Sudah tentu tempoh hayat politik Lim Kit Siang sepanjang 56 tahun sarat dengan pengalaman jatuh naik berkali-kali. Bukan sekali ikon DAP itu menawarkan diri untuk berundur, terutamanya selepas tewas dalam pilihan raya umum (PRU).
Misalnya, Kit Siang pernah mengumumkan menarik diri dari persada politik Pulau Pinang setelah DAP kalah teruk dalam pertempuran projek “Tanjong 3” pada 1995, dan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP setelah tewas dalam PRU ke-10 pada 1999.
Namun, Kit Siang kekal aktif sehingga pengumuman pengundurannya sekali lagi dibuat pada 20 Mac lalu. Begitupun pada sebelah petangnya DAP melantik Kit Siang sebagai mentor parti. Belum pasti sejauh manakah peranan yang akan dimainkan tokoh itu pada masa depan.
Namun ia segera mencungkil pertikaian orang ramai terhadap pengundurannya, dari “keikhlasannya untuk melepaskan tangan”, hinggalah persoalan “apakah ia sekadar taktik untuk mengekalkan anaknya, Lim Guan Eng dalam barisan pimpinan DAP dengan jawatan pengerusi, setelah genap tiga penggal menjadi setiausaha agung?” (Pengunduran Kit Siang ditafsir sebagai langkah kompromi untuk mengelakkan tuduhan wujudnya ‘Dinasti Lim’ andainya Kit Siang masih mendominasi pucuk pimpinan bersama Guan Eng.)
Kesemua pertikaian itu ada kewajaran di sebaliknya, cuma ia bukan tumpuan tulisan ini.
Tulisan ini cuba membincangkan usaha Kit Siang dalam kerangka masa DAP beralih dari pembangkang ke pemerintah di peringkat persekutuan. Kit Siang cuba menganjurkan satu anjakan paradigma dalam masyarakat Cina di peringkat akhir hayat politiknya, tetapi nampaknya perjuangan itu belum selesai, sekurang-kurangnya pada saat-saat beliau mengundur diri.
Ikon masyarakat bukan Melayu
Tokoh politik memulakan perjuangannya untuk membawa perubahan kepada masyarakat. Namun, selagi perjuangannya diteruskan merentasi zaman, ideologi yang didukung tokoh politik tersebut tidak terelak daripada diadun dan dibentuk kerangka dan masa masyarakat yang ingin diubahnya.
Pendek kata, tokoh politik mengubah dan diubah zaman.
Dari satu sudut terdapat persamaan andainya Kit Siang dibandingkan dengan Anwar Ibrahim. Anwar memulakan perjuangan politik sebagai aktivis yang menjuarai agenda Melayu dan Islam pada pertengahan 1960-an hinggalah 1970-an, sebelum menyertai Umno pada 1982.
Malah imej Anwar berubah secara berperingkat, mula berjinak-jinak dengan kalimat seperti “wo men dou shi yi jia ren” (kita sekeluarga) selepas menyandang jawatan timbalan perdana menteri.
Pada 1998, Anwar menyalakan obor Reformasi, melakar kerangka pemikiran yang amat berbeza, malah sebagai garis pemisah dalam hayat politiknya.
Misi yang digalas Anwar lebih mencabar selepas dia dibebaskan dari penjara pada 2004, lebih-lebih lagi pakatan pembangkang diberi mandat untuk memerintah di lima negeri selepas PRU ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008.
Anwar bermundar-mandir dari hulu dan ke hilir untuk menjaja idea Reformasinya.
Terdapat idea baru yang bercanggah dengan apa yang diperjuangkannya ketika era 1970-an. Namun Anwar diberi kepercayaan oleh sesetengah penyokongnya, kerana susuk itu berasal dari latar belakang yang memperjuangkan agenda Melayu-Islam.
Dari perspektif ini, Kit Siang memainkan peranan yang agak sama - untuk menjana anjakan paradigma dalam konteks masyarakat Cina, khususnya dalam kerangka tempoh pasca-PRU ke-13. Pertama, Kit Siang diuji dan teruji sepanjang hayat politiknya sehingga PRU ke-13 – sebagai pembangkang yang tidak tunduk sungguhpun diugut dan digoda.
Dia memiliki rekod ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), dan kekal berdiri tegak sebagai pembangkang meskipun pada zaman 1970-an.
Setuju atau tidak dengan pandangannya, DAP di bawah pimpinan Kit Siang menjalankan fungsi sebagai pembangkang untuk menyemak-imbang kerajaan BN yang merangkumi hampir semua parti politik ketika itu.
Dalam apa keadaan pun, negara memerlukan pembangkang untuk menyatakan bantahan terhadap penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pencabulan hak asasi, kebebasan dan sebagainya.
Kedua, kelantangan Kit Siang untuk menjuarai hak dan kepentingan bukan Melayu dan non-Muslim sepanjang hayat politiknya membina kelayakan (credential) dan kredibilitinya sebagai pejuang untuk kaum minoriti. Kit Siang disandarkan kepercayaan oleh penyokongnya - dan mungkin sebahagian besar masyarakat Cina - bahawa susuk tubuh itu tidak akan mengkhianati mereka, sama ada sebagai pembangkang mahupun kerajaan.
Namun demikian, zaman pasca-PRU ke-13 amat unik, lebih-lebih lagi selepas terkuburnya Pakatan Rakyat. Pembangkang tersepit dalam dilema untuk membawa masyarakat berbilang kaum ini ke satu titik persamaan.
Sebagaimana yang disebut, gandingan pembangkang cuba membebaskan masyarakat Melayu-Muslim dari kerangka politik perkauman dan agama, sementara masyarakat bukan Melayu dan non-Muslim dipujuk untuk mencairkan kecinaan (atau keindiaan/kehinduan) mereka.
Untuk Kit Siang, seandainya dilunturkan kecinaannya, maka dia akan diragui penyokongnya, sama ada di dalam mahupun luar DAP, bahawa dia telah membelakangkan perjuangan dirinya demi kuasa.
Pada masa yang sama, andainya Kit Siang mahupun DAP meneruskan pendekatan perjuangannya dahulu, sudah tentu ia menambat langkah masyarakat Melayu-Muslim ke arah perubahan.
Visi terkedepan, taktik ketinggalan
Kit Siang sedar akan senario dan suasana politik ketika itu. Dia nampak itulah peluang keemasan yang harus digarap DAP untuk mengekalkan kelangsungan dan kerelevanan parti terbabit pada masa depan.
Dengan kata lain, Kit Siang mempunyai visi terkedepan untuk mentransformasi DAP menjadi parti politik yang lebih memperlihatkan keterangkuman dan kepelbagaian, bukan sahaja diterjemahkan kepada idealisme yang didukung, tetapi juga dicerminkan melalui realpolitik dalam parti.
Pada sekitar waktu itu DAP berusaha untuk menarik masuk anak muda Melayu ke dalam parti berkenaan. Mereka diberi laluan istimewa untuk melonjak ke posisi yang agak terserlah, dan ditawarkan peluang untuk bertanding di kerusi yang agak “selamat” (untuk DAP).
Malah, pada sekitar zaman itu jugalah DAP - khususnya Kit Siang - mengambil beberapa langkah untuk menjenamakan semula dirinya. Misalnya mengetuai rombongan ke Timur Tengah untuk menampilkan dirinya sebagai ahli politik Malaysia yang juga berminat terhadap politik dunia Islam.
Mengaku atau tidak, kesemua langkah itu diambil untuk mengubah persepsi masyarakat Melayu-Muslim terhadap DAP yang selamanya dimomokkan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.
Namun, pada masa yang sama, langkah tersebut turut mencungkil rasa tidak selesa di dalam dan di luar parti, malah diperlekehkan sebagai “lakonan untuk menyedapkan hati Melayu-Muslim”.
Situasi menjadi lebih ketara selepas 9 Mei 2018. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diasak dari kiri dan kanan sepanjang tempoh 22 bulan pemerintahannya. DAP dituduh mendominasi kerajaan dalam kalangan Melayu, tetapi di sebalik itu parti tersebut dipersenda sebagai tunggangan Dr Mahathir Mohamad. Itulah naratif yang dipersembahkan dalam kalangan masyarakat Cina.
Kit Siang terpaksa tampil untuk menepis tuduhan dan menyanggah hujah tersebut.
Di sini Kit Siang menemui keterbatasannya. Apabila kemarahan masyarakat Cina membara lantaran isu Jawi, kenyataan Kit Siang bahawa “Learning Jawi didn’t make me less Chinese but more Malaysian” umpama menyimbah minyak ke dalam api.
Tepat atau tidak, ia ditafsirkan sesetengah masyarakat Cina sebagai “kemalaysiaan saya kurang jika tidak belajar Jawi”. Kit Siang mungkin terkejut apabila dirinya kena “boo” di khalayak ramai ekoran kegagalan DAP mengolah restu masyarakat Cina dalam isu berkenaan.
Kewibawaan Kit Siang tercalar sedikit sebanyak memandangkan dirinya tetap menjadi ikon yang disanjungi sungguhpun ketika menjadi pembangkang.
Sementara itu, ketagihan Kit Siang mengeluarkan kenyataan turut mengundang malapetaka, lebih-lebih lagi ketika dia mengulas isu yang tidak dikuasainya.
Misalnya, Kit Siang terpaksa memadamkan kenyataan berhubung “kerajaan Allah” yang dikritik berdasarkan salah tafsirnya.
Sudah tentu ia menjadi peluru buat musuhnya yang sedang menanti-nanti untuk membedil ahli parlimen Iskandar Puteri itu dalam masyarakat Melayu-Islam. Kerana satu dua kesilapan Kit Siang, rosaklah segala usaha yang dicurahkan sekian lama dalam cubaan mengubah persepsi masyarakat Melayu terhadap DAP.
Zaman tidak memihak
Jelas, keterbatasan Kit Siang turut mencalar imej DAP. Untuk mereka yang bersangka baik terhadap Kit Siang, mungkin tidak adil seandainya kita menggariskan piawaian yang terlalu tinggi untuk tokoh veteran terbabit.
Visinya yang berpandangan jauh sudah memadai untuk seseorang tokoh politik berusia 80-an, apatah lagi dia cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan dirinya dalam konteks dan senario politik terkini.
Namun, harus diingatkan bahawa Kit Siang tetap seorang ahli politik, yang tidak dikecualikan kemungkinan memiliki kepentingan dan nafsu kuasa. Keghairahannya untuk menawan Putrajaya boleh didorong komitmennya untuk mereformasi institusi politik Malaysia, dan boleh juga dipacu kedahagaannya untuk menggenggam kuasa, atau kedua-duanya.
Kit Siang sedar bahawa reformasi negara hanya boleh dilaksanakan dengan mandat undi yang mencukupi, tetapi untuk meraih sokongan yang memadai, dia perlu tunduk kepada suara arus perdana, yang ada kalanya, bersifat populis.
Cabarannya ialah untuk menjaga keseimbangan, dan ia boleh berakhir dengan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.
Malang sekali situasi zaman semakin tidak memihak kepada Kit Siang. Malah perang mulut - melalui siri kenyataan media - dengan Najib Razak yang sudah disabitkan bersalah kerana pecah amanah pun Kit Siang kecundang.
Kit Siang boleh mendakwa dirinya berada di pihak yang benar, boleh memilih untuk mengekalkan semangat perjuangannya yang berkobar-kobar, tetapi sudah tentu dia sedar, keberadaannya boleh membantut perkembangan DAP, dan membebankan pembangkang.
Berundur secara terhormat
Akhirnya Kit Siang memilih untuk melepaskan tangannya dari DAP. Alasan bahawa “tiada pengganti” tidak lagi relevan, malah tiada makna untuk mengulangi pengorbanan dan sumbangannya kepada DAP dan gerakan pendemokrasian negara.
Banyak andaian boleh dibuat, tetapi tiada kepastian apa yang berlaku jika jalan lain yang dipilih. Misalnya, ada yang mendakwa mustahil DAP menuai hasil pada 9 Mei 2018 andainya Kit Siang berundur sepenuhnya pada tahun 1999.
Namun, kita juga boleh membuat andaian bahawa jika Kit Siang benar berundur pada penghujung abad ke-20, barangkali DAP mampu menampilkan barisan pimpinan yang lebih muda dan idea yang lebih segar pada hari ini.
Apa yang pasti, andainya Kit Siang terus mengheret dirinya sehingga PRU ke-15, dia akan dilihat sebagai beban yang membelenggu DAP daripada terus maju.
Dia akan dipersalahkan sebagai pengasas yang memusnahkan DAP kerana kepentingan diri. Sekurang-kurangnya Kit Siang akan dilihat sebagai membuaikan diri dalam ego bahawa dirinya calon terbaik untuk memimpin dan tiada pengganti selama-lamanya.
Walaupun sedikit terlambat, tetaplah mujur Kit Siang melepas tangan daripada DAP. Seseorang tokoh tidak dinilai semata-mata dengan kegemilangan yang dibawanya untuk parti, tetapi juga kesediaan mempersiapkan pelapis partinya dengan generasi muda untuk melanjutkan perjuangan pada masa depan.
Jarang-jarang ada tokoh mampu membolot segala jasa dan kegemilangan partinya, tetapi seringkali mereka yang cuba berbuat demikian, akan dipersalahkan dengan segala-gala kegagalan partinya.
*Disiarkan di Malaysiakini edisi bahasa Melayu (2 April 2022): https://www.malaysiakini.com/columns/616672
Facebook Comments