Usah diulangi hujah basi “negara tanpa pemimpin”. Setelah lebih setahun diuji, sudah menjadi pengetahuan am bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya hebat dalam bab rampasan kuasa, tetapi bukan bab pentadbiran. Jikalau ditanya menteri, mesyuarat terakhir yang dihadirinya sehingga larut malam, kemungkinannya mesyuarat untuk mencatur Langkah Sheraton sebelum Mac 2020.
Kesemuanya tertangguh dan bercelaru, tatkala kita merebut masa untuk berperang dengan wabak Covid-19. Pusingan-U demi pusingan-U sehingga satu Malaysia berpusing-pusing di bulatan. Pintu depan dikunci pintu belakang pula dibuka. Pemimpin parti pemerintah saling menuding jari, kerana enggan menanggung beban daripada ketidakcekapan kerajaan ini.
Perdana Menteri tidak berani memanggil sidang media, malah wawancara yang terancang pun bukan diadakan secara siaran langsung. Sebagai PM, beliau sekadar membalas soalan mudah daripada pengacara tanpa menjawab kerunsingan rakyat. Istilah tanggungjawab jikalau dipisahkan terdiri daripada perkataan “tanggung” dan “jawab”, yang mana kedua-duanya tidak dimiliki kerajaan PN. Apakah dosanya jikalau kuasa sahaja yang mahu dikejar, tanpa kesediaan untuk memikul tanggungjawabnya?
Ramai yang sudah letih mencemuh kerajaan PN, dari carutan sopan berbunyi cincau hinggalah label kerajaan gagal atas kain rentang. Jikalau kerajaan ini dipilih melalui pilihan raya umum, maka terpaksa kita akur dan reda kerana ianya pilihan rakyat sendiri. Namun, kerajaan ini dibentuk melalui pengkhianatan terhadap rakyat yang mengundi dalam PRU14. Bagaimana kita menghentikan kecelakaan ini dan menyelamatkan keadaan?
Lebih baik kita mengalih tumpuan kepada pemimpin pembangkang. Jikalau satu tinjaun diadakan sekarang untuk memilih pemimpin pembangkang yang paling efektif, atau berkesan menyusun hujah dan kerjanya tatkala negara kita dilanda penularan wabak Covid-19 dan krisis ekonomi, agak-agaknya siapa yang terpilih?
Bossku. Jawapan ini tidak tepat, dan mungkin keberatan untuk disebut, tetapi tidak kurang yang akan menganggukkan kepalanya. Pertama, Najib Razak seorang pemimpin Umno, yang masih merupakan sebahagian daripada kerajaan. Kedua, ramai antara kita yang tidak memaafkan beliau kerana perdana menteri keenam ini masih belum menjalani hukuman ke atasnya lantaran penyelewengan skandal 1MDB.
Walau apapun pendirian dan perasaan kita terhadap Najib Razak, hakikatnya, kita terpaksa akur bahawa kritikan yang dilontarkan beliau melalui media sosial, kebanyakan masanya jelas, tepat dan tajam. Ia agak berbeza dengan sindirannya pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), yang dianggap tidak memadai dengan statusnya selaku mantan Perdana Menteri, misalnya usikan dengan Super Ring-nya.
Bossku kembali kali ini dengan menyasarkan kritikannya terhadap dasar dan urus tadbir kerajaan Muhyiddin Yassin ketika berdepan dengan penularan wabak Covid-19. Saya tidak tahu siapakah anggota pasukan admin media sosialnya, yang pasti reaksinya terhadap perkembangan semasa adalah antara yang terpantas dalam kalangan pemimpin politik. Kritikannya disampaikan dengan gambar rajah, carta, stastistik, “printscreen” dan sebagainya, disokong dengan hujah, dan ada kalanya dilapik dengan sindiran nakal.
“Anwar masih terbawa-bawa dengan pendekatan lama ketika mengendalikan akaun Facebooknya. Beliau memuat naik hantaran mengenai lawatannya ke kawasan parlimen (Port Dickson); ulasan yang panjang lebar menerusi video; tulisannya kurang berisi. Andainya hantaran ini bukan dimuat naik atas nama Anwar Ibrahim, saya tidak akan klik untuk mengambil tahu apa yang ingin disampaikan. Tiada daya tarikan langsung,” demikianlah yang dikatakan Lam Choong Wah, seorang pengamat politik dalam satu hantaran Facebooknya baru-baru ini.
Malah, menurut Lam, apa yang kurang pada Anwar adalah wacana yang mampu mencungkil perhatian umum. Anwar semakin malap dibayangi Najib yang sedang bersinar. Lam berterus-terang, bahawa Najib mungkin pemenang yang menuai segala hasil politik selepas wabak Covid-19 berlalu. Bahkan Lam berkata, seandainya tidak dipalit dengan kes mahkamah, hampir tiada keraguan bahawa Najib akan dinobatkan semula sebagai Perdana Menteri.
Pahit, tetapi inilah realiti yang terpaksa ditelan. Untuk saya, ia bukan masalah individu Anwar Ibrahim semata-mata, tetapi kebuntuan yang dihadapi satu pasukan bernama Pakatan Harapan.
Sudah tentu kita tidak lupa bagaimana Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dimalukan baru-baru ini berhubung isu pendermaan vaksin. Dan sudah agak lama rakan dalam komuniti Cina mengadu kepada saya, bahawa mereka tidak selesa dengan sindir-menyindir sesetengah pemimpin Melayu dalam PH, termasuk AMANAH untuk mencabar agar “Pas mempertahankan Islam”, misalnya dalam hal penutupan kasino, pengharaman arak dan sebagainya.
“Kita sedia maklum bahawa retorik ‘pembela Islam’ dibingkaikan untuk mengasak PH. PH pula terperangkap, menggunakan hujah Pas untuk mengasak Pas ketika Pas menjadi kerajaan. Sudah tentu PH gagal menyaingi Pas dalam bab ini. Pas akan mengheret PH ke satu darjat yang sama rendah dengannya, dan kemudian menumpaskan PH dengan pengalaman mereka,” katanya.
Saya cuba menjelaskan kepadanya bahawa ia sekadar strategi pemimpin PH untuk mendedahkan kemunafikan pemimpin Pas, yang cakap tidak serupa bikin setelah berkuasa, lantas dibalasnya, “Adakah PH akan melakukan apa yang didesak mereka sekarang seandainya kembali berkuasa nanti? Jikalau ya, apakah bezanya Pas dengan AMANAHdari kaca mata non-muslim? Dan jikalau tidak, apakah pengundi muslim akan menyokong AMANAH, berbanding Pas?”
Saya tidak terjawab. Dan saya sedar PH terperangkap dalam wacana sedemikian, terikut-ikut dengan rentak Pas/Umno kerana kehilangan halatuju selepas kehilangan kuasa. Sedangkan PH sebenarnya pembangkang paling mantap dalam sejarah kerana bilangan kerusinya hampir menyaingi PN, dan PH telah memiliki pengalaman memerintah di Putrajaya selama 22 bulan.
Dengan syarat-syarat sedemikian, PH seharusnya bangkit semula dengan menampilkan diri sebagai kerajaan akan datang. Ramai yang memandang remeh cadangan kabinet bayangan, tetapi itu antara caranya PH meyakinkan rakyat bahawa calon menteri PH lebih berkaliber berbanding kabinet Muhyiddin sedia ada.
Bayangkan, seandainya Yeo Bee Yin (mantan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar) diamanahkan untuk bercakap dalam isu vaksin, Dr.Dzulkefly Ahmad pula bersaing dengan Adham Baba, sudah tentu rakyat akan dapat membezakan kelainannya. Untuk menteri-menteri bayangan ini pula, mereka akan lebih tumpu untuk memperincikan butiran dalam kementerian yang dikhususkan, dan tidak perlu mencakupi semua isu yang sedang berlaku, sehingga hilang fokus.
Anwar Ibrahim pula, sebagai calon PM, tidak perlu mengkaji secara terperinci setiap bidang (kementerian), dan hanya perlu memberi halatuju kepada PH, dan menegaskan pendirian dalam isu-isu yang penting. Beliau harus menampilkan dirinya sebagai pemimpin yang bertanggungjawab – sanggup tanggung, dan sudi jawab – berbanding Muhyiddin Yassin, itu pun sudah memadai.
Perkara ini diungkit bukan untuk memburuk-burukkan PH, tetapi atas kebimbangan bahawa PH akan sekali lagi di-hijack seandainya perlu meminjam kekuatan pihak lain untuk memerintah kelak. PH pernah diheret Mahathir yang memimpin PPBM, sehingga mengundang ketidakpuasan penyokong tradisi PH. Namun PH tiada jalan lain ketika itu, kerana itulah keterbatasannya apabila bergantung kepada kekuatan PPBM untuk membentuk kerajaan.
Dan kita tidak mahu sejarah berulang, seandainya PH terpaksa berganding dengan Umno, atau serpihannya, atau mana-mana parti untuk membentuk kerajaan selepas PRU15. Justeru itu, PH seharusnya membina kekuatan sendiri, berdiri teguh untuk mempertahankan manifestonya, agar apabila kembali berkuasa kelak, idealisme yang pernah dijulang bersama terlaksana. Itu juga tanggungjawab seorang pemimpin.
Facebook Comments