Print Friendly, PDF & Email

Oleh : Wan Ji bin Wan Hussin

Secara dasar, hukum sebatan yang termaktub dalam al-Quran adalah bagi kesalahan zina dan kesalahan qazaf. Sebatan bagi kezalahan zina itu dinyatakan dalam al-Quran; dalam Surah al-Nur (24), ayat 2. Firman Allah:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman” (Surah al-Nur 24 : 2)

Bagi kesalahan qazaf (tuduhan zina kepada orang yang tidak berzina) pula dinyatakan dalam surah yang sama, tetapi dalam ayat 4. Firman Allah:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik” (Surah al-Nur 24 : 4)

Selain itu, tidak terdapat dalam al-Quran. Kesalahan minum arak, walaupun wujud dalam hadis, tetapi ulama-ulama muslim berbeza pendapat: ada sebilangan mereka menyatakan ia sebagai hudud, sedangkan sebilangan yang lain menyatakan sebagai takzir (sesuatu hukuman yang ditetapkan oleh pemerintah, bukan wahyu dari Tuhan).

Dalam pada itu, terdapat ramai dari kalangan umat Islam di Malaysia mendakwa bahawa sebatan “syariah” adalah tidak sakit. Persoalannya, benarkah dakwaan tersebut?

Tidak sakit?

Dari sudut ayat dalam al-Quran, kalimah yang digunakan adalah “jild” yang diterjemah sebagai “kulit”. Ayat itu menyatakan, “jilidlah mereka seratus jilid”, atau “jilidlah mereka dengan lapan puluh jilid”.

Dari sudut bahasa, kalimah “jild” dan “dharb”, memberi maksud yang berbeza. Ini kerana, jild adalah pukulan yang sehingga kena kulit, sedangkan “dharb”, tidak semestinya kena pada kulit. Dengan makna, yang dimaksudkan dalam al-Quran dan Hadis bahawa boleh memukul isteri yang nusyuz itu, bukan semestinya memukul pada badannya, tetapi jika memukul kayu di tepinya pun sudah termasuk maksud memukul.

Yang jelas dalam ayat al-Quran bagi dua kesalahan, iaitu Zina dan Qazaf; bahawa disebut kalimah “jild”, bukan “dharb”. Dengan makna, sebatan itu perlu kena pada kulit orang yang dihukum.

Dalam pada itu, ada sebilangan ahli tafsir menafsirkan “jild” dalam ayat ini sebagai “dharb”, iaitu pukul. Maka dengan demikian, ada dari kalangan umat Islam, mereka mendakwa sebatan yang dilakukan itu tidak sakit. Mereka berhujah dengan mengkiaskan dalam hal keizinan memukul isteri yang nusyuz (isteri yang melakukan tindakan buruk terhadap suami), iaitu hadis:

فَاتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ، فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ

“Takutlah kamu kepada Allah yang berpunca dari wanita (isteri). Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah. Telah halal kepada kamu kemaluan mereka (setubuh) dengan kalimah Allah. Menjadi tanggungjawab kepada mereka bahawa seseorang yang kamu tidak sukai tidak duduk bersama dengan mereka. Jika mereka lakukan juga, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak membahayakan ((Muslim, بَابُ حَجَّةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, hadis no : 1218)) ”

Dengan hadis ini, mereka berhujah bahawa sebatan bagi kesalahan zina dan qazaf tidak menyakitkan. Antara yang berpendapat sebegini adalah ‘Ata’ ((Ibn Katsir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld 6, hlmn 8)) , Malik dan al-Lais bin Sa’ad ((Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jld 12, hlmn 163.)) .

Sakit?

Walau bagaimanapun, terdapat pandangan lain menyatakan sebatan itu tetap sakit. Dalil-dalil mereka adalah seperti berikut:

Pertama, kalimah yang digunakan dalam ayat al-Quran adalah “al-Jild”, bukan “al-Dharb”.

Kedua, dalam ayat zina, disebut:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Hendaklah (pelaksanaan) Azab (hukuman) terhadap mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman” (Surah al-Nur 24:2)

Dalam ayat ini, ia menggunakan kalimah “azab”, yang mempunyai maksud menyakitkan. Ini kerana, dalam banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menggunakan kalimah Azab, memberi maksud sesuatu yang menyakitkan.

Antaranya, dalam hadis bahawa Aisyah bertanya kepada Nabi saw berkenaan penyakit Taun. Jawab nabi saw:

أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ

“Ia adalah azab yang Allah hantar kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu ((Al-Bukhari, بَابُ حَدِيثِ الغَارِ, hadis no : 3474)) ”

Apabila digunakan kalimah “azab” sebagai hukuman kepada pesalah, sudah pasti ia adalah sesuatu yang menyakitkan.

Ketiga, dalam hadis, diceritakan bahawa ada seorang hamba perempuan Nabi yang berzina. Lalu, Baginda saw suruh Saidina Ali agar sebatnya:

فَإِذَا هِيَ حَدِيثُ عَهْدٍ بِنِفَاسٍ، فَخَشِيتُ إِنْ أَنَا جَلَدْتُهَا أَنْ أَقْتُلَهَا، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «أَحْسَنْتَ»

“Didapati bahawa hamba itu baru sahaja kedatangan Nifas (darah keluar selepas dari bersalin). Dengan itu, Aku bimbang dengan sebat perempuan tersebut akan menyebabkan aku membunuhnya. Aku ceritakan perkara itu kepada Nabi. Baginda menjawab, “tindakan kamu adalah baik ((Muslim, بَابُ تَأْخِيرِ الْحَدِّ عَنِ النُّفَسَاءِ, hadis no : 1705)) ”

Andai sebatan itu tidak menyakitkan, sudah pasti tidak sampai bimbang terbunuh jika melaksanakan hukuman tersebut. Jelas, sebatan itu menyakitkan.

Keempat, dalam Tafsir Ibn Kathir, dinukilkan komentar Hammad bin Abi Sulaiman. Dinyatakan bahawa pukul sebat kepada pesalah qazaf adalah dengan memakai pakaian, sedangkan bagi pesalah zina, disebat dengan dibuka bajunya ((Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld 6, hlmn 8;

عَنْ حَمَّادِ بْنِ أَبِي سُلَيْمَانَ: يُجْلَدُ الْقَاذِفُ وَعَلَيْهِ ثِيَابُهُ، وَالزَّانِي تُخْلَعُ ثِيَابُهُ))

Kelima, diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar telah sebat hamba perempuannya yang berzina. Dia berkata kepada tukang sebat, “Pukul belakangnya dan dua kakinya”.

Lalu, anaknya berkata kepada Abdullah, “Jangan kamu rasa kesian terhadap kedua-dua (pesalah) dalam agama Allah”. Lalu, jawab Abdullah:

يَا بُنَيَّ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَأْمُرْنِي بِقَتْلِهَا وقد ضربت فأوجعت

“Wahai Anakku, Allah swt tidak suruh aku membunuhnya. Justeru, aku memukul, lalu aku sakitkan (dia) ((Al-Baghawi, Ma’alim al-Tanzil fi tafsir al-Quran, jld 3, hlmn 379)) ”

Dari amalan sahabat ini, jelas bahawa sebatan itu adalah sakit.

Cara pukul

Cara memukul itu dengan menggunakan cambuk adalah si pemukul sebat sehingga tidak melukakan, dan tidak pula mengangkat tangan ketika memukul sehingga terangkat ketiaknya. Ini adalah pendapat majoriti ulama, termasuk Saidina Ali dan Abdullah bin Ibn Mas’ud.

Dalil mereka adalah satu riwayat bahawa Saidina Omar dibawa seseorang yang dikenakan hukuman hudud, lalu dibawa cambuk dan berkata kepada tukang pukul:

اضْرِبْ وَلَا يُرَى إِبْطُكُ، وَأَعْطِ كُلَّ عُضْوٍ حَقَّهُ

“Pukullah (tetapi) jangan sampai kelihatan ketiak kamu. Berikan setiap anggota itu haknya ((Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jld 12, hlmn 163)) ”

Kesimpulan

Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, mendakwa bahawa sebatan syariah tidak sakit adalah tidak tepat. Ini kerana, soal sakit atau tidak, ia hanya pendapat ilmuwan muslim sahaja.

Kedua, didapati dari sudut hujah bahasa dan hadis-hadis, didapati pendapat ulama yang menyatakan bahawa sebatan itu adalah sakit merupakan pendapat yang paling kuat.

Ketiga, walau bagaimanapun, semua ulama setuju bahawa sebatan tersebut tidak sampai melukakan, atau memudharatkan kepada pesalah yang dihukum.

Facebook Comments

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *