Print Friendly, PDF & Email

Ada dari kalangan ahli politik di Malaysia kurang cermat dalam caranya ketika menyerang musuh saingan politik mereka. Kadangkala, fakta mereka salah. Lebih bahaya, ia boleh memberi implikasi persepsi yang kurang baik, dan boleh melahirkan kemarahan dari sebilangan rakyat Malaysia.

Demikianlah kesilapan yang dibuat oleh YB Lim Kit Siang apabila cuba mencadangkan polis agar siasatannya merangkumi Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa ketika menyediakan kertas putih mengenai terorisme. YB Lim menyebut salah seorang pemimpin pembangkang Malaysia adalah Naib Presiden Kesatuan tersebut, dan kita sedia maklum bahawa tokoh yang dimaksudkan adalah Presiden PAS YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Cuma, untuk mengaitkan Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa dengan terorisme adalah kurang tepat, malah satu kesilapan besar yang boleh mencetuskan kemarahan sesetengah pihak.

Kesatuan Ulama

Dalam dunia ini, kesatuan ulama Islam memang banyak. Misalnya, ada badan yang dikenali sebagai Kesatuan Ulama Islam Eropah, Nahdatul Ulama Indonesia, Majlis Ulama Indonesia, Forum Antarabangsa dalam mendekatkan mazhab-mazhab Islam dan banyak lagi.

Dalam pada itu, terdapat satu badan yang menghimpunkan ulama-ulama Islam di seluruh dunia dari kepelbagaian aliran pemikiran dan mazhab - terdiri dari Sunni, Syiah, Ibadhi (satu fahaman yang diamalkan di Negara Oman) dan pelbagai aliran Islam. Ia dikenali sebagai al-Ittihad al-‘alami Li Ulama al-Muslimin yang diterjemah kepada bahasa Melayu sebagai Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa.

Dahulu, presidennya adalah seorang ulama tersohor dalam dunia kini, Dr.Yusuf al-Qaradawi yang berasal dari Mesir yang kini tinggal di Qatar. Dan kini, beliau telah meletakkan jawatan dan jawatan itu sedang disandang oleh Dr.Ahmad al-Raisuni, seorang ulama dari Maroco.

Kesatuan yang ditubuhkan sejak tahun 2004 itu, mempunyai keahlian hampir 90 ribu orang di seluruh dunia, tidak kira dari negara orang Islam, mahupun di negara bukan Islam. Mereka terdiri dari kalangan yang mempunyai pendidikan Islam secara mendalam, terutama dalam bidang pengajian yang melibatkan al-Quran dan Hadis.

Keterlibatan ini turut disertai oleh sebilangan ulama di Malaysia, malah mereka menjadi ahli dalam kesatuan tersebut. Antaranya adalah Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Samsuddin yang merupakan penasihat kepada Parti AMANAH Negara.

Wacana mereka berpusat kepada penyatuan umat Islam di dunia merentasi sebarang aliran mazhab dan fahaman. Ia sebagai respon terhadap pertembungan antara dua aliran besar dalam kalangan orang Islam dunia, syiah – sunni. Di samping itu pula, pertemuan mereka sering sahaja membincangkan untuk menolak sebarang pendekatan salah yang diatas-namakan Islam, seperti menolak pengganasan, ISIS, al-Qaeda dan sebagainya.

Ikhwan Muslimin

Ramai mendakwa, kesatuan ini diasaskan oleh Ikhwan Muslimin. Alasan ini kerana melihat kepada Dr.Yusuf al-Qaradawi, pengasas kesatuan ini yang merupakan salah seorang tokoh dari Ikhwan Muslimin. Demikian juga, tidak sedikit kenyataan Kesatuan ini mendokong perjuangan Ikhwan Muslimin. Kesatuan ini juga pernah beberapa kali memberi sokongan kepada Gerakan pembebasan Palestine, iaitu HAMAS.

Dengan itu, tidak hairan Haji Abdul Hadi Awang turut pernah dilantik dalam jawatan tertinggi dalam kesatuan tersebut. Ini kerana, Presiden PAS pernah mendapat didikan dari Ikhwan semasa menuntut di Madinah dan Mesir dahulu – melalui menantu Hasan al-Banna yang merupakan pengasas Ikhwan, iaitu Syaikh Sa’id Hawa yang ketika itu adalah Setiausaha Agong Ikhwan Muslimin Mesir.

Di Malaysia, Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang mempunyai hubungan rapat secara peribadi dengan beberapa tokoh dalam Kesatuan, seperti Yusuf al-Qaradawi dan Syaikh Muhyiddin al-Qurrah Daghi yang merupakan Setiausaha Agong Kesatuan.

Walaupun Anwar Ibrahim bukan ahli kesatuan, tetapi beberapa keputusan kesatuan yang ada melibatkan Malaysia, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sering dirujuk untuk diminta pandangan. Misalnya, semasa pelantikan Hadi sebagai salah seorang Naib Presiden Kesatuan, pihak Kesatuan tidak terus membuat keputusan. Sebaliknya, mereka meminta pandangan daripada Anwar Ibrahim terlebih dahulu.

Pandangan Islam

Sejak tahun 2004, jawatan presiden Kesatuan dipegang oleh Dr.Yusuf al-Qaradawi. Namun, pada tahun 2018, seorang ulama terkenal dunia bernama Dr.Ahmad al-Raisuni telah dilantik sebagai pengganti al-Qaradawi.

Semasa pelantikan Dr.Ahmad al-Raisuni, ramai menyatakan bahawa ia adalah pilihan yang tepat. Ini kerana, banyak pandangan ulama yang berasal dari Maroco ini mempengaruhi keamanan dalam dunia, terutama berkenaan hubungan muslim dengan non-muslim. Apatah lagi, beliau boleh dikatakan antara ulama tersohor dunia yang mula-mula menyerang pemikiran ISIS dan menolak amalan pengganasan dan terorisme yang dipopularkan oleh Abu Bakar al-Baghdadi yang merupakan ketua utama bagi ISIS.

Dalam pada itu, beliau juga boleh dikatakan antara ulama yang mengangkat wacana keadilan dalam mewujudkan hubungan komunikasi yang baik antara muslim dengan non-muslim. Lebih-lebih lagi, beliau berada di negara Maroco yang walaupun majoriti masyarakatnya berbangsa Arab, tetapi mempunyai kerencaman agama, terutama antara Islam, Kristian dan Yahudi.

Banyak fatwa beliau yang dianggap progresif yang berbeza dari kebanyakan ulama dunia. Seperti, beliau antara ulama yang menolak pandangan turun temurun dalam tradisi Islam yang menyatakan hukuman bunuh kepada orang murtad. Pada beliau, membunuh orang murtad adalah tindakan yang bercanggah dengan ajaran al-Quran yang menampilkan hak kebebasan beragama.

Penutup

Dari kupasan serba ringkas ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, mendakwa bahawa Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa ini ada kaitan dengan gerakan pengganasan atau terorisme adalah tersasar, malah salah.

Kedua, Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa ini diasaskan untuk menyatukan ulama-ulama Islam di seluruh dunia merentasi aliran mazhab, dan menolak sebarang unsur-unsur salah yang diatasnamakan Islam, seperti ISIS.

Ketiga, lebih salah dianggap kesatuan ini sebagai pengganasan, apabila Dr.Ahmad al-Raisuni adalah Presidennya. Ini kerana, beliau adalah seorang yang amat komited dalam melawan pengganasan, terutama ISIS.

*Disiarkan di Oriental Daily (26 Oktober 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/mingjia/2019/10/26/312010

Facebook Comments