Oleh Wan Ji bin Wan Hussin
Wabak Covid-19 menyerang dunia. Malaysia antara yang tidak ketinggalan berhadapan dengan serangan ini. Wabak ini amat mudah menimpa manusia. Melalui salaman, sentuhan, malah melalui batuk dan bersin dari pesakit juga boleh menyebabkan virus terbabit tersebar.
Memandangkan itu keadaannya, sebarang himpunan perlu dihentikan dengan kadar paling segera. Ini kerana, himpunan ini menjadikan manusia berhimpit-himpit, mudah berlaku sentuhan seperti bersalaman, batuk dan bersin mudah terjadi; semua ini memudahkan wabak terbabit tersebar.
Apatah lagi, setakat ini wabak semakin ketara tersebar selepas berlaku himpunan Jemaah Tabligh bertempat di markas utama mereka, Masjid Sri Petaling. Demikian juga, kesilapan dalam pengumuman pertama Perdana Menteri yang melahirkan salah faham – memberi implikasi berhimpun ramai di Stesen Bas, terutama di TBS yang melibatkan mahasiswa yang mahu pulang ke kampung halaman kerana arahan kosongkan universiti. Juga beberapa buah balai polis, ekoran suruhan rentas negeri perlu mendapat borang kelulusan dari pihak polis terlebih dahulu.
Dalam pada isu-isu sebegini sedang dibincangkan, tidak ketinggalan juga yang dibincangkan dalam kalangan orang Islam adalah amalan solat jumaat yang ia tidak boleh ditunaikan kecuali perlu dalam himpunan orang ramai – paling kurang, bilangan 41 orang lelaki (perempuan tidak terlibat) di sesuatu masjid.
Solat Jumaat
Solat jumaat adalah salah satu ibadat berbentuk solat yang diwajibkan kepada muslim dari kalangan lelaki dalam bentuk berhimpun di beberapa tempat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan yang memerintah. Dalam ibadat solat itu, terdapat dua kali khutbah dan dua rakaat solat yang dilakukan secara berjemaah.
Pada setiap hari, setiap muslim akan menunaikan solat sebanyak lima waktu, iaitu solat subuh di awal pagi (disebut fajar sodiq – bermula keluar cahaya warna oren di kaki langit, sebelum matahari timbul), solat zohor di tengahari (gelincir matahari), solat asar di sebelah petang, solat maghrib di awal tenggelam matahari di kaki langit dan solat isyak di awal malam, iaitu hilang warna kemerah-merahan cahaya matahari yang tenggelam di waktu malam.
Pada hari jumaat, semua solat ditunaikan seperti biasa kecuali solat zohor sahaja – ia digantikan dengan solat jumaat. Ketika solat zohor ditunaikan, bilangan rakaatnya sebanyak empat kali. Apabila solat jumaat ditunaikan, bilangan empat rakaat sudah digantikan kepada dua sahaja, dan dua rakaat berbaki digantikan dengan khutbah sebanyak dua kali.
Dari sudut sejarah, solat jumaat ini salah satu pembeza antara muslim dengan yahudi dan Nasrani. Orang Yahudi berhimpun pada hari sabtu, orang Nasrani berhimpun pada hari ahad, makanya hari jumaat sebagai hari himpunan ibadat bagi orang Islam.
Kalimah “Jumaat” itu sendiri adalah kalimah Arab yang bermakna “berhimpun”. Sebelum kedatangan Islam, hari tersebut dinamakan sebagai “Yaum al-‘Arubah” yang bermakna hari rahmat dan kasih sayang.
Berhimpun pada hari tersebut, bukan sekadar berlaku pada zaman Islam. Sebelum kedatangan Islam, hari ‘Arubah sudah menjadi hari himpunan mingguan masyarakat Arab di Mekah. Mereka berhimpun di sesuatu tempat dalam kota Mekah, ketua-ketua kabilah Arab akan berceramah dan berkhutbah, menyampaikan pesanan dan nasihat-nasihat yang baik, termasuk menyebut kedatangan seorang nabi dari keturunan Nabi Ibrahim melalui anaknya yang bernama Ismail, iaitu seorang nabi akhir zaman bernama Muhammad.
Zaman Islam
Sepertimana kita tahu, Nabi saw dilahirkan di Mekah dan memulakan dakwah baginda di situ. Tetapi, tekanan yang dilakukan oleh masyarakat Mekah terhadap Nabi ekoran dakwah Islam, menyebabkan Baginda dan orang-orang Islam yang minoriti di Mekah telah berpindah ke Madinah. Dalam sejarah Islam, ia disebut sebagai hijrah.
Ibn Abbas yang merupakan sepupu Nabi menceritakan bahawa solat jumaat sudah diwajibkan sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah lagi. Tetapi, baginda tidak tunaikan kerana bilangan orang Islam ketika itu tidak ramai[1].
Apabila nabi saw berhijrah ke Madinah, baginda saw telah menulis kepada seorang sahabat bernama Mus’ab bin ‘Umair yang lebih awal bertolak dari Mekah bahawa dia menunaikan solat jumaat di Madinah. Ketika Mus’ab menunaikan solat jumaat, bilangan orang bersama beliau adalah 12 orang[2].
Walau bagaimanapun, kisah ini diragui oleh sebilangan pengkaji sejarah. Di sana terdapat riwayat lain yang menjelaskan, orang yang mula-mula menunaikan solat jumaat adalah Abu Umamah As’ad bin Zurarah. Ketika itu, bilangan orang yang menunaikan solat jumaat tersebut seramai 40 orang lelaki[3].
Menurut al-Zarqani, ketika Baginda saw berhijrah ke Madinah, baginda sampai terlebih dahulu di suatu tempat bernama Quba’. Kemudian, Baginda menuju ke Madinah yang ketika itu, pada hari jumaat. Sesampai Baginda di rumah Bani Salim, Baginda menunaikan solat di situ bersama dengan sahabat seramai 100 orang. Ada riwayat lain kata seramai empat puluh orang. Kini rumah tersebut sudah dijadikan masjid yang dikenali sebagai Masjid Jumaat.
Bilangan orang yang menunaikan solat jumaat
Dalam kalangan ulama Islam, terdapat beberapa sikap berkenaan bilangan minima bagi orang yang menunaikan solat jumaat. Secara dasarnya, diklasifikasikan seperti berikut:
Pendapat yang tidak diamalkan:
Pertama, Ibn Hazm berpendapat, bilangan minima adalah seorang. Pendapat ini ditolak dengan hujah bahawa bilangan jemaah tidak akan berlaku dengan seorang.
Kedua, Al-Nakhaie, al-Syawkani dan ahli Zahir menyatakan, paling minima seramai dua orang. Hal ini kerana solat Jemaah sudah terjadi dengan kadar bilangan dua orang – merujuk kepada Hadis bahawa Nabi saw ada menunaikan solat Jemaah bersama sepupu baginda, Ibn Abbas yang ketika itu berumur 10 tahun di rumah salah seorang isteri Baginda bernama Maimunah.
Pendapat yang diamalkan:
Pertama, Al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad al-Syaibani dari mazhab Hanafi berpendapat, bilangan minima orang menunaikan solat jumaat adalah tiga orang termasuk Imam. Pada mereka, syarat bagi sah solat jumaat itu, paling minima adalah dua orang pendengar khutbah.
Kedua, Abu Hanifah, Awzaie, Abu Thur menyatakan, bilangan minima untuk sah solat jumaat adalah empat orang termasuk imam. Ini disandarkan kepada Hadis Ummu Abdillah al-Dusiyyah bahawa (Solat jumaat itu adalah wajib bagi setiap qaryah (sesuatu penempatan) yang ada imam. Ia tidak akan berlaku kecuali bilangan empat orang”[4]. Hadis ini dinilai lemah oleh Tibrani. Walau bagaimanapun, pendapat ini turut digunapakai di beberapa buah negara seperti Pakistan dan India.
Ketiga, pendapat Ahmad bin Hanbal bahawa bilangan minima menunaikan solat jumaat adalah seramai 50 orang. Ini disandarkan suatu hadis riwayat Tibrani, tetapi Hadis itu dinilai lemah oleh Imam Sayuti.
Keempat, pendapat mazhab al-Syafie dan Umar Bin Abdul Aziz bahawa bilangan minima solat jumaat adalah 41 orang termasuk Imam. Ini disandarkan kepada Hadis daripada Abdullah bin Ka’ab yang menyatakan orang yang mula-mula menunaikan solat jumaat adalah As’ad bin Zurarah. Ketika itu, bilangan yang solat bersama dengannya seramai 40 orang.
Dari sudut pengamalan di Malaysia, sepertimana diketahui umum, amalan mazhab di Malaysia yang dijadikan rujukan utama di mahkamah syariah adalah mazhab Syafie. Dengan itu, sebarang perkara yang melibatkan perundangan syariah, mazhab lain tidak dijadikan sandaran kecuali jika dibenarkan oleh Majlis Fatwa di peringkat negeri.
Memandangkan mazhab Syafie sebagai mazhab rujukan perundangan, sudah pasti dalam pengamalan solat jumaat di Malaysia terikat kepada pendapat yang menyatakan bilangan minima bagi solat jumaat adalah seramai 41 orang termasuk dengan Imam.
Wabak Covid-19
Memandangkan solat jumaat tidak boleh ditunaikan kecuali perlu mendapat bilangan minima 41 orang, sudah pasti menjadi isu apabila tersebar wabak Covid-19. Sepertimana sedia maklum, isu Covid-19 bukan sekadar di Malaysia, ia melibatkan hampir semua negara dalam dunia. Dengan sebab itu, wacana perkara ini tidak sekadar berlegar di Malaysia, malah menjadi wacana dalam kalangan ulama terkemuka dunia.
Di Malaysia, Majlis Fatwa Negeri Perlis antara yang terawal meminta agar solat jumaat tidak ditunaikan, sebaliknya digantikan kepada solat zohor seperti hari-hari yang lain. Demikian juga, solat zohor itu tidak ditunaikan secara berjemaah seperti kebiasaan, tetapi ditunaikan di rumah secara bersendirian sahaja.
Dalam dunia pula, antara yang terawal mengeluarkan fatwa tersebut adalah Syaikh Dr. Abdullah bin Bayyah, seorang ulama dari Mauritania yang pernah mendapat anugerah tokoh Ma’al Hijrah oleh kerajaan Malaysia pada saat Pakatan Harapan memerintah. Pandangan ini, walaupun mendapat kritikan, tetapi secara dasarnya ia diterima oleh majoriti ulama dalam dunia, termasuk ilmuwan-ilmuwan Islam di Malaysia.
Namun begitu, ada juga sebilangan yang tidak bersetuju. Walau bagaimanapun, hujah-hujah mereka, tidak lebih sekadar emosi, bukan berasaskan kepada kaedah penghujahan agama, malah ada yang tidak rasional. Tidak kurang juga, membawa hujah yang tidak berkaitan dengan isu.
Hujah Pertama
Solat jumaat adalah kewajipan dalam Islam yang tidak bersifat mutlak. Ia bersifat bersyarat. Dengan kata yang lain, jika syarat tidak cukup, maka kewajipan solat jumaat itu tertunda.
Secara analoginya, seperti kewajipan berbuat ibadat haji di Mekah pada setiap tahun. Secara dasarnya, al-Quran menjelaskan bahawa wajib bagi setiap muslim ke Mekah untuk melakukan ibadat Haji. Namun begitu, kewajipan itu diikat dengan syarat, iaitu perlu kemampuan untuk ke sana, seperti mempunyai kemampuan kewangan dan mempunyai kesihatan yang baik. Dengan erti kata lain, jika seseorang itu tidak ada kemampuan kewangan, ataupun ada masalah kesihatan, kewajipan ibadat Haji pada dirinya telah tergugur. Ini kerana, tiada kemampuan kewangan dan ada masalah kesihatan itu adalah syarat bagi ibadat haji yang tidak dapat dipenuhi.
Atau dalam contoh yang lain, seperti seseorang yang mahu berwudu’, dia perlu mendapatkan air. Namun, jika tidak ada air, maka dia tidak wajib berwudu’. Pun begitu, perlu digantikan dengan bertayammum dengan debu. Ini kerana, air adalah syarat wudu’ yang tidak dapat dipenuhi.
Dalam isu solat jumaat, tidak dinafikan bahawa ia wajib. Tetapi ia terikat dengan syarat. Antara syarat menunaikan solat jumaat adalah bilangan mesti mencapai had minima seramai 41 orang (seperti dalam perbahasan di atas). Dengan erti kata lain, andai bilangan sesuatu tempat (masjid atau surau) yang tidak sampai bilangan 41 orang, maka kewajipan solat jumaat sudah tergugur. Makanya, ditunaikan solat zohor sebagai ganti kepada solat jumaat.
Maka demikian juga dengan tersebar wabak Covid-19 yang terbukti secara pasti bahawa ia memberi bahaya pada nyawa manusia. Bermakna, jika syarat selamat nyawa tidak dapat disempurnakan, maka solat jumaat tergugur, lalu digantikan dengan solat zohor.
Hujah Kedua
Dalam al-Quran dijelaskan bahawa hukum Allah itu terbahagi kepada dua: Pertama, hukum yang berbentuk pensyariatan (tasyrik). Kedua, hukum yang berbentuk ketetapan alam (takwin).
Sebab – akibat seperti air yang membasah, api yang membakar adalah hukum yang berbentuk ketetapan alam (takwin). Menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat dan sebagainya- semua ini adalah hukum yang berbentuk pensyariatan.
Islam melihat, kedua-dua hukum ini perlu diseragamkan. Jika berselisih, maka keseragaman perlu dilakukan. Dengan sebab itu, Islam menetapkan secara pensyariatan bahawa babi haram dimakan. Namun, andai berlaku dalam suatu keadaan bahawa tiada makanan langsung kecuali babi yang jika tidak dimakan babi terbabit akan memberi kesan kepada bahaya nyawa, maka Islam menetapkan babi yang asalnya haram itu, ia dibenarkan makan sekadar untuk menjaga nyawa.
Sistem ini diajar dalam Islam kerana, hukum pensyariatan tidak boleh bercanggah dengan hukum alam. Malah, kedua-dua hukum ini diseragamkan, dan saling mengukuhkan.
Demikian juga dalam hal melibatkan larangan menunaikan solat jumaat, lalu digantikan dengan solat zohor pada saat wabak Covid-19 sedang menggila. Solat jumaat itu adalah hukum yang berbentuk pensyariatan, sedangkan wabak Covid-19 yang memberi bahaya pada nyawa adalah hukum alam. Mewajibkan solat jumaat juga pada saat virus ini sedang menggila menjadikan dua hukum bercanggah. Ini sudah pasti tidak bertepatan dengan dua sistem yang ditetapkan Tuhan.
Penutup
Al-Quran menyatakan bahawa Islam adalah agama yang selaras dengan fitrah manusia. Dengan sebab itu, Islam tidak pernah mengajar bahawa manusia bercanggah dengan alam.
Namun begitu, tidak dinafikan ada beberapa perkataan atau tindakan agamawan yang kelihatan bercanggah dengan sistem alam. Itu tandanya, perkataan dan tindakan agamawan itu tidak berpijak kepada asas bagi agama Islam diturunkan.
Sebagai penutup, dinukilkan pesanan seorang ulama Islam pada kurun ke 14 yang bernama al-Imam Syatibi yang pernah berkata: “Syariah itu diturunkan untuk memberi kebaikan kepada semua hambaNya (manusia)”.
[1] Sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni.
[2] Sepertimana dalam riwayat al-Tibrani
[3] Sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Hibban, ibn Majah dan al-Baihaqi
[4] Seperti yang diriwayatkan oleh Tibrani dan Ibn ‘Adi
*Kredit gambar: Malaysiakini
Facebook Comments