Print Friendly, PDF & Email

Dalam hal perkahwinan, al-Quran yang merupakan kitab suci Islam menegaskan tujuannya adalah kasih sayang dan saling mencintai sesama suami dan isteri (Surah al-Rum 30:21). Dalam pada itu, sifat kebertanggungjawaban terhadap pasangan juga ditekankan. Ekoran itu, al-Quran menegaskan bahawa apabila sudah tidak ada kasih sayang dan saling mencintai sudah terluput sehingga melahirkan kekalutan dalam rumah tangga, al-Quran menjelaskan penceraian suami dan isteri perlu diikat dengan sifat bertanggungjawab seperti larangan dari menceraikan isteri dia sedang kedatangan haid kerana hormati emosi wanita, berpisah itu dengan cara yang baik dengan setiap pihak tidak memburukkan pihak yang lain dan sebagainya. (lihat surah al-Talaq 65:1-2)

Dalam pada wujud perbincangan berkenaan tanggungjawab, antara perkara yang menjadi wacana Islam dalam hal perkahwinan adalah apa yang diistilahkan sebagai nusyuz. Dalam Islam, apabila berlaku perceraian antara suami dan isteri, al-Quran menyatakan bahawa pihak suami tidak boleh terus lepaskan isteri yang diceraikan, tetapi dalam jangka tiga kali suci dari haid, pihak suami wajib memberikan nafkah kepada si isteri. Iaitu, perlu sediakan tempat tinggal dan makan minumnya.

Makanya, jika pihak suami berhujah di mahkamah syariah – membuktikan bahawa isterinya nusyuz, makanya, hak nafkah si isteri yang diceraikan itu tergugur.

Apa itu nusyuz?

Dalam sudut pandangan masyarakat Melayu muslim di Malaysia, ungkapan nusyuz difahami sebagai kesalahan yang dilakukan oleh pihak isteri terhadap suami. Mereka seakan-akan tidak tahu langsung bahawa kesalahan suami terhadap isteri juga boleh berlaku. Dengan erti kata lain, nusyuz juga berlaku suami terhadap isteri.

Dari sudut fiqh Islam, nusyuz bermaksud suami atau isteri yang meninggalkan tanggungjawab mereka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Dengan makna, mana-mana suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing, maka mereka akan dikira sebagai nusyuz.

Antara tindakan isteri yang boleh dikira sebagai nusyuz adalah seperti si isteri itu tidak mahu bersetubuh dengan suami tanpa sebab yang munasabah, si isteri mencela dan memaki hamun suami dan sebagainya.

Demikian juga lelaki – antara tindakan nusyuz lelaki terhadap isteri adalah seperti tidak menyediakan nafkah dan belanja kepada isteri dan anak-anak, tidak memberikan hak seksual kepada isteri, mencela dan memaki hamun isteri tanpa alasan yang munasabah, tidak memberikan pendidikan kepada isteri dan sebagainya.

Dari sudut perundangan, apabila seseorang isteri yang dicerai itu berjaya disabitkan sebagai nusyuz, tidak salah hakim mahkamah syariah mengugurkan kewajipan nafkah suami terhadap dirinya. Jika tidak bercerai, Islam mencadangkan kepada suami menggunakan pendekatan yang paling bijaksana bagi memastikan isteri itu berhenti dari nusyuz, seperti memboikot dengan tidak bercakap. Menurut saranan al-Quran (Surah al-Nisa’ 4:34) pula, ada tiga peringkat untuk hadapi isteri yang nusyuz, iaitu – pertama, memberi nasihat kepada si isteri agar takutkan Allah. Kedua, memisahkan dia dari tempat tidur. Dan ketiga, dibenarkan dilakukan “Darb” kepada si isteri yang ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maknanya – ada ulama menafsirkan sebagai pukul yang tidak meninggalkan sebarang kesan pada kulit, dan ada ulama lain menafsirkannya sebagai menceraikan isteri tersebut dengan cara yang baik.

Itu jika nusyuz di pihak perempuan. Adapun nusyuz dari pihak lelaki pula, seperti lelaki tidak bersetubuh dengan isteri, atau tidak memberikan nafkah dan belanja kepada si isteri, kedekut terhadap isteri dan anak-anak dan sebagainya. Ini bersandarkan kepada firman Allah dalam surah al-Nisa 4:128.

Dari sudut perundangan, jika sabit kesalahan nusyuz suami, tidak salah bagi mahkamah syariah menahan perbelanjaan suami, menetapkan bayaran secara perundangan terhadap si isteri dan sebagainya.

Kesimpulan

Dari huraian berkenaan nusyuz ini, disimpulkan seperti berikut:

Pertama, kesalahan dalam rumah tangga, tidak semestinya dilakukan oleh isteri terhadap suami, malah suami juga boleh lakukan kesalahan terhadap isteri. Dengan sebab itu, ungkapan nusyuz hanya ditujukan kepada wanita sepertimana kefahaman kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia adalah tidak tepat.

Kedua, apabila seseorang suami yang bercerai dengan isterinya, lalu menuduh isterinya itu nusyuz, proses pembuktian adalah perlu. Apabila terbukti si isteri benar-benar nusyuz, maka tidak salah hakim mahkamah syariah menggugurkan kewajipan nafkah suami terhadap isteri yang diceraikan itu.

Ketiga, andai isteri itu nusyuz, tetapi tidak membawa kepada perceraian, maka al-Quran menyarankan agar melakukan tiga perkara: (a) memberi nasihat, (b) memisahkan isteri dari tempat tidur, (c) melakukan “al-Darb”, yang ulama berbeza pendapat maksudnya – ada sebilangan ulama tafsirkan memukul dengan pukulan mengajar dan tidak boleh meninggalkan kesan pada kulit; dan ada ulama lain menafsirkan sebagai menceraikan isteri dengan cara yang baik.

Keempat, nusyuz lelaki pula, seperti lelaki tidak memberikan nafkah kewangan, tidak setubuhi isterinya, memukul isteri sehingga meninggalkan kesan pada kulit, mencederakan isteri, memaki hamun isteri dan sebagainya. Suami yang didapati nusyuz terhadap isteri, tidak salah mahkamah syariah tentukan hukuman kepada suami terbabit, seperti menetapkan kadar bayaran yang wajib diberikan kepada si isteri dan sebagainya.

*Versi bahasa Cina tulisan ini disiarkan di Oriental Daily (22 Disember 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/wenhui/2019/12/22/319708

Facebook Comments