Print Friendly, PDF & Email

Baru-baru ini, seorang profesor di ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilisation) dalam bidang sosiologi telah menghubungi saya melalui telefon. Memandangkan saya antara yang berjaya mengkhatamkan buku “muqaddimah”, sebuah karya agong Imam Ibn Khaldun yang merupakan ahli sosiologi Islam pertama dalam dunia, beliau banyak berbual dengan saya berkenaan buku tersebut.

Setelah berbual beberapa tajuk yang ada kaitan dengan apa yang dibangkitkan oleh Ibn Khaldun dalam karya agung beliau itu, tidak semena-mena profesor terbabit meminta pendapat daripada saya - berkisar dengan kelemahan umat Islam yang perlu diatasi.

Saya terhenti sekejap. Saya memikirkan apa pendapat yang baik untuk saya cadangkan kepada professor terbabit. Apatah lagi, beliau menyatakan bahawa beliau meminta itu, kerana ada satu program yang bakal dihadiri oleh Perdana Menteri dan beliau diminta untuk berucap dalam tajuk itu sekitar 15 hingga 20 minit.

Islam Nilai

Kalau dilihat pada semua ayat al-Quran dan Hadis, sebutan “halal” dan “haram” teramat sedikit. Dalam al-Quran sahaja, sebutan itu boleh dibilang dengan jari.

Yang banyak digunakan adalah nilai. Contohnya, larangan terhadap minum arak – al-Quran menyatakan dalam tiga fasa:

Fasa pertama, dilarang solat dalam keadaan mabuk. Ini kerana, semasa menunaikan solat, ia boleh menyebabkan bacaan dalam solat menjadi salah. Pada fasa kedua, dilarang minum arak kerana ia boleh membawa kepada permusuhan dan pergaduhan. Ini kerana, terdapat banyak kes – pergaduhan berlaku dalam kalangan peminum arak yang sedang mabuk. Dan pada fasa terakhir, dilarang minum arak kerana ia adalah dosa.

Kesemua fasa ini tidak digunakan ungkapan “haram”. Semuanya menggunakan pendekatan nilai. Namun begitu, para ilmuwan Islam yang membaca teks Islam berkenaan arak itu menyimpulkan bahawa ia membawa maksud bahawa minum arak itu, hukumnya adalah haram.

Apa yang disimpulkan oleh para ilmuwan Islam itu disebut sebagai fiqh, iaitu hasil proses pemahaman oleh ilmuwan Islam terhadap teks islam, sama ada al-Quran dan Hadis.

Islam Fiqh

Bukan sekadar di Malaysia, malah dalam dunia hari ini, Islam fiqh diamalkan sedemikian rupa. Dengan sebab itu, Islam yang amat kaya dengan nilai telah disempitkan dengan hukum.

Islam fiqh tidak lebih sekadar melihat Islam dalam kerangka undang-undang. Sedangkan, Islam yang merupakan cara hidup manusia, sudah pasti merentasi undang-undang. Di sana, wujud apa yang dinamakan sebagai kemanusiaan, keadilan, keindahan, kebahagiaan, kemaslahatan, kasih sayang, kebijaksanaan dan banyak lagi.

Dalam lingkungan Islam Fiqh itu, makanya orang Islam akan berbicara tentang anjing tidak boleh disentuh, atau sentuhan yang wajib dibasuh. Mereka seakan-akan terabai, ada nilai besar yang diperkenalkan oleh Islam di sebalik anjing, iaitu Nabi saw pernah bercerita bahawa seorang perempuan pelacur Bani Israel yang diampunkan dosanya hanya kerana dia memberi minum kepada seekor anjing kehausan.

Dalam lingkungan Islam fiqh, makanya orang Islam berbicara berkenaan kewajipan solat dengan menjaga tatacara solat. Namun, amat ramai dari kalangan muslim yang menunaikan solat itu telah alpa pada sudut nilai, iaitu dalam mereka menunaikan solat itu, mereka tidak boleh menganggu ketenteraman awam seperti memakai pembesar suara di masjid semasa membaca bacaan solat. Apatah lagi, memasang pembesar suara untuk tujuan selain azan tidak pernah dituntut dalam Islam.

Maqasid Syariah

Selepas era Nabi dan sahabat, Islam fiqh semakin mendapat tempat dalam jiwa umat Islam. Faktor nilai yang menjadi dasar pengamalan agama pada era nabi semakin berkurangan. Kesannya, agama kelihatan “kering” dan “statik”.

Dalam beberapa era kemudian, terdapat juga beberapa tokoh besar dalam Islam yang cuba membangkitkan balik soal nilai dalam beragama. Dengan tidak abaikan faktor fiqh, diterapkan juga faktor nilai. Dengan itu, kedengaran beberapa nama tokoh besar dalam Islam seperti al-Imam al-Syatibi, seorang ulama berbangsa Spanyol yang mengarang kitab bertajuk “al-Muwafaqat” yang memperkenalkan satu tradisi Islam yang bernama “Maqasid Syariah”.

Pendekatan Maqasid Syariah adalah cara untuk memahami nilai di sebalik keputusan fiqh yang dibuat oleh ilmuwan Islam. Dengan erti kata yang lain, Islam jangan semata-mata dilihat dari sudut kaca mata fiqh, tetapi di sebaliknya terdapat nilai yang wajib diangkat.

Namun begitu, karya tersebut tidak diangkat pada awal pengkaryaannya. Ia dianggap sebagai kitab sesat dan ia diharamkan oleh pemerintahan Andalusia (kini Sepanyol). Ia dianggap kitab yang bercanggah dengan tradisi turun temurun, dan tidak kurang juga yang menuduh bahawa kitab itu mampu mengangkat kesedaran umat untuk mengenali kezaliman pemerintah.

Walau bagaimana pun, dalam akhir tahun 1800, kitab ini diangkat semula oleh seorang tokoh refomis Islam yang berasal dari Mesir bernama Syaikh Muhammad Abduh. Kemudiannya, ia dikembangkan di Tunisia. Kini, kitab tersebut sudah menjadi antara rujukan utama di banyak universiti Islam dalam dunia.

Penutup

Beberapa kesimpulan dari tulisan ringkas ini adalah seperti berikut:Pertama, pada zaman Nabi dan para sahabat, pengamalan Islam lebih kepada nilai. Dengan sebab itu, soal kemanusiaan, keadilan, keindahan, kasih sayang, kebijaksanaan dan sebagainya menjadi perkara utama dalam amalan islam ketika itu.

Kedua, keadaan ini berbeza selepas kewafatan Nabi saw dan para sahabat. Pengamalan Islam sudah mula berorientasikan kepada fiqh, iaitu lebih bersifat undang-undang yang dibataskan kepada dua naratif besar – iaitu halal dan haram.

Ketiga, kesan dari Islam fiqh, Islam dilihat dalam bentuk yang statik dan jumud.

Dengan itu, terdapat beberapa ilmuwan Islam yang mula mengemukakan pendekatan nilai di sebalik fiqh dalam melihat Islam. Walaupun mendapat tentangan di peringkat awal, tetapi sedikit sebanyak pendekatan tersebut semakin diterima.

*Tulisan ini disiarkan di Oriental Daily (17 November 2019): https://www.orientaldaily.com.my/index.php/news/wenhui/2019/11/17/314917

Facebook Comments