Baru-baru ini, saya ditanya, apa sikap saya terhadap Dr.Zakir Naik yang tinggal di Malaysia? Semasa soalan ini dilontarkan kepada saya, banyak perkara yang saya fikirkan. Antara yang paling besar adalah tiga perkara:
a. Status Zakir Naik yang bukan warga negara Malaysia;
b. Soal dakwah yang telah dilakukan oleh Zakir Naik sejak sekian lama dikagumi ramai umat muslim di dunia, malah di Malaysia;
c. Soal hubungan sesama warganegara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Makanya, saya cuba untuk mengharmonikan tiga perkara ini dengan menyatakan pendapat seperti berikut:
Pertama, kita tidak boleh menafikan kehebatan penceramah dari India itu mematahkan hujah agama non-muslim, walaupun ramai penganut-penganut agama itu menjelaskan bahawa hujah beliau itu sekadar “mendiamkan mulut” mereka yang bertentang hujah dengan beliau, bukan kerana hujah beliau itu tepat.
Saya pernah mendengar kupasan dari kawan-kawan yang beragama Hindu dan Kristian berkenaan hujah Zakir Naik. Menurut mereka, hujah beliau tidak menggunakan metode pemahaman kitab Hindu atau Bible yang sebenar, tetapi beliau mengupas itu berdasarkan pendekatan literal. Ya, sudah pasti metode itu terkenal bagi mereka dari aliran Wahhabisme seperti Zakir Naik.
Dengan itu, untuk menjawab hujah Zakir Naik, ia memerlukan penjelasan yang panjang lebar dengan huraian metode, sedangkan waktu yang diperuntukkan dalam perdebatan, amat singkat. Situasi ini menyukarkan pihak lain untuk menjelaskan cara pemahaman yang sebenar terhadap kitab suci mereka, dan sering dilihat seolah-olah “hujah mereka telah dipatahkan”.
Saya memahami komentar mereka, sepertimana saya memahami perdebatan ISIS terhadap beberapa ayat al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi yang merupakan kajian Phd saya, iaitu mereka mengutip teks-teks Islam itu tanpa menggunakan metode pemahaman yang benar, menyebabkan ayat al-Quran dan Hadis itu ditafsirkan sebagai halal melakukan amalan pengganasan.
Sesungguhnya membaca teks Islam itu tidak boleh secara literal sahaja. Perlu dilihat dari sudut konteksnya, maksud di sebalik teks, hubungan antara satu ayat al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain; antara ayat al-Quran dengan Hadis; apakah penafsirannya menafikan terhadap empat dasar agama – keadilan yang tidak zalim, hikmah yang tidak kejahilan, rahmat yang bukan kebencian dan kemaslahatan yang bukan kehancuran – demikianlah seterusnya.
Ya, sudah pasti cara pemahaman teks al-Quran dan Hadis mempunyai metode dan kaedah pemahamannya tersendiri. Demikian juga dalam memahami teks kitab Hindu dan Kristian yang menurut kawan-kawan saya dari agama Hindu dan Kristian itu, bahawa ia perlu juga kepada metode dan kaedah pemahamannya tersendiri.
Kedua, saya kira, dalam mematahkan hujah, kita tidak boleh lari dari satu lagi unsur - apa yang saya istilahkan sebagai “melunakkan hati” pendengar. Saya kira, pendekatan melunakkan hati ini adalah pendekatan yang banyak dilakukan oleh Nabi berbanding mematahkan hujah.
Pada saat ini, terdapat teladan sebegini di Malaysia, iaitu Ustaz Ebit Lew yang merupakan seorang pendakwah muslim berbangsa Cina. Dengan nada suara yang penyayang, membawa slogan “Allah sayang” dan watak yang lembut - ternyata pendekatan beliau tidak memerlukan hujah intelektual dan pembacaan yang banyak, tetapi ramai pendosa menitik air mata dan berhenti dari melakukan dosa.
Ketiga, saya kira, kita perlu menerima realiti bahawa masyarakat Malaysia ini wujud dengan kepelbagaian kaum dan agama. Ini kita kecapi secara aman dan damai. Jika ada sedikit kekacauan, kita berjaya hadapinya - kadangkala dengan baik, kadangkala kurang baik. Pada saya, itu perkara biasa. Sebagai manusia yang Tuhan sendiri kata dalam al-Quran: “diciptakan manusia itu dengan kelemahan” (Surah al-Nisa’ 4:28).
Pun begitu, kita tidak boleh menafikan satu faktor penting - undang-undang negara ini membenarkan agama Islam disebarkan kepada non-muslim, sedangkan agama selain Islam tidak boleh disebarkan kepada muslim. Realiti ini sedikit sebanyak memberi unsur tidak puas hati kepada masyarakat non-muslim di Malaysia.
Makanya, pendekatan semata-mata mematahkan hujah agama selain Islam sepertimana pendekatan Zakir Naik sudah pasti boleh melahirkan masalah wujud suasana tidak selesa sesama warganegara.
Dengan itu, untuk memastikan Zakir Naik relevan di Malaysia, saya mencadangkan bahawa pendakwah dari India itu tidak cukup sekadar menggunakan pendekatan “mematahkan hujah”, tetapi perlu juga pendekatan “melunakkan hati” manusia sepertimana pendekatan Ustaz Ebit Lew.
Semasa saya memberi pandangan itu, belum ada lagi laporan berita kononnya Zakir Naik membangkitkan isu kaum selain Melayu dan penganut agama selain Islam di Malaysia sebagai “tetamu”. Dengan sebab itu, apabila saya membaca laporan berita tersebut, saya agak terkejut.
Saya percaya, beliau mungkin akan menafikan bahawa beliau tidak bermaksud sedemikian. Tetapi, kenyataan itu sedikit sebanyak telah memberi “luka” pada individu-individu warganegara Malaysia.
Mereka adalah warganegara yang sah, sedangkan Zakir Naik bukan warganegara. Mereka adalah keluarga besar kami (warganegara), sedangkan Zakir Naik umpama tetamu yang kami perlu hormati.
Pada saya, sebagai tetamu dan bukan warganegara Malaysia, tidak wajar beliau mengeluarkan kenyataan sebegini – anggap warganegara dari masyarakat Cina dan India yang sejak sekian lama sebagai tetamu.
Saya harap, komen saya ini tidak melahirkan kemarahan dari rakan-rakan saya yang rapat dengan Zakir Naik. Mungkin mereka perlu memberitahu kepada Zakir Naik bahawa perkara ini amat sensitif dan tidak wajar disentuh beliau. Saya turut berharap, agar pendokong beliau agar mengambil pendekatan sederhana dalam melihat isu ini. Kebimbangan saya adalah – semoga ramalan saya salah - tindakan sebegitu, boleh meletakkan Zakir Naik dalam keadaan yang tidak memihak kepada dirinya.
*Disiarkan di Oriental Daily (18 Ogos 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/wenhui/2019/08/18/302732
*Kredit Gambar: Malaysiakini
Facebook Comments