Print Friendly, PDF & Email

Andrea Kan, namanya mungkin tidak lekat dalam ingatan kita, dan ramai dalam kalangan kita tidak mengenalinya jikapun bersemuka dengannya. Hakikatnya ramai antara kita mungkin pernah bersorak untuknya ketika beliau berucap. Andrea Kan adalah pengerusi Mama Bersih, satu NGO yang ditubuhkan sebelum Himpunan Bersih 3 pada 28 April 2012.

Tidak ramai antara kita berpengalaman untuk berucap di khalayak ratusan ribu manusia. Andrea antara wakil yang dijemput untuk memberikan ucapannya dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat #HKR112 di Stadium Merdeka pada tahun 2013. Adegan ini menjadi buah mulut rakan-rakannya, ketika menyelak kisah-kisah lama.

“Saya berdiri di atas pentas. Ratusan ribu mendengar ucapan saya. Ratusan ribu bersorak untuk saya. Siapapun, sudah tentu dilambung keghairahan dalam suasana sebegitu. Tetapi, apabila diimbas kembali, bukan main gentarnya saya ketika itu.” Andrea dipetik berkata sedemikian oleh rakannya, Tan Sek Choong.

Cebisan ingatan ini akan disimpan selama-lamanya, oleh rakan-rakan Andrea yang merinduinya. Andrea telah meninggal dunia akibat kanser usus pada 20 Januari 2020.

Dalam hidup, manusia terperangkap dengan godaan yang pelbagai. Kuasa, pangkat, nama, nikmat kebendaan, nafsu dan sebagainya. Malah, kita sebagai insan yang biasa, melambung juga jikalau dibuai dengan tepukan dan sorakan, atau “Like” dan “Share” di laman sosial. Tidak ramai yang diuji dan teruji – tetap sedar di mana diri kita berada, dan kekal rendah diri sungguhpun diangkat dengan pujian.

Andrea Kan antara insan yang tetap jujur pada dirinya ketika berada pada kedudukan begitu. Mendiang tidak mengejar nama, dan tidak lupa diri sungguhpun dikalungkan dengan gelaran dan pujian yang berbunga-bunga. Setelah menyaksikan bagaimana tokoh-tokoh kita berubah wajah setelah mengecapi kuasa dan pangkat, sikap dan perwatakan yang ditampilkan oleh Andrea, cukup besar makna dan nilainya.

Ini perwatakan peribadinya. Hakikatnya, Andrea beraksi di atas pentas sejarah, dan menyumbang untuk menjana momentum perubahan dalam politik tanahair Malaysia.

“Apabila peguam berarak, maksudnya ada sesuatu yang tidak kena dengan negara ini.” Ayat ini keluar dari bibir Ambiga Sreenevasan ketika memimpin perarakan peguam pada 26 September 2007. Jikalau ia diubahsuai dalam konteks kebangkitan Mama Bersih pada tahun 2012, ia seakan-akan berbunyi, “Apabila kaum ibu dan suri rumah tangga tampil ke depan, maksudnya sesuatu yang tidak kena dengan negara ini.”

Apa tidaknya? Untuk sekian lama kaum ibu distereotaipkan sebagai watak yang paling “pengecut” dan “konservatif” dalam keluarga. Penampilan Mama Bersih dalam gerakan sosial mulai tahun 2012, memecah imej stereotaip sebegini. Ramai yang tertanya-tanya, mengapa kaum wanita yang dianggap lemah-lembut, takut dengan huru-hara, sanggup turun ke jalan raya untuk memperjuangkan demokrasi?

Bukan itu sahaja, gelombang ini mengombak kerana gerak kerja Mama Bersih, dalam masyarakat Cina. Mereka menerbitkan risalah dan mengedarkannya di pasar malam. Mereka menyeru agar warga yang layak mendaftarkan diri sebagai pengundi. Mereka menyertai perhimpunan dan perarakan. Penampilan mereka mencungkil satu persoalan untuk semua, kalau kaum ibu boleh, mengapa anda tidak?

Apa yang menarik, kumpulan Mama Bersih ini bukan berasal dari latar belakang politik. Mereka bukan pertubuhan Cina bersejarah, yang terkenal dan terulung. Mereka mengerah tenaga melalui laman sosial ketika itu, Facebook, dan saling tidak mengenali sebermulanya. Mereka hanya berkongsi matlamat yang sama. Suara mereka berkumandang sebagai suara arus perdana. Mereka enggan berlagak seolah-olah mereka berkecuali. Dengan lantang mereka menyatakan pendirian untuk menumbangkan kerajaan yang korup.

Andrea Kan seorang isteri, juga seorang ibu yang biasa, yang mungkin bukan orang yang paling petah untuk berhujah dalam hal-hal politik. Misi gerakan sosial ini barangkali terlalu berat untuk dipikul olehnya. Namun, apabila situasi begitu terdesak dan memerlukan kepimpinan, Andrea terpanggil untuk menggalasnya, mencuba sedaya-upaya untuk melakukan segala yang terbaik, demi masa depan tanahair ini.

Bukan untuk kuasa, bukan kerana pangkat. Andrea Kan menyempurnakan misinya sebagai ibu yang sayangkan anak-anaknya, dan sebagai warga negara yang cinta kepada tanahairnya. Terima kasih, Andrea, dan salam takziah kepada keluarganya. Kita semua bersyukur kerana memiliki Andrea sepanjang perjuangan ini.

*Tulisan ini disiarkan di mingguan Amanah.

Facebook Comments