Print Friendly, PDF & Email

Apakah adil jikalau seseorang itu dihukum lantaran sesuatu perkara yang bukan pilihannya?

Semestinya tidak. Seseorang insan hanya dipertanggungjawabkan ke atas pilihannya jikalau diberi hak dan kebebasan untuk memilih. Kita tidak menghukum seseorang untuk sesuatu yang berlaku di luar kawalannya.

Misalnya, manusia gagal memilih warna kulitnya, siapa ibu bapanya, tempat dan waktu kelahirannya. Tiada seorang pun daripada kita berupaya menentukan keturunan diri kita. Maka timbul persoalan, adakah adil jikalau seseorang manusia diberi layanan yang berbeza, semata-mata kerana DNA yang gagal ditentukan dirinya?

Inilah asas yang mendasari perjuangan kesamarataan sesama manusia, menentang perkauman, atau sekurang-kurangnya, anti-diskriminasi. Tidak masuk akal jikalau seseorang manusia dilahirkan sebagai hamba kepada manusia lain. Tidak logik jikalau nilai nyawa seseorang insan lebih rendah berbanding nilai nyawa seseorang insan lain. Tidak wajar jikalau seseorang manusia diasingkan dan dihina semata-mata warna kulitnya berbeza dengan kita. Tidak patut jikalau hak asasi seseorang pelarian dinafikan, hanya kerana seseorang itu dilahirkan sebagai golongan minoriti atas bumi tertentu pada zaman tertentu.

Justeru itu, sejarah tamadun manusia menyaksikan perjuangan untuk merapatkan jurang antara kelas dalam kalangan masyarakat. Sistem perhambaan dihapuskan. Manusia berkulit hitam diiktiraf hak politiknya di Amerika Syarikat (AS), dan kemenangan kemuncaknya disambut apabila Barack Obama terpilih sebagai Presiden empat dekad kemudian – satu kebanggaan dan kemegahan yang dikongsi warga AS bersama manusia sejagat.

Sesungguhnya unsur perkauman gagal dihapuskan 100%. Diskriminasi polis berkulit putih ke atas kaum kulit hitam masih berlaku di AS dari masa ke masa. Malah di peringkat antarabangsa, perdebatan masih berlangsung untuk mencari penyelesaian dalam isu penempatan dan perlindungan pelarian. Prejudis berperang dengan nilai kemanusiaan. Realiti mengekang perkembangan idealisme. Manusia yang gagal menentukan latar belakang dirinya, bergelut saban hari untuk membentuk wajah dunia sekarang dan masa depan.

Bumi Malaysia tidak terkecuali daripada pergelutan ini. Istilah kedudukan istimewa bumiputera, Dasar Ekonomi Baru (DEB), ketuanan Melayu sudah lama terkandung dalam glosari politik Malaysia, sebelum ICERD (Perjanjian Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Ras Antarabangsa) mencetuskan pertikaian baru-baru ini.

Kesemua istilah ini tergolong sebagai isu sensitif pada satu ketika dahulu. Namun sentimennya tetap terkesan sungguhpun “isu-isu sensitif” ini dilarang untuk dibahas secara terbuka sebagaimana yang berlaku sekarang.

Ironinya di Malaysia, setiap komuniti menganggap dirinya sebagai mangsa di atas tanahair ini. Golongan bumiputera menganggap kedudukan ekonominya lemah, dan kuasa politiknya tergugat; sementara golongan non-bumiputera menganggap dirinya dianak-tirikan di atas bumi yang dipijak. Di samping itu, golongan bumiputera melihat komuniti Cina menguasai ekonomi negara, sementara komuniti Cina pula menganggap golongan bumiputera mendominasi kuasa politik di bumi Malaysia.

Masalahnya, terlalu sedikit yang sanggup mengambil sikap empati untuk menyelami ketidakpuasan dan kegusaran masing-masing. Bumiputera tidak meletakkan dirinya dalam situasi non-bumiputera, begitu juga sebaliknya. Dengan kata lain, golongan bumiputera harus mempersoalkan dirinya, apakah saya tetap menyokong ketuanan Melayu dan dasar bumiputera, jikalau saya dilahirkan sebagai non-bumiputera? Golongan non-bumiputera pula seharusnya merenung, apakah saya juga akan bersetuju untuk memansuhkan status bumiputera saya, andainya saya dilahirkan sebagai bumiputera?

Untuk saya, apapun keputusan kerajaan dalam isu ICERD, perlu mengambil kira suara majoriti rakyatnya. Kita harus mendapat restu daripada masyarakat majoriti sebelum mengorak langkah perubahan. Saya terpaksa akur seandainya masyarakat kita belum bersedia buat masa ini.

Cuma, persoalan yang lebih besar menunggu kita di masa depan. Apakah wajah Malaysia yang ingin kita bentuk pada masa depan, dari segi jiwa dan rohnya? Adakah kita jujur dalam perjuangan kita, istiqamah dalam pendirian kita? Misalnya, jikalau kita mengangguk kepada ketuanan kaum majoriti ke atas kaum minoriti, apakah kita juga akan berpegang kepada pendirian ini apabila kita menjadi minoriti di bumi lain? Jikalau kita tidak menerima non-muslim sebagai pemimpin tertinggi di tanah majoriti muslim, apakah kita layak bermegah apabila muslim terpilih sebagai pemimpin tertinggi di tanah majoriti non-muslim?

Persoalan-persoalan ini wajar kita renungi, tatkala kita beria-ia untuk menjadi teladan di dunia. Jikalau kita mahu menampilkan diri sebagai model yang berjaya di mata dunia, maka kita perlu berpegang kepada nilai prinsip yang sama, dan bukannya bersikap hiprokrit dengan dua kayu ukur yang berbeza. Hanya apabila kita mengangkat nilai sejagat, barulah dunia mengkagumi dan akur kepada kepimpinan kita.

Saya tidak pasti bilakah detik saat ini disambut. Namun saya menanam harapan, agar satu hari nanti, tiada golongan etnik yang menganggap dirinya sebagai mangsa di atas tanahair yang tercinta ini.

Disiarkan di Amanah edisi 127, 18-24 November 2018.

Facebook Comments