Saya terganggu ketika membaca berita seorang warga emas berusia 80 tahun diserang seorang ibu yang mengesyaki anak OKU-nya diculik, sedangkan siasatan polis kemudiannya mendapati bahawa warga emas itu cuma menawarkan pertolongan untuk menumpangkan anak OKU tersebut dalam keretanya.
Apa yang menyedihkan, apabila saya ternampak gambar pakcik tua itu, yang mana seluarnya basah, kemungkinan terkencing lantaran ketakutan ketika diterajang si ibu remaja itu.
Menurut laporan media, polis telah mengesahkan bahawa tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah seperti mana yang ditularkan sebelum ini. Lebih-lebih lagi, si pengadu telah menarik balik laporan polis.
Malapetaka yang menimpa sosok tubuh ini telah dijadikan contoh agar kita “jangan menyibuk” pada masa depan. Silap-silap, kita pula yang dipersalahkan kerana berbuat baik.
Lebih membimbangkan, kecenderungan masyarakat kita untuk menghukum secara spontan mereka yang disyaki bersalah, semakin menjadi-jadi.
Mereka menggunakan keganasan terhadap “suspek”, sebelum polis sempat campur tangan atau mengambil alih, tanpa meneliti selok-belok peristiwa yang berlaku.
Barangkali kita perlu membincangkan perkara ini dengan rasional.
Pertama, sememangnya seseorang itu bersalah jikalau benar melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang, misalnya mencuri, menculik, merogol, membunuh dan sebagainya. Tiada pertikaian dalam bab ini.
Kedua, apakah kita sebagai anggota masyarakat ini, berhak untuk menghukum si pesalah dengan keganasan, seandainya kita berjaya mencekup dia di tempat kejadian? Jawabnya tidak.
Tindakan yang melulu boleh mengundang malapetaka, sebagaimana kes tersebut di atas. Warga emas berusia 80 tahun itu telah dimangsakan lantaran emosi yang hilang kawal, dan niat untuk membela si remaja OKU.
Kita tidak boleh menolak kemungkinan wujudnya salah faham, dan boleh jadi apa yang kelihatan dengan mata kasar bukan kebenaran, maka kita perlu berlaku adil kepada semua pihak, termasuk suspek yang belum dibuktikan bersalah.
Ketiga, andainya suspek tersebut benar bersalah, apakah kita wajar menghukumnya? Misalnya peragut dicekup di tempat kejadian, dengan segala bukti yang ada, apakah salah kita “mengajarnya” dengan membelasahnya terlebih dahulu, sebelum menyerahkannya kepada polis?
Jawabnya, kita bersalah jikalau berbuat demikian, kerana kita memiliki prosedur yang terbentuk untuk menentukan hukuman yang sewajar terhadap si pesalah.
Kita perlu meneliti, apakah latar belakang si pesalah, yang mendorongnya untuk melakukan kesalahan? Apakah dia kesempitan? Apakah dia memiliki pilihan yang lain sebelum terdesak, atau dipengaruhi untuk berbuat demikian?
Jangan salah faham, kesemua ini bukan alasan untuk menghalalkan kejahatan. Si pesalah tetap bersalah, tetapi kita mahu menelusuri punca kesalahan agar kita mampu menangani masalah ini secara tuntas, atau sekurang-kurangnya mengurangkan kes sedemikian pada masa depan.
Lebih-lebih lagi, hukuman yang dikenakan harus setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kita tidak mematahkan kaki si pencuri yang melarikan ratusan ringgit, tetapi mencium tangan VVIP yang menyonglapkan jutaan ringgit.
Jangan sesekali kita menyorok kemunafikan dalam diri kita, dengan menonjol-nonjolkan keberanian kita terhadap mereka yang lebih lemah daripada kita.
Kesemua konsep ini menjadi asas mengapa pasukan keselamatan diberikan kuasa untuk menggunakan keganasan, dan institusi seperti mahkamah ditubuhkan, untuk menjamin keselamatan umum, dan menegakkan keadilan.
Tamadun manusia mengambil masa berabad-abad untuk membangunkan institusi-institusi ini, supaya kita mampu mengurus tadbir masyarakat kita yang semakin rumit.
Andainya dilanjutkan lagi, ia menjadi asas mengapa setiap suspek atau tertuduh berhak untuk dibela peguam, sungguhpun mereka melakukan kesalahan. Dengan kata lain, apapun yang terjadi, mereka memiliki hak untuk membela diri, sebelum diberi kata putus oleh hakim.
Dan jikalau mereka dihukum sekalipun, mereka harus dihukum pada kadar yang setimpal mengikut undang-undang di bawah sistem perundangan.
Proses ini seharusnya adil dan telus, dan dilihat adil dan telus, untuk memastikan tiada “mangsa” yang dihukum kerana dinafikan hak untuk membela diri.
Sesungguhnya ia boleh diambil kesempatan oleh mereka yang berada dan berkuasa, pada masa yang sama, ia menjamin hak mereka yang terpinggir dan tertindas.
Justeru itu, saya agak gusar apabila terdapat kecenderungan sesetengah pihak untuk bertindak sendiri, menghukum suspek dan pesalah di tempat kejadian, kononnya untuk menegakkan keadilan.
Boleh jadi ia melibatkan keganasan, dan memadai jikalau melibatkan ugutan. Cubaan menggunakan saluran peribadi untuk menyelesaikan masalah sebegini adalah tidak wajar, sungguhpun atas nama menegakkan kebenaran dan keadilan.
Bayangkan, apakah yang akan terjadi seandainya kesemua anggota masyarakat bertindak sendiri dengan keganasan atau ugutan untuk menyelesaikan perselisihan yang melibatkan kepentingan awam? Apa gunanya balai polis dan mahkamah, jikalau masing-masing mengugut dan mengasari mereka yang dianggap tidak betul, atau tidak mengikut selera kita? Sudah tentu satu masyarakat akan menjadi kecoh dan huru-hara!
Ingat, warga emas berusia 80 tahun yang diterajang itu, boleh jadi datuk kita, bapa kita, bapa saudara kita, jiran kita atau sahabat kita, malah diri kita satu hari nanti. Lebih baik kita berfikir sebelum bertindak.
*Tulisan ini disiarkan di Malaysia Dateline (2 Julai 2021): https://malaysiadateline.com/bukan-semua-benar-atas-nama-kebenaran/
Facebook Comments