Print Friendly, PDF & Email

Pada umumnya, agama mengajak umat manusia kepada kebaikan. Bercakap benar, berlaku adil, berpegang kepada amanah dan sebagainya. Ia lebih sebagai konsep, prinsip, atau matlamat tertinggi untuk dicapai. Berbeza dengan falsafah atau ideologi seperti kapitalisme, sosialisme dan sebagainya, penganut mengangkat martabat agama lebih tinggi kerana mempercayai bahawa ia lahir dari wahyu Tuhan, dengan kesucian setinggi-tingginya.

Sementara itu, politik adalah seni untuk memungkinkan kemustahilan. Ia sarat dengan kompromi, malah tidak terelak daripada tipu helah sepanjang persaingan antara satu sama lain. Ia lebih kepada kaedah, strategi atau sebagai batu lonjakan untuk menegakkan ideologi atau mencapai matlamat yang disasarkan.

Dengan kata lain, ia memperlihatkan dua tahap yang berbeza. Agama menjadi pedoman hidup, dan politik adalah pembinaan sistem untuk menguruskan kehidupan manusia – kerana manusia dilahirkan berbeza, dan akan mendukung cita-cita yang berbeza dalam hidup mereka. Maka bermulalah persaingan antara satu sama lain, sama ada untuk memperluaskan pengaruh, mendominasi dunia, atau mempertahankan idealisme yang diperjuangkan masing-masing.

Sudah tentu ia menuntut kebijaksanaan percaturan strategi dalam dunia politik untuk mengekalkan kelangsungan hidup seseorang politikus mahupun sesebuah parti politik. Dalam dunia politik yang sarat dengan tipu helah lantaran kelicikan musuh untuk memperdayakan, agak mustahil untuk seseorang politikus mahupun parti politik bertahan andainya kekal suci dan jujur.

Jikalau kita berperang seperti zaman ratusan tahun dahulu, sudah tentu kita mengambil kesempatan ke atas kelemahan musuh; atau menggunakan apapun cara untuk mencapai kemenangan. Begitu juga apabila kita berpolitik pada zaman sekarang. Untuk menjaga kerahsiaan strategi, kadang-kala politikus terpaksa berbohong, atau setidak-tidaknya menyelindungi fakta, demi menyelamatkan diri dari serangan musuh.

Kesemua ini disedari pemain dalam medan politik, namun enggan diakui. Politikus berdepan dengan hakikat bahawa apabila mereka berpolitik atas nama agama, mereka akan mengheret nama agama jikalau mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama. Imej agamanya akan terpalit dan tercalar, lantaran tingkahlaku dan kenyataan yang ditampilkan.

Mengambil contoh pembohongan Nik Abduh dalam kes audio tentang pengakuannya menerima wang daripada UMNO, rakan seperjuangannya dalam PAS terpaksa mempertahankan tindak-tanduknya, lebih-lebih lagi dengan nama Islam. Bagaimana ia tidak mencungkil kesangsian non-muslim terhadap Islam, apabila pembohongan itu cuba dihalalkan dengan nama agama?

Itupun belum lagi apabila pemimpin PAS cuba memetik ayat al-Quran untuk menyarankan pengundi muslim agar mengundi calon muslim dalam pilihan raya. Persoalannya bukan sama ada pemimpin PAS boleh berbuat demikian atau tidak, tetapi ia menampilkan hipokrit pemimpin PAS, apabila mereka menghalalkan undi sokongan terhadap calon non-muslim, juga dengan alasan agama — ketika PAS bekerjasama dengan DAP di bawah bumbung Pakatan Rakyat. Bukankah ia terang-terang memperlihatkan bagaimana politikus mempergunakan nama agama, mengikut kesesuaian kepentingan dirinya?

Pertikaian sedemikian sering ditenggelamkan dengan retorik “perjuangan kami untuk menegakkan Islam”. Dengan slogan sedemikian, maka mereka menghalalkan tindakan politik mereka atas nama agama. Persoalannya, bagaimana kita tahu perjuangannya untuk Islam, kerana habuan kemenangannya, misalnya AP (lesen import) yang diperuntukkan kepada ahli parlimen, dimanfaatkan anaknya untuk membeli kereta mewah Porsche Cayman, yang tiada kena-mengena dengan Islam?

Kesemua ini mengundang pertikaian terhadap pemimpin yang mendakwa dirinya pejuang Islam, lantas terus mencalar imej Islam. Tidak sedikitpun mereka berasa malu, malah terus memainkan sentimen untuk mengerah sokongan atas nama agama. Kritikan terhadap tindak tanduk pemimpin Islam, cuba dibisukan dengan menyamakannya dengan kritikan terhadap Islam. Akhirnya pemimpin Islam sedemikianlah yang mengheret nama Islam bersama mereka.

Terpulanglah kepada masyarakat muslim untuk menilai semula fenomena ini. Saya teringin untuk memetik contoh pertikaian sijil palsu Timbalan Menteri dari Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM), Marzuki Yahaya baru-baru ini sebagai perbandingan. Rata-rata faham bahawa ia adalah tindakan peribadi, dan saya tidak mendengar mana-mana suara untuk mengaitkannya dengan Islam. Ini kerana Marzuki Yahaya berpolitik bukan atas nama Islam. Tiada orang akan menyindir “Islam tipu sijil” dalam isu ini, kerana semua menyedari bahawa itu bukan kesnya.

Masanya tiba untuk kita menilai semula politik atas nama Islam, dengan mengambil kira sisi kebaikan dan keburukannya. Agama itu sempurna, tetapi manusia tidak. Apakah kita sanggup menodai agama yang sempurna, dengan tindak-tanduk manusia yang serba kurang?

*Disiarkan dalam akhbar Amanah.

Facebook Comments