Print Friendly, PDF & Email

“Jikalau seseorang tidak diberi kebebasan untuk memilih, maka dia tidak harus dipertanggungjawabkan untuk menanggung kesan lantaran pilihan itu.”

Kata-kata ini membuka minda tanpa membelasah kepala. Dengan kata lain, seseorang itu tidak harus dipersalahkan lantaran satu pilihan yang bukan ditentukan dirinya. Misalnya, seseorang insan tidak terdaya untuk menentukan dirinya dilahirkan sebagai Cina di Malaysia, lantas tidak adil andainya dia dilayan secara berbeza semata-mata kerana keturunannya. Jikalau hujah ini digunakan untuk mempertikaikan sistem kuota di bawah Dasar Ekonomi Baru, mungkin ramai dalam kalangan kita yang tergamam untuk menjawabnya.

Begitupun, andainya kata-kata ini ditelaah dari satu sudut yang berlainan, boleh juga ia mencungkil persoalan lain di sebaliknya. Memandangkan keturunan itu bukan sesuatu yang mampu ditentukan seseorang, untuk apa seseorang itu berbangga dengan keturunannya? Misalnya, jikalau seseorang Cina mencapai prestasi yang membanggakan, apa layaknya untuk saya yang kebetulan seorang Cina, menumpang kebanggaannya? Sedangkan pencapaian itu adalah atas usaha dan keringatnya sendiri, dan bukan curahan titisan peluh saya?

Seandainya logik ini dilanjutkan kepada bab kewarganegaraan, ia menemukan kita dengan persoalan yang sama. Apa kena-mengena prestasi seseorang warga Malaysia dengan kita, memandangkan kita sekadar menjadi rakyat Malaysia secara “kebetulan”? Nasiblah namanya jikalau ia berlaku secara kebetulan. Kita sekadar bersyukur apabila bernasib baik, tetapi tidak sesekali kita berbangga dan bermegah kerana bernasib baik, bukan?

Kejayaan Aaron-Wooi Aik

Apa tidaknya? Apabila beregu lelaki Malaysia muncul sebagai juara dalam Kejohanan Badminton Dunia, tiada alasan untuk saya bersorak jikalau tiada cuti diumumkan. Tiada apa-apa yang mengujakan, memandangkan prestasi ini tiada kena-mengena dengan saya.

Begitu juga dengan keputusan hakim untuk mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas mantan perdana menteri, Najib Razak. Harga barang tetap naik. Nilai ringgit masih merudum. Tiada apa-apa perubahan dalam hidup rakyat jelata.

Pun begitu, hati saya terharu apabila Aaron Chia dan Soh Wooi Aik berada di pentas ketika lagu Negaraku berkumandang. Terukir senyuman pada wajah saya setelah menyaksikan dalang di sebalik skandal 1MDB dikenakan tindakan undang-undang akhirnya.

Bayangkan, apabila Loh Kean Yew merangkul juara dunia pada tahun 2021, ramai yang mengeluh bahawa Malaysia kehilangan bakat-bakat kerana dasar dan sistem negaranya yang tempang dan bobrok, seolah-olah bakat buatan Malaysia hanya boleh berjaya apabila mencuba nasibnya di luar negeri. Kita terpaksa menghormati keputusan Loh Kean Yew apabila dia memilih Singapura untuk meneruskan kerjaya badmintonnya, mendoakan segala yang terbaik untuk dirinya. Tiada salah bagi sesiapa yang mengejar impiannya, selagi tidak memudaratkan orang lain.

Dalam konteks ini, kisah Aaron Chia-Soh Wooi Aik menjadi lebih berharga. Mereka memilih untuk menjunjung langit di mana bumi dipijak. Mereka telah membuktikan bahawa tanah air ini juga mampu melahirkan juara dunia, sungguhpun berkali-kali disindir, diperlekehkan, malah dimaki. Mereka tidak pasrah untuk akur kepada nasib, sungguhpun ramai yang sudah lama berputus asa dan hanya mampu menabur komen toksik di media sosial.

Akhirnya Najib ke penjara

Perbicaraan Najib Razak pula mengharungi perjalanan yang berliku-liku. Kita tidak lupa bagaimana pengamal media yang memilih untuk bercakap benar membongkarkan skandal ini, disusuli dengan kerahan massa oleh pertubuhan masyarakat sivil untuk turun memprotes di jalan raya, dan pulangnya pengundi secara beramai-ramai untuk mengundi sebelum regim yang diterajui kleptokrat ini dihumbankan.

Sepanjang proses ini, terdapat sosok yang dipecat dan diberhentikan perkhidmatan kerana memilih untuk melakukan sesuatu yang betul. Tidak kurang juga mereka yang tunduk kepada ugutan dan godaan, memilih untuk bersekongkol atau memejamkan mata untuk memberi laluan kepada kejahatan.

Kita sedia maklum, bahawa mustahil skandal yang sebesar ini terjadi hanya kerana kerakusan dan kelicikan seekor dua individu. Lantas terzahirnya kekecewaan kita terhadap gatekeeper yang sepatutnya memainkan peranan untuk memastikan tiada penyelewengan berlaku di dalam bidang kuasanya. Malangnya tidak kurang yang diuji tetapi tidak teruji.

Dengan latar belakang sedemikian, kemunculan lima orang hakim Mahkamah Persekutuan yang menjalankan tugas mereka dengan penuh profesional harus dirakamkan penghargaan setinggi-tingginya. Sudah tentu mereka berdepan dengan tekanan, namun kekal sabar dan tenang untuk menyempurnakan kerja mereka, dengan kepakaran yang dikuasainya.

Mereka cuba sedaya upaya membina semula kewibawaan institusi kehakiman dengan integriti yang ada pada dirinya. Semangat mereka jikalau diteladani hakim yang lain akan mewujudkan suasana baru dalam institusi kehakiman. Apa yang tersirat di sebaliknya? Masih ada rakyat Malaysia yang bersedia untuk memperbetulkan apa yang salah dalam sistem negara, tanpa melaungkan slogan “Selamatkan Malaysia”.

Untuk apa diraikan Hari Malaysia?

Akhirnya saya sedar, untuk manusia yang tidak dibelenggu sentimen dan emosi yang berlebihan, hari kemerdekaan atau hari kebangsaan tetap bermakna untuk diraikan. Ia merakamkan kisah-kisah kejayaan anak watan di atas tanah air ini, yang menghidupkan jiwa dan roh sebagai insan yang terpancar sinaran kemanusiaannya, pantang berganjak dari prinsip, enggan menggadaikan integriti, sebaliknya dengan teguh berpegang kepada amanah, dan sentiasa bersedia untuk membina semula harapan, selangkah demi selangkah.

Pada zaman alaf ke-21 yang menyaksikan migrasi berkadar tinggi, setiap umat dunia boleh memilih untuk berhijrah ke mana-mana yang menyediakan syarat lebih sesuai untuk perkembangan kerjaya dirinya. Apakah tiada masalah korupsi di negara-negara maju? Tidak juga, jika pun negara mereka lebih demokrasi, adil dan bebas sekarang, ia merupakan hasil perjuangan warga negara tersebut. Kita sekadar menumpang hasil sumbangan dan pengorbanan orang lain andainya kita berhijrah ke sana.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada pilihan kita, jikalau mahu kekal berada di tanah air ini untuk melakar kejayaan diri, sebelum ia dirangkumkan ke dalam kisah kejayaan negara ini. Kita harus sedar, bahawa negara membangun secara berperingkat-peringkat. Kita menempuh satu demi satu benteng cabaran sebelum kita dilonjakkan ke peringkat seterusnya.

Kebanyakan masanya kita gagal, tetapi ada juga masanya kita berjaya. Saya tersenyum ketika menonton satu klip video bagaimana seorang penonton meminta agar anggota FRU membunyikan locengnya ketika upacara perarakan sempena Hari Kemerdekaan, 31 Ogos lalu.

Ramai dalam kalangan peserta demonstrasi melalui pengalaman ini ketika disuraikan dengan tembakan meriam air dan bedilan gas pemedih mata, beberapa tahun lalu. Tanpa disedari, detik saat yang menggentarkan pada zaman lalu telah menjadi nostalgia yang dirindui sekarang. Rakyat Malaysia berjaya menjinakkan kerajaannya agar tidak menggunakan kekerasan ketika berdepan dengan pandangan yang berbeza.

Apakah tiada lagi gas pemedih mata dan meriam air pada masa depan? Belum tentu lagi. Tetapi jikalau kerajaan pada masa depan cuba mengulangi kezaliman lampau, kita akan melawan lagi.

Apapun, kita telah membuka babak baru dalam sejarah, apabila beralih dari ketakutan kepada kerinduan. Ini proses kematangan seseorang insan, juga proses pembangunan sesebuah negara yang cukup menyentuh hati, andainya kita pernah, sedang dan akan terlibat bersama sepanjang perjalanannya.

*Disiarkan di Malaysiakini (edisi bahasa Melayu) pada 19 September 2022: https://www.malaysiakini.com/columns/636296

Facebook Comments