Print Friendly, PDF & Email

Barangkali “Anwar-Rafizi” merupakan gandingan terbaik yang mampu ditawarkan PKR, dengan apa yang seadanya buat masa kini. Bukan untuk menafikan kebolehan Saifuddin Nasution, tetapi rakyat menuntut momentum baru dipacu dalam PKR, setelah sekian lama bergelumang dalam lumpur yang ditinggalkan “Langkah Sheraton”. Otai Reformasi mungkin cenderung untuk melanjutkan “kesinambungan” dalam arus perjuangan, menjaga “adab” dan sebagainya, tetapi generasi baru menuntut “percikan api” untuk membakar semangat. Suka atau tidak, mereka mengambil sikap untuk lebih sayangkan kebenaran berbanding gurunya. Apatah lagi slogan parti pun berbunyi “lawan tetap lawan”.

Hakikatnya, pertembungan sedemikian bukan sesuatu yang baru. Malah, Anwar Ibrahim terpaksa menerimanya dengan hati terbuka. Pernah seorang penulis Hong Kong berkata, manusia maju kerana generasi muda tidak mendengar kata-kata generasi sebelumnya. Anwar pernah mencabar Mahathir Mohamad lebih dua dekad yang lalu. Jikalau Anwar kurang selesa dengan Rafizi sekarang, bayangkan Mahathir pada dua dekad yang lalu. Ini bukan karma tetapi lumrah. Anwar hanya perlu memastikan dirinya tidak bersikap seperti Mahathir ketika dicabar. Rafizi juga akan dicabar satu hari nanti, mungkin lebih awal daripada 20 tahun, memandangkan arus pergolakan zaman semakin menderas.

Sebaik sahaja Rafizi diumumkan menang dalam pemilihan PKR, satu soalan dilontarkan oleh seorang pemimpin akar umbi komuniti Cina dalam satu pertemuan yang kebetulan saya hadiri, “Apakah dengan kemenangan Rafizi sebagai timbalan presiden PKR, politik perkauman yang kita saksikan sekarang, bakal diredakan?”

Peranan Rafizi

Jelas, ia mewakili suara yang menaruh harapan agar PKR mampu meredakan suasana politik perkauman yang semakin meruncing sejak beberapa tahun kebelakangan. Saya kurang pasti apakah harapannya akan termakbul, memandangkan politik identiti bukan bidang kepakaran Rafizi Ramli yang kita kenali selama ini. Rafizi lebih dikenali sebagai whistle-blower, menguasai segala angka dan butiran terperinci skandal rasuah yang dikorek dan digalinya sehingga menjadi igauan politikus yang terpalit.

Namun demikian, saya perlu mengakui bahawa ruang wacana awam semakin sarat, kalau bukan tepu dengan kontroversi politik identiti setelah Rafizi Ramli berundur dari persada politik pada penghujung tahun 2018. Sesungguhnya, pertikaian politik identiti telah lama wujud sebelum ini, cuma pembongkaran demi pembongkaran skandal kewangan oleh Rafizi, sedikit sebanyak menarik tumpuan umum untuk membincangkan soal ekonomi dan integriti.

Jadi, kelompongan yang ditinggalkan Rafizi bersama pendedahannya, dengan cepat diisi pertikaian politik identiti, iaitu isu yang membabitkan kaum, agama, bahasa, budaya dan sebagainya. Jikalau “kebebasan bersuara” sebelum ini diperjuangkan untuk “mendedahkan penyelewengan sang penguasa”, kini muncul pandangan bahawa “kebebasan bersuara” perlu dibataskan agar tidak digunakan untuk berjenaka tentang agama dan kaum.

Perubahan sedemikian sudah tentu mengundang ketidakselesaan dalam kalangan sesetengah pembangkang dan penyokongnya, kerana pertikaian politik identiti yang tidak terungkai, kini dilanjutkan kepada soal reformasi institusi negara. Sejauh manakah kebebasan itu harus diberikan? Sejauh mana pula toleransi masyarakat tempatan terhadap ketidakselesaan yang hadir bersama kebebasan? Sejauh mana unsur agama diterapkan dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara, lebih-lebih lagi apabila masyarakat ini terdiri daripada kaum, agama, budaya dan bahasa yang berbilang?

Sayap AMK dan Wanita

Memadailah jikalau Rafizi terus merempuh dengan kelantangannya terhadap sang penguasa yang korup dan menyeleweng, disusuli dengan perdebatan dasar sebagai jalan keluar untuk memperbaiki keadaan. Itupun sudah cukup untuk membakar semangat penyokong parti, agar tidak menumbuk udara dengan laungan slogan, semata-mata untuk menyahut retorik murahan. Politik Malaysia seharusnya dilonjakkan untuk memperlihatkan persaingan dasar, dan bukan digula-gulakan dengan janji populis yang hanya akan menjahanamkan negara dari jangka panjang.

Walau bagaimanapun, pertikaian politik identiti yang tercungkil, akan tetap menular, sungguhpun dengan kembalinya Rafizi ke persada politik. Cabaran ini perlu digalas sayap parti seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan. PKR sering mendabik dada sebagai “parti politik berbilang kaum dan agama”, tetapi lupa bahawa keberanian untuk menongkah arus perdana ini tercetus pada penghujung abad ke-20, dan semakin malap baranya.

Suka atau tidak, PKR kini semakin terheret langkahnya ketika masuk ke gelanggang “politik identiti”, sungguhpun seketika dahulu, PKR dilihat sebagai pelopor wacana progresif. Anwar dengan yakin memposisikan PKR sebagai “parti masa depan”, pernah mengajukan idea berani untuk memansuhkan Dasar Ekonomi Baru, malah membentangkan pengisian makna diri bangsa Malaysia, dengan adunan nilai dari tamadun seluruh dunia.

Ironinya, “parti masa depan” ini paling lemah pada sayap Angkatan Muda-nya. Bukan sahaja tiada “idea terkedepan” untuk dilontarkan, malah ada kala tindak-tanduknya agak membingungkan. Misalnya, pada September 2020, sekumpulan pemuda PKR membuat laporan polis terhadap seorang pakar perlembagaan, hanya kerana profesor tersebut mengeluarkan kenyataan yang “mengelirukan”. Persoalannya, jikapun itu kenyataan yang bodoh, mengapa harus AMK mengheret jentera negara (polis) untuk mencampur tangan, dan bukan menyanggah sahaja dengan hujah yang lebih bernas?

Dengan latar belakang sebagai bekas aktivis siswa, Adam Adli memikul tanggungjawab besar setelah diberi kepercayaan anggota AMK, sungguhpun belum genap setahun beliau menyertai PKR. AMK di bawah pimpinan Adam bukan bermula pada sifar, tetapi negatif. Adam perlu mengejar dengan kekuatan berkali ganda, untuk menyamai kedudukan dengan sayap pemuda pesaingnya, sebelum cubaan untuk memintas.

Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia kini ditawarkan MUDA pimpinan Syed Saddiq. Cabarannya, bagaimana Adam Adli menampilkan AMK sebagai pilihan yang lebih baik berbanding MUDA, dalam kalangan anak muda pelbagai kaum? Jikalau kekuatannya berpaut pada idealisme, apakah wacana dan naratif yang boleh ditawarkan AMK? Tatkala ruang awam semakin tepu dengan sentimen perkauman dan fahaman agama sempit, bagaimana AMK mempersiapkan dirinya dengan hujah yang lebih rasional, inklusif dan progresif?

Usaha ini tidak sempurna tanpa sayap Wanita. Ramai yang mengenal senator Fadhlina Siddiq Sidek sebagai anak kepada bekas presiden Abim, arwah Siddiq Fadzil, tetapi ketua wanita yang baru terpilih ini juga seorang peguam syarie, bergiat dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang menjuarai isu perlindungan kanak-kanak dan keluarga.

Dengan pengalamannya itu, Fadhlina diharapkan mampu mengetengahkan masalah rumah tangga, hak kanak-kanak, remaja, wanita dan sebagainya. Isunya melambak, dari mat rempit, basikal lajak, keganasan rumah tangga, pencabulan seksual di tempat awam, hak kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, hinggalah pertikaian agama anak setelah pasangan suami isteri bercerai – kesemuanya masalah sosial dan agama yang amat rumit untuk dirungkai.

Ketua penerangan yang cekap

Akhirnya, sememangnya PKR memerlukan seorang ketua penerangan yang cekap, tangkas dan efisien, untuk memenuhi keperluan zaman. Kebanyakan masanya, Muda memintas PKR kerana pemimpinnya lebih cekap menggunakan media sosial untuk menyatakan pendirian, sehingga penyokong tradisi PKR tertanya-tanya, di manakah pemimpin PKR? Apakah pendirian mereka dalam isu ini dan itu? Sampai bila mereka berselindung di sebalik alasan “kami bersikap terbuka untuk semua pandangan”, “kami mengambil jalan tengah atau pendekatan sederhana”, tetapi menyelam ke tengah-tengah laut lama-kelamaannya?

Dengan kata lain, sampai bilakah PKR mahu menyorok pendirian mereka terhadap Bon Odori di sebalik Sultan Selangor? Adakah PKR bersetuju jikalau sekumpulan penganut membelasah sendiri individu yang menghina agama mereka? Adakah PKR merestui tindakan individu yang memberi amaran kepada juruwang Muslim di kedai serbaneka agar tidak meneruskan transaksi arak kepada pelanggan bukan muslim? Jikalau ya, apakah solusi seterusnya? Rakyat Malaysia ingin tahu pendirian PKR, agar kita tahu ke manakah Malaysia dikemudi andainya PKR diberi mandat untuk menawan Putrajaya. Jawatan perdana menteri tidak semestinya milik PKR jikalau Pakatan Harapan menang, tanpa kebersediaan PKR memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memberi jawapan dalam isu-isu yang berserabut ini.

Masanya tiba. Kurangkan selfie dengan makanan yang berwarna-warni untuk “syok sendiri”, dan lebihkan kerja untuk mengkaji isu, menyantuni akar umbi dan mengolah restu rakyat dengan naratif sendiri. Pimpinan PKR terbaru bertanggungjawab untuk membina semula momentum yang terkumpul sejak zaman Reformasi. Kegagalan untuk berbuat demikian bakal menghanyut atau menenggelamkan PKR dalam arus zaman yang bergelora.

*Disiarkan di Malaysiakini (edisi bahasa Melayu) pada 21 Julai 2022: https://www.malaysiakini.com/columns/629058

*Gambar dipetik dari laman Facebook PKR.

Facebook Comments