Print Friendly, PDF & Email

Oleh: Wan Ji bin Wan Hussin

Dalam sidang parlimen lalu, ahli parlimen Kubang Kerian merangkap Timbalan Presiden PAS YB Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man membahaskan isu pengisytiharan harta yang diusulkan kerajaan agar ia dilaksanakan terhadap semua ahli parlimen Malaysia.

Apa yang memeranjatkan, hujah yang dikemukakan Tuan Ibrahim, kononnya Nabi saw melarang amalan menghebahkan harta kepada awam, kerana bimbang dengan pendengki.

Sudah tentu ramai yang berasa ganjil dengan hujah beliau. Ini kerana, dalam amalan Islam sejak dahulu lagi, integriti merupakan perkara yang amat ditekankan. Apatah lagi dalam kerangka politik, pengisytiharan harta sudah diamalkan sejak zaman awal Islam lagi.

Sudah pasti mereka yang mempunyai pendidikan dalam kajian Hadis, akan dapat mengesan sesuatu yang tidak kena daripada apa yang dikemukakan oleh ulama PAS ini. Apabila diteliti, didapati bahawa hujah beliau itu bersandarkan kepada Hadis palsu. Apatah lagi, ia bercanggah dengan teks al-Quran yang memesan agar nikmat yang kita dapat, dikhabarkan kepada manusia. Ini kerana, sifat bagi orang kedekut dan bakhil adalah orang yang menyembunyikan hartanya daripada diketahui orang.

Yang berikut adalah ringkasan berhubung Hadis palsu.

Sumber Islam

Secara dasarnya, Islam mempunyai dua sumber utama; al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad saw. Al-Quran adalah ayat-ayat yang dipercayai muslim bahawa ia diturunkan kepada Nabi. Ia bersifat wahyu yang semua kandungannya sampai kepada kita tanpa sebarang keraguan. Semasa Nabi saw membaca sebarang ayat al-Quran, ia didengari lebih sepuluh orang. Kemudian, setiap individu yang mendengar itu, membacanya kepada lebih sepuluh orang dengan lafaz yang sama sehingga ia merebak ke hari ini. Dalam terma pengajian Islam disebut sebagai “mutawatir”.

Hadis pula tidak semestinya apa yang diungkapkan oleh Nabi, tetapi termasuk juga sebarang penceritaan orang pada zaman itu (mereka dikenali sebagai sahabat) yang melibatkan sebarang perilaku Nabi – apabila mereka mendengar, atau melihat itu yang bilangan mereka tidak sampai sepuluh orang (kebiasaannya seorang, atau dua orang atau tiga orang), lalu mereka menceritakan kepada beberapa orang yang kadangkala pendengar itu juga tidak sampai sepuluh orang sehingga sampai ke zaman ia dibukukan. Dalam terma pengajian Islam, ia disebut sebagai “Ahad”.

Sumber Islam yang diyakini benar adalah al-Quran. Adapun Hadis, ia diyakini benar pada prinsip-prinsip Islam. Selain dari itu, sebarang Hadis dipercayai benar selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Jika ada keselarasan dengan prinsip-prinsip Islam, maka Hadis itu tidak semestinya diterima terus, sebaliknya akan diteliti oleh ilmuwan-ilmuwan dalam bidang Hadis dalam menilai sama ada ia boleh diterima atau ditolak.

Walau bagaimana pun, sebarang Hadis yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam, akan diteliti oleh ilmuwan-ilmuwan Islam yang berkepakaran dalam bidang Hadis dalam memastikan tahap autentiknya. Dengan itu, mereka akan meneliti setiap pencerita Hadis sehingga mereka dapat simpulkan bahawa Hadis itu dianggap sebagai palsu.

Punca Hadis Palsu

Ada beberapa faktor menyebabkan berlakunya Hadis palsu. Antaranya adalah faktor politik. Sepertimana yang kita maklum, selepas kewafatan Nabi, umat Islam berbalah dan berperang. Politik antara faktor yang terbesar. Setiap pihak mendakwa, kelompok mereka yang lebih layak memegang tampuk pemerintahan.

Dengan perbalahan itu, setiap pihak mula mendakwa bahawa Nabi saw pernah mengungkapkan kelebihan individu-individu di pihak masing-masing. Bukan sekadar itu, malah dakwaan bahawa Nabi saw pernah mencela ciri-ciri manusia tertentu yang mereka maksudkan sebagai kelompok musuh mereka.

Ada pula, berfaktorkan individu-individu tertentu yang mahu menyeru manusia kepada kebaikan. Justeru itu, mereka mengungkapkan sebarang perkataan yang boleh membangkitkan semangat untuk manusia melakukan kebaikan dengan disandarkan perkataan itu, kononnya dari Nabi Muhammad saw.

Contohnya, ada sebilangan ahli zuhud yang mahu menyeru manusia kepada kezuhudan dengan mengisahkan cerita seorang sahabat Nabi yang kaya bernama Abdul Rahman bin Auf. Dikisahkan sebegini, Nabi saw berkata kepada Abdul Rahman bin Auf: “Kamu masuk ke syurga dengan keadaan merangkak”. Mendengar itu, Abdul rahman bin Auf bertanya kepada Nabi, atas sebab apa menjadi begitu? Dijawabnya Nabi, “Disebabkan harta kamu”. Pahadal, kisah ini palsu.

Tidak ketinggalan juga, ada dari kalangan yang mereka yang terlalu taksub terhadap peribadi Nabi Muhammad sehingga sanggup mencipta Hadis palsu yang mengangkat Nabi sehingga tidak masuk akal. Contohnya, ada ungkapan “kalau tidak kerana kamu wahai Muhammad, sudah pasti kami (Allah) tidak akan ciptakan langit dan bumi”.

Kenal Hadis Palsu

Dalam kalangan ulama-ulama Hadis, mereka menggariskan beberapa cara untuk mengenalpasti Hadis palsu. Seorang ulama Hadis terkenal dalam dunia Islam, al-Imam Ibn al-Jawzi menyatakan bahawa sesuatu Hadis palsu itu boleh dikenalpasti jika ia bercanggah dengan akal, bertembung dengan teks-teks Islam yang lain (al-Quran dan Hadis), dan bertentangan dengan dasar-dasar utama dalam Islam.

Contoh bagi Hadis yang bercanggah dengan akal, seperti ada ungkapan yang disandarkan kepada Nabi saw – kononnya berkata: “Bahtera Nabi Nuh tawaf keliling kaabah sebanyak tujuh kali dan menunaikan solat di maqam Ibrahim sebanyak dua rakaat”.

Hadis ini ternyata tidak masuk akal dengan dua alasan: Pertama, Kaabah dibina pada zaman Nabi Ibrahim, sedangkan Nabi Nuh lebih awal berbanding Nabi Ibrahim ribuan tahun. Justeru, mana mungkin Nabi Nuh tawaf keliling kaabah yang belum dibina lagi? Kedua, solat dua rakaat itu hanya perbuatan manusia, iaitu dengan adanya proses merendahkan kepala. Ini tidak boleh berlaku langsung pada kapal. Dengan dua alasan ini sudah cukup untuk difahami bahawa Hadis ini adalah palsu.

Contoh bagi Hadis yang bercanggah dengan teks-teks Islam yang lain, seperti dakwaan kononnya Nabi saw berkata: “Anak zina tidak akan masuk ke syurga”.

Melihat kepada Hadis ini, difahami bahawa anak yang dilahirkan ekoran dari ibu bapa mereka yang berzina, sudah pasti kesalahan dan dosa itu pada ibu bapanya, bukan pada anak tersebut. Keadaan ini sudah pasti bercanggah dengan teks-teks Islam yang lain; iaitu al-Quran ada menyatakan bahawa seseorang itu tidak akan menanggung dosa dan kesalahan orang lain.” (Surah al-An’am, ayat 164)

Contoh bagi Hadis yang bercanggah dengan dasar-dasar agama seperti kononnya Nabi saw berkata: “Tidak ada kezaliman pada masyarat Turki, dan tidak ada keadilan bagi masyarakat Arab”. Hadis ini ternyata palsu, kerana bercanggah dengan dasar agama bahawa adil dan zalim itu tidak ada kaitan langsung dengan sesuatu masyarakat dan bangsa. Apa-apa bangsa pun, boleh sahaja melakukan keadilan, dan boleh melakukan kezaliman.

Penutup

Pada saat ini ramai muslim di Malaysia yang sedang marah penghinaan terhadap Nabi. Tindakan itu adalah benar. Namun, tanpa mereka sedari, bahawa penghinaan terhadap Nabi saw boleh sahaja berlaku dengan cara mencipta dan menyebar luaskan Hadis-Hadis palsu. Ini kerana, Nabi saw pernah berkata: “Barangsiapa yang melakukan pendustaan atasku, dia telah menempatkan dirinya satu tempat dalam neraka”.

Bukan sekadar itu, Hadis palsu akan merosakkan imej Islam dan Nabi. Contohnya, apabila tersebar Hadis kononnya Nabi saw berkata dengan maksud bahawa masyarakat Arab dengan kezaliman tidak berpisah, sudah pasti ia akan memberikan gambaran bahawa Nabi saw seorang yang rasis, sedangkan ia bercanggah dengan hakikat Islam itu sendiri.

Facebook Comments