Print Friendly, PDF & Email

Berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, alam sekitar atau persekitaran bermaksud faktor-faktor fizikal yang mengelilingi kehidupan manusia. Ia termasuk tanah, air, udara, iklim, bunyi, bau, rasa, faktor-faktor biologi dan juga faktor-faktor sosial. Alam sekitar juga boleh didefinisikan sebagai ekosfera yang mengandungi ekosistem-ekosistem yang saling berinteraksi. Ekosistem pula terdiri daripada faktor-faktor biologi yang saling bergantung sesama sendiri, iaitu di antara faktor biologi dengan faktor fizikal.

Manusia tidak boleh dipisahkan dari alam sekitar. Ia merupakan infrastruktur bagi kehidupan manusia. Al-Quran menyatakan bahawa dalam penciptaan manusia, Tuhan menciptakan alam sekitar terlebih dahulu. Turut dijelaskan juga bahawa, alam sekitar sengaja dicipta untuk kemudahan bagi manusia.

Firman Allah, “Dia-lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui.” (Surah al-Baqarah 2:22)

Manusia dan Alam

Dalam wacana Islam yang bersumberkan al-Quran dan Hadis, yang selalu dikemukakan ramai ilmuwan Islam berkisar pada tiga perkara besar, iaitu, teologi, syariah dan tasawwuf.

Wacana teologi melibatkan kepercayaan terhadap Tuhan, seperti bagaimana wujudnya Tuhan, apakah Tuhan itu sama dengan makhluk atau tidak dan sebagainya. Wacana syariah pula, melibatkan amalan perbuatan yang diambil dari al-Quran atau Hadis, seperti solat, puasa, hudud, urusan jual beli dan sebagainya.

Ada satu lagi yang tidak kurang penting juga wacananya, iaitu tasawwuf. Wacananya melibatkan urusan hati manusia – bagaimana hendak memastikan manusia menjadi baik dengan sebenar, bukan kerana berlakon dan buat-buat.

Dalam wacana tasawwuf, perbincangannya bermula dengan tajuk bahawa manusia itu mempunyai nafsu dan akal. Sifat asas bagi nafsu adalah menyeru kepada kehancuran. Akal pula, mengawal nafsu agar tidak membentuk pergerakan manusia dari melakukan kehancuran tersebut.

Dalam Al-Quran, Tuhan menyebut bahawa terdapat manusia yang melakukan kerosakan. Tetapi, semasa mereka melakukan kerosakan itu, mereka mendakwa bahawa tindakan mereka itu adalah kebaikan. Firman Allah: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah 2:11)

Tindakan mereka itu sebenarnya berasaskan penilaian nafsu mereka. Namun, berdasarkan penilaian akal pula, tindakan tersebut hakikatnya adalah kerosakan. Memandangkan nafsu mereka menguasai akal, menyebabkan mereka menyatakan demikian tanpa mereka sedar. Firman Allah: “Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.” (Surah al-Baqarah 2:12)

Dengan sebab itu - apabila manusia melihat hutan yang mempunyai balak, bagi mereka yang mengikut nafsu serakah, mereka hanya anggap bahawa ia sebagai cara untuk mencari kekayaan. Makanya, balak ditebang dan dijual demi menghasilkan wang. Namun, bagi manusia yang menggunakan akal pula, mereka tidak mudah menebang balak untuk dijual, sebaliknya mereka akan berfikir terlebih dahulu, apakah tindakan mereka menebang balak itu memberi kerosakan kepada alam ataupun tidak.

Kawal Nafsu

Andai berlaku serangan musuh terhadap sesebuah negara, Islam mengajar bahawa pihak tentera dilarang dari merosakkan tanaman selama ia tidak menghalang dari kelicinan melawan serangan musuh. Demikian juga dalam Hadis, diceritakan bahawa Nabi berpesan agar kehijauan alam perlu dijaga dengan alasan, ia memberi udara yang baik - merupakan sumber manusia bernafas.

Al-Quran juga menjelaskan bahawa banyak kehancuran berlaku di atas daratan dan lautan, berpunca dari tangan manusia. Firman Allah, “Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum 30:41)

Kerosakan alam berlaku, apabila manusia tidak menggunakan akal mereka untuk berfikir bahawa tanpa penjagaan alam sekitar bahawa mereka tidak mendapat kebaikan dalam kelangsungan hidup. Dengan alam sekitar yang sihat, mereka mendapat penghidupan yang baik, udara untuk bernafas, makanan, minuman yang sihat – semua itu merupakan asas utama kehidupan yang sihat. Tanpa berfikir dengan baik, menyebabkan pelbagai kerosakan alam berlaku.

Di Malaysia pun, seperti dalam tahun 2014 yang lalu, terdapat laporan berita bahawa terdapat pengeksploitasian sumber alam yang melampaui batas sehingga menyebabkan hilangnya kebersihan alam sekitar. Ini ditambah pula dengan kewujudan segelintir masyarakat yang sanggup melanggar undang-undang semata-mata untuk memerah sumber alam. Contohnya pencerobohan 40 hektar tanah di Janda Baik, Pahang sedangkan kawasan hutan ini telah diwartakan sebagai hutan simpan.

Pencerobohan tanah ini didalangi oleh sindiket yang mengupah warga asing untuk mengusahakan secara haram tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Sindiket ini telah lama beroperasi di kawasan hutan ini sehinggakan mereka telah dapat menuai hasil tanaman itu sendiri. (Lum Chee Hong, Janda Baik Kena Ceroboh, Berita Harian, 8 Ogos 2014, hlm 10)

Penutup

Dari kupasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, al-Quran menjelaskan bahawa alam sekitar diciptakan Tuhan terlebih dahulu dari penciptaan manusia. Ini kerana, alam merupakan “infrastruktur” bagi manusia. Tanpa alam, manusia tidak dapat mendapat kelangsungan hidup yang baik.

Kedua, al-Quran juga menjelaskan bahawa terdapat manusia yang lebih menggunakan nafsu berbanding menggunakan akal – mereka sanggup merosakkan alam hanya semata-mata mereka mahu mendapat keuntungan wang sahaja.

Ketiga, tindakan merosakkan alam adalah perkara yang amat terlarang dalam agama Islam. al-Quran pernah menjelaskan, bahawa golongan yang melakukan kerosakan ini sering sahaja mendakwa, tindakan mereka itu sebagai baik. Tetapi, al-Quran menafikan dengan menyatakan bahawa hakikat tindakan mereka itu adalah keburukan.

*Disiarkan versi bahasa Cina-nya di Oriental Daily (6 Disember 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/mingjia/2019/12/06/317552
**Kredit gambar: Sarawak Report

Facebook Comments