Adakalanya kita memerlukan pandangan pihak lain untuk mengenali diri sendiri. Saya terkesan apabila membaca perkongsian pengalaman seorang pensyarah universiti di Taiwan yang membimbing pelajarnya menjalankan kerja lapangan secara sukarela di Malaysia.
Pensyarah itu bernama Wong Loteng. Dia lahir di Malaysia, melanjutkan pengajian tinggi di Taiwan, dan kemudian berkahwin di situ.
Menurut Wong dalam bukunya Saya Cinta Malaysia, tugasan membimbing siswa-siswi Taiwan untuk berkhidmat di Malaysia telah menemukan dirinya dengan jalan untuk pulang.
Secara ringkas, kerja lapangan yang dimaksudkan Wong itu ialah pemuliharaan warisan budaya dengan kaedah temu bual, kajian tempatan dan pemerhatian melalui penyertaan untuk mengumpul data dan maklumat.
Tiga lokasi dipilih sebagai tapak kajian, iaitu Sitiawan, Gopeng dan Kuala Sepetang yang berkongsi persamaan apabila ketiga-tiganya terletak di Perak, dan tidak terpisah daripada sejarah budaya Cina.
Perbezaaan Cina Taiwan - Cina Malaysia
Sesungguhnya, manusia terkadang merungut akan kecacatan yang dialami tanpa menyedari di sebalik itu kelebihan yang dimiliki. Menurut pengamatan Wong, tidak kurang siswa-siswi Taiwan yang terpinga-pinga ketika ditanya mengenai Ramadan dan Aidilfitri meskipun dalam kalangan mereka yang terserlah prestasi akademiknya.
Sedangkan, jika ditanyakan konsep “berpuasa” sepanjang Ramadan kepada mana-mana non-Muslim di Malaysia, hampir pasti mereka akan menerangkan ia adalah mengenai menahan makan dan minum dari Subuh hingga Maghrib.
Malah barangkali akan ditambah dengan sembahyang tarawih andainya seseorang itu kerap bersosial dalam kelompok Muslim. Dengan kata lain, dunia Cina Malaysia lebih majmuk dalam aspek ini dan ia dicorakkan dengan agama dan budaya yang berbeza.
Justeru, Malaysia menjadi istimewa untuk membuka mata siswa-siswi Taiwan.
Dalam konteks ini, pengertian “kepelbagaian” yang dihayati mereka di atas bumi ini berbeza daripada warga Malaysia sendiri yang ada kalanya sekadar “retorik”.
Misalnya, mereka terpegun apabila bertemu dengan seorang India yang berkemampuan untuk bertutur dalam bahasa Tamil, Cina, Melayu, Inggeris, ditambah dengan dialek seperti kantonis, hokkien dan sebagainya.
Walhal, untuk kebanyakan kita fenomena ini tidak asing kerana kewujudan sekolah pelbagai aliran, juga suasana masyarakat kita yang berbilang.
Pengalaman sedemikian memecah persepsi stereotaip bahawa satu kaum hanya mampu menguasai satu atau dua bahasa. Untuk selama ini, konsep kepelbagaian sekadar teori dalam buku, sehinggalah siswa-siswi Taiwan berkenaan menghayati sendiri pengalaman hidup dalam masyarakat Malaysia.
Malah, lantaran kemudahan dari segi pertuturan bahasa - kebanyakan anggota masyarakat Malaysia menguasai lebih daripada satu bahasa - siswa-siswi Taiwan yang terlibat dalam program kerja lapangan itu terdedah secara lebih dekat kepada agama, budaya, bahasa yang berbilang di atas tanah air ini.
Misalnya, mereka terserempak dengan seorang budak India yang fasih berbahasa Cina di Gopeng, bahkan budak India itu menawarkan dirinya untuk menjadi pemandu wisata di kuil Hindu.
Sudah tentu mustahil untuk mereka menolak tawaran sebegitu, bukan?
Lawatan ke masjid
Antara catatan yang paling menarik untuk saya ialah pengalaman rombongan sukarelawan terbabit ketika melawat ke sebuah masjid di Sitiawan.
Hakikatnya, destinasi yang ingin dituju sebermulanya ialah sebuah tokong, tetapi mereka tersesat dalam perjalanan, lalu terjumpa sebuah masjid di satu persimpangan jalan. Siswa-siswi Taiwan itu mencuba nasib dengan memohon keizinan melawat ke dalam masjid.
Walau bagaimanapun, permohonan siswa-siswi terbabit ditolak kerana - menurut seorang pemuda Melayu berusia 20-an - mereka mereka bukan Muslim.
Sememangnya kesudahan kisah itu sudah dijangka, lalu mereka mengambil gambar dari luar masjid saja untuk disimpan sebagai kenang-kenangan sebelum beredar.
Tanpa diduga, seorang pak cik yang berdiri di depan masjid itu tiba-tiba melambai tangan ke arah siswa-siswi berkenaan memberi isyarat agar mereka mengikutnya untuk masuk. Malah, berulang kali pak cik itu menyatakan bahawa mereka boleh merakamkan gambar di dalam masjid.
“Camera is okay,” katanya memberi keizinan.
Sungguhpun tidak petah sangat untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, sempat juga pakc ik itu bertanya, dari mana mereka datang, mengapa mereka berminat dengan masjid dan sebagainya.
Pintu masjid dibuka, dan siswa-siswi Taiwan berkenaan berpeluang melihat sendiri seni rekaan bangunan dalam rumah ibadat orang Islam.
Lebih menarik apabila Wong - sebagai anak watan Malaysia - membandingkan perasaannya sendiri setelah menelaah catatan pelajarnya. Siswa-siswi Taiwan itu menyifatkan diri mereka “gentar” ketika melangkah ke dalam masjid, tetapi pada masa sama perasaan itu juga sarat dengan keghairahan yang didorong rasa ingin tahu.
Kegentaran yang ada pada individu Cina tempatan jika berpeluang melangkah masuk ke masjid mungkin lebih cenderung kepada rasa “ketakutan”. Misalnya takut jika dia terlanjur ketika bercakap, atau melanggar pantang larang Islam.
Emosi sebegitu menjelaskan mengapa Wong menahan nafasnya sebaik sahaja dimaklumkan oleh rombongan siswa-siswi Taiwan berkenaan bahawa mereka melawat ke sebuah masjid.
Wong bimbang andainya mereka ditegur - malah mungkin dihalau - lantas dia memikirkan bagaimana untuk memujuk dan menerangkan situasi yang berlaku di Malaysia kepada mereka.
Rasa ingin tahu
Mujur saja pengalaman anak murid Wong itu tidak teruk sebagaimana yang dikhuatirinya. Mereka disambut seorang pak cik Muslim yang berlapang dada. Pengalaman itu menjadi renungan Wong lalu membandingkan dirinya sebagai anak Malaysia dengan siswa-siswi Taiwan berkenaan.
Wong mengakui dirinya tidak memiliki “rasa ingin tahu” sebagaimana yang ada pada pelajarnya. Ditambah pula dengan pengalaman hidup seharian yang kebanyakan non-Muslim di Malaysia lebih berhati-hati dalam isu yang berkaitan dengan Islam.
Mereka khuatir andai tersinggung perasaan masyarakat Muslim sehingga menjejaskan keharmonian yang sedia ada.
Perasaan sedemikian sebenarnya semakin menebal sehingga sesetengah non-Muslim tempatan menjarakkan diri mereka daripada apa-apa yang berkaitan dengan Islam.
Bangunan masjid tersergam di mana-mana, tetapi non-Muslim keberatan untuk mengambil tahu apa yang berlaku di dalam rumah ibadat tersebut. Sedangkan minat pun tidak ada, apa lagi lagi untuk “berdialog”.
Susulan daripada itu, meskipun Malaysia sering bermegah dengan “kepelbagaian” dalam masyarakatnya, tetapi apa yang kita tahu sebenarnya agak cetek.
Kita memiliki kelebihan berbanding Taiwan, tetapi pengalaman kita menghakis “rasa ingin tahu” dalam diri masing-masing sehingga akhirnya mengikat langkah kita untuk saling berkenalan.
Keistimewaan Malaysia di mata dunia
Perkongsian pengalaman oleh Wong itu cukup menarik kepada saya. Mungkin tiba masanya kita bertanya - sebagai sebuah negara yang kecil: apa keistimewaan Malaysia dari kaca mata dunia?
Mustahil Malaysia menjadi negara Islam terbesar di dunia, mustahil juga mereka yang mahu menelusuri asal-usul tamadun Cina dan India menjadikan tanah air ini sebagai destinasinya.
Pada masa sama, kita diperlihatkan bagaimana kadar migrasi populasi semakin meningkat di peringkat global dan ia menyumbang ke arah pembentukan masyarakat majmuk di seluruh pelusuk dunia.
Konflik budaya dan agama semakin meruncing kerana perselisihan nilai dan gaya hidup daripada kelompok manusia yang berbeza.
Malaysia terkedepan dalam aspek ini. Formula yang kita tawarkan mungkin tidak sempurna, tetapi layak dijadikan rujukan - jika pun bukan teladan - dunia antarabangsa ketika berdepan dengan konflik agama, budaya dan bahasa. Kita menyaksikan bagaimana bahasa dan budaya kaum minoriti dipelihara, dan kemudian diadunkan untuk menjadi budaya tempatan yang unik.
Kita diperlihatkan bagaimana kaum majoriti kekal dengan anutan agamanya, malah menterjemahkan firman Allah mengenai “manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar mereka saling mengenali” kepada amalan hidup.
Justeru kita dipertemukan dengan pakcik yang berdiri di depan masjid, sentiasa berlapang dada, tidak bersangka buruk, dan cuba menyantuni pelawat-pelawat dari Taiwan itu. Tanpa disedarinya, pada saat pintu masjid itu dibuka, pintu hati kumpulan non-Muslim itu juga terkuak secara serentak.
*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (6 November 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/598127
**Gambar sekadar hiasan.
Facebook Comments