Baru-baru ini, tersebar cadangan pemansuhan hukuman mati bagi sebarang kesalahan di Malaysia. Pesalah yang disabitkan hukuman mati akan digantikan dengan hukuman lain yang munasabah, seperti penjara seumur hidup. Cadangan tersebut melahirkan perbincangan dalam kalangan rakyat. Walaupun agak ramai yang bersetuju, tetapi tidak kurang juga yang menolak cadangan terbabit.
Dalam dunia, terdapat 106 buah negara sememangnya tidak mempunyai hukuman mati bagi sebarang kesalahan, sedangkan 56 buah negara yang masih lagi mengamalkan hukuman terbabit. Dalam pada itu, ada beberapa buah negara yang asalnya wujud hukuman mati, tetapi kemudiannya memansuhkannya, seperti Portugal, Denmark, Perancis, Belanda dan sebagainya. Ada pula negara yang memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh sahaja, seperti United Kingdom pada tahun 1965 dan Kenya pada tahun 2017.
Cadangan pemansuhan hukuman mati ini, pada dasarnya selaras dengan hak asasi manusia antarabangsa, di samping terdapat banyak kes yang berlaku bahawa setelah hukuman mati dilaksanakan, didapati terdapat keterangan palsu yang sudah pasti tidak dapat dirujuk kembali kerana individu terbabit sudah mati. Dengan demikian, individu terbabit dianggap sebagai dizalimi.
Sejarah umat Islam
Dalam sejarah umat Islam, hukuman mati dilaksanakan turun temurun sehingga hari ini. Walaupun bukan semua, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak kejadian di mana hukuman dikenakan kepada orang yang tidak bersalah. Mereka dijatuhkan hukuman kerana ada campur tangan politik.
Contohnya, 200 tahun selepas wafat Nabi, terdapat seorang ulama Islam bernama Ahmad bin Nasr al-Khuzaie yang kerap mengkritik pemerintah ketika itu bernama al-Wasiq. Akhirnya, beliau dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan dengan semata-mata tuduhan kononnya beliau murtad. Demikian juga, seorang ilmuwan muslim dari Sudan bernama Syaikh Mahmud Taha yang dituduh murtad oleh kerajaan sehingga beliau dijatuhkan hukuman mati pada tahun 1985.
Bukan sekadar dua kisah ini, malahan banyak lagi kes yang melibatkan penggunaan hukuman mati oleh kerajaan tidak berada pada landasan sebenar. Dengan demikian, setelah bertukar kerajaan, kes tersebut dianggap sia-sia sahaja dirujuk kembali kerana individu terbabit telah mati.
Dari sudut Fiqh Islam
Dalam tradisi fiqh Islam, sesuatu hukum itu dilaksanakan dengan tiga tujuan: (a) mencegah penjenayah dari mengulangi jenayah; (b) melahirkan kegerunan dalam hati orang lain dari melakukan sepertimana yang dilakukan penjenayah, dan (c) menghilangkan dendam dalam jiwa keluarga mangsa.
Maka dengan demikian, dalam sudut hukuman mati, perbincangan fiqh Islam dibataskan kepada empat kesalahan: (a) murtad; (b) zina Muhsan (iaitu zina melibatkan individu yang sudah berkahwin dengan rejam sehingga mati); (c) hukuman bunuh balas (Qisas); dan (d) pemberontakan.
Pada hukuman mati bagi kesalahan murtad dan zina Muhsan, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Islam terhadap kewujudan hukuman tersebut. Ada sebilangan mereka menganggap wujud, dan sebilangan lain anggap tidak wujud. Walau bagaimanapun, pandangan yang mengatakan wujud hukuman mati bagi kesalahan murtad dan zina muhsan adalah pandangan yang majoriti.
Bagi hukuman mati bagi kesalahan murtad, ulama Islam yang menolaknya berhujah bahawa ia tidak wujud dalam al-Quran. Dalam Hadis itu pula berlaku pertikaian terhadap kesahihannya. Ditambah lagi, ia bercanggah dengan prinsip penjagaan nyawa yang ditekankan dalam Islam, dan bercanggah dengan ayat al-Quran “tiada paksaan dalam agama” (Surah al-Baqarah 2:256). Juga bercanggah dengan ayat al-Quran, “Sesiapa yang mahu, maka berimanlah. Sesiapa yang mahu, maka kufurlah” (Surah al-Kahfi 18:29).
Bagi hukuman rejam sampai bagi kesalahan zina muhsan pula, mereka menolak dengan alasan yang hampir sama, iaitu ia tidak wujud dalam al-Quran. Malahan, hadis yang menjelaskan hukuman itu pula turut dipertikaikan kesahihannya. Bahkan, ia turut bercanggah dengan prinsip jaga nyawa yang ditekankan dalam Islam dan bercanggah dengan hadis yang melarang membunuh secara sadis kepada binatang yang sudah pasti tidak boleh dilakukan terhadap manusia.
Dari sudut al-Quran pula, hukuman mati dinyatakan hanya pada dua kesalahan sahaja, iaitu hukuman Qisas, dan hukuman terhadap pemberontak. Pun begitu, hukuman tersebut tidak bersifat mandatori, tetapi terbuka ruang untuk dilepaskan dengan cara diberi pilihan atau pemaafan.
Contohnya, bagi kesalahan membunuh dengan sengaja yang dikenakan hukuman bunuh balas, atau dikenali dalam bahasa al-Quran sebagai Qisas; apabila berjaya dibuktikan bahawa pembunuh itu membunuh dengan sengaja, maka hakim tidak boleh terus menjatuhkan hukuman, sebaliknya perlu bertanya kepada ahli keluarga mangsa bunuh, apakah mereka mahu memaafkan atau tidak.
Jika tidak memaafkan, maka hukuman bunuh akan dikenakan kepada pembunuh. Walau bagaimana pun al-Quran menyarankan kepada ahli keluarga tersebut mengambil sikap memaafkan (Surah al-Baqarah 2:178–179). Apabila keluarga mangsa memaafkan, maka pembunuh terlepas dari hukuman bunuh. Namun begitu, tidak cukup sekadar itu. Untuk menghilangkan dendam dalam jiwa keluarga mangsa, maka pembunuh yang dimaafkan itu wajib membayar diyat, iaitu membayar sejumlah wang dalam kadar yang besar kepada ahli keluarga terbabit berdasarkan keputusan yang ditetapkan oleh Hakim (Surah al-Maidah 5:45).
Bagi kesalahan pemberontakan pula, dalam al-Quran tidak dinyatakan bahawa hukuman mati sebagai satu-satunya hukuman. Sebaliknya, dicadangkan empat hukuman pilihan yang terpulang kepada hakim untuk memilih mana yang dia mahu; iaitu sama ada dibunuh, disalibkan, dipotong tangan dan kaki secara bersilang atau dibuang daerah (Surah al-Maidah 5:45).
Kesimpulan
Dari perbahasan di atas, disimpulkan seperti berikut:
Pertama, dalam sejarah umat islam hukuman mati sering digunakan dalam perkara yang tidak sepatutnya, seperti kerajaan menjatuhkan hukuman mati kepada orang yang mengkritik mereka;
Kedua, dari sudut al-Quran, hukuman bunuh yang dipamerkan dalam dua perkara, iaitu Qisas (bunuh balas) dan pemberontakan. Itupun, hukuman mati itu tidak bersifat mandatori, sebaliknya diberi ruang kepada hakim untuk memilih untuk membunuh atau tidak (bagi kesalahan pemberontakan), atau diberikan ruangan kepada ahli keluarga memaafkan (bagi kesalahan qisas);
Ketiga, bagi kesalahan murtad dan zina muhsan pula, hukuman bunuh itu pernah berlaku dalam pengamalan umat Islam, tetapi kewujudan hukuman tersebut berlaku pertikaian dalam kalangan ulama Islam dengan alasan ia bercanggah dengan al-Quran dan prinsip dasar bagi Islam.
Disiarkan di Oriental Daily (2 November 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/266043
Facebook Comments