Print Friendly, PDF & Email

Kedua-duanya mengambil alih kuasa pemerintahan selepas Langkah Sheraton, namun Ismail Sabri kini boleh dikenang sebagai perdana menteri yang menyempurnakan Akta Anti Lompat Parti, setelah genap setahun memerintah. Bagaimana pula dengan Muhyiddin Yassin?

Jikalau diberi pilihan, barangkali PM kelapan ini lebih rela namanya dilupakan, daripada ditanda- pagar dengan pelbagai label seperti kerajaan gagal, pengkhianat, juga gelaran-gelaran yang menjolok telinga.

Ini bukan bermakna Ismail Sabri lebih cekap berbanding Muhyiddin Yassin, malah tidak keterlaluan andainya dikatakan Ismail Sabri lebih bernasib baik berbanding Muhyiddin.

Andainya diimbas, gelombang wabak Covid-19 mengombak sekali lagi di Malaysia pada pertengahan tahun 2021, sehingga Muhyiddin digulingkan dari puncak tangga kuasa.

Ismail bernasib baik kerana menyambut tampuk kuasa setelah vaksinasi mula memperlihatkan kesannya. Lebih-lebih lagi, lanskap politik yang berserpihan memberi ruang yang agak selesa kepada Ismail, kerana hanya perlu menangkis serangan musuh politiknya dengan musuh kepada musuhnya.

Lantas Ismail kekal berada pada kedudukannya sehingga hari ini tanpa sokongan kawan yang setia, malah tanpa akar umbi yang kukuh.

Tidak bersedia, tanpa wawasan

Sememangnya pelantikan naib presiden Umno ini sebagai perdana menteri berlaku di luar jangkaan rakyat Malaysia.

Barangkali Ismail sendiri pun tidak menyangka tuah itu sampai pada kakinya ketika mengangkat tangan untuk bersumpah sebagai PM kesembilan.

Justeru itu, dari kalimat Anwar Ibrahim yang berbunyi “Hua ren, Ma lai ren, Yin du ren, Kadazan ren, Iban ren, Wo Men Dou Shi Yi Jia Ren!” (Orang Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban, Kita sekeluarga!), Ismail Sabri terus singkatkan kepada slogan “Keluarga Malaysia”.

Slogan ini jelas bertentangan dengan idealisme yang didukung Ismail Sabri, sekurang- kurangnya apa yang diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Pada tahun 2015, Ismail menyeru anggota keluarganya yang Melayu untuk memboikot perniagaan anggota keluarganya yang Cina.

Malah sehingga baru-baru ini, Ismail tetap mempertahankan projek Mara Digital Mall-nya, seolah-olah masih tidak terkeluar-keluar dari kerangka kaum.

Tiada masalah jikalau itu niat Ismail Sabri untuk mengangkat martabat ekonomi Melayu. Apa yang mengelirukan adalah, garis untuk membezakan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera itu digilap semula, supaya nampak lebih jelas, sungguhpun teks ucapan pertamanya selaku PM kesembilan berbunyi, “Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.”

Justeru itu, satu Malaysia beralih dari terkial-kial pada zaman Muhyiddin Yassin, kepada terpinga-pinga pada zaman Ismail Sabri, apa sebenarnya idealisme atau wawasan yang terlakar untuk Malaysia?

Ketepikan soal kaum, yang kebanyakan politikus bercakap tak serupa bikin. Petik isu ekonomi, apakah halatuju Malaysia?

Bagaimana Malaysia dipersiap-sediakan untuk berdepan dengan masa depan, dari segi pendidikan, perancangan bandar, dasar alam sekitar dan sebagainya?

Ismail tidak gagal sepenuhnya

Mungkin ramai yang akan bersetuju bahawa Ismail Sabri tidak memiliki jawapan untuk isu- isu yang besar di atas. Malah beliau tidak memiliki jawapan sejauh mana dirinya bakal bertahan sebagai perdana menteri. Bukan itu sahaja, Ismail Sabri tidak kelihatan bersungguh-sungguh untuk mengambil hati rakyatnya, yang ada kalanya, boleh dilakukan hanya denganmengelakkan satu dua amalan yang kurang disenangi rakyat.

Misalnya, sudah bukan sekali pakaiannya mencetus pertikaian lantaran jenama yang berharga beribu-ribu. Sememangnya Ismail memiliki hak dan kebebasan untuk memakai apa sahaja baju yang mampu dibeli, dan serasi dengan citarasanya, namun memakai jenama yang mahal-mahal tatkala rakyat mendongak untuk harga ayam dan minyak masak yang melambungboleh membentuk persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Kita tidak terkejut jikalau Ismail tidak bersolidariti dengan rakyat miskin, namun kita terkejut apabila tiada sehirissensitiviti dalam dirinya dan pasukannya. Jika peka pun tiada, apatah lagi cakna?

Berdasarkan perwatakan sebagaimana yang dihuraikan di atas, mungkin sesetengah ingin menyimpulkan bahawa Ismail Sabri tidak lebih sebagai perdana menteri yang gagal, selepas Muhyiddin Yassin.

Tetapi penilaian saya berbeza, bahawa terdapat sisi positif sepanjang pemerintahan Ismail Sabri, kerana berjaya menyempurnakan beberapa agenda yang bermanfaat untuk transformasi politik Malaysia, sungguhpun personaliti dan kepimpinannya boleh dipertikaikan.

Akta Antilompat Parti misalnya, sedikit sebanyak mampu menstabilkan keadaan, memulihkan keyakinan pengundi terhadap sistem pilihan raya, sungguhpun ia tidak sempurna.

Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik telah dilaksanakan, selangkah besar untuk aktivis yang pernah bermundar-mandir semata-mata untuk mendaftarkan mereka yang berkelayakan untuk mengundi.

Agenda-agenda sedemikian tidak semestinya mampu disempurnakan Pakatan Harapan, sungguhpun sekian lama diperjuangkan, tetapi ia kini dijayakan oleh seorang perdana menteri yang dikatakan tidak bersedia dan tiada wawasan.

Ironi? Ya dan tidak. Kita perlu sedar bahawa situasi ini terjadi kerana pengundi telah merombak lanskap politik tanah air pada 9 Mei 2018.

Sungguhpun situasi yang paling ideal tidak tercapai selepas pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah, tetapi sekurang-kurangnya kita berjaya memecah tembok monopoli kuasa yang lama, sehingga semua parti termasuk kerajaan dan pembangkang terpaksa menyesuaikan diri dengan senario terbaru.

Dengan kekuatan yang lebih seimbang antara parti politik, mereka akhirnya akur dan bersetuju untuk membina gelanggang yang lebih adil untuk semua pesaing – kerana sesiapa boleh menjadi mangsa kepada gelanggang yang condong.

Maka terjadilah apa yang berlaku pada hari ini. Seorang perdana menteri yang tidak terserlah sepanjang hayat politiknya, tetapi mampu menjana beberapa pembaharuan yang positif untuk masa depan Malaysia. Kita tidak tahu sama ada pembaharuan itu zahir dari hatinya yang tulus ikhlas, namun apa yang lebih penting, pembaharuan itu telah berlaku.

Iktibarnya…

Renungan di sebalik senario sedemikian – untuk sekian lama kita berbahas tentang personaliti dan perwatakan seseorang tokoh politik yang dicalonkan sebagai perdana menteri, akhirnya sistem pentadbiran tetap beroperasi, sungguhpun di bawah seseorang perdana menteri yang tidak pernah kita pandang secara serius sebelumnya.

Kita terlalu menekankan soal individu, dipertikaikan sisi ini dan itu seseorang tokoh, akhirnya seorang ahli politik yang tiada jawapan untuk hampir semua isu kontroversi, kekal menjalankan tugas rutinnya, dengan membaca teks yang disediakan, hari demi hari, sehingga genap setahun.

Apakah ia bermakna soal perwatakan dan kepimpinan seseorang perdana menteri itu tidak penting? Bukan. Sesungguhnya kita menuntut pemimpin yang berpendirian dan berwawasan, berempati dan bersolidariti, jujur dan tegas, berani tanggung dan sudi menjawab. Apa yang cuba dibangkitkan pada alaf ke-21 ini adalah, kita juga memerlukan pemimpin yang rendahdiri, dan mampu bekerja dalam satu pasukan.

Beliau mungkin bukan pemimpin yang paling cekap, tetapi mampu merangkumkan individu yang berbakat ke dalam pasukannya. Kerajaan tidak lagi tahu apa yang terbaik, dan perdana menteri juga tidak semestinya memiliki jawapan untuk semua soalan.

Iktibarnya, setelah genap setahun Ismail Sabri memegang jawatan sebagai perdana menteri, juga pada hari-hari menjelang PRU15, setiap perubahan yang cuba diusahakan pengundi tidak akan berakhir dengan sia-sia.

Barangkali kita tidak tercapai apa yang diidam-idamkan dalam masa yang singkat, kerana perubahan itu datang dalam keadaan internet kita yang tersangkut-sangkut. Kita perlu lebih sabar, cuba menyelamatkan keadaan dalam apapun situasi dan tidak menyerah kalah.

Jikalau dahulu kita berpegang kepada kepercayaan bahawa seandainya tokoh yang baik dipilih, maka mereka tidak akan berbuat jahat terhadap rakyat. Itu zaman Mat Kilau. Pada zaman Mat Sakau, kita perlu berusaha untuk membina sistem yang baik, agar politikus yang jahat terpaksa berbuat baik kerana takut dihukum apabila dibawa ke muka pengadilan, lebih-lebih lagi apabila rayuan penangguhan ditolak.

*Disiarkan di Malaysiakini (edisi bahasa Melayu) pada 23 Ogos 2022: https://www.malaysiakini.com/columns/633024

Facebook Comments