Dua hari sebelum sambutan hari Malaysia, himpunan Muafakat Nasional diadakan di PWTC melibatkan dua parti besar – PAS dan UMNO. Dua parti Melayu yang dahulunya bertelagah semenjak zaman sebelum merdeka lagi, ternyata mencipta satu sejarah baru buat mereka – apabila mereka membuat kerjasama politik.
Agenda kerjasama politik dua parti besar Melayu itu bukan suatu yang baru. Semenjak tahun 2008 lagi, usaha ini sudah berlaku. Tetapi, ia tidak dapat dijayakan ekoran bantahan dari dalaman parti masing-masing. Dari sudut PAS, cadangan idea ini melahirkan pertembungan dalaman sehingga menyebabkan PAS terpecah untuk melahirkan sebuah parti baru – Parti Amanah Negara.
Setelah golongan dalaman PAS yang tidak bersetuju dengan agenda kerjasama PAS – UMNO itu keluar dan berhijrah beramai-ramai ke Parti Amanah Negara, ketika itu agenda kerjasama ini berjalan lancar.
Keislaman PAS - UMNO
Negara ini mengamalkan demokrasi. Kerjasama PAS dan UMNO berlaku dalam ruangan demokrasi. Justeru, hak itu wajar dihormati. Namun, dari sudut idealisme perjuangan, sudah pasti PAS dan UMNO mempunyai perbezaan. UMNO dengan idealisme nasionalis Melayu, sedangkan PAS dengan idealisme Islam fundamentalis, atau yang sering diistilahkan sebagai “Islam politik”.
Ketika itu, PAS menganggap UMNO kurang keislamannya. Dalam catatan Datuk Asri Muda yang menjadi Presiden PAS (dahulu guna YDP – Yang DiPertua PAS) dari tahun 1969 – 1982, beliau menceritakan pada tahun 1955, ada pertemuan wakil PAS dengan pemimpin UMNO – menuntut pemimpin UMNO untuk buat desakan kepada British dalam usaha mencapai kemerdekaan.
Dalam pertemuan tersebut, PAS menuntut tiga perkara, iaitu, agama Islam sebagai agama tertinggi negara, Tanah Melayu adalah milik Melayu dan bahasa Melayu sebagai rasmi negara.
Dari tuntutan ini, kita akan dapati bahawa PAS meragui keislaman yang ada pada UMNO. Apatah lagi, dalam sejarah permusuhan PAS terhadap UMNO, budaya menuduh UMNO sebagai terkeluar dari Islam itu sudah berakar dalam amalan PAS turun temurun. Ini dapat dilihat di negeri-negeri PAS kuat, seperti Kelantan dan Terengganu.
PRU 2018
Perubahan politik Malaysia menarik untuk direnung. Sebelum pilihan raya umum 2018, PAS dan UMNO kelihatan sekata dalam hal permainan isu kaum dan agama. Ketika itu, kedengaran tuduhan kepada sebilangan pemimpin AMANAH sebagai penganut fahaman Islam liberal, Mat Sabu kononnya berfahaman Syiah, DAP kononnya anti-Islam dan banyak lagi.
Ia tidak terhenti sekadar pilihan raya - semakin menjadi-jadi, apabila UMNO menjadi pembangkang dalam Malaysia baru. Ia cuba diolah lagi, apabila PAS menggunakan tafsiran-tafsiran agama yang jauh dari hakikat tujuan penurunan agama Islam untuk mengabsahkan apa yang dilakukan oleh UMNO itu.
Untuk memainkan isu ekonomi, pemimpin tertinggi UMNO pula terpalit dengan skandal kewangan negara. Bukan sekadar bekas Perdana Menteri, malah isteri dan anak-anak beliau juga terpalit. Bekas Timbalan Perdana Menteri juga tidak terelak dari dihadapkan mahkamah dalam isu yang melibatkan kewangan negara. Dengan itu, UMNO terpaksa bermain dengan isu kaum dan agama. Isu yang sama sedang dimainkan oleh PAS. Permainan dua isu sensitif oleh dua parti besar ini, dibimbangi memberi kesan tidak baik pada hubungan sesama rakyat Malaysia.
Perkauman
Andai ditanya pada setiap individu rakyat Malaysia, keamanan merupakan antara harapan tertinggi. Dengan itu, isu perkauman dan sentimen agama tidak wajar dipermainkan dalam usaha mencapai keamanan tersebut.
Apa yang kita nampak, semenjak Pakatan Harapan mengambil tampuk kuasa di Putrajaya, serangan musuh politik atas tajuk perkauman ini amat ketara. Dalam pada itu, terdapat pula sebilangan pemimpin Pakatan Harapan yang agak tidak cermat dalam membuat kenyataan sehinggakan ia menjadi modal bagi PAS dan UMNO menyerang.
Sepatutnya, serangan itu ditujukan kepada individu yang tidak cermat tersebut, tetapi memandangkan sesebuah parti politik sudah pasti ada unsur menarik sokongan, makanya serangan itu disasarkan juga ke dalam masyarakat awam. Dengannya, dibimbangi sentimen perkauman itu semakin menjadi-jadi. Lebih membimbangkan, kadangkala sentimen perkauman itu cuba disinonimkan dengan penafsiran al-Quran dan Hadis.
Agama
Agama datang bukan untuk merosak. Agama datang untuk memastikan manusia menjadi baik. Walaupun ada perbezaan dari sudut ritual, konsep teologi dan kepercayaan, tetapi dari sudut semangat keamanan, semua agama sekata.
Pun begitu, kita tidak boleh tolak kemungkinan bahawa di sana terdapat manusia yang tidak bertanggungjawab dengan agamanya. Mereka akan menggunakan agama untuk kepentingan mereka. Jika tidak kerana kepentingan peribadi, agama digunakan untuk kepentingan kelompok dan persatuan mereka.
Dengan sebab itu, banyak kejadian buruk berlaku dalam dunia, seperti ISIS di Syria dan Iraq – mereka membunuh sesuka hati dengan menggunakan alasan agama. Ini bukan sekadar berlaku pada muslim. Ia juga berlaku pada masyarakat yang menganut agama Hindu – kejadian meruntuhkan Masjid Baberi di India suatu masa dahulu. Demikian juga, pada penganut agama Kristian, Buddha dan sebagainya.
Kejadian ini bukan kerana salah agama. Tetapi, kesalahan pada manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap agamanya.
Penutup
Sebagai kesimpulan dari perbahasan di atas:
Pertama, kerjasama politik yang dilakukan di antara PAS - UMNO adalah hak demokrasi mereka. Sebagai negara demokrasi, kita sebagai rakyat Malaysia tidak wajar menghalang.
Kedua, walaupun kerjasama itu berlaku atas asas demokrasi, tetapi pendekatan perkauman dan menaikkan sentimen agama wajar dielak. Justeru, pemimpin PAS dan UMNO bukan sekadar perlu elak sebarang kenyataan yang membawa kepada sentimen agama dan kaum, malah mereka perlu memastikan ahli bawahan mereka terhindar dari terlibat dengan sentimen ini, kerana ia boleh memberi suasana tidak selesa sesama warganegara.
Ketiga, memandangkan PAS - UMNO adalah musuh politik dengan parti-parti dalam PH, yang sudah pasti akan ada ahli parti mereka yang tidak bertanggungjawab akan manipulasi kenyataan media pemimpin Pakatan Harapan. Makanya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan juga perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan - tidak membuka sebarang ruang yang menyebabkan kenyataan mereka boleh dimanipulasi sehingga menjadi sentimen perkauman dan agama.
*Disiarkan di Oriental Daily (28 September 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/mingjia/2019/09/28/308198
Facebook Comments