Kehadiran 10 Muharram merupakan tarikh suci bagi penganut fahaman Syiah di dunia. Ia mengingatkan sejarah hitam – pembunuhan terhadap cucu Nabi yang bernama Saidina Husin di Karbala, Iraq.
Sejak kejadian pembunuhan tersebut, masyarakat Syiah di seluruh dunia akan menyambut ulangtahun memperingati kematian itu pada tiap-tiap tahun. Mereka meratap kematian Saidina Hussin, dan mereka mencela Yazid bin Muawiyyah yang merupakan pembunuh cucunda Nabi saw.
Sambutan ini bukan sekadar berlaku di negara luar, tetapi juga berlaku di Malaysia. Memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memfatwakan Syiah sebagai sesat, menyebabkan penganut Syiah di Malaysia tidak mendapat kebebasan untuk menyambut ulangtahun kematian Saidina Husin ini. Dengan itu, mereka mengadakan sambutan itu secara diam-diam dan sembunyi-sembunyi sahaja.
Baru-baru ini, mereka mengadakan sambutan seperti biasa. Walaupun di tempat yang tertutup, mereka diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Semasa serbuan dijalankan, terdapat seorang wanita Iran turut sama ditangkap – lantas isu ini mendapat perhatian dari kerajaan Iran.
Institusi Islam di Malaysia
Saya kira, negara Buddha seperti Thailand tidak akan menghalang muslim daripada menunaikan solat Jemaah. Namun, kadang-kadang saya berfikir, apa sikap muslim di Malaysia, andai negara Buddha itu menghalang kebebasan untuk muslim menunaikan solat Jemaah.
Saya pernah diberitahu, negara Eropah tidak mengganggu kepercayaan agama dan mazhab rakyatnya. Namun, jarang-jarang sekali pula saya berfikir, apa sikap kita, andai negara yang majoriti rakyatnya beragama Kristian itu menghalang kebebasan kepada muslim Sunni untuk berpuasa sunat “asyura” (berpuasa pada 10 Muharam).
Hampir saya tidak terfikir, apa sikap orang Sunni di Malaysia, andai negara majoriti rakyatnya bermazhab Syiah seperti Iran tidak memberikan kebebasan kepada orang Sunni untuk mengamalkan fahaman mereka. Syiah yang amat anti Salafi (Salafi adalah salah satu aliran Islam di Malaysia seperti yang diamalkan Mufti Perlis. Aliran Salafi menolak Syiah.), tiba-tiba menghalang kewujudan orang-orang aliran Salafi. Andai mahu tunaikan solat, kalau tidak cara Syiah pun, asalkan dalam versi bukan Salafi.
Harus dijelaskan bahawa solat jemaah dan puasa Asyura – dua amalan ini hukumnya sunat sahaja. Kata ulama fiqh, buat dapat pahala; kalau tidak buat, tidak jadi dosa pun. Menganut aliran Salafi pula, bukan suatu yang mesti. Tidak menjadi Salafi, tidak bermakna sudah terkeluar dari Islam.
Walau bagaimana pun, saya percaya ramai berkongsi rasa dengan saya bahawa kejadian yang diandaikan di atas tadi - jika benar-benar terjadi, pasti akan kedengaran ceramah daripada agamawan mengatakan Islam sudah terancam di sana. Kononnya, Islam dihina dan dipijak di sana.
Kalau kita tengok apa yang terjadi di Malaysia pula, orang Sunni yang mendominasi kerajaan, telah menafikan kebebasan orang Syiah mengamalkan fahaman mereka. Bukan sekadar Syiah, malah penganut fahaman Salafi (turut digelar oleh sebilangan pihak sebagai Wahhabi) amat tidak berpuas hati dengan beberapa negeri (seperti Johor dan Selangor) yang menghalang tokoh besar seperti Dr.MAZA (Mohd Asri Zainul Abidin) dan Dr.RORA (Rozaimi Ramle) dari berceramah agama.
Keadaan yang hampir sama juga berlaku pada mereka yang pro-amalan Tarekat dan Sufi yang ramai dari aliran Asyairah - apabila ada beberapa orang tokoh mereka seperti Syaikh Dr Umar Hashim dari Mesir yang tidak dibenarkan untuk berceramah agama di negeri Perlis yang ramai labelkan sebagai negeri Wahhabi.
Kebebasan
Saidina Omar pernah berkata, “Mengapa kamu mengabdikan diri kepada manusia, sedangkan kamu dilahirkan dalam keadaan merdeka – bebas?”
Walaupun ungkapan ini datang dari tokoh besar Islam, tetapi wacana kebebasan agak senja dalam kalangan ulama Islam. Bukan tidak ada. Jika ada pun, agak sedikit. Antara ulama yang pernah menghuraikan perkara ini adalah Tahir Ibn Asyur. Ulama yang terdekat dengan kita seperti, Syaikh Abdullah bin Bayyah.
Dalam sejarah orang Islam, kerajaan yang memerintah terikat dengan aliran sesuatu mazhab. Apabila sudah terikat, kerajaan akan menekan aliran yang berbeza. Contohnya, al-Imam Ibn Jawzi pernah mencatatkan bahawa terdapat seorang ulama bernama Imam Ahmad bin Nasr yang merupakan kawan baik kepada imam Ahmad bin Hanbal dahulu. Dia telah dibunuh oleh oleh pemerintahan yang bernama al-Wasiq. Dia dibunuh hanya kerana dia banyak mengkritik aliran muktazilah yang merupakan mazhab pegangan kerajaan ketika itu.
Fakta sejarah yang dinukilkan oleh Ibn Jawzi ini menampilkan kepada kita bahawa kebebasan memberi pandangan agama hampir tidak wujud dalam era pemerintahan khalifah terdahulu. Jika wujud pun, hanya sedikit sahaja, seperti era Khalifah Harun al-Rashid, Khalifah al-Makmun dan sebagainya.
Penutup
Saya selalu percaya, kebebasan jika dihadapi dengan persaingan sihat, ia akan melahirkan banyak keuntungan kepada manusia.
Bayangkan andai kerajaan Pulau Pinang tidak memberikan kebebasan menjual nasi kandar – hanya sebuah kedai sahaja yang dibenarkan. Pembeli tidak mendapat pilihan untuk mendapat nasi kandar yang lain - yang mungkin lebih sedap dan mungkin lebih murah.
Dengan sebab itu, apabila kerajaan Pulau Pinang memberikan kebebasan berniaga nasi kandar, sudah pasti setiap peniaga nasi kandar akan berusaha hendak memastikan kedainya menjadi pilihan. Makanya masing-masing mereka akan memastikan nasi kandar yang dijual adalah yang paling sedap. Paling tidak pun, akan dijual dengan harga yang murah.
Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti yang untung itu adalah pembeli.
Saya kira, semua aliran pemikiran dan mazhab, jika tidak diganggu dengan undang-undang, malahan dibiarkan bergerak secara persaingan hujah, ia boleh melahirkan kualiti beragama di Malaysia - beragama bukan sekadar ikut-ikut, tetapi beragama secara kefahaman dan penghujahan.
Sebagai penganut Sunni yang berkeyakinan penuh bahawa Sunni sebagai fahaman yang paling benar, tidak wajar mereka merasa takut dengan kewujudan fahaman seperti Syiah. Apatah lagi, mereka menuduh Syiah sebagai sesat. Ini kerana, al-Quran pernah menyatakan: “Kebatilan pasti akan hancur.” (Surah al-Isra’ 17:81). Saya kira, perkara yang sama perlu difikirkan oleh penganut Syiah.
*Disiarkan di Oriental Daily (16 September 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/mingjia/2019/09/16/306541
Facebook Comments