Baru-baru ini, heboh di media sosial berkenaan sebuah bangunan di Pulau Pinang yang seni susunan lampunya berbentuk simbol salib. Kehebohan itu sehingga Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim membuat satu kenyataan – meminta agar ia diselesaikan dengan baik.
Dalam wacana media sosial, ramai dari kalangan muslim membangkitkan hal ini dalam emosi kebimbangan. Tidak kurang juga dalam emosi prejudis dan kebencian. Berbagai-bagai dakwaan timbul. Kadangkala, dakwaan tersebut tidak berasas sekali.
Tidak lama kemudian, pihak pemaju, Mulia Development Sdn Bhd menjelaskan bahawa simbol yang dibuat bukan salib, tetapi menunjukkan abjad Cina (王) bermaksud wang (raja) atau ong (nasib baik). Cuma, kebetulan kelihatan seperti salib.
Dengan tercetusnya isu ini, kita akan mendapati bahawa ia bukan soal maksud sebenar simbol itu, sama ada maksudnya “raja” atau “ong”. Di sebalik isu ini terdapat maksud yang tersirat – prejudis sehingga melahirkan sentimen agama yang tidak munasabah.
Murtad?
Sebilangan muslim mendakwa, kononnya simbol salib itu sebagai permulaan bagi memurtadkan orang Islam (orang Islam keluar dari Islam).
Jika difikirkan – pertama, andai benar dakwaan tersebut, secara tidak langsung sudah menggambarkan seakan-akan Islam adalah agama yang amat rapuh – umatnya boleh rosak iman dengan hanya faktor simbol agama lain. Dengan ini, seakan-akan orang Islam tersebut sudah menganggap agama selain Islam sebagai agama yang kuat sehinggakan dengan semata-mata simbol sahaja, ia sudah cukup untuk merosakkan kepercayaan muslim terhadap agama Islam.
Kedua, terdapat sebuah patung besar di Batu Caves – Dewa Murugan yang menjadi kebanggaan masyarakat Hindu di Malaysia. Terdapat ramai muslim di kawasan itu, dan muslim yang berulang alik dari Sungai Buloh ke Gombak, pasti akan nampak patung besar tersebut. Walaupun patung itu sudah wujud di situ beberapa ketika yang lama, tidak terdapat satu pun fakta bahawa ada kalangan muslim yang telah murtad dari agama Islam.
Ketiga, Mesir adalah sebuah negara yang Islam masuk pada era sahabat Nabi (Amru bin al-As) – tidak sampai sepuluh tahun selepas kewafatan Nabi. Sebelum itu, Mesir adalah sebuah negara yang semua penduduknya tidak beragama Islam. Di sana, terdapat simbol-simbol agama Mesir purba, seperti patung ramsis dan piramid. Selepas kemasukan Islam, patung-patung itu terpelihara sehingga hari ini. Jika ia benar-benar boleh merosakkan keimanan muslim, sudah pasti ia sudah disuruh agar diruntuhkan.
Dari hujah-hujah ini, jelas kepercayaan bahawa keimanan muslim tergugat hanya dengan melihat simbol agama lain adalah dakwaan yang bukan sekadar tidak berasas, malah sesuatu kedangkalan. Kepercayaan sebegini, sedikit sebanyak memberi imej buruk pada sudut pandang terhadap agama Islam.
Sentimen
Sentimen dan bukan rasional sudah menjadi kebiasaan dalam pertembungan parti politik di Malaysia. Makanya, perkauman dan agama menjadi antara permainan politik di Malaysia sejak turun temurun.
Dengan itu, tidak hairan terdapat beberapa NGO dan ahli politik tertentu menjadikan agama dan perkauman jantung organisasi mereka. Ia dimainkan sedemikian rupa sebelum PRU lalu.
Sejurus keputusan PRU diumumkan, dijangkakan sentimen itu sudah berakhir. Rupa-rupanya, bukan sekadar tidak berakhir, malah sentimen dua perkara ini semakin hari semakin menjadi-jadi.
Kesannya, dogma ketakutan pada sesuatu yang tidak munasabah masuk dalam pemikiran orang Melayu-Islam. Apabila melihat sesuatu yang melibatkan agama selain Islam, mereka rasa kemelayuan mereka tergugat dan keislaman mereka meruntuh.
Dogma ini semakin menjadi penyakit, apabila ia ditanam oleh para agamawan muslim. Dalam syarahan dan ceramah agama di masjid dan surau, agamawan ini membangkitkan prejudis terhadap bangsa selain Melayu – prejudis terhadap penganut agama selain muslim. Dengan sebab itu, perkara yang tidak masuk akal dan tidak munasabah pun menjadi isu nasional.
Prejudis
Al-Imam al-Syatibi pernah berkata bahawa agama Islam (syariah) ini diturunkan untuk memastikan manusia menjadi baik. Kenyataan ulama dari Andalusia ini menegaskan bahawa sebarang kehancuran akan ditolak oleh agama Islam, waima dibacakan seribu satu ayat al-Quran dan Hadis.
Imam al-Syatibi yang turut menjadi rujukan ulama dunia kini mengatakan sebegitu kerana melihat banyak kejadian berlaku di beberapa buah negara yang majoriti penduduknya muslim – pemerintah mereka melakukan kezaliman, tetapi dihalalkan dengan diberikan jenama Islam. Rakyat jadi takut untuk menentang kezaliman pemerintah, kerana dianggap menentang Islam.
Walaupun kenyataan tersebut sudah hampir 700 tahun diungkap, tetapi ia masih relevan untuk direnung. Apatah lagi, banyak ungkapan yang diberi jenama Islam, tetapi implikasi terhadap kandungan ungkapan tersebut adalah mewujudkan hubungan tidak baik sesama warganegara.
Prejudis yang merupakan tunas bagi permusuhan antara kaum, semakin hari semakin bercambah di Malaysia. Ia semakin subur, apabila jenama Islam diperalatkan. Amalan ini hakikatnya bercanggah dengan asal tujuan penurunan agama Islam.
Penutup
Tujuan penurunan Islam adalah untuk memastikan semua manusia menjadi baik. Justeru itu, Islam menolak sebarang amalan yang boleh melahirkan permusuhan.
Simbol agama lain – salib – yang menjadi isu di Malaysia, adalah manifestasi dari permainan sentimen perkauman dan agama yang menjadi nadi bagi permainan politik di Malaysia. Ia wajar dielak, dan setiap warganegara Malaysia – tidak kira apa bangsa dan anutan agamanya - wajib berusaha ke arah politik secara rasional merentasi kaum dan anutan agama.
Malaysia bukan hanya milik orang Melayu, tetapi juga dimiliki semua bangsa – Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain. Ia bukan milik muslim sahaja, malahan semua warganegara – tidak kira apa anutan agamanya — semua pihak perlu membangunkan negara ini demi kesejahteraaan bersama.
*Disiarkan di Oriental Daily (18 Januari 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/275832
Facebook Comments