada ulama dalam mazhab Hanafi dan ulama dalam mazhab Syafie menyatakan bahawa hukum dihadiri orang itu bukan sesuatu yang wajib dan mesti, malahan menganggap ia sebagai galakan sahaja. ((Ibn Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld 18, hlmn 152))
Dalam kalangan ulama pula, tidak ada dari kalangan mereka menyatakan bahawa ia wajib dilakukan di tempat terbuka kecuali pandangan al-Imam al-Hasan al-Basri sahaja. Mereka hanya berbeza pendapat dalam kadar bilangan orang yang saksikan hukuman tersebut dalam kadar paling minima seperti al-Imam Ahmad menyatakan dengan kehadiran seorang pun sudah memadai, demikian juga imam Mujahid, Ibn Abbas dan Ikrimah ((Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, jld 6, hlmn 8)) ‘Ata bin Abi Rabah, Sa’id bin Jubair dan Ishaq bin Rahaawiyyah menyatakan paling minima seramai dua orang, Zuhri seramai tiga orang, Imam Malik dan Ibn Zaid seramai empat orang, al-Rabi’ seramai lima orang dan Qatadah yang menyatakan tidak kira berapa pun, yang penting ia dapat melahirkan kesedaran kepada orang lain ((Ibid, jld 6, hlmn 9))
Walau bagaimana pun, perbicangan yang menyatakan perlu dihadiri oleh orang yang menyaksikan hukuman; dari sudut al-Quran, hanya dalam kesalahan zina sahaja. Bagi kesalahan selain zina, seperti musahaqah, hukuman dijatuhkan dengan dihadiri orang itu tidak disandarkan kepada al-Quran, sebaliknya sekadar ijtihad dan pandangan ulama sahaja.
Lima: Lakukan sehingga membawa penghinaan
Ada sebilangan ulama menyatakan bahawa hukuman dilakukan secara terbuka adalah bertujuan untuk membuka ruangan untuk melahirkan perasaaan malu kepada pesalah. Pendapat tersebut didapati lemah kerana ia bercanggah dengan hadis yang diceritakan oleh Saidina Omar bin al-Khattab bahawa ada seseorang lelaki pada zaman Nabi bernama Abdullah yang digelar sebagai Himar. Dia seorang yang lucu sehingga sering menjadikan Nabi saw ketawa. Nabi saw telah sebat beliau dengan kesalahan minum arak. Ada seseorang sahabat telah berdiri dan berkata, “Ya Allah, laknatinya, kerana terlalu kerap dia ditangkap (bagi kesalahan minum arak)”. Lalu Nabi saw berkata kepada sahabat tersebut:
لاَ تَلْعَنُوهُ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ إِنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
“Jangan kamu laknati dia, demi Allah aku tahu bahawa dia mencintai Allah dan RasulNya.” ((al-Bukhari, hadis no : 6780))
Dengan ini, keizinan melaksanakan sebatan secara terbuka itu, sekadar untuk melahirkan kesedaran sahaja, bukan membawa implikasi penghinaan dan celaan terhadap pesalah. Justeru itu, melakukan hukuman itu sehingga melahirkan celaan, makian, memalukan kepada pesalah, maka ia tidak dibenarkan.
Kesimpulan
Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:
Pertama, dari sudut hukum akhirat, amalan lesbian adalah satu dosa. Tetapi, tidak semestinya semua dosa itu dikenakan hukuman hudud, ataupun dikenakan hukuman takzir.
Kedua, hukuman takzir berasaskan kepada maslahah. Justeru, pemerintah perlu perhatikan bahawa pelaksanaan takzir tersebut hendaklah terhindar dari memberi implikasi buruk pada imej Islam.
Ketiga, hukuman yang dikenakan, hendaklah disabitkan bahawa perlakuan tersebut berlaku di ruangan awam. Dari sudut fiqh Islam, hukum tidak dikenakan dalam ruangan persendirian.
Keempat, hukuman sebat di tempat terbuka adalah pandangan al-Hasan al-basri sahaja, sedangkan dalam pandangan selain itu, boleh dilaksanakan di tempat tertutup, tetapi dengan kehadiran beberapa orang berdasarkan kekhilafan ulama.
Kelima, hukuman dilaksanakan dengan kehadiran orang itu, yang termaktub dalam al-Quran, hanya kesalahan zina sahaja. Selain dari zina, seperti musahaqah adalah berdasarkan ijtihad ulama sahaja.
Keenam, sebarang hukuman yang dilakukan, tidak boleh sampai melahirkan celaan dan kutukan kepada pesalah. Jika membawa kepada tindakan sebegitu, ia wajar dielak.
Ketujuh, memandangkan pelaksanaan secara terbuka sekadar ijtihad al-hasan al-Basri, justeru tidak salah jika ada pihak membantah dari dilaksanakan secara terbuka, terutama ia boleh memberi kesan buruk pada imej Islam.
Leave a Reply
Want to join the discussion?Feel free to contribute!