Print Friendly, PDF & Email

Pada 21 Julai, saya dijadualkan untuk berceramah agama di salah sebuah masjid di Melaka. Program anjuran ADUN Durian Tunggal dengan kerjasama masjid terbabit sudah lama dirancang. Ceramah ini merupakan jelajah masjid untuk membawa mesej Islam sebagai rahmat sekalian alam – Islam agama penyelamat kepada manusia, merentasi anutan agama, kaum dan bangsa.

Beberapa hari sebelum program ini berlangsung, satu surat berlogo PAS tersebar - kerahan agar berhimpun untuk membantah ceramah saya. Satu poster kerahan yang sama turut tersebar.

Pada peringkat awal, saya menghubungi dan bertanya pihak penganjur – apakah pihak penganjur mahu teruskan, atau ditangguh sahaja program ceramah terbabit. Pihak penganjur bertegas untuk meneruskan. Saya akur dengan keputusan pihak penganjur.

Sebelum program berlangsung, pihak pejabat ADUN dan jawatankuasa masjid telah mendapat surat kebenaran dari Jabatan Mufti Negeri Melaka. Pihak Ketua Menteri Melaka, YB Adly Zahari turut memberikan sokongan agar ceramah saya pada malam itu berjalan seperti biasa.

Halangan

Saya sampai di masjid dengan dikawal oleh sebilangan rakan dari parti AMANAH. Ketika hampir dengan masjid, saya mendapati lebih kurang 30 orang lelaki memegang sepanduk yang termaktub ungkapan kesat terhadap saya.

Sejurus sampai masjid, saya ditempatkan di sebuah bilik dalam masjid. Saya keluar dari bilik tersebut, apabila solat maghrib mahu dimulakan.

Selesai solat sunat maghrib, kelihatan meja ceramah dikeluarkan. Ketika itu, semua pendemo – ada sebilangan mereka memakai baju berlogo PAS dan UMNO – datang berkerumun ke meja terbabit.

Terdengar laungan dan kebisingan dalam masjid. Mereka tidak lagi menjaga adab ketika berada dalam masjid. Lebih parah, apabila ada dari kalangan mereka mengungkapkan kata kesat, mencarut dengan disulami laungan takbir. Ketika itu, saya berada tidak jauh dari meja yang dikerumuni mereka. Ada sebilangan pendemo yang mengenali saya, dan tidak kurang juga dari kalangan mereka yang tidak mengenali saya.

Kekecohan yang dikawal oleh pihak polis berjaya diredakan setelah hampir setengah jam. Selepas itu, saya diminta pihak masjid untuk meneruskan ceramah saya. Apabila saya memulakan ceramah, kelihatan pendemo semakin berundur. Dalam lebih kurang 15 minit kemudian, didapati semua pendemo sudah berada di luar masjid.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa serangan ini amat ketara datang dari PAS. Ini kerana, empat hari sebelum majlis terbabit, satu surat rasmi telah dikeluarkan oleh PAS Melaka – mengerah ahli partinya agar turun semaksima mungkin untuk memastikan program ceramah saya itu dibatalkan.

Kelihatan pihak PAS amat marah terhadap saya. Apatah lagi, sebulan sebelum itu terdapat beberapa isu yang melibatkan saya terhadap PAS dan terhadap badan-badan yang bersimpati dengan mereka.

Pertama, isu kritikan saya terhadap Presiden ISMA dalam rancangan Analisis di TV al-Hijrah ketika menjawab tuduhan, kononnya Islam terancam di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Kedua, kritikan saya terhadap Dr.Ridhuan Tee dalam rancangan yang sama, menjawab tuduhan kononnya Pakatan Harapan ini dipengaruhi Islam Liberal. Ketiga, kesediaan saya berdebat dengan ketua Dewan Ulama PAS Pusat dalam isu fatwa beliau bahawa menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai wajib. Keempat, isu kritikan saya terhadap Timbalan Presiden PAS yang mendakwa bahawa pengisytiharan harta dilarang dalam agama – saya kritik dengan mendakwa, sumber beliau itu berasal dari Hadis palsu.

Hujah vs Ketakutan

Dalam membudayakan masyarakat yang baik berasaskan Islam, saya menekankan tiga perkara utama dalam syarahan saya.

Pertama, saya menekankan kepentingan muslim menjaga imej baik agama Islam. Kedua, sejarah kejatuhan kerajaan Andalusia di era pemerintahan muslim dahulu disebabkan sikap penduduk muslim yang tidak dapat meraikan perbezaan pendapat. Ketiga, keperluan melihat Islam dari ajaran Nabi, bukan melihat penafsirannya dari kaca mata masyarakat Melayu sahaja.

Pada saya, semua ini boleh terjadi jika budaya berhujah dan wacana sebati dalam masyarakat umat Islam. Ini kerana, hujah tidak boleh dilawan dengan kekerasan. Dalam sejarah manusia pun, kebenaran tidak pernah tertegak dengan kekerasan.

Dalam amalan Nabi pun, perbezaan Nabi dengan agamawan Yahudi dan Nasrani diselesaikan secara berhujah. Al-Quran mengisahkan bahawa Nabi saw pernah berhujah dengan 12 orang agamawan dari salah satu aliran Nasrani di Madinah dalam isu melibatkan Nabi Isa – apakah Nabi Isa itu adalah Tuhan, atau sekadar seorang manusia berdarjat Nabi seperti Nabi Muhammad.

Pada dinasti Abbasiyyah juga, kita dapati Islam semakin dikagumi dari sudut keilmuan, apabila masyarakat muslim ketika itu berhadapan dengan perbezaan pendapat dengan hujah. Kesannya, lahir tokoh-tokoh kebanggaan umat, seperti Ibn Sina yang mencetuskan perbincangan ilmu perubatan; al-Khawarizmi yang mencetuskan perbincangan ilmu astronomi; al-Farabi yang mencetuskan wacana ilmu muzik dan ramai lagi.

Pun begitu, kita akan mendapati kemandulan ilmu dalam sejarah umat Islam berlaku, apabila budaya ilmu telah dikongkong dengan kuasa dan budaya membina ketakutan, seperti tuduhan sesat, kafir dan murtad (terkeluar dari Islam). Hal ini dapat dilihat dalam amalan kalangan Khawarij yang berlaku di awal kewafatan Nabi saw. Implikasinya, di era itu perkembangan ilmu Islam agak lembab, tetapi yang banyak berlaku adalah peperangan dan pertumpahan darah.

Penutup

Sebelum pencerahan Eropah, kelompok gereja memegang kuasa. Mereka menghalang sebarang penyebaran ilmu yang menyalahi pemikiran mereka. Bukan sekadar dengan kuasa, malah membina ketakutan. Kesannya, Eropah berada dalam kegelapan ilmu.

Penentangan terhadap penguasa dan terhadap ketakutan ini berlaku dengan begitu hebat. Apabila kejayaan berpihak kepada yang melawan, menyebabkan tamadun semakin berkembang. Kesannya, masyarakat yang berbahasa Inggeris kini dianggap sebagai masyarakat berilmu.

Demikianlah usaha yang harus dicontohi masyarakat kita dalam pembinaan tamadun ilmu pada hari ini.

*Disiarkan di Oriental Daily (28 Julai 2019): https://www.orientaldaily.com.my/index.php/news/wenhui/2019/07/28/299954

Facebook Comments