Baru-baru ini, Dr.Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji semula kurikulum sekolah bagi memperkasakan kembali sistem pendidikan. Dalam kenyataan itu, Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata bahawa sekolah kebangsaan di Malaysia kini sudah berubah seperti sekolah agama, kerana terlalu memfokuskan pembelajaran agama Islam.
Kenyataan Mahathir itu mengundang respon daripada Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru). Tidak cukup dengan menyelar kenyataan Mahathir, Presiden I-Guru Azizee Hasan menambah bahawa pendidikan Islam yang hanya tiga jam seminggu tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid.
Apabila Presiden I-Guru membangkitkan soal pembinaan keperibadian dan jati diri murid, yang dikaitkan dengan pembelajaran agama, ia mengingatkan saya tentang pengalaman belajar di sekolah agama sejak kecil lagi.
Di peringkat rendah, saya mendapat pembelajaran agama Islam di KAFA (kelas Al-Quran dan Fardu Ain) di Selangor. Di peringkat menengah, saya belajar di sekolah Tahfiz Al-Quran di Pasir Mas, Kelantan dengan memfokuskan hafalan Al-Quran sahaja. Selepas itu, saya belajar di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas dengan memfokuskan pengajian dalam pelbagai bidang yang tertumpu pada ilmu Islam sahaja.
Sebelum mendapat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Mesir, saya mendapat pendidikan di Universiti Farooqiyyah, Karachi, Pakistan. Setelah berjaya mendapat sijil Sarjana Sastera dalam kajian Maqasid Syariah di Universiti Malaysia Kelantan, saya meneruskan pengajian saya peringkat Phd dalam kajian Hadis yang memfokuskan isu pengganasan di Universiti yang sama.
Berdasarkan pengalaman pendidikan agama sejak kecil — dalam dan luar negara, sedikit sebanyak menyebabkan saya agak kurang bersetuju dengan kenyataan daripada Presiden I-Guru tersebut. Lebih-lebih lagi, apa yang dibangkitkan itu dilihat dari sudut pembinaan keperibadian dan jati diri.
Negara muslim
Mesir dan Pakistan boleh dikatakan negara yang bilangan penduduk muslimnya tinggi. Pakistan - sebagai contoh - boleh dikatakan negara yang hampir 99% rakyatnya beragama Islam. Di sana, terdapat banyak universiti Islam, sama ada dibiayai oleh kerajaan ataupun persendirian.
Dari kalangan rakyat Malaysia yang mahu menjadi ulama, antara negara yang boleh dipilih untuk mendalami ilmu Islam adalah Pakistan. Antara tokoh terkemuka Malaysia yang mendapat pendidikan di sana adalah Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz, bekas Menteri Besar Kelantan.
Masyarakat Pakistan amat kuat dalam beribadah. Andai masuk waktu solat, hampir semua masjid mereka makmur. Bukan sekadar pada Jumaat, sepertimana yang dapat dilihat di Malaysia, malahan masjid mereka sentiasa penuh dengan kehadiran penganut Islam menunaikan solat pada setiap waktu solat.
Di sana, tahap keilmuan ulama mereka amat mengkagumkan. Mereka mempunyai kemampuan dalam menghafal Al-Quran dan Hadis, malahan tidak kurang dari kalangan mereka yang menghafal kitab-kitab Islam.
Walaupun mereka rajin menunaikan solat berjemaah, tetapi semasa mereka mahu masuk ke dalam masjid, pasti mereka akan membawa selipar atau kasut mereka bersama. Makanya, semasa menunaikan solat berjemaah, walaupun berada dalam saf (barisan orang menunaikan solat), pasti selipar atau kasut berada di sisi mereka.
Mereka perlu melakukan sedemikian. Jika tidak, sudah menjadi kebiasaan, didapati selipar atau kasut hilang apabila mahu pulang nanti.
Dari keadaan ini, saya mendapati bahawa memang masyarakat mereka hebat dari sudut menunaikan ibadat, tetapi itu tidak semestinya berjaya mengubah “attitude” bangsa mereka menjadi baik.
Itu belum lagi dilihat dari sudut kebersihan. Walaupun kebersihan salah satu perkara besar dalam tuntutan Islam, tetapi dinding jalan awam berbau hancing, kerana mereka tanpa malu kencing di tempat awam. Pemandangan yang kotor, kerana budaya makan sirih, menyebabkan mereka boleh meludah sesuka hati.
“Attitude” sebegini tidak jauh beza dengan masyarakat Arab di Mesir. Walaupun Universiti al-Azhar adalah universiti Islam tertua di dunia, malah melahirkan ribuan ulama Islam dalam dunia, tetapi bab kebersihan mereka agak ketinggalan.
Jepun
Dua bulan lalu, terdapat penganjuran forum di UKM yang membincangkan tajuk Melayu. Saya hadir. Panel-panel jemputan terdiri dari kalangan pensyarah universiti. Ada dari kalangan mereka bekas naib canselor universiti awam di Malaysia.
Dalam sesi dialog, Prof Dr.Kamarudin yang juga bekas ahli Majlis Profesor Negara menyebut bahawa dalam masyarakat Jepun, di peringkat awal lagi, anak-anak mereka sudah dididik agar mengutamakan kepentingan menjaga kebersihan. Dikatakan, di peringkat “tadika”, anak-anak Jepun ini disuruh oleh guru mereka untuk membersihkan lantai, tandas, tempat makan dan sebagainya. Dengan sebab itu, sekolah mereka bersih, walaupun tanpa pekerja yang dibayar gaji dalam menjaga kebersihan sekolah.
Kesan didikan itu, kebersihan menjadi suatu yang sebati dalam diri masyarakat di sana. Dengan sebab itu, di tandas-tandas mereka, yang ada sebilangan muslim di Malaysia berkata, mahu menunaikan solat pun rasa tergamak lagi.
Keadaan ini sudah pasti berbeza dengan apa yang saya lihat semasa pengajian saya di Pakistan dan Mesir. Dalam masyarakat mereka, kebersihan bukan didikan awal kanak-kanak. Mereka lebih menekankan pelajaran seperti kepentingan hafal Al-Quran, hafal Hadis, belajar fiqh, aqidah, syariah dan sebagainya.
Dengan sebab tu, kebersihan tidak dianggap penting, walaupun mereka kuat beribadat. Kesannya, kita dapati di sana kebersihan amat tercorot, walaupun di masjid-masjid yang mereka beribadat sekalipun.
Pendidikan dan Pelajaran
Dalam beberapa tahun sebelum ini, saya pernah membaca kupasan berkenaan perbezaan antara pendidikan dan pelajaran. Secara mudah, pelajaran dimaksudkan sebagai pemberian ilmu-ilmu, sedangkan pendidikan adalah asuhan langsung.
Di Pakistan dan Mesir, kelihatan asuhan atau pendidikan ini agak kurang ditekankan. Yang lebih diketengahkan adalah pelajaran. Mereka mementingkan menghafal dan memahami apa yang diajar, walaupun kadangkala guru yang mengajar pun tidak mengamalkan apa yang diajarnya itu.
Makanya, mereka boleh mengungkapkan “kebersihan sebahagian dari iman” yang diambil dari Hadis, tetapi kebersihan itu mereka sendiri tidak amalkan.
Ini berbeza dengan Jepun. Walaupun mereka tidak ada ungkapan Hadis berkenaan kebersihan, mereka tetap menjaga kebersihan. Ini kerana, soal kebersihan sudah sebati dalam kehidupan mereka. Semua ini berpunca daripada adanya keseimbangan, iaitu di peringkat awal ada pendidikan, dan selepas itu diseiringkan dengan pelajaran.
Penutup
Dari pengalaman dan pemerhatian, saya berpendapat soal memanjangkan masa untuk pengajian agama tidak akan mampu membina keperibadian dan jati diri manusia. Saya berpendapat, pembinaan itu berlaku tidak semestinya melalui pembelajaran agama, tetapi boleh berlaku dengan ditekankan pendidikan sejak dari kecil lagi.
Pendidikan yang diberi tidak semestinya melalui penambahan pembelajaran agama. Ia boleh berlaku melalui sekolah kebangsaan, terutamanya mendidik manusia untuk memiliki “attitude” dan sikap yang baik. Pendidikan sebegini selaras dengan apa yang telah diajar dalam agama Islam.
Facebook Comments