Oleh: Wan Ji bin Wan Hussin
Baru-baru ini, rektor Universiti al-Azhar, Dr.Ahmad Taib membuat satu kenyataan berkenaan dengan poligami. Dalam kenyataan itu, beliau menyatakan bahawa dalam banyak kejadian yang melibatkan poligami, kezaliman lebih banyak terjadi berbanding keadilan. Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kaum ibu dan anak-anak banyak menjadi mangsa.
Walaupun kenyataan beliau dikecam sebilangan pihak dari kalangan muslim, tetapi apa yang dibangkitkan beliau itu ada benarnya. Apatah lagi, ramai yang salah faham terhadap kenyataan beliau – kononnya beliau menafikan poligami, walhal beliau tidak menafikan wujudnya amalan berpoligami dari sudut Islam. Apa yang dibangkitkan beliau adalah, dari sudut kebiasaannya amalan poligami dilakukan daripada kaum lelaki yang tidak bertanggungjawab yang memberi implikasi kurang baik kepada para ibu dan anak.
Lebih-lebih lagi, falsafah keizinan berpoligami sudah semakin hari semakin diabaikan oleh ramai pengamal poligami. Amalan poligami kini dilaksanakan kerana “suka-suka”, kerana faktor seks, sehingga mengabaikan tanggungjawab yang sepatutnya ditunaikan.
Sejarah Poligami
Poligami bukan berlaku dalam perbincangan Islam sahaja, malah berlaku dalam tradisi manusia sejak turun temurun. Dari sudut sejarah, amalan poligami bukan sekadar berlaku dalam kalangan umat Nabi Muhammad. Malah ia sudah berlaku dalam kalangan nabi-nabi terdahulu. Bukan sekadar dalam Taurat, malah dalam Hadis, pernah ditampilkan bahawa isteri Nabi Sulaiman seramai 99 hingga 100 orang[1].
عن ابي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ: لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى مِائَةِ امْرَأَةٍ، أَوْ تِسْعٍ وَتِسْعِينَ كُلُّهُنَّ
Malah, sepertimana yang diketahui umum bahawa Nabi Ibrahim mempunyai dua orang isteri. Isteri pertama bernama Sarah binti Haran yang dengannya dapat anak bernama Ishaq (Nabi), dan isteri kedua bernama Hajar yang dengannya dapat anak bernama Ismail (Nabi). Malah, dalam beberapa kisah Israiliyyat menyatakan, Ibrahim mempunyai dua isteri lagi, iaitu Qantura binti Yaqtan dan Hajjun binti Amin. Dalam riwayat Israiliyyat, dinyatakan bahawa Nabi Ya’qub juga berpoligami – seramai 4 orang isteri, iaitu Layya, Rahil, Balha dan Zulfa[2].
Bukan tradisi para Nabi sahaja, malah poligami turut diamalkan oleh bangsa-bangsa di seluruh dunia – Yunani, Cina, India, Babilon, Syria, Mesir dan sebagainya. Sebelum kedatangan Nabi, masyarakat Arab yang tidak beragama Islam pun sudah berpoligami.
Amalan poligami dalam masyarakat Arab berlaku kerana masyarakat Arab sejak turun temurun terkenal dengan amalan berperang. Dengan peperangan, ada sebilangan lelaki yang meninggal dunia dalam perang, meninggalkan anak dan isteri mereka menjanda. Makanya, bagi lelaki yang ada kemampuan kewangan yang kukuh, dan tubuh badan yang sihat, mereka berjumpa dengan para janda ini untuk dijadikan isteri secara berpoligami[3].
Ini ditambah lagi dengan masyarakat Arab dahulu adalah masyarakat yang berkabilah. Mereka menjadi kuat dengan mempunyai keturunan yang besar dan anak yang ramai. Dengan sebab itu, bagi masyarakat Arab, monogami hampir tidak dikenal dan tidak terbiasa. Pada mereka, poligami adalah penting untuk membina kekuatan kabilah. Pada mereka, wanita tidak lebih sekadar “kilang” untuk membina kekuatan kabilah mereka – wanita dipandang remeh[4].
Ekoran itu, terdapat beberapa orang sahabat Nabi. Ghailan bin Salamah misalnya, mempunyai 10 orang isteri sebelum memeluk Islam. Apabila dia memeluk Islam, Nabi saw menyuruh dia memilih 4 sahaja isteri dari 10 orang tersebut[5]; Wahab al-Asadi yang mempunyai 8 orang isteri, yang diminta memilih 4 sahaja[6]; begitu juga Qias bin al-Haris[7] dan ramai lagi.
Sikap al-Quran terhadap poligami
Sebelum kedatangan Islam, amalan poligami tidak lebih sekadar keseronokan seks dan melahirkan zuriat. Tetapi, faktor tanggungjawab terhadap sosial masyarakat terabai. Kesannya, wanita dilihat seakan-akan barang dagangan.
Memandangkan keadaan ini berlaku, tidak hairan terdapat sebilangan masyarakat Arab menjadikan poligami sebagai peluang mengaut keuntungan dari kesusahan pihak lain. Isteri Nabi saw, Aisyah bercerita bahawa kanak-kanak perempuan yang kematian ibu dan ayah (anak yatim) yang harta mereka dijaga oleh individu tertentu – dia mahu ambil harta anak yatim terbabit, di samping terpesona dengan kecantikannya, maka dia menikahi anak yatim terbabit. Untuk mengelak dari individu terbabit melakukan tindakan sebegitu, maka al-Quran menghalang dia menikahi anak yatim terbabit, tetapi menasihatkannya untuk berkahwin dengan perempuan yang lain.
Untuk mengelak dari kahwini anak yatim tersebut, makanya untuk menarik minat dia berkahwin terhadap perempuan lain, dicadangkan kepadanya berkahwin itu secara poligami. Itupun, perlu diikat dengan syarat yang ketat, iaitu berlaku adil terhadap perempuan yang mahu dinikahi tersebut[8].
وِيَ عَنْ عُرْوَةَ أَنَّهُ قَالَ: قُلْتُ لِعَائِشَةَ: مَا مَعْنَى قَوْلِ اللَّهِ: وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتامى فَقَالَتْ: يَا ابْنَ أُخْتِي هِيَ الْيَتِيمَةُ تَكُونُ فِي حِجْرِ وَلِيِّهَا فَيَرْغَبُ فِي مَالِهَا وَجَمَالِهَا، إِلَّا أَنَّهُ يُرِيدُ أَنْ يَنْكِحَهَا بِأَدْنَى مِنْ صَدَاقِهَا، ثُمَّ إِذَا تَزَوَّجَ بِهَا عَامَلَهَا مُعَامَلَةً رَدِيئَةً لِعِلْمِهِ بِأَنَّهُ لَيْسَ لَهَا مَنْ يَذُبُّ عَنْهَا وَيَدْفَعُ شَرَّ ذَلِكَ الزَّوْجِ عَنْهَا، فَقَالَ تَعَالَى: وَإِنْ خِفْتُمْ أَنْ تَظْلِمُوا الْيَتَامَى عِنْدَ نِكَاحِهِنَّ فَانْكِحُوا مِنْ غَيْرِهِنَّ مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
Dari sini, kita akan dapati bahawa al-Quran telah mengubah perspektif masyarakat Arab ketika itu terhadap poligami – dari menjadikan sebagai peluang berseronok dan mengambil kesempatan terhadap anak yatim kepada menyelamatkan anak yatim itu dari diperalatkan. Ia sebagai mekanisme untuk mengelakkan harta anak yatim diperalatkan sesuka hati. Makanya, mereka dibenarkan berpoligami dengan wanita lain. Itu pun dengan disyaratkan adil, bukan sesuka hati.
Dalam penafsiran yang lain pula – sepertimana kita tahu bahawa dalam Islam, seseorang itu sudah dikira sebagai anak yatim dengan kematian bapa sahaja. Justeru, ada beberapa kes bahawa seseorang anak itu kematian bapa, menyebabkan ibunya menjadi janda. Dengan keadaan wanita pada zaman tersebut yang tidak mempunyai kerjaya, dan hidup dengan bergantung kepada suami, sudah pasti dengan kematian suami (bapa kepada si anak) akan memberi kesan pada kewangan keluarga – dalam membesarkan anak-anak.
Memandangkan para ibu tunggal ini sukar diterima oleh anak-anak teruna, makanya al-Quran menyatakan keizinan kepada kaum lelaki yang sudah beristeri untuk berpoligami – berkahwin dengan ibu tunggal tersebut demi kebajikan si anak yatim. Itupun, al-Quran bertegas bahawa lelaki terbabit perlu ada kesiapan untuk berlaku adil[9].
Dari konteks ini, kelihatan penjelasan al-Quran terhadap amalan poligami adalah seperti berikut:
Pertama, ia soal sosial masyarakat Arab ketika itu – menjaga kebajikan anak-anak yatim.
Kedua, ia adalah kritikan terhadap amalan poligami yang bersifat memanipulasi terhadap harta anak yatim – mereka mahu mengambil harta anak yatim dengan cara menikahi mereka.
Ketiga, mengubah perspektif masyarakat Arab yang bermudah-mudah dengan poligami dengan menampilkan syarat yang ketat, iaitu keadilan, sikap bertanggungjawab dan kebajikan.
Kritikan terhadap amalan poligami
Sepertimana dalam penjelasan di atas, amalan poligami sudah diamalkan dalam sejarah manusia sejak turun temurun. Dalam masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam pula, amalan poligami diamalkan secara mutlak, tanpa disyaratkan adil, tuntutan sosial, kebajikan dan sebagainya. Perkara ini pernah dinyatakan oleh al-Samarqandi dalam kitab Bahr al-Ulum[10].
وكانوا يتزوجون من النساء ما شاؤوا، فنزلت هذه الآية وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتامى فَانْكِحُوا مَا طابَ لَكُمْ مِنَ النِّساءِ مَثْنى وَثُلاثَ وَرُباعَ يعني فكما خفتم ألا تعدلوا في اليتامى، فخافوا في النساء إذا اجتمعن عندكم ألا تعدلوا بينهن
Dengan itu, Islam hadir mengubah sudut pandang terhadap poligami dengan menampilkan beberapa kritikan seperti berikut:
Pertama, Islam menolak amalan poligami dari orang yang tiada kemampuan kewangan. Dalam riwayat Ikrimah, diceritakan bahawa sebelum turun ayat poligami, amalan poligami dilakukan secara tidak bertanggungjawab. Dalam keadaan tiada kemampuan kewangan, mereka tetap berpoligami. Dengan itu, harta anak-anak yatim di bawah jagaan mereka pun, mereka ambil serta guna untuk menampung perbelanjaan para isteri mereka. Al-Quran mencela tindakan mereka – menyatakan dalam poligami, mereka tidak boleh berlaku tidak adil terhadap anak yatim yang di bawah jagaan mereka[11].
مَا رُوِيَ عَنْ عِكْرِمَةَ أَنَّهُ قَالَ: كَانَ الرَّجُلُ عِنْدَهُ النِّسْوَةُ وَيَكُونُ/ عِنْدَهُ الْأَيْتَامُ، فَإِذَا أَنْفَقَ مَالَ نَفْسِهِ عَلَى النِّسْوَةِ وَلَمْ يَبْقَ لَهُ مَالٌ وَصَارَ مُحْتَاجًا، أَخَذَ فِي إِنْفَاقِ أَمْوَالِ الْيَتَامَى عَلَيْهِنَّ فَقَالَ تَعَالَى: وَإِنْ خفتم ألّا تقسطوا في أموال الْيَتَامَى عِنْدَ كَثْرَةِ الزَّوْجَاتِ فَقَدْ حَظَرْتُ عَلَيْكُمْ أَنْ لَا تَنْكِحُوا أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعٍ
Kedua, anjuran agar lebih memilih untuk monogami, kerana ia lebih berkemampuan untuk melakukan keadilan berbanding berpoligami. Ini didasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu bimbang tidak berlaku adil, maka nikahilah seorang isteri sahaja”. Apatah lagi, pada ayat sambungan disebut: “Demikian itu adalah lebih hampir untuk kamu tidak melakukan penganiayaan” (Surah al-Nisa’ 4:3).
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا
Ketiga, perlu dielak berpoligami bagi mereka yang tidak mampu untuk menyempurnakan kewajipan bagi poligami. Dalam menafsirkan ayat ke-3, surah al-nisa’ itu, perkara ini ditekankan oleh al-Imam al-Baidhawi[12].
فانكحوا مقداراً يمكنكم الوفاء بحقه، لأن المتحرج من الذنب ينبغي أن يتحرج من الذنوب كلها
Keempat, perlu dalam kerelaan wanita untuk berpoligami, iaitu, jika isteri pertama bercerai dengan sebab suami yang berpoligami, maka tidak boleh dihalang permintaan isteri pertama tersebut. Ini disandarkan kepada satu kisah pada zaman Nabi bahawa ada seorang perempuan yang telah dinikahkan oleh bapanya tanpa pengetahuannya. Dia tidak bersetuju dengan keputusan si bapa, menyebabkan dia memaklumkan haknya di hadapan Nabi. Lalu, Nabi saw memberikan hak itu kepadanya[13].
عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ فَتَاةً دَخَلَتْ عَلَيْهَا فَقَالَتْ: إِنَّ أَبِي زَوَّجَنِي ابْنَ أَخِيهِ لِيَرْفَعَ بِي خَسِيسَتَهُ وَأَنَا كَارِهَةٌ، قَالَتْ: اجْلِسِي حَتَّى يَأْتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَتْهُ، ” فَأَرْسَلَ إِلَى أَبِيهَا فَدَعَاهُ، فَجَعَلَ الْأَمْرَ إِلَيْهَا، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ أَجَزْتُ مَا صَنَعَ أَبِي، وَلَكِنْ أَرَدْتُ أَنْ أَعْلَمَ أَلِلنِّسَاءِ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ
Dalam kes untuk perkahwinan pertama pun, wanita ada hak. Sudah pasti, dalam hal poligami, wanita lebih mempunyai hak[14]. Ini ditambah dengan Hadis bahawa Nabi pernah menyatakan sikap tidak bersetuju bahawa menantu beliau, Saidina Ali berpoligami dengan perempuan dari Bani Mughirah[15].
عَنِ المِسْوَرِ بْنِ مَخْرَمَةَ الزُّهْرِيِّ، قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّ بَنِي المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يَنْكِحَ عَلِيٌّ ابْنَتَهُمْ، فَلاَ آذَنُ»
Kelima, apatah lagi, dalam Surah al-Nur 24:32: Walaupun al-Quran membenarkan poligami, tetapi al-Quran sendiri menganjurkan perkahwinan itu dengan orang yang bujang.
وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ
Dengan ini, jelas bahawa Islam bukan membenarkan poligami secara mutlak, tetapi keizinan itu bersifat bersyarat. Dalam pada itu pun, al-Quran lebih mencadangkan agar perkahwinan secara monogami berbanding poligami.
Penutup
Khalifah Islam kedua, Umar bin al-Khattab pernah menyatakan bahawa sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab menganggap wanita sebagai sesuatu yang remeh - tidak lebih seperti barangan sahaja. Tetapi dengan kedatangan Islam, beliau merasakan bagaimana wanita itu diangkat kemuliaannya. Apatah lagi, hak-hak dan pembelaan terhadap wanita disebut secara jelas dalam kitab suci al-Quran[16].
وَاللَّهِ إِنْ كُنَّا فِي الجَاهِلِيَّةِ مَا نَعُدُّ لِلنِّسَاءِ أَمْرًا، حَتَّى أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِنَّ مَا أَنْزَلَ
Tidak dinafikan, masyarakat sebelum kedatangan Islam – apatah lagi dalam masyarakat Arab – amalan poligami dilaksanakan tanpa sikap bertanggungjawab, malah lebih kepada hubungan seksual. Tetapi, dengan kedatangan Islam, semua itu dikawal selia dengan menampilkan keperluan sikap bertanggungjawab, adil dan tidak memberikan implikasi buruk pada sosial masyarakat.
Pun begitu, dalam era moden kini, terdapat sebilangan muslim mengamalkan poligami sepertimana masyarakat sebelum Islam. Mereka berpoligami tanpa disertakan sifat bertanggungjawab, mengabaikan kewajipan melaksanakan keadilan, sehinggakan mereka memangsakan wanita dan anak-anak. Tindakan ini, bukan sekadar bercanggah dengan falsafah Islam, malah ia telah menyuburkan kerosakan dalam masyarakat.
[1] al-Bukhari, Hadis no : 2819
[2] Dr. Karam Hilmi Furhat, Ta’addud al-Zaujat fi al-Adyan, hlm 30
[3] Dr. Karam Hilmi Fuhat, Ta’addud al-Zawjat fi al-Adyan, hlm 19
[4] Dr. Faqihuddin Abdul Kodir, Sunnah Monogami, 127
[5] Tarmizi, Hadis no : 1128
[6] Abu Daud, Hadis no : 2241
[7] Ibn Majah, Hadis no : 1952
[8] al-Razi, Mafatih al-Ghaib, jld 9, hlm 485
[9] https://www.youtube.com/watch?v=-KiDaKBxrjE
[10] Al-Samarqandi, Bahr al-Ulum, jld 1, hlm 280.
[11] al-Razi, Mafatih al-Ghaib, jld 9, hlm 485
[12] Al-Baidhawi, Anwar al-Tanzir wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlm 59
[13] Nasaie, Hadis no : 3269 | Albani anggap hadis ini doif syaz.
[14] Dr. Faqihuddin Abdul Kodir, Sunnah Monogami, hlm 168.
[15] Al-Bukhari, Hadis no : 5278
[16] al-Asqalani, Fath al-Bari, jld 8, hlm 658
Facebook Comments