Kebodohan mendaki ke puncak Gunung Kinabalu apabila bahagian tertentu dalam kedai serbaneka ditutup kerana “non-essential” (tidak penting). Dari gambar yang ditular di media sosial, bahagian alat tulis antara yang “dipitakuningkan” sebagai zon dilarang masuk untuk pelanggan. Maka ia mengundang soalan nakal, “Bagaimana jikalau pen untuk mencatatkan maklumat pelanggan yang tidak memiliki aplikasi MySejahtera kekeringan dakwat, di premis makanan berdekatan? Dari mana pemilik premis itu boleh membeli pen baru?”
Sebagaimana yang dijangka, kita menyaksikan sekali lagi pusingan U oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), untuk memberi lampu hijau agar semua barangan di kedai runcit atau pasar raya boleh dijual. Rakyat semakin menyesuaikan diri dengan norma baru sebegini, iaitu pusingan U kerajaan untuk membatalkan keputusan sebelumnya, sama ada ia dilakukan dengan memijak brek atau tidak.
Malah pada 11 Mei 2021, Sin Chew Daily menyiarkan satu laporan “eksklusif” bahawa tiada pusingan U dalam SOP berkenaan bilangan penumpang dalam kereta, menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang entah keberapa di seluruh negara. Bayangkan situasinya apabila “tiada pusingan U” pun dijadikan “berita eksklusif” – bukankah ia menggambarkan bahawa amalan pusingan U ketika kerajaan membuat keputusan sudah menjadi sesuatu yang lumrah?
Larangan arak
Hakikatnya, ia bermula dengan larangan arak. Minum atau tidak, ramai yang hilang waras ketika membincangkan minuman yang digelar kencing syaitan ini. Pertikaian tercetus apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata kepada sebuah media dalam talian, The Vibes, bahawa penjualan arak dilarang di mana-mana premis sepanjang tempoh lockdown, kerana ia tergolong sebagai “non-essential”.
Di sini lahirnya sebuah kekeliruan, sama ada barangan yang tergolong sebagai “non-essential” dibenarkan untuk dijual atau tidak. Sesiapa yang masih waras akan faham betapa tidak masuk akal idea ini, kerana ia langsung tidak praktikal untuk dilaksanakan.
Bayangkan, apakah aiskrim perlu dipitakuningkan di bahagian makanan beku? Apakah Super Ring juga harus dilarang penjualannya, kerana ia sekadar makanan ringan, yang “non-essential”? Itu pun belum lagi kita menjenguk di bahagian seperti aksesori kereta. Apakah rakyat marhaen dilarang singgah untuk membeli pewangi dalam kereta ketika membeli cincau di pusat beli belah, tatkala menteri besar Kedah uji kereta di negeri Pulau Pinang?
Kesemua ini mengarut, menambah beban kepada peniaga tanpa merungkai masalah. Kebodohan sedemikian disebabkan ketaasuban kita dengan politik perkauman, sambil menunggang agama, sehingga lalai dalam urus tadbir negara. Selagi kita terikut-ikut dengan mainan sentimen perkauman dan agama sempit, mustahil kita menamatkan pandemik Covid-19 ini secara berkesan dan profesional.
Mengapa arak menjadi sasaran?
Mengaku atau tidak, arak telah dijadikan “mangsa” sepanjang PKP. Terang lagi bersuluh, apabila Rosol Wahid memberi lampu hijau kepada rokok yang juga tergolong sebagai “non-essential”, untuk menjaga “keperluan” perokok. Kita tahu sebabnya seandainya bersikap jujur. Arak yang haram dari kaca mata muslim, dijadikan sasaran, malah petanda aras untuk mengukur “sejauh mana pemimpin Muslim mempertahankan Islam”.
Izinkan saya untuk menyatakan pendirian sebelum melanjutkan perbincangan ini. Saya bersetuju jikalau kilang arak ditutup sepanjang lockdown, sebagaimana kilang non-essential yang lain, untuk mengurangkan risiko wujudnya kluster baru.
Apakah larangan ini harus dilanjutkan kepada penjualan arak? Untuk saya, yang penting bukan jawapannya sama ada ya atau tidak; tetapi apakah kayu ukur yang digunakan untuk mengharamkan penjualan arak sepanjang PKP? Jikalau ia diharamkan atas alasan ia minuman “non-essential” yang memudaratkan, apakah kita juga harus mengharamkan minuman berkarbonat, yang tidak kurang menjejaskan kesihatan? Jikalau minuman berkarbonat dibenarkan, mengapa pula arak diharamkan?
Biar berterus-terang, minuman keras dijadikan sasaran kerana arak adalah haram di sisi Islam. Seperti rokok, arak menjejaskan kesihatan penggunanya, dan mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekelilingnya. Untuk lebih tepat, berbeza dengan asap rokok, arak tidak mendatangkan bahaya kepada orang di sisinya, kecuali jikalau peminum memandu dalam keadaan mabuk. Namun, senario ini tergolong dalam soal sikap tidak bertanggungjawab peminum, sebagaimana pengguna telefon bimbit yang hilang tumpuan ketika memandu.
Biar kita lebih rasional ketika berdepan dengan isu ini. Apakah pemandu mabuk harus diambil tindakan? Ya, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, tetapi pengharaman arak bukan jawapannya. Kita tidak mengharamkan telefon bimbit lantaran kemalangan yang berlaku disebabkan pemandu sedang menatap telefon, bukan? Dan tiada sebab bukan Islam menolak cadangan menghukum pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab. Secara logiknya, seandainya pemandu itu mabuk di jalan raya, mustahil mangsanya terhad kepada Muslim sahaja, bukan?
Justeru itu, kita perlu lebih matang dalam hal ini. Biarpun haram di sisi agama, produk minuman keras menyumbang RM2.35 bilion melalui kutipan duti dan cukai kepada Malaysia pada tahun 2018, berbanding RM3.29 bilion daripada produk rokok. Kedua-dua industri ini menebus dosanya dengan sumbangan melalui kutipan duti dan cukai, dan ia dipersetujui antara pemerintah, pengusaha dan pengguna. Persoalannya, mengapa industri arak tidak dilayan sebagaimana layanan kepada industri tembakau?
Keimanan pemerintah
Ketepikan dahulu kemusykilan mengapa kedua-duanya haram di sisi Islam, tetapi keperluan perokok lebih diutamakan berbanding peminum arak. Pokok masalahnya, apabila masyarakat mengukur keimanan seseorang pemimpin muslim berdasarkan sejauh manakah kesediaannya untuk mempertahankan Islam; dan kesanggupan mempertahankan Islam pula, dinilai berdasarkan sejauh manakah ketegasannya untuk mengharamkan sesuatu yang haram di sisi Islam.
Harus diingatkan, bahawa kita menerima Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama, budaya, bahasa dan sebagainya, malah meraikan kepelbagaian sebagai keistimewaan tanahair kita di persada dunia. Apabila latar belakang ini diambil kira, maka pemimpin politik seharusnya sedar, bahawa mereka sedang mengurus tadbir sebuah masyarakat majmuk, dan ia amat berbeza dengan pentadbiran sesebuah masyarakat yang terdiri daripada hanya satu agama, satu kaum, satu budaya dan satu bahasa.
Justeru itu, seandainya seseorang pemimpin Muslim teguh dengan akidah dan keimanannya, beliau sudah tentu sedar bahawa “kamu agama kamu, saya agama saya”, dan “hak harus diberikan kepada mereka yang berhak”. Pemakanan daging khinzir dan peminuman arak tidak haram untuk bukan Islam, maka amalan hak mereka harus dihormati selagi tidak mengancam kesihatan dan keselamatan orang lain. Dari sudut lain, seseorang pemerintah Hindu tidak harus mengharamkan pemakanan daging lembu oleh Muslim, sungguhpun daging itu haram untuk penganut Hindu, bukan?
Seandainya isu ini dirungkai secara matang dan rasional, maka ia menjadi mudah dan jelas, tanpa perlu sindir-menyindir, cabar-mencabar antara pembangkang dengan pemerintah, siapa berani haramkan arak? Sejujurnya, perdebatan sedemikian tidak membawa kita ke mana, sebaliknya menjejaskan keberkesanan urus tadbir negara. Contoh terbaik, bagaimana pertikaian arak ini mencetuskan kecelaruan “essential” dan “non-essential”, sehingga Rosol Wahid “memperbetulkan” kenyataannya beberapa jam kemudian, pada hari yang sama.
Jadilah pemimpin yang bertanggungjawab, sama ada pemerintah mahupun pembangkang. Jangan menutup kegagalan urus tadbir dengan mainan sentimen perkauman dan agama sempit, dan jangan sesekali pembangkang menaruh harapan bahawa mereka boleh menangguk di air keruh.
Nyatakan pendirian dan sikap anda terhadap industri arak dengan jelas dan terang, agar masalah ini boleh diselesaikan secara tuntas. Biar berlaku adil kepada semua, sama ada muslim sebagai anggota majoriti masyarakat ini, mahupun golongan bukan Islam, dari pengusaha, peniaga hinggalah pembeli minuman keras.
Jikalau hak bukan Islam diiktiraf, jangan jadikan arak sebagai sasaran untuk dimangsakan. Mereka mencari rezeki, dan mereka membayar cukai untuk minuman tersebut. Tidak adil andainya cukai dikutip daripada mereka, tetapi mereka dimangsakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik sendiri. Sedangkan kongsi gelap pun tidak mengganggu penduduk setempat setelah dikutip “wang perlindungan”, apatah lagi kerajaan?
*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini edisi Bahasa Melayu (12 Jun 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/578612
Facebook Comments