Saya sedar, negara seperti Thailand tidak akan menghalang Muslim menunaikan solat berjemaah. Namun, kadang-kadang saya terfikir - apa sikap Muslim di Malaysia andai tiba-tiba negara Buddha itu mengekang kebebasan orang Islam menunaikan ibadah berkenaan?
Saya diberitahu, negara Eropah tidak mengganggu kepercayaan agama dan mazhab rakyatnya. Namun, sesekali saya terfikir juga, apa sikap kita andai negara yang majoriti rakyatnya beragama Kristian itu menghalang Muslim Sunni untuk berpuasa sunat Asyura?
Hampir saya tidak terfikir, apa sikap orang Sunni di Malaysia andai negara majoriti rakyatnya bermazhab Syiah - seperti Iran - tidak memberikan kebebasan kepada orang Sunni untuk mengamalkan fahaman mereka?
Katakan Syiah - yang amat antisalafi - tiba-tiba menghalang kewujudan orang-orang aliran salafi. Andai mereka mahu menunaikan solat, kalau tidak cara syiah pun, mesti dalam versi bukan salafi.
Solat jemaah dan puasa Asyura - dua amalan ini hukumnya sunat sahaja - kata ulama fiqh, buat dapat pahala, kalau tak buat, tidak jadi dosa pun.
Menganut aliran salafi pula bukan sesuatu yang mesti. Tidak menjadi salafi tidak bermakna seseorang itu terkeluar dari Islam.
Bagaimanapun, saya percaya ramai orang berkongsi rasa dengan saya bahawa kejadian yang diandaikan di atas tadi - jika benar-benar terjadi - pasti akan kedengaran ceramah pada agamawan mengatakan Islam di sana sudah terancam.
Kononnya, Islam dihina dan dipijak di sana.
Kalau kita tengok apa yang terjadi di Malaysia pula, orang Sunni yang mendominasi kerajaan sudah menafikan kebebasan orang Syiah mengamalkan fahaman mereka.
Kalau terikat, akan menekan
Bukan sekadar Syiah, malah penganut fahaman salafi (turut digelar oleh sebilangan pihak sebagai Wahabi) amat tidak berpuas hati dengan beberapa negeri (seperti Johor dan Selangor) yang menghalang tokoh besar mereka seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Rozaimi Ramle memberikan ceramah agama.
Keadaan yang hampir sama juga berlaku pada mereka yang proamalan tarekat dan sufi yang ramai dari aliran as-syairah apabila ada beberapa tokoh mereka - seperti Sheikh Dr Umar Hashim dari Mesir - yang tidak dibenarkan berceramah agama di negeri dilabel ramai sebagai Wahabi, iaitu Perlis.
Sayidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Mengapa kamu mengabdikan diri kepada manusia, sedangkan kamu dilahirkan dalam keadaan merdeka - bebas?”.
Walaupun ungkapan ini datang daripada tokoh besar Islam, tetapi wacana kebebasan agak senja dalam kalangan ulama Islam. Bukan tidak ada. Cuma kalau ada pun, agak sedikit.
Antara ulama yang pernah menghuraikan perkara ini adalah Tahir Ibn Asyur, serta ulama yang terdekat dengan kita seperti Sheikh Abdullah bin Bayyah.
Dalam sejarah orang Islam, kerajaan yang memerintah terikat dengan aliran sesuatu mazhab. Apabila sudah terikat, kerajaan akan menekan aliran yang berbeza daripada mereka.
Contohnya, al-Imam Ibn Jawzi pernah mencatatkan bahawa dahulu ada seorang ulama bernama Imam Ahmad bin Nasr yang merupakan kawan baik kepada imam Ahmad bin Hanbal.
Beliau telah dibunuh oleh oleh pemerintahan yang bernama al-Wasiq hanya kerana dia banyak mengkritik aliran muktazilah yang merupakan mazhab pegangan kerajaan ketika itu.
Fakta sejarah yang dinukilkan oleh Ibn Jawzi ini menampilkan kepada kita bahawa kebebasan memberi pandangan agama hampir tidak wujud dalam era pemerintahan khalifah terdahulu.
Jika wujud pun, hanya sedikit sahaja, seperti pada era Khalifah Harun al-Rashid, Khalifah al-Makmun dan sebagainya.
Kerana doktrin kebencian
Saya selalu percaya kebebasan - jika dihadapi dengan persaingan secara sihat - akan melahirkan banyak keuntungan kepada manusia.
Bayangkan andai kerajaan Pulau Pinang tidak memberikan kebebasan menjual nasi kandar seperti sekarang. Andaikan kerajaan negeri hanya memberi keizinan agar hanya sebuah kedai nasi kadar saja boleh beroperasi.
Pembeli tidak memiliki apa-apa pilihan untuk mendapat nasi kandar lain yang mungkin lebih sedap dan mungkin lebih murah.
Dengan sebab itu, apabila kerajaan Pulau Pinang memberikan kebebasan berniaga nasi kandar, sudah pasti setiap peniaga akan berusaha memastikan kedainya menjadi pilihan.
Maka setiap mereka akan memastikan nasi kandar yang dijual adalah yang paling sedap.
Paling tidak pun, akan dijual dengan harga yang murah.
Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti yang paling untung ialah pengguna.
Saya kira, semua aliran pemikiran dan mazhab - jika tidak diganggu dengan undang-undang, malahan dibiarkan bergerak secara persaingan hujah - boleh melahirkan amalan beragama yang berkualiti di Malaysia.
Seseorang itu beragama bukan sekadar mengikut-ikut, tetapi secara kefahaman dan penghujahan.
Dalam kes Syiah, apabila mereka diganggu secara undang-undang, ramai penganut Sunni di Malaysia menolak Syiah hanya kerana doktrin kebencian yang ditanamkan tanpa mereka mengetahui apakah sebenarnya kandungan ajaran itu yang ditolak.
Ataupun, seseorang itu menolak Syiah dengan berpegang kepada hujah yang dipropagandakan penguasa, bukan daripada penghujahan yang asal.
Apabila ajaran Syiah ditolak dengan sebab kefahaman hujah - atau dari asal ajarannya - dan bukan sekadar propaganda, pasti penolakan itu berkualiti disebabkan ia berasaskan kepada ilmu.
Justeru, diandaikan seseorang membaca sebarang tulisan yang menyeru kepada Syiah di media sosial, sudah pasti amat mudah untuk dia menolaknya - iaitu dengan kefahaman yang ada padanya itu.
Malaysia boleh dikatakan antara negara yang memperuntukkan perbelanjaan agak tinggi untuk institusi Islam. Dengan peruntukan sebegitu, sewajarnya ia dimanfaatkan untuk membijakkan umat berkenaan Islam, bukan sekadar menunjukkan kuasa semata-mata.
Jika ada kuasa pun, cukup sekadar bertugas untuk mengawal wacana Islam agar terhindar daripada berlaku perbalahan. Selama tidak bergaduh dan tidak berbalah, selagi itu wacana Islam wajar dibiarkan bebas berkembang.
Sebagai penganut Sunni yang berkeyakinan penuh bahawa ia adalah fahaman paling benar, tidak wajar sesiapa pun berasa takut dengan kewujudan fahaman lain seperti Syiah. Apatah lagi menuduh syiah sebagai sesat.
Hal ini kerana, dalam al-Quran Allah menyatakan dengan maksud: “Kebatilan pasti akan hancur” (al-Isra’ 17:81).
Saya kira, perkara yang sama perlu difikirkan oleh penganut Syiah.
*Disiarkan Malaysiakini (12 September 2019): https://www.malaysiakini.com/columns/491609
Facebook Comments