Print Friendly, PDF & Email

Sebuah program melibatkan tatu menggunakan logo Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencetuskan perbahasan di media sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia. Program yang sudah diamalkan sejak beberapa tahun itu tidak pernah heboh kecuali pada hari ini.

Heboh itu kerana, tersebar beberapa keping gambar di media sosial berkaitan dengan beberapa orang lelaki dan perempuan yang berbogel dalam pada mereka juga bertatu. Rata-rata komen melahirkan kemarahan, sama ada dari penyokong kerajaan sendiri, apatah lagi dari pihak pembangkang yang sedia mencari kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.

Secara dasarnya, rata-rata yang marah itu bukan kerana acara tatu. Tetapi, kemarahan itu tertumpu, apabila program itu menampilkan beberapa orang lelaki dan perempuan yang berbogel. Pada mereka, berbogel adalah suatu yang tidak wajar berlaku – apakah kebaikan yang negara dapat dalam promosi kebudayaan dengan menampilkan watak berbogel tersebut.

Kebudayaan Warga Borneo

Dari sudut bertatu pula, tidak dinafikan ada yang melahirkan kemarahan. Tetapi, bagi mereka yang rasional dan memahami kebudayaan yang mahu dipamerkan dalam program terbabit, mereka tidak ambil tahu sangat berkenaan isu bertatu tersebut.

Apatah lagi, bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, amalan bertatu bukan sekadar kebiasaan mereka, malah setiap bentuk dan rekaan tatu itu mempunyai maksudnya tersendiri. Tidak kurang juga dakwaan bahawa tatu dianggap sebagai identiti dan jati diri asal usul mereka.

Contohnya, di Sarawak, budaya bertatu pernah menjadi suatu kemestian bagi menandakan keberanian dan kepahlawanan seseorang lelaki Iban. Ukiran tatu ini juga dijadikan sebagai azimat atau pendinding bagi masyarakat Iban.

Justeru, pameran tatu yang melibatkan masyarakat mereka sedikit sebanyak sebagai promosi terhadap seni dan budaya masyarakat Malaysia untuk memperkenalkan negara kita kepada masyarakat luar.

Islam melihat Tatu

Walau bagaimanapun, dari sudut Islam pula, lahir persoalan berkenaan sikap Islam terhadap bertatu. Di Malaysia, pihak Jabatan Mufti di beberapa buah negeri, terutama Wilayah Persekutuan dan Pahang telah mengeluarkan kenyataan bahawa amalan bertatu adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Fatwa yang dikeluarkan itu berasaskan kepada satu Hadis Nabi saw yang berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan dan yang mencucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu.” (al-Bukhari, Hadis no : 5937)

Dalam fatwa tersebut, bukan sekadar menyatakan ia bercanggah dengan ajaran Islam sehingga dinyatakan sebagai haram, malah pihak Jabatan Fatwa juga mendesak agar orang yang sudah bertatu cuba membuang tatunya itu sedaya-upaya. Namun, andai membuangkan itu mendatangkan mudharat kepada badan, maka baru ia tidak perlu dibuangkan.

Itu fatwa yang terdapat di Malaysia. Tetapi, jika dilihat pada fatwa-fatwa ulama di negara Arab. Contohnya, Syaikh Dr Ali Jumu’ah yang merupakan bekas mufti Mesir pernah ditanya berkenaan isu tatu ini.

Dalam komentar, beliau mengklasifikasikan tatu kepada beberapa jenis dengan kesimpulan hukum yang berbeza. Perbahasan beliau itu kerana merujuk kepada pemaknaan tatu yang tidak sama dengan maksud “wasym” dalam bahasa Arab yang rata-rata ilmuwan muslim menterjemah sebagai tatu.

Dalam komentar beliau, dinyatakan bahawa “wasym” itu adalah proses mencucuk kulit dengan jarum sehingga mencapai tiga lapis kulit. Ia sudah pasti tidak dapat dihilangkan. Ini berbeza dengan beberapa jenis tatu yang digunapakai oleh masyarakat moden. Apatah lagi, ada jenis-jenis tatu tertentu sekadar lapisan kulit yang pertama sahaja.

Pada Syaikh Dr.Ali Jumu’ah, ada jenis tatu yang tidak dilarang itu, jika ada beberapa faktor: pertama, jenis tatu yang tidak sampai kepada tiga lapisan kulit. Kedua, tatu tersebut tidak menghalang air dari sampai ke kulit. Syarat kedua ini ditetapkan, kerana bagi setiap muslim, wajib bagi mereka mandi wajib – iaitu dengan meratakan air ke seluruh badan dengan sebab bersetubuh dengan isteri, atau keluar air mani dan sebagainya.

Walaupun beliau menyatakan jenis-jenis tatu yang dibenarkan itu, beliau tetap bertegas bahawa ia wajar dielakkan.

Penutup

Dari perbahasan ringkas ini, disimpulkan seperti berikut:

Pertama, amalan bertatu tidak wajar dijadikan isu. Apatah lagi, jika ia melibatkan masyarakat non-muslim. Bagi masyarakat muslim pula, isu tatu menjadi sukar untuk diselesaikan, kerana jabatan mufti pernah mengeluarkan kenyataan melarang muslim dari bertatu.

Kedua, dari sudut perbahasan ilmuwan Islam di negara Arab, didapati mereka tidak meletakkan semua jenis tatu sebagai dilarang. Terdapat perbahasan perincian dalam hal ini, sehingga ada jenis yang dibenarkan dan ada jenis yang tidak dibenarkan.

Ketiga, isu yang dibisingkan baru-baru ini, walaupun ada sebilangan masyarakat muslim di Malaysia yang membangkitkan soal tatu. Tetapi, kalangan mereka itu tidak ramai. Yang paling ramai, mereka bangkitkan soal program terbabit menampilkan beberapa individu yang berbogel – mereka hanya memakai seluar dalam sahaja.

*Versi bahasa Cina tulisan ini disiarkan di Oriental Daily (13 Disember 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/mingjia/2019/12/13/318526

Facebook Comments