Senario telah berubah setelah dua dekad berlalu. Namun impaknya masih terkesan sehingga hari ini. Tanggal 28 Mei 2021 mencatatkan ulang tahun ke-20 MCA mengambil alih Nanyang Press Holdings, yang menerbitkan dua buah akhbar harian ketika itu, iaitu Nanyang Siang Pau dan China Press. Pengambilalihan ini berlaku selepas kekalahan BN dalam PRK Lunas pada 29 November 2000, dan kedua-dua akhbar Cina ini dituduh memainkan peranan untuk “menghasut” agar komuniti Cina menolak BN.
Kita perlu mengimbas sejarah untuk memahami konteksnya. Kerajaan BN pimpinan Mahathir Mohamad diselamatkan pengundi Cina daripada dijirus gelombang Reformasi dalam PRU10 pada tahun 1999. Namun, apabila Mahathir memungkiri janjinya untuk memenuhi tuntutan Suqiu, malah dituduhnya sebagai komunis dan pelampau, lantas komuniti Cina mengalihkan sokongan kepada pembangkang, iaitu Barisan Alternatif ketika itu. Seandainya pola pengundian PRK Lunas diulangi, tidak mustahil BN tumbang dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam keterdesakan ini, MCA mengambil alih Nanyang Press Holdings, mungkin dengan anggukan Mahathir, namun tanpa restu komuniti Cina. Sejarah bagaimana Utusan Melayu diambil alih Umno pada tahun 1961 diselak semula untuk dijadikan iktibar. Walau bagaimanapun, protes para cendekiawan, aktivis sosial dan media, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pembangkang, malah sekumpulan pemimpin MCA sendiri, gagal mematahkan tekad pasukan A MCA, yang dikepalai Ling Liong Sik dan diwarisi Ong Ka Ting, untuk menguasai media.
Kebimbangan komuniti Cina bertambah apabila taikun media, Tiong Hiew King yang menguasai Sin Chew Media Group, diuar-uarkan terlibat dalam pengambilalihan ini di sebalik tabir. Sin Chew Media Group menerbitkan dua akhbar harian, iaitu Sin Chew Jit Poh (Sin Chew Daily sekarang) dan Guang Ming Daily pada ketika itu. Dengan kata lain, andainya ditambah Kwong Hwa Yit Poh yang bertapak di Pulau Pinang, pasaran di semenanjung menyaksikan persaingan beberapa media cetak bahasa Cina tersebut.
Persaingan ini menjadi antara punca mengapa akhbar Cina dilihat lebih bebas dan kritikal terhadap kerajaan, berbanding media bahasa lain. Bahasa mungkin menjadi penghalang kepada pemantauan secara langsung daripada Kementerian Dalam Negeri, namun persaingan antara akhbar Cina untuk melonjakkan angka kelarisan masing-masing, mendorong mereka mengambil risiko untuk lebih berani melaporkan kebenaran. Contohnya, ramai pembaca Melayu membeli akhbar bahasa Cina ketika zaman Reformasi, semata-mata untuk menatap gambar demonstrasi jalanan yang telah ditapis di media lain.
Desas-desus itu menjadi realiti, apabila Tiong Hiew King semakin mendongakkan kepalanya pada tahun-tahun seterusnya. Milikan sahamnya dalam Nanyang Press Holdings semakin meningkat, sebelum berjaya mengambil alihnya daripada MCA. Nanyang Press Holdings telah dicantumkan ke dalam Media Chinese International Limited, bersama kumpulan media lain milikan Tiong. Untuk memendekkan cerita, Tiong Hiew King telah berjaya memonopoli pasaran akhbar cina pada tahun 2008.
Sentimen kaum
Sesungguhnya, sejarah ini mungkin tidak asing kepada pengkaji media, atau pengamat politik tanah air. Namun demikian, pembaca yang tidak fasih bahasa Cina mungkin terlepas pandang beberapa pergolakan yang berkocak dalam komuniti Cina, lantaran kejadian ini. Malah, ia agak menarik seandainya dibandingkan dengan senario politik tanah air terkini.
Pengambilalihan media yang memberi laluan kepada monopoli kemudiannya, telah mengundang protes sekumpulan wartawan, cendekiawan dan kolumnis. Mereka memboikot keempat-empat akhbar Cina itu sebagai desakan agar cubaan monopoli ini dihentikan serta-merta, menyedari ruang kebebasan bersuara akan disempitkan kerana taikun yang sudah memonopoli pasaran tidak perlu mengambil risiko untuk melanggar sempadan yang dibatasi Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. Dari perspektif kerajaan pula, satu panggilan telefon sudah memadai untuk menapis berita-berita yang tidak memihak kepada parti pemerintah, berbanding beberapa panggilan yang perlu dibuat jikalau akhbar dimiliki bos yang berbeza.
Apakah “dalil” yang ada untuk mematahkan hujah sebegini? Apa lagi kalau bukan sentimen kaum atau bangsa? Dalam satu wawancara, Tiong mendakwa bahawa dirinya berharap untuk memonopoli media cetak dengan “budaya Tionghua yang unggul”, jikalau itulah yang mahu dikatakan sebagai “monopoli”. Malah, beliau mempersoalkan, mengapa ramai sudi menerima hegemoni media Barat, tetapi tidak sanggup melihat kebangkitan media Cina?
Dalam satu jangka masa antara tahun 2001 hingga 2008, perdebatan yang hangat berlaku antara kolumnis yang menentang monopoli, dengan pembela bos Sin Chew Daily. Mereka yang pernah membantah monopoli media cetak Cina oleh Tiong, “disenaraihitamkan” oleh pihak Sin Chew Daily. Dengan kata lain, jikalau individu berkenaan muncul dalam forum terbuka bersama panelis lain, ucapannya, malah gambar sosoknya akan “dinyahkan” dari laporan Sin Chew Daily. Bayangkan, beranikah pemimpin pembangkang membantah monopoli media oleh Tiong, pada zaman ketika media arus perdana masih merupakan saluran maklumat utama dalam masyarakat?
Antara yang dilemparkan terhadap penentang tindakan monopoli oleh Tiong adalah, mereka tidak mengenang budi, kerana Sin Chew sebagai media cetak bahasa Cina, berjasa untuk memperkembangkan aktiviti kebudayaan, kesusasteraan malah kebajikan dalam masyarakat Cina tempatan. Malah, menurut hujah sesetengah orang, tindak-tanduk penentang monopoli boleh “memecah-belahkan masyarakat Cina”, lantas menggadai kepentingan masyarakat Cina.
Akibat monopoli?
Macam pernah dengar? Retoriknya sama, iaitu sesuatu kaum atau bangsa perlu bersatu-padu untuk menyokong individu atau kumpulan tertentu, agar kepentingan etniknya terbela. Cuma, apakah benar apabila kita bersatu padu atas nama kaum, ia menjanjikan pulangan yang memanfaatkan kita?
Mengikut teori ini, media cetak bahasa Cina sepatutnya lebih berkualiti setelah dimonopoli. Apa tidaknya, dengan segala sumber dan bakat ditumpukan dalam satu kumpulan media, ia menyediakan syarat terbaik untuk media tersebut mendepani perubahan zaman. Pembaca sudah tentu dimanfaatkan dengan hidangan maklumat yang cepat dan tepat, analisis yang tajam dan kritis, malah didedahkan dengan perspektif yang pelbagai ketika menelaah sesuatu isu. Apakah situasi ini berlaku sekarang? Tidak. Akhbar bahasa Cina tempatan kini terikut-ikut dengan rentak media sosial, menghidangkan maklumat yang tidak berkhasiat, malah menghasilkan komentar yang dilihat “memperbodohkan” pembaca.
Kesannya, satu kapal tenggelam apabila dibadai gelombang teknologi maklumat yang mengombak. Demi mengejar angka view, like dan share, media menarik perhatian audien dengan tajuk besar yang sensasi, sehingga tidak menggambarkan situasi yang sebenarnya. Apakah sesebuah masyarakat boleh menjadi sihat dan maju, andainya pembaca media dihidangkan dedak babi setiap hari? Apakah anggota sesebuah masyarakat boleh membuat keputusan yang tepat, jikalau maklumat yang dirujuknya, auta dan tidak tepat?
Iktibarnya
Dua dekad berlalu. MCA yang berdegil dengan keputusan untuk mengambil alih Nanyang pada 28 Mei 2001, hampir lingkup di persada politik tanah air. Dengan kata lain, MCA gagal mencapai matlamatnya untuk menguasai mentaliti masyarakat Cina, apatah lagi meraih sokongan pengundi Cina.
Namun demikian, tindakan pemimpin MCA ketika itu telah membuka laluan kepada monopoli media cetak Cina, oleh taikun Tiong Hiew King, sehingga apa yang terpampang di depan mata sekarang. Media Cina tidak bangkit dan menjadi semakin mantap, sebaliknya semakin menjunam. Malah, pencerobohan landskap media pada tahun 2001, menjadi antara faktor yang menyumbang ke arah kemerosotan media cetak Cina pada hari ini.
Jikalau difikirkan kembali, seandainya pengambilalihan ini tidak berlaku, dengan kolumnis yang terunggul ketika itu kekal menulis di media arus perdana, kemungkinan masyarakat Cina boleh dicelikkan dengan apa yang berlaku dalam pergolakan politik ketika zaman Reformasi, dari perspektif yang berbeza, lantas mempercepatkan langkah Malaysia ke arah perubahan. Malangnya ia tidak berlaku. Perubahan ini berlaku hanya apabila penggunaan internet semakin meluas pada tahun-tahun kemudian, dengan media internet yang ditubuhkan seperti MerdekaReview, Malaysiakini edisi bahasa Cina dan sebagainya.
Iktibarnya, retorik perpaduan kaum adalah mitos yang mengarut. Ia tidak melonjakkan martabat dan kekuatan sesebuah bangsa, sebaliknya mengundang kebinasaan. Ia berlaku di mana-mana sahaja, dan moga-moga kita tidak perlu mengulangi kesalahan demi kesalahan untuk memahami teori ini.
*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini edisi bahasa Melayu (2 Jun 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/577188
Facebook Comments