Print Friendly, PDF & Email

Beberapa hari yang lepas, sekali lagi rakyat Malaysia digemparkan dengan perkahwinan seorang lelaki berumur 44 tahun dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun. Dalam akhir bulan Jun yang lepas, keadaan hampir sama berlaku; seorang lelaki berumur 41 tahun dari Malaysia berkahwin dengan seorang kanak-kanak perempuan dari Thailand berumur 11 tahun.

Kesan dari dua isu ini, menyebabkan banyak pihak bersuara. Antaranya, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang yang mengizinkan kanak-kanak berkahwin di bawah umur, dan menetapkan bahawa umur yang dibenarkan berkahwin adalah 18 tahun, tidak kira kanak-kanak lelaki, mahupun kanak-kanak perempuan.

Demikian juga, pada pembukaan Sidang DUN Selangor baru-baru ini, Sultan Selangor telah bertitah pada perkara yang sama juga, iaitu tahap paling minima untuk pernikahan adalah 18 tahun. Dengan itu, Selangor adalah negeri yang pertama di Malaysia membuat penetapan tersebut.

Mahkamah Syariah

Kejadian ini berlaku dilihat pada dua sudut, iaitu, dari sudut pengamalan dalam mahkamah syariah, dan dari sudut pemahaman fiqh yang diperkenalkan oleh ilmuwan-ilmuwan Muslim di seluruh dunia.

Pertama, dari sudut mahkamah syariah, ditetapkan bahawa umur minima bagi kanak-kanak lelaki bernikah adalah 18 tahun, sedangkan kanak-kanak perempuan adalah 16 tahun. Namun begitu, andai ada kanak-kanak lelaki yang berumur bawah 18 tahun, atau kanak-kanak perempuan yang di bawah umur 16 tahun mahu bernikah, maka mereka perlu mendapat keizinan dari mahkamah syariah dan persetujuan ibu bapa mereka. Dengan keizinan mahkamah syariah dan persetujuan ibu bapa itu, dari sudut pengamalan dalam mahkamah syariah, pernikahan itu dianggap sebagai sah.

Ilmuwan Muslim

Kedua, dari sudut fiqh (penafsiran dan pemahaman ilmuwan muslim terhadap teks-teks Islam) pula, ia berpunca dari dakwaan bahawa Nabi Muhammad saw berkahwin dengan seorang isteri yang bernama Aisyah yang didakwa ketika itu berumur 6 tahun.

Walaupun dakwaan ini popular dan menjadi mainsteam dalam dunia Islam, tetapi dakwaan ini diragui kesahehannya. Dalam salah satu pendapat dalam kalangan ilmuwan muslim, dikritik dakwaan itu dengan melihat kepada beberapa faktor, iaitu;

Satu, Aisyah disepakati pengkaji Islam bahawa bernikah dengan Nabi selepas 2 tahun dari tarikh hijrah Nabi ke Madinah.

Dua, dalam kajian juga menyatakan bahawa Aisyah ada seorang kakak yang bernama Asmaˇ lebih tua 10 tahun dari umur adiknya.

Tiga, dibuktikan juga bahawa Asmaˇ berhijrah ke Madinah sewaktu umurnya 27 tahun.

Dengan demikian, semasa hijrah umur Aisyah adalah 17 tahun, dan berkahwin dengan Nabi dua tahun selepas itu, iaitu berumur 19 tahun.

Menurut tafsiran ini, dakwaan bahawa Aisyah berkahwin dengan Nabi sewaktu umur Aisyah 6 tahun adalah tidak benar sama sekali. Dengan itu, hujah Aisyah berkahwin dengan Nabi saw untuk membenarkan perkahwinan dengan kanak-kanak adalah tertolak.

Demikian juga, mereka berhujah bahawa dalam al-Quran; Surah al-Talaq (64), ayat 4 bahawa kononnya Allah swt menyatakan jangka masa isteri yang diceraikan suami untuk dibenarkan bernikah dengan lelaki lain adalah selama tiga bulan. Dalam ayat itu, mereka terjemah ayat ¨lam Yahidhna〃, sebagai perempuan yang belum kedatangan haid lagi. Disebabkan terjemahan kalimah ¨lam〃 sebagai ¨belum〃, mereka menyatakan bahawa boleh dikahwinkan kanak-kanak perempuan.

Yang pasti, terjemahan “lam“ sebagai “belum”, ternyata salah. Sedangkan terjemahan yang paling tepat adalah ¨tidak”, atau terjemahan penuhnya ¨perempuan yang tidak kedatangan haid” yang merujuk kepada perempuan yang sakit dan sebagainya. Dengan terjemahan yang salah ini, menyebabkan mereka menyatakan bahawa keizinan perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan.

18 Tahun

Ada sebilangan umat Islam di Malaysia membantah penetapan umur minima bagi perkahwinan adalah 18 tahun. Mereka mendakwa, penetapan kadar umur begitu tidak ada dalam tradisi umat Islam.

Hakikatnya, alasan tiada dalam tradisi Islam itu adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana, dalam perbincangan ulama-ulama Islam, terdapat berbincangan dua perkara, iaitu umur baligh dan umur matang.

Umur baligh adalah umur kanak-kanak yang dikira sebagai dibebankan pengamalan Islam. Andai tidak mengamalkan selepas capai umur baligh, kanak-kanak itu dianggap sebagai berdosa dengan tuhan.

Walaupun terdapat pandangan ilmuwan Muslim menyatakan tahap minima baligh bagi kanak-kanak adalah 17 tahun dan 15 tahun, di sana terdapat Ilmuwan Muslim yang menetapkan umur minima bagi baligh adalah 18 tahun. Pendapat ini didokong oleh Khalil, seorang ulama dari mazhab Maliki.

Di samping itu juga, al-Quran ada menjelaskan bahawa anak-anak yatim tidak dibenarkan untuk mengurus harta mereka selama mereka tidak capai umur matang. Yang dimaksudkan umur matang adalah, kemampuan berfikir dan kemampuan akalnya dalam mengurus harta.

Justeru, dengan melihat kewajipan capai umur matang dalam mengizinkan mengurus harta, sudah pasti amat perlu dilihat pada capai umur matang dalam mengizinkan perkahwinan. Lebih-lebih lagi, kerumitan mengurus rumah tangga jauh lebih rumit berbanding mengurus harta.

Kesimpulan

Kini, terdapat banyak desakan kepada pihak kerajaan agar menetapkan larangan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Justeru, andai ada dakwaan mengatakan dakwaan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam, perlu sedar bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Lebih-lebih lagi, sebarang perkara yang diputuskan oleh mahkamah syariah tidak semestinya benar-benar mengikut kehendak ajaran Islam. Malahan, Mahkamah Syariah di Malaysia antara mahkamah yang menetapkan berdakwah perlu mendapat lesen dari Jabatan Agama Islam terlebih dahulu, sedangkan dari sudut al-Quran, menyembunyikan sebarang pesanan tuhan (dakwah) adalah orang yang mendapat laknat dari Allah (Surah al-Baqarah (2), ayat 159).

Demi memastikan kebajikan dalam perkahwinan tercapai, desakan agar diletakkan tahap umur minima perkahwinan pada 18 tahun tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan ia boleh dianggap sebagai wajar.

Disiarkan di Oriental Daily (21 September 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/260631

Facebook Comments