Zaman televisyen hitam-putih telah berlalu. Teknologi yang semakin canggih berjaya memaparkan dunia realiti yang berwarna-warni melalui spektrumnya yang semakin halus dan terperinci.
Begitu juga dengan manusia. Semakin dewasa, semakin kita sedar bahawa mustahil dunia ini boleh dibezakan dengan hanya hitam-putih. Antara hitam dengan putih ada zon kelabu. Dalam politik, biru terbahagi kepada biru tua dan biru muda. Dalam hijau ada oren, dan jangan kita lupa bahawa hijau asalnya dari merah, yang kemudian membentuk biru. Tiada lagi warna yang tulen setulennya.
Justeru itu, sesebuah filem yang baik akan mewarnai perwatakan pelakonnya dengan lebih daripada satu warna. Watak baik-jahat yang mutlak hanya ada dalam cerita Ultraman yang kita tonton ketika zaman kanak-kanak. Raksasa semestinya jahat, dan wajib dihapuskan tanpa belas kasihan oleh penyelamat manusia bergelar Ultraman.
Namun, realiti dunia jauh lebih kompleks daripada itu. Filem yang baik adalah filem yang berjaya menggarap “warna” sebenar dalam dunia realiti. Bukan sahaja “warna” yang kita nampak pada skrin di pawagam, tetapi juga “warna” perwatakan yang ingin dibentuk. Dari segi itu, pujian harus diberikan kepada pengarah filem One Two Jaga, yang memilih pendatang asing dan polis sebagai tema filemnya, baru-baru ini.
Kisahnya mudah, antara polis dengan pendatang asing, yang sudah tentu dapat dibayangkan satu Malaysia apa ceritanya dalam realiti. Masalah kita selama ini – sama ada drama televisyen, mahupun filem tempatan, pembikin produk budaya ini lebih selesa dengan penampilan imej stereotaip – polis yang berani, cekap dan pantas ketika menjalankan tugas menjaga keselamatan masyarakat, sementara pendatang asing sebagai penjenayah yang menceroboh ketenteraman awam.
Pengarah filem, Nam Ron mengambil keputusan untuk melanggar pantang yang dibatasi lembaga penapisan selama ini, dengan memaparkan dimensi realiti dari satu sisi yang lain, dengan polis sebagai penerima sogokan, dan pendatang asing sebagai golongan minoriti yang ditindas.
Tidak cukup dengan itu, Nam Ron cuba membina plotnya bagaimana seorang polis baru yang enggan terjerumus dengan gejala rasuah, akhirnya menjadi polis yang menembak pendatang asing. Sugiman, watak pekerja asing yang paling jujur dan lemah lembut (enggan cari pasal, rajin kerja, akur dengan arahan yang diberikan bos), akhirnya membunuh polis setelah mendapati anaknya mati ditembak.
Titik pusingan dalam filem One Two Jaga ini mencungkil persoalan, mengapa manusia yang berniat baik, amanah, jujur, rajin dalam kerja mereka, akhirnya melakukan sesuatu di sebaliknya – menindas, menembak, membunuh? Apakah masalah dengan sistem dan struktur masyarakat kita, sehingga insan yang baik berakhir dengan melakukan sesuatu yang “salah”?
Andai kita lihat dari sudut Hassan (anggota polis yang menerima rasuah), watak ini tidak sejahat manapun, cuma melepaskan mereka yang tidak berpermit, atau mereka yang melanggar undang-undang, selepas menerima wang suapan. Dia mahu keluarganya hidup dengan baik, dan bermaruah di depan saudara-maranya. Dan jikalau kita lihat dari sudut Adi (anak lelaki Pak Sarip), sungguhpun sifatnya senang naik darah, terutamanya ketika berdepan dengan polis, tetapi dia selalu setiakawan untuk membela pekerja asing yang ditindas.
Jadi, kita diperlihatkan bagaimana anggota masyarakat yang miskin, tidak (atau kurang) berkuasa saling bermusuhan. Polis yang beramanah mahu menangkap pendatang asing tanpa permit; pekerja asing yang mencari rezeki dengan keringat mereka pula benci terhadap polis yang rakus untuk menuntut wang sogokan. Pertembungan mereka padahal tidak menyelesaikan masalah, kerana terdapat tangan ghaib yang berselindung di sebalik tabir untuk menentukan segala-galanya.
Filem ini seharusnya merangsang kita untuk merenungi isu sosial yang terpampang di depan mata secara mendalam. Sugiman dan adiknya, Sumiyati tidak bersalah. Sumiyati tidak berpasport kerana majikannya menahan pasportnya, dan Sumiyati melawan kerana majikannya mengingkari perjanjian terlebih dahulu.
Siapa yang memberi lampu hijau kepada kemasukan pendatang asing yang melambak? Sejauh manakah undang-undang kita saksama untuk melindungi kepentingan majikan dan pekerja asing? Selagi sistem kita memerah keringat golongan buruh untuk keuntungan pemodal yang berlebihan, selagi mereka yang paling berkuasa mampu menentukan segala-galanya dengan telunjuknya, dan kedua-dua pemodal dan penguasa berkomplot, apakah daya orang di bawahnya untuk melawan penindasan yang menimpa mereka?
Kesudahan filem ini agak optimis, dengan setiap mereka yang bersalah, dihadap ke muka pengadilan. Hakikatnya, kita sedar bahawa ianya tidak semudah ini. Apapun, tahniah kerana One Two Jaga sememangnya telah mendedahkan realiti masyarakat kita di pawagam. Adalah misi kita untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini, kerana kita bukan lagi penonton setelah keluar dari pawagam.
Disiarkan di Amanah, Edisi 119 (23-29 Sept 2018)
Facebook Comments