Print Friendly, PDF & Email

Berita melaporkan bahawa perkahwinan kanak-kanak berjaya dihalang dari sudut perundangan di beberapa buah negeri. Namun begitu, terdapat tujuh buah negeri masih mengekalkan keizinan kahwin kanak-kanak yang masing-masing negeri itu adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan Kelantan.

Saya percaya, hujah agama menjadi dasar untuk negeri-negeri ini tidak bersedia menghalang perkahwinan kanak-kanak. Hujah agama yang saya maksudkan adalah dengan pihak mereka melihat kepada kupasan dari kitab-kitab fikah lama.

Secara dasarnya, saya ingin kupas perkara ini kepada dua sudut.

Pertama: Sesuatu keizinan syarak tidak semestinya ia turut diamalkan.

Mungkin ramai tidak sedar bahawa sudah banyak perkara yang dibenarkan dalam syarak, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan. Perkara ini pernah dikupas oleh Tokoh Ma’al Hijrah, Syaikh Dr Abdullah bin Bayyah dalam satu tulisan beliau.

Dalam penjelasan beliau, sesuatu pelaksanaan syariat itu perlu dilihat kepada implikasinya, apakah mendatangkan keburukan atau sebaliknya. Hal yang sama pernah ditekankan oleh ulama-ulama terdahulu, seperti al-Imam al-Syatibi dalam karya agung beliau, al-Muwafaqat.

Contohnya, al-Quran ada membenarkan persetubuhan dengan hamba (Surah al-Mukminun 23:5-6) - walaupun perhambaan itu wujud dalam al-Quran, bukan bermakna di era kini perhambaan itu boleh diamalkan. Ini kerana, amalan perhambaan yang disebut dalam al-Quran itu, ia sebagai “respons” terhadap kehidupan masyarakat Arab di zaman Nabi Muhammad yang ketika itu, masih lagi mengamalkan sistem perhambaan.

Dalam pada itu, pengamalan Islam telah berusaha secara bertahap untuk hapuskan sistem tersebut. Apabila ia sudah tidak ada, maka ia tidak perlu diwujudkan balik. Apatah lagi, sistem perhambaan adalah satu amalan yang bukan sekadar menafikan kemanusiaan yang bercanggah dengan Islam, malah amalan tersebut memberi kesan buruk (mafsadah) pada sistem kehidupan manusia.

Contoh lain – dalam al-Quran ada menyuruh berperang. Tetapi, dalam konteks Malaysia dan beberapa buah negara yang aman, suruhan perang dalam al-Quran itu tidak boleh diamalkan. Malah, mengamalkan juga boleh memberi implikasi kerosakan (mafsadah). Dengan itu, perang dilarang dalam konteks Malaysia, walaupun al-Quran ada menyatakan suruhan bagi berperang.

Demikian juga, dalam hal perkahwinan kanak-kanak. Walaupun dalam banyak kitab fikah lama menyatakan keizinan, tetapi ia tidak bermakna perlu diamalkan. Apatah lagi, ia melibatkan kepada kestabilan sistem kekeluargaan dalam negara ini.

Kedua: Kematangan amat penting dalam hal perkahwinan.

Saya kira, sudah tersebar banyak makalah ilmiah berkenaan pertikaian berkenaan umur perkahwinan Aisyah dengan Nabi yang dikatakan umur enam tahun itu. Dalam Youtube pun, sudah ada beberapa orang pakar ilmu agama telah mengulas perkara ini dalam pelbagai bahasa.

Di Malaysia, antara tokoh yang pernah membahaskan hal ini secara mendalam adalah Maulana Asri dari Kelantan yang mempunyai kepakaran ilmu hadis yang diakui ramai. Syarahan beliau berkenaan hal ini boleh didapati dalam Youtube. Dengan itu, saya kira kupasan berkenaan isu terbabit tidak perlu saya kupas dalam artikel saya ini.

Bagaimanapun, hujah yang saya mahu kemukakan di sini bahawa faktor kematangan dalam alam perkahwinan adalah perlu. Saya tidak menafikan perbahasan berkenaan penjelasan fikah atas tajuk keizinan perkahwinan kanak-kanak.

Tetapi apa yang saya ingin bangkitkan adalah, sesuatu pelaksanaan hukum fikah itu perlu dilihat dari sudut konteks, perkembangan manusia yang dahulu sudah tidak sama dengan sekarang yang sudah pasti mempengaruhi keputusan implikasi kehidupan manusia, sama ada baik atau buruk.

Dengan sebab itu, melihat perkahwinan dan faktor kematangan adalah perlu. Apatah lagi, dengan perkembangan manusia moden yang sudah tidak boleh lepas dari faktor wanita bekerjaya, persaingan dalam kehidupan, kemajuan teknologi dan perkembangan pendidikan yang amat jauh berbeza dengan dahulu.

Kalau dilihat dari sudut teks Islam pun, kita dapati, bukan soal perkahwinan, malah perkara yang kurang penting berbanding perkahwinan seperti soal pemberian harta anak yatim kepada mereka, ditekankan soal tahap kematangan.

Ini dinyatakan oleh Allah dalam Surah al-Nisa’ 4:6 bahawa Allah berfirman (bermaksud):

“Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kahwin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.” (Surah al-Nisa’ 4 : 6)

Menariknya dalam ayat ini, Allah menjelaskan pemberian harta anak yatim kepada mereka ketika dewasa itu, bahawa mereka perlu diuji untuk mengetahui tahap kematangan mereka terlebih dahulu. Malah ayat ini juga mengaitkan faktor kematangan dalam mengurus harta itu dengan sampai kepada umur perkahwinan.

Dengan ini, atas asas menjaga kemaslahatan sistem kekeluargaan, polisi perkahwinan dengan mengambil kira faktor kematangan adalah perlu. Ia bukan sekadar selaras dengan realiti perkembangan zaman, malah ia mempunyai asas secara tidak langsung dari al-Quran.

*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (23 November 2019): https://www.malaysiakini.com/columns/500788

Facebook Comments