Dalam sebutan Arab, arak disebut “al-Khamr”. Asal kalimah “al-Khamr” adalah perkara yang boleh menghilangkan akal.
Secara dasarnya, hampir tidak ada ilmuwan muslim yang mengatakan arak halal. Dengan demikian, ilmuwan muslim anggap haram arak dari diminum oleh muslim itu adalah perkara yang disepakati, tanpa perbezaan pendapat lagi.
Definisi arak
Dari sudut pendefinisian arak pula, berlaku perdebatan sehingga melahirkan perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan muslim.
Perbezaan tersebut adalah seperti berikut:
Pendapat pertama menyatakan, sebarang minuman yang memabukkan, tidak kira ia dari anggur, kurma, gandum, tepung dan apa jenis sekalipun, andai ia mabuk, maka ia adalah arak. Justeru, ia dihukumkan sebagai haram. Ini adalah pendapat majoriti ulama Islam dalam dunia.
Pendapat ini berpendapat sedemikian, kerana mereka melihat kepada perkataan Nabi Muhammad, “Setiap yang memabukkan adalah arak, setiap yang memabukkan adalah haram”.
Bagi pendapat kedua pula, mereka menyatakan bahawa arak adalah sebarang minuman yang memabukkan andai dari dua jenis buah sahaja, iaitu anggur dan kurma sahaja. Justeru, selain dari anggur dan kurma, ia tidak kira sebagai arak, walaupun ia memabukkan sekalipun.
Hujah mereka disandarkan kepada ayat al-Quran yang membataskan arak dari pokok kurma dan pokok anggur sahaja (Surah al-Nahli 16:67). Makanya, mereka berpendapat minuman yang memabukkan dari anggur dan kurma adalah haram diminum, walaupun si peminum tidak mabuk semasa meminumnya. Tetapi, selain dari dua buah ini, meminum itu dikira sebagai halal kecuali si peminum itu mabuk.
Dalam pada itu, terdapat pandangan moden dari kalangan ilmuwan muslim menganggap bahawa yang diharamkan dalam agama adalah minuman yang boleh memberi mabuk kepada seseorang individu. Maknanya, andai seseorang individu minum air perahan anggur, kurma, gandum, beras atau apa jenis air sekalipun, lalu dia mabuk, maka ia haram bagi individu terbabit. Namun, andai air yang sama diminum orang lain, dan tidak mabuk pada dirinya, maka ia tidak haram baginya.
Hujah mereka bersandarkan kisah bahawa Nabi saw berkata, samak kulit binatang menjadikan kulit itu halal digunakan, sepertimana halalnya cuka, walaupun ia berasal dari arak. Walau bagaimanapun, pendapat ini mendapat kritikan dari ramai ilmuwan muslim dalam dunia.
Non-muslim
Dalam sejarah umat Islam, dibuktikan bahawa pada zaman pemerintahan Saidina Omar, beliau menyuruh gabenor dalam pemeritahan beliau agar tidak menghalang non-muslim dari minum arak.
Bukan sekadar itu, malahan Saidina Omar pernah mengutip cukai arak dari non-muslim dalam pentadbiran beliau sebanyak 1/10 dari hasil mahsul arak. Lalu, hasil kutipan cukai arak itu dihimpun di suatu tabung, lalu diagihkan untuk keperluan masyarakat non-muslim.
Tindakan Saidina Omar ini bertepatan dengan prinsip al-Quran yang mengatakan, “tiada paksaan dalam agama” (Surah al-Baqarah 2:256), dan ayat al-Quran yang menyebut, “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” (Surah al-Kafirun 109:6).
Hukuman bagi muslim minum arak
Dalam Hadis, ada dinyatakan bahawa seseorang muslim yang minum arak, akan dikenakan hukuman sebatan sebanyak 40 sebatan. Namun begitu, pada era pemerintahan Saidina Omar, beliau menambah bilangan sebatan sehingga 80 kali sebatan.
Walaupun terdapat hadis yang menyatakan amalan sebatan kepada peminum arak, para ilmuwan muslim tidak sepakat dalam menyatakan keperluan untuk melakukan tersebut. Ada sebilangan ulama menyatakan, melaksanakan hukuman itu sebagai tuntutan agama, sedangkan ada sebilangan ilmuwan yang lain menyatakan, ia adalah hak mutlak yang diserahkan kepada pemerintah.
Justeru, pemerintah dibenarkan melaksanakan hukuman tersebut selagi ia mencapai kemaslahatan kepada rakyat. Makanya, pemerintah boleh dihalang dari melaksanakan hukuman tersebut, jika pelaksanaan itu boleh mendatangkan implikasi kerosakan.
Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, di sana menetapkan bahawa peminum arak wajib dijatuhkan hukuman. Ia berbeza dengan Saudi, yang menetapkan bahawa pelaksanaan hukuman kepada peminum arak atas budi bicara kerajaan, sama ada untuk dihukum ataupun dibebaskan begitu sahaja.
Jual arak
Tiada perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan muslim dalam menyatakan larangan muslim menjual arak kepada muslim yang lain. Tetapi, mereka berbeza pendapat dalam hal muslim yang menjual arak kepada non muslim.
Majoriti ilmuwan muslim anggap, muslim tidak boleh menjual arak kepada non-muslim. Hujah mereka, sebarang perkara yang diharamkan muslim lakukan sesama muslim, maka demikian juga haram dilakukan terhadap non-muslim.
Berbeza dengan sebilangan kecil ilmuwan muslim dari Baghdad. Mereka memfatwakan bahawa tidak salah bagi muslim menjual arak kepada non-muslim. Mereka berhujah, larangan dari menjual arak yang tersebut dalam hadis itu adalah dibataskan sesama muslim. Adapun muslim menjual arak kepada non-muslim, ia tidak termasuk dalam larangan hadis.
Penutup
Memang secara dasar arak adalah minuman yang diharamkan untuk muslim. Tetapi, perbezaan pendapat berlaku dalam kalangan ilmuwan muslim ketika mendefinisikan arak.
Walaupun arak diharamkan kepada muslim, tetapi muslim tidak boleh menghalang non-muslim dari minum arak. Lebih-lebih lagi, agama mereka membenarkannya.
Dalam sejarah umat Islam, menghalang non-muslim dari minum arak diamalkan dalam kerajaan Taliban, iaitu semasa mereka memerintah Afghanistan dahulu. Dan sudah pasti, semua akui bahawa pemerintahan Taliban, hakikatnya tidak mengikut pendekatan Islam yang sebenar, tetapi pengamalan Islam secara jumud.
Disiarkan di Oriental Daily (26 Oktober 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/265135
Facebook Comments