Print Friendly, PDF & Email

Ketika berkempen untuk pilihanraya kecil Parlimen Cameron Highlands, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan agar pengundi muslim mengutamakan calon muslim berbanding calon non-muslim ketika mengundi. Menurut Tuan Ibrahim, saranan ini dibuat dengan merujuk kepada al-Quran.

Sudah tentu kenyataan sedemikian akan mencetuskan persoalan — terutama untuk non-muslim. Ketika bekerjasama di bawah bumbung Pakatan Rakyat dahulu, PAS pernah meminta ahli-ahlinya mengundi calon DAP, walaupun mereka tidak beragama Islam. Ulama-ulama PAS juga “memfatwakan” bahawa tiada larangan dalam al-Quran untuk mengangkat non-muslim sebagai pemimpin, selagi mereka adil.

“Fatwa” berubah-ubah mengikut kehendak sesuatu parti, bukan sekadar tidak baik, malah boleh melahirkan imej buruk pada agama Islam. Apatah lagi, apabila fatwa itu disertakan dakwaan kononnya ia ajaran kitab suci muslim - al-Quran.
Pemimpin

Dalam tempoh 600 tahun selepas kewafatan Rasulullah, seorang ulama Islam bernama Ibn Taimiyah mengungkapkan sedemikian, “Allah tolong negara yang adil, walau ia diperintah non-muslim sekalipun. Allah tidak akan tolong negara yang zalim, walau diperintah oleh muslim sekalipun”.

Kenyataan ini, jikalau direnung, didapati mempunyai kebenarannya sendiri:

Pertama:
Soal adil dan zalim, ia tidak ada kaitan dengan status agama seseorang. Dalam dunia pun, memang terdapat muslim yang kuat beribadat, tetapi zalim terhadap anak dan isterinya. Demikian juga dari sudut pemerintahan yang dilihat dari sejarah umat muslim dalam dunia.

Tiada sesiapapun boleh menafikan bahawa terdapat pemimpin dari kalangan non-muslim yang adil. Dari sudut Hadis pun, Nabi saw pernah memuji keadilan Raja Habsyah yang ketika itu beragama kristian. Malah, apabila sebilangan sahabat mendapat penindasan daripada orang-orang besar Quraish di Mekah, lantas Nabi saw mengarahkan mereka agar berhijrah dan mendapat suaka politik dari Raja Habsyah tersebut.

Kedua:
Status anutan agama seseorang, adalah urusan dirinya dengan Tuhannya. Namun, soal adil dan zalim, itu melibatkan hubungan sesama manusia. Dengan sebab itu, rakyat muslim dan non-muslim pasti menderita di bawah pemimpin zalim. Berbeza dengan pemimpin adil, sudah pasti semua pihak akan mendapat kebaikan daripada pentadbiran tersebut.

Ketiga:
Dalam Al-Quran - Surah Hud 11 : 117 - Allah menyatakan bahawa Dia tidak akan membinasakan sesebuah negara atau negeri, andai penghuninya terdiri dari kalangan non-muslim - sepertimana kupasan Imam al-Razi - saling melakukan kebaikan, keadilan, kebajikan dan kemakmuran (Arab: muslihun).

Pemahaman yang salah

Amat ramai muslim - khususnya di Malaysia - yang sering mengungkapkan bahawa Islam melarang untuk melantik non-muslim sebagai pemimpin - kononnya Islam tidak membenarkan umatnya memberi undi kepada calon non-muslim dalam pilihanraya.

Hujah yang kerap digunakan adalah ayat Al-Quran yang berbunyi: “Tidak boleh orang mukmin (muslim yang beriman) mengambil orang kafir sebagai wali selain dari orang beriman.” (Surah Ali-Imran 3 : 28)

Mereka menafsirkan kalimah “kafir” (kalimah Arab) sebagai non-muslim. Dengan sebab itu, ayat ini dijadikan sandaran utama untuk mereka berhujah bahawa dilarang mengangkat non-muslim sebagai pemimpin. Dengan kata lain, undi tidak boleh diberikan kepada calon non-muslim dalam pilihan raya.

Hakikatnya, terdapat beberapa kekeliruan dalam terjemahan “kafir” sebagai non-muslim dalam ayat ini. Penjelasannya adalah seperti berikut:

Pertama:
Dalam Al-Quran, ada tiga ayat yang Allah nyatakan bahawa pemimpin perlu dilantik dari kalangan yang mempunyai dua ciri, beramanah dan berkemampuan.

Ayat pertama - Surah Yusuf 12 : 55 - Kisah Nabi Yusuf meminta jawatan kementerian kewangan dari Raja Mesir. Dalam ayat itu menyebut, Nabi Yusuf mengaku bahawa dia mempunyai sifat Hafiz (sifat amanah) dan ‘Alim (kemampuan mengurus perbendaharaan) dalam melayakkan dirinya untuk memegang jawatan tersebut.

Ayat kedua pula - Surah al-Baqarah 2 : 247 – Kisah pelantikan Talut untuk mengetuai bala tentera ketika berhadapan dengan tentera musuh yang dikepalai Jalut. Dinyatakan dalam konteks peperangan, Talut dilantik kerana dia mempunyai ilmu peperangan yang luas dan badannya yang sasa (sesuai untuk menggerunkan musuh).

Ayat ketiga pula – Surah al-Qasas 28 : 26 – kisah anak gadis Nabi Syuaib meminta agar Nabi Musa diambil sebagai orang bekerja mereka kerana Nabi Musa memiliki sifat al-Qawi (berkemampuan) dan al-Amin (beramanah). Andainya pengambilan orang untuk bekerja dalam urusan kekeluargaan pun sudah disyaratkan berkemampuan dan amanah, sudah pasti menjadi pemimpin yang bekerja untuk rakyat, lebih-lebih lagi disyaratkan dengan syarat sedemikian.

Kedua:
Berbalik pada ayat – Surah Ali-Imran 3 : 28 - yang dijadikan hujah untuk menafikan kelayakan non- muslim sebagai pemimpin. Dalam al-Quran, kalimah “kafir” tidak semestinya merujuk kepada non-muslim. Terdapat ayat al-Quran yang kalimah kafir itu merujuk kepada muslim yang tidak menunaikan ibadat (Surah Ali-Imran 3 : 97), muslim yang melakukan kezaliman (Surah al-Fath 48 : 29) dan banyak lagi.

Justeru itu, ketika menafsirkan “kafir” dalam Surah Ali-Imran ayat 28, Dr.Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa ia bukan larangan terhadap non-muslim untuk menjadi pemimpin, tetapi melarang sesiapa sahaja yang menyerang agama Islam dan berusaha mengeluarkan muslim yang berwarganegara dari negara. Menurut al-Qaradawi lagi, hal ini merujuk kepada ayat al-Quran yang lain – Surah al-Mumtahanah (60), ayat 8-9.

Penutup

Dari huraian ini, dapat disimpulkan seperti berikut:
Pertama, tujuan politik dalam Islam adalah mencapai kebaikan untuk rakyat jelata. Justeru, sebarang pelantikan pemerintah hendaklah berorientasikan matlamat tersebut, tidak kira apa anutan agamanya, dan tidak kira apa bangsa dan etnik dia.

Kedua, dalam mencapai tujuan itu, al-Quran menyatakan pemimpin perlu ada dua sifat, iaitu berkemampuan dan beramanah.

Ketiga, banyak perbezaan berlaku dalam kalangan muslim berkenaan pelantikan non-muslim sebagai pemimpin – hakikatnya berfaktorkan kepentingan politik, bukan penafsiran teks wahyu yang mengikut tatacara pemahaman yang sebenar.

*Disiarkan di Oriental Daily (25 Januari 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/276713

Facebook Comments