Al-Quran ada menyatakan, kadangkala ada perkara yang kita tidak suka, ia baik bagi kita. Dan kadangkala, ada perkara yang kita suka, ia tidak baik bagi kita. Sesungguhnya Allah itu lebih tahu pada perkara yang kita tidak tahu (Surah al-Baqarah 2: 216)
Dengan firman Allah itu, saya cuba mencari hikmah di sebalik isu UEC yang menjadi perbincangan tajam dalam media sosial, terutama dalam wacana politik pasca Pakatan Harapan memerintah Malaysia.
Dengan kejadian itu, saya semakin mengenali rakan-rakan berbangsa cina yang mempunyai semangat patriotik Malaysia yang agak kuat. Sebelum ini, pengetahuan saya tentang budaya masyarakat Cina hanya dari sudut pakaian. Namun kini, sudah melebar kepada mengetahui budaya dan semangat setia kawan mereka.
Isu UEC yang wujud permainan politik di sebaliknya ternyata menggerunkan saya. Iaitu, apabila kelihatan dua kalangan yang ekstrim yang membawa bendera bangsa; Melayu dan Cina. Setiap pihak, seperti tidak dapat dicari titik kesamaan. Lebih saya takut, apabila saya dapat lihat ada pihak mula mempertikaikan semangat patriotik sesama warganegara.
Sebagai orang yang mendapat pendidikan dari dua negara luar; Pakistan dan Mesir, saya dapati masyarakat di sana saling bertembung, malahan berbunuh-bunuhan, walhal mereka satu bangsa dan satu agama. Perbezaan, hanya kerana mazhab dan aliran pemikiran politik, tetapi di atas mimbar jumaat, satu pihak menuduh kafir kepada pihak yang lain, demikian juga sebaliknya.
Pengalaman berada di dua negara ini, saya amat berharap agar ia tidak berlaku di negara ini. Saya berbangsa Melayu, tidak wajar memusuhi bangsa India, Cina, Kadazan dan Iban yang merupakan sesama warganegara, demikian juga bangsa lain terhadap saya yang berbangsa Melayu.
Pada saya, semua individu warganegara tidak kira apa bangsa, anutan agama dan warna kulit; semua pihak perlu ada kesediaan untuk membangunkan negara ini, bukan saling mewujudkan prejudis yang boleh menghancurkan.
LAWATAN
Saya percaya dengan amalan dialog. Perkara ini sering menjadi pesanan seorang ulama terkenal bernama Dr Abdullah bin Bayyah yang berasal dari Mauritania. Terutama, dari sudut pengalaman, saya pernah memusuhi masyarakat beragama kristian. Namun, prejudis saya terhadap penganut agama itu hilang, apabila saya dijemput hadir berdialog dengan rakan-rakan yang beragama kristian.
Justeru, isu UEC yang agak ketat ini, saya mengambil pendekatan dialog. Saya hadir dalam forum di UM anjuran persatuan pelajar, dan membuat hubungan dan berdialog bersama teman-teman LLG Cultural Development Centre bertempat di Jalan Maharajalela dan Ibu Pejabat Dong Zong bertempat di Kajang.
Walaupun saya seorang sahaja berbangsa melayu, tetapi pertemuan kami itu, saya tidak merasakan saya seperti golongan yang terasing bagi mereka. Saya merasakan, saya sebilangan dari keluarga mereka. Mereka meraikan dan menjawab segala persoalan saya dengan baik. Hati saya terdetik, mengapa semangat patriotik mereka dipertikaikan, sedangkan mereka mempunyai sikap yang begitu baik dengan saya.
Menariknya lagi, apabila saya pulang, akan ada satu pesanan whatsapp dari salah seorang dari mereka yang mengucapkan terima kasih. Perkara ini, tidak pernah saya dapat dari pengalaman berkawan dengan rakan-rakan sebangsa dengan saya. Pada saya, budaya ini tidaklah dianggap serius dalam masyarakat melayu, tetapi kemungkinan ia dianggap penting bagi mereka yang berbudaya cina. Saya beranggapan begitu, kerana bukan sekali, malahan agak banyak kali juga saya hadir sebarang program melibatkan kawan-kawan berbangsa cina, mereka akan lakukan perkara yang sama. Allah sahaja lebih mengetahu.
DIALOG
Dalam dialog, banyak perkara yang saya bangkitkan dan mereka memberikan jawapan dengan baik. Namun, ada beberapa perkara yang menarik minat untuk saya ambil perhatian. Itupun, kerana ia melibatkan pengalaman hidup saya sendiri.
Antara yang menarik minat saya, malah saya kongsikan pengalaman itu dengan mereka, iaitu semasa saya baru pulang dari belajar dari al-Azhar. Iaitu, suatu hari penghawa dingin di rumah saya rosak. Dua orang tukang baiki dari bangsa cina telah datang ke rumah saya. Saya menyediakan tiga gelas teh dan sedikit kuih untuk dihidangkan kepada mereka anggap sebagai tetamu.
Setelah mereka siap membaiki, saya jemput mereka minum. Semasa mereka duduk, mereka seperti teragak-agak untuk menjamah kuih dan minuman yang disediakan. Saya bertanya, mereka memberitahu bahawa mereka tidak pernah diberikan layanan sebegitu sebelum ini. Andai mereka diberikan hidangan, selalunya hanya air kotak atau air tin sahaja.
Saya menjelaskan bahawa saya seorang berbangsa Melayu yang beragama Islam. Islam yang saya belajar, tidak pernah ajar diskriminasi keagamaan terhadap kalangan yang berbeza anutan agama, jauh sekali berbeza bangsa dan budaya.
Sebenarnya, kepercayaan ini lahir ekoran dari amalan Islam yang diamalkan oleh masyarakat Melayu yang jauh berbeza dengan amalan islam yang diajar oleh Nabi. Pada mereka, pinggan dan gelas yang digunakan oleh orang bukan Islam yang makan babi, tidak boleh digunakan. Ini ternyata berbeza dengan hadis yang menyatakan tidak salah digunakan pinggan dan gelas tersebut. Yang disuruh basuh itu, hanya basuh biasa, sepertimana dibasuh pinggan dan gelas yang kotor selepas digunakan.
Peliknya, ada sebilangan orang Melayu tertentu berfikiran begitu, sedangkan dalam masa yang sama, mereka selalu makan dan minum di kedai mamak, yang pinggan dan gelas itu digunakan juga oleh non muslim yang makan babi.
Ya, ini bukan isu Islam, tetapi kedangkalan sebilangan kecil masyarakat melayu terhadap Islam. Kedangkalan itu, menjadikan Islam dilihat agama yang jauh dari masyarakat selain Melayu.
MASAKAN
Saya turut berkongsi cerita bahawa di Kelana jaya, ada seorang mak cik berbangsa Cina dan saya yakin tidak beragama Islam yang beliau masak kuey teow goreng agak sedap. Dia hanya ambil satu lot memasak dalam sebuah kedai mamak.
Suatu hari, saya ke sana bersama dengan rakan-rakan muslim Melayu yang lain. Saya meminta sepinggan kuey teow goreng masakan makcik Cina itu, tetapi dilihat ganjil oleh rakan-rakan muslim melayu saya yang lain. Mereka tanya, apakah ia halal?
Saya menjawab, bahawa Islam haramkan babi. Makcik itu masak kuey teow goreng kerang sahaja, tak ada babi dalam tu. Jadi, kenapa pula nak kata haram?
Mereka bertanya lagi, bahawa masakan itu dimasak oleh orang bukan Islam. Saya menjawab dengan satu persoalan, bahawa Nabi saw dibesarkan dalam rumah bapa saudaranya yang bernama Abu Talib yang tidak beragama Islam. Justeru, apakah Nabi saw makan masakan di rumah Abu Talib itu haram?
Demikian juga, Nabi saw pernah dihadiahkan daging kambing yang telah dimasak oleh seorang perempuan Yahudi. Nabi saw makan daging itu. Nabi juga pernah diberikan hadiah keju dari masyarakat Najran yang beragama Kristian, dan Baginda saw makan keju itu. Persoalannya, apakah Nabi saw melakukan perkara yang haram?
Persoalan tersebut, tidak dapat dijawab oleh rakan-rakan muslim Melayu saya. Justeru itu, saya simpulkan bahawa masalah besar yang berlaku dalam masyarakat melayu muslim di Malaysia bukan kerana agama Islam, tetapi cara mereka memahami Islam dalam kerangka yang salah. Kesannya, melahirkan prejudis muslim terhadap non-muslim di Malaysia atas alasan agama.
PENUTUP
Semasa saya kecil dahulu, ketokohan Tok Guru Nik Abdul Aziz amat memberi kesan pada hidup saya. Dengan demikian, saya memilih untuk belajar di Pakistan dan Mesir, kerana kedua-dua negara ini adalah tempat Tok Guru mendapat ilmu.
Antara perkara yang banyak memberi kesan pada hidup saya, apabila beliau sering kali menyatakan kekaguman beliau terhadap masyarakat Cina, sehinggakan kerajaan Kelantan dalam era pemerintahan beliau pernah meluluskan peruntukan untuk membuat masjid yang bercirikan senibina dan budaya Cina.
Beliau juga kerap kali menyebut bahawa beliau berharap suatu masa nanti, ada Perdana Menteri di Malaysia berbangsa Cina, asalkan beragama Islam. Alasan beliau, bangsa Cina adalah bangsa yang rajin bekerja dan mampu membangunkan ekonomi negara dengan baik.
Saya kadangkala berfikir, mengapa Tuan Guru Nik Abdul Aziz dahulu sering mengungkap begitu? Mungkin sengaja diungkap begitu kerana beliau mahu mengajar orang seperti saya agar hapuskan prejudis terhadap bangsa Cina di Malaysia atau orang Melayu seperti saya perlu belajar sesuatu yang baik dari sikap bangsa Cina, andai mahu memastikan negara ini boleh maju berbanding negara lain.
Dipetik dari Oriental Daily (12 September 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/258797
Leave a Reply
Want to join the discussion?Feel free to contribute!