Dalam masyarakat Melayu, heboh seseorang bernama Sajjad. Dalam masyarakat Melayu, beliau terkenal sebagai seorang jutawan kosmetik. Dalam masyarakat Melayu, amat popular bahawa beliau seorang transgender atau ungkapan Melayu sebagai “Mak Nyah”, atau dalam sebutan orang Indonesia sebagai “waria” yang merupakan gabungan antara “Wanita” dan “Pria”.
Baru-baru ini, beliau ke Mekah untuk menunaikan ibadat Umrah. Memandangkan Mekah adalah kota ibadat yang dianggap suci oleh orang Islam, sudah pasti terdapat banyak pantang larang yang perlu dijaga. Tambahan pula, Mekah yang berada di bawah penguasaan negara Saudi Arabia – sebuah negara yang mempunyai undang-undang tersendiri, ketat dan keras. Ia sudah pasti mengundang pelbagai komen dan respon.
Di media sosial pula tidak ketinggalan membincangkan isu ini. Ada yang menyokong tindakan Sajjad ke mekah. Ada yang menyuruh agar Sajjad bertaubat terlebih dahulu – sebelum ke Mekah bahawa berubah watak lelaki terlebih dahulu. Ada pula yang mencela. Tidak kurang juga membuat komen – mendesak agar kerajaan Saudi yang mempunyai undang-undang keras terhadap golongan transgender agar menangkap Sajjad.
Sikap
Ada dua kelompok muslim dalam melihat isu ini. Pertama, kelompok yang mengambil sikap keras terhadap transgander. Kedua, kelompok yang mengambil sikap tenang.
Bagi kelompok yang bersikap keras, alasan mereka bahawa tindakan berlembut dengan golongan transgander adalah bermaksud berlembut dengan amalan dosa. Mereka merujuk kepada Hadis - daripada Ibnu Abbas ada berkata: “Nabi saw melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”
Bagi menjawab alasan ini, dijelaskan bahawa Islam menekankan soal akhlak biarpun berhadapan dengan orang yang berdosa. Dalam Hadis, diceritakan pada zaman Nabi, terdapat seorang peminum arak yang merupakan dosa besar dari kaca mata Islam. Mengetahui itu, Nabi saw mengarahkan para sahabat menepuk dengan kuat pada badan peminum arak itu sebanyak 40 kali. Ada dari kalangan sahabat yang menepuk itu, ada yang mencela peminum arak itu. Mendengar celaan tersebut, ternyata Nabi saw marah seraya berkata: “Sesungguhnya aku tahu, dia sayangkan Allah dan RasulNya.”
Dalam Hadis juga ada yang bercerita bahawa pada zaman Nabi ada seorang Mak Nyah bernama Hit. Suatu hari, Nabi pulang ke rumah isteri baginda bernama Ummu Salamah. Sesampai di rumah, Baginda dapati Hit berada di rumah tersebut. Ketika itu, Hit berbual dengan Abdullah bin Abi Umayyah yang merupakan adik sebapa kepada Ummu Salamah. Nabi memerhatikan segala perbualan mereka.
Tengah mereka berbual, Hit mencadangkan kepada Abdullah agar menikahi anak perempuan Ghailan. Lalu Hit pun menyatakan bahawa perut anak perempuan Ghailan itu punyai empat lapis, dan belakangnya ada lapan lapis. Mendengar dia berkata begitu, Nabi terus berkata: “Jangan mereka ini masuk dalam rumah kamu lagi.”
Hadis ini difahami oleh seorang ulama dari Mesir, Dr Syed Tantawi bahawa yang nabi marah itu, apabila mak nyah tersebut mula bercerita berkenaan tubuh badan wanita. Namun, sekadar berkawan dengan Ummu Salamah, ia tidak dilarang.
Dengan sebab itu, walaupun melakukan amalan transgender itu dipercayai sebagai dosa oleh ramai orang Islam, tetapi menghina dan mencela mereka bukan satu tindakan yang sesuai dengan akhlak Islam.
Pandangan Berani
Dalam wacana ulama Islam terdahulu, teknologi perubatan masih terbatas. Dengan sebab itu, dalam melihat isu transgender, agak sukar berjumpa sesuatu pendapat ulama kecuali yang keras. Walau bagaimanapun, teknologi yang semakin berkembang. Dengan itu, kefahaman sebilangan ilmuwan Islam terhadap transgender juga berubah.
Dalam tahun 1980, ada seorang pemuda berwatak lembut seperti wanita di Mesir bernama Syed Abdullah. Menurut ceritanya, beliau mengalami kemurungan yang dahsyat yang mana pakar psikologi telah menyatakan beliau mengalami “psychological hermaphroditism”.
Kemurungan yang beliau hadapi tidak dapat diselesaikan sehingga beberapa orang pakar psikologi mencadangkan agar beliau dilakukan pembedahan jantina. Pembedahan itu berlaku sehingga beliau menukar nama kepada Sally.
Berikutan itu, Mufti Mesir ketika itu, Syaikh Dr Syed Tantawi (yang kemudiannya menjadi Syaikhul Azhar – Rektor Universiti al-Azhar) mengeluarkan satu fatwa – menyatakan bahawa hukum melakukan pembedahan tukar jantina bagi individu-individu yang menghidapi penyakit seperti Sally adalah harus. Walau bagaimana pun, beliau turut menjelaskan bahawa keharusan itu terikat kepada syarat-syarat yang ketat. (sila rujuk buku bertajuk - Islam al-Daulah al-Misriyyah : Maftu wa Fatwa Dar al-Ifta’, hlm 409 – 426)
Pertama, ia berlaku pada individu sifat lembut itu sejak dilahirkan lagi dan tidak ada cara lain untuk merawat penyakit tersebut kecuali dengan cara pembedahan tukar jantina sahaja. Ini berasaskan kepada Hadis: “Sesungguhnya Allah tidak akan mendatangkan sesuatu penyakit kecuali akan disertakan sama ubat.”
Kedua, hendaklah mendapat penjelasan dan jaminan dari doktor yang dipercayai. Ini selaras dengan firman Allah: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl 16:43)
Ketiga, ia tidak dilakukan kerana sesuka hati. Ini selaras dengan firman Allah: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.” (Surah Yusuf 16:53)
Walau bagaimanapun, fatwa beliau mendapat tentangan dari sebilangan ulama Islam. Antara hujah-hujah penolakan itu adalah merujuk kepada Hadis bahawa Nabi saw melaknat lelaki yang menyerupai perempuan, dan perempuan yang menyerupai lelaki.
Syaikh Dr Syed Tantawi menjawab bahawa Hadis tersebut dikhususkan kepada lelaki yang pada asalnya adalah lelaki, kemudian dia mengubah cara hidupnya dengan mahu menjadi perempuan. Demikianlah perempuan yang mahu menjadi lelaki.
Penutup
Dalam menanggapi sikap muslim dalam melihat isu transgender, tidak dinafikan sikap keras lebih mendominasi berbanding yang mengambil sikap damai. Walau bagimanapun, semua sikap yang dipamerkan itu tidak semestinya mewakili sifat asal bagi agama Islam.
Apatah lagi, dalam dunia pada hari ini, banyak tindakan muslim yang dianggap sebagai ajaran agama, walhal kadangkala sikap itu tidak semestinya benar-benar mengikut ajaran agama Islam.
*Tulisan ini (versi bahasa Cina) disiarkan dalam Oriental Daily pada 9 Februari 2020.
**Gambar dipetik dari Astro Awani.
Facebook Comments