Print Friendly, PDF & Email

Kementerian Pendidikan Malaysia mencadangkan pengenalan seni khat (kaligrafi Arab) Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu darjah empat sekolah jenis kebangsaan. Walaupun ia tidak terangkum dalam peperiksaan dan hanya dalam lingkungan enam muka surat, ternyata cadangan itu mencetuskan wacana hangat dalam persepsi politik di Malaysia. Tidak kurang juga tuduhan anti Islam kepada masyarakat non-muslim yang tidak selesa dengan cadangan terbabit.

Bagi masyarakat Melayu yang cakna pendidikan Islam di Malaysia, pasti mereka tahu bahawa tulisan Jawi adalah tulisan utama bagi sekolah pondok. Sebagai seorang graduan sekolah pondok di Kelantan, saya amat terkesan dengan isu tulisan Jawi yang menjadi perbincangan awam kini. Apatah lagi, ia melibatkan sistem pendidikan negara.

Untuk pengetahuan mereka yang ingin mengambil tahu perkembangan tulisan Jawi di Malaysia, ada beberapa fakta yang mungkin boleh dikongsikan berkenaan tulisan yang dianggap warisan Melayu lama itu.

Pertama, tulisan Jawi semakin hari semakin ditinggalkan oleh masyarakat Melayu sendiri. Malah, ramai orang Melayu sudah tidak tahu membaca tulisan Jawi. Kedua, tulisan Jawi yang dipelajari di sekolah-sekolah agama Islam di seluruh negara, mereka menggunakan Jawi moden dan tidak menggunakan Jawi lama lagi. Ketiga, tulisan Jawi lama hanya menjadi amalan bagi mereka yang mempunyai pendidikan pondok di Malaysia dan Selatan Thai dan Pesantren di Indonesia.

Kelantan

Tidak dinafikan, terdapat penggunaan tulisan Jawi di semua negeri. Tetapi, dari sudut pengamalan secara meluas, Kelantan adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang paling banyak menggunakan tulisan Jawi pada papan tandanya.

Andai kita ke Kelantan, kita akan mendapati bukan sekadar papan tanda, malah hampir majoriti kedai di sana, di samping menggunakan tulisan rumi, mereka tidak meninggalkan penggunaan tulisan Jawi. Dalam 20 hingga 30 tahun yang lalu, tulisan tersebut boleh dianggap sebagai identiti masyarakat di Kelantan. Apatah lagi, ketika itu Kelantan adalah satu-satunya negeri yang mengangkat pengajian sekolah pondok, di samping Menteri Besarnya — Tuan Guru Nik Abdul Aziz, adalah tokoh yang mempunyai pendidikan pondok sejak arwah kecil lagi.

Dalam pengajian pondok pula, tulisan Jawi yang digunakan adalah Jawi lama yang mempunyai beberapa perbezaan dengan tulisan Jawi moden yang diguna pakai pada hari ini. Sekolah agama Islam di seluruh Malaysia kini, pengajian Jawi mereka bukan lagi berasaskan Jawi lama. Dengan mempelajari Jawi moden, seseorang itu tidak semestinya mempunyai kemampuan untuk membaca manuskrip-manuskrip Melayu lama. Malah, tidak sedikit mereka yang mempunyai kemampuan dalam Jawi moden, tidak dapat membaca kitab-kitab Jawi lama.

Melayu dan Jawi

Walaupun pada ketika dahulu, tulisan Jawi adalah tulisan harian masyarakat Melayu. Tetapi, realiti kini, masyarakat Melayu sudah semakin jauh dengan tulisan Jawi. Tulisan rumi adalah tulisan harian mereka. Mereka berkomunikasi, berurus niaga, berhubungan, malah dalam segenap hidup, mereka tidak lagi menggunakan tulisan Jawi kecuali terpencil sahaja.

Dari sudut persepsi pula, masyarakat Melayu menganggap bahawa tulisan Jawi sebagai tulisan Islam. Tidak kurang juga, sebilangan individu Melayu mempunyai tanggapan yang salah, bahawa sebarang buku Melayu yang menggunakan tulisan Jawi adalah kitab berbahasa Arab.

Dari sudut sejarah, tulisan Jawi diguna pakai sejak Islam masuk ke Tanah Melayu. Sebelum itu, masyarakat Melayu menggunakan tulisan Kawi, tulisan Pallava dan tulisan Rencong; yang semua bentuk tulisannya amat jauh berbeza dengan tulisan Jawi.

Memandangkan tulisan Jawi digunapakai sejak kemasukan Islam ke Tanah Melayu, tidak hairan amat ramai dari kalangan masyarakat Melayu menganggap bahawa tulisan Jawi sebagai tulisan Islam. Pada tanggapan mereka, mempelajari tulisan Jawi adalah permulaan untuk membawa manusia kepada Islam - mengetahui tulisan Jawi adalah permulaan untuk membina kemampuan dalam membaca al-Quran.

Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa walaupun tulisan Jawi itu berasal dari tulisan Arab, tetapi seseorang yang mampu membaca tulisan Jawi tidak semestinya mampu membaca al-Quran; seseorang yang mampu membaca tulisan Jawi, tidak semestinya mampu memahami al-Quran. Ini kerana, yang diambil hanya tulisan, bukan bahasanya, sepertimana diambil tulisan Rumi ke dalam bahasa Melayu, tanpa diambil bahasa Inggeris yang merupakan asal penggunaan tulisan Rumi.

Tulisan Ilmu?

Kadangkala saya terfikir, mengapa kerajaan amat menekankan kepada rakyat agar mempelajari Jawi, tetapi tulisan Jawi yang diperkenalkan itu adalah Jawi moden. Pada saya, mempelajari Jawi moden tidak memberi sebarang keuntungan pun. Dengan itu, saya mencadangkan agar Jawi yang dipelajari adalah Jawi lama.

Saya berpendapat sebegitu dengan dua alasan. Pertama, manuskrip lama yang merupakan rujukan sejarah Melayu ditulis dalam tulisan Jawi lama. Kedua, hampir semua kitab Islam Melayu lama ditulis dalam tulisan Jawi lama, bukan Jawi moden.

Berbalik kepada soal memperkenalkan Jawi kepada masyarakat non-muslim, saya tidak menolak kemungkinan bahawa dari persepsi sesetengah Melayu, ia boleh ditafsirkan sebagai membawa unsur dakwah kepada Islam. Tanggapan ini berasaskan persepsi masyarakat Melayu bahawa tulisan Jawi sebagai tulisan Islam.

Jika ini tujuannya, sewajarnya tulisan Jawi untuk pelajar non-muslim tidak dijadikan sebagai silibus wajib, tetapi cukup sekadar cadangan dan galakan sahaja. Pada saya, sikap sebegini lebih bertepatan dengan prinsip Islam sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran, bahawa, “Tiada paksaan dalam agama”.

Penutup

Dari kupasan di atas, saya simpulkan seperti berikut:

Pertama, tulisan Jawi dianggap masyarakat Melayu sebagai tulisan Islam. Ini kerana, dari sudut sejarah, tulisan Jawi tidak pernah digunakan kecuali setelah kemasukan Islam ke Tanah Melayu.

Kedua, masyarakat Melayu kini pun sudah semakin hari meninggalkan tulisan Jawi. Mereka lebih banyak menggunakan tulisan Rumi berbanding Jawi.

Ketiga, tulisan Jawi yang diajar di sekolah-sekolah adalah jawi Moden. Ia tidak menguntungkan generasi akan datang, kerana manuskrip sejarah Melayu lama dan kitab-kitab agama Islam lama, kesemuanya ditulis dalam tulisan Jawi lama.

Keempat, memandangkan tulisan Jawi dianggap sebagai tulisan Islam, sewajarnya tulisan Jawi sekadar cadangan dan pilihan sahaja, bukan menjadi silibus wajib. Ia lebih bertepatan dengan prinsip al-Quran yang mengajar tiada paksaan dalam Islam.

*Disiarkan di Oriental Daily (11 Ogos 2019): https://www.orientaldaily.com.my/index.php/news/wenhui/2019/08/11/301805

Facebook Comments