Hakikatnya, wacana “keresahan Melayu” lebih awal diperkenalkan dalam perbincangan politik komuniti Cina sebelum “Islam terancam” disuburkan dalam kalangan Melayu.
Saya tidak ingat secara tepat, sejak bilakah ia mula diperbincangkan. Namun, saya ingat bagaimana suasana masyarakat Melayu disingkap selepas Pakatan Rakyat (PR) gagal menawan Putrajaya dalam PRU13. Sepanjang tempoh berkempen, suasana pilihan raya di Semenanjung dianggap memberangsangkan untuk PR, khususnya DAP ketika itu. Johor pula dicaturkan sebagai gelanggang penentu kesudahan PRU13. Pasca nilai mendapati pengundi Melayu di Johor “tersentak” dengan ceramah grand finale anjuran DAP-PR menjelang hari pengundian. Ia dibanjiri dengan lautan manusia berketurunan Cina. Pendek kata, Melayu resah dengan “kebangkitan Cina” dalam politik.
Sejak itu wacana “keresahan Melayu” diperkembangkan, malah diselami psikologi masyarakat Melayu yang gusar dengan pergolakan politik tanahair. Komuniti Cina diseru agar lebih cermat ketika mengetengahkan tuntutan politiknya, malah aktivis sosial dipesan agar tidak terlalu ke depan ketika membawa idea-idea baru. “Kami perlu menjaga perasaan, mengambil kira sentimen masyarakat Melayu kita, yang mungkin belum bersedia untuk menerima perubahan secara mendadak,” demikianlah tegurannya.
Sudah tentu wacana sedemikian disanggah oleh sesetengah komuniti bukan Melayu, “Dari jawatan Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim, Peguam Negara, Speaker Dewan Rakyat, hinggalah sistem penjawat awam, kesemuanya dikuasai Melayu. Di manakah asas keresahan ini? Itu pun belum lagi dengan jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, dasar ekonomi dan sebagainya.”
Namun, politik dan persepsi berpisah tiada. Situasi menjadi lebih keruh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, apatah lagi wacana “Islam terancam” semakin mendapat pasarannya dalam kalangan Melayu-Muslim. Dari jawatan Menteri Kewangan, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara yang disandang bukan Melayu-Muslim ketika itu, hinggalah isu seperti pemandu mabuk, kematian anggota bomba Muhammad Adib, kesemuanya dijadikan bahan bukti “Islam terancam” di atas bumi yang dipijak ini.
Suasana sedemikian dimanipulasi oleh pemimpin politik yang resah dengan masa depan sendiri. Jikalau ditelaah, beberapa aktor utama yang mendalangi Langkah Sheraton adalah mereka yang gusar dengan nasib diri mereka selepas Dr. Mahathir Mohamad berundur sebagai perdana menteri. Pemimpin PPBM cukup sedar bahawa kekuatan mereka bersandarkan jawatan perdana menteri, dan mereka gagal meramalkan sejauh mana kedudukan mereka dalam kabinet yang bakal dibentuk Anwar Ibrahim jikalau mengambil alih kuasa. Begitu juga dengan fraksi Azmin Ali, yang sudah menampakkan perselisihannya dengan Anwar selepas PRU14.
Maka keresahan masyarakat Melayu seolah-olah memberi lampu hijau kepada Langkah Sheraton yang direncanakan segelintir politikus yang resah dengan kelangsungan hayat politik mereka. Tiada protes besar-besaran untuk menentang pengkhianatan terhadap mandat pengundi dalam PRU14. Malah tokoh agama yang disanjung tinggi masyarakat sanggup menyertai kabinet Muhyiddin Yassin, yang dipertikaikan keabsahannya.
Cuma, apakah keresahan itu sudah reda, selepas kerajaan yang berteraskan parti Melayu-Muslim ditubuhkan? Sudah tentu tidak. Muhyiddin Yassin kini resah akan sabotaj rakan sekutunya, UMNO, yang boleh menumbangkan kerajaannya hanya dengan tidak hadir ke parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021 seandainya tuntutan UMNO tidak dipenuhi. UMNO pula diselubungi keresahan kerana perbalahan antara kabilah dalam parti yang gagal mencapai muafakat sungguhpun berkali-kali bermesyuarat sehingga tengah malam.
Terdesak dengan ugutan rakan sekutunya, Muhyiddin Yassin mengambil langkah drastik untuk menyelamatkan jawatan dirinya. Dicadangkan “pengisytiharan darurat” kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong, lantas meletakkan baginda dalam kedudukan serba salah. Dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Speaker Dewan Negara, Rais Yatim, mempertikaikan sama ada Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk menolak nasihat Perdana Menteri. Namun kita juga sedar, seandainya Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan Perdana Menteri, satu Malaysia akan merana susulan pengisytiharan darurat.
Akhirnya, kemelut politik tidak berakhir, sebaliknya mencetuskan krisis baru sungguhpun tanpa keterlibatan DAP dan Anwar Ibrahim secara proaktif dalam isu ini. Muhyiddin Yassin yang bertahan dengan majoriti tipis sentiasa ketandusan oksigen politik. Beliau berhempas-pulas mempertahankan kerajaannya dengan pengagihan jawatan kerajaan dan syarikat GLC. Tiada lagi sisa baki kemampuannya untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan anggota kerajaannya ketika melaksanakan tugas.
Jangankan efisiensi, berdisiplin pun sukar. Lama-kelamaan, kerajaan ini semakin hilang kewibawaannya dari mata rakyat jelata, kerana menteri dan rakyat didenda dengan hukuman yang berbeza untuk kesilapan yang sama. Malah kerenah sesetengah menteri, misalnya enggan mematuhi SOP untuk kuarantin diri, atau enggan memakai pelitup muka di tempat awam, dianggap beban yang mematahkan semangat satu Malaysia ketika berperang dengan wabak Covid-19.
Iktibarnya, keresahan yang tidak dirungkaikan secara rasional, boleh mengundang mudarat yang tidak berpenghujung. Rakyat yang dikaburi sentimen mengiyakan langkah politik yang silap sebermulanya. Jelas, Langkah Sheraton adalah kesilapan politik terbesar yang meletakkan Malaysia dalam lumpur pada hari ini. Cabut tidak, pijak pun tidak. Semakin kerajaan Muhyiddin meronta-ronta, semakin tenggelamnya dalam lumpur. Malah beliau tidak memiliki asas moral untuk mengecam pihak yang cuba merampas balik kuasa dari tangannya, kerana kuasa yang digenggamnya sekarang pun dirampas dengan cara yang sama.
Padahal, bukankah kita harus mencari satu formula, untuk mengendalikan peralihan kuasa dengan baik, agar setiap pemimpin politik boleh bersaing secara sihat untuk menggarap kuasa? Mereka tidak resah akan nasib sendiri seandainya pemimpin mereka berundur, sebaliknya mereka berkeyakinan untuk membuktikan kemampuannya kepada rakyat, lantas diangkat ke tempat yang setimpal dengan kebolehannya.
Cuma, jarang-jarang kita berminat untuk membincangkan soal pembinaan sistem, semak-imbang dan sebagainya, bukan? Kita lebih senang dihasut, dengan mesej yang membakar emosi di media sosial, dan kemudian mengharapkan politikus untuk menghilangkan keresahan kita. Sedangkan, keresahan itu ditimbulkan oleh politikus yang resah dengan masa depan dirinya. Persoalannya, apakah harapan untuk sebuah negara yang diselubungi keresahan selama-lamanya?
*Tulisan ini disiarkan di Malaysia Dateline (3 November 2020): https://malaysiadateline.com/keresahan-melayu-dari-akar-umbi-ke-sang-penguasa/
**Kredit gambar: Malaysiakini
Facebook Comments