Baru-baru ini, tercetus tsunami di Sulawesi. Seorang agamawan yang digelar sebagai “Ustaz Pencetus Ummah” mengeluarkan satu status twitter yang menampilkan agama Islam seperti agama lawak, iaitu apabila dinyatakan bahawa para ulama Indonesia sepakat menyatakan bahawa tsunami itu terjadi disebabkan maksiat.
Pada Disember 2004, kejadian yang hampir sama turut berlaku. Malahan lebih teruk, kerana kejadian itu melibatkan 14 buah negara sehingga meragut lebih 230 ribu nyawa. Yang paling teruk berhadapan dengan kerosakan dan kematian adalah Acheh yang merupakan sebuah wilayah yang bilangan muslim yang agak ramai berbanding di tempat lain.
Ketika itu, ramai agamawan memberi komentar terhadap kejadian tersebut. Lebih lucu, apabila dikatakan punca kejadian tersebut disebabkan maksiat yang dilakukan oleh masyarakat Acheh. Lebih parah, kejadian itu dijadikan sandaran kebenaran agama Islam dengan melihat pada masjid besar Acheh yang tidak runtuh.
Berbeza pula dengan tsunami yang berlaku di Sulawesi pada kali ini. Tidak pula mereka berhujah kebenaran agama Islam atas alasan yang sama, kerana didapati masjid runtuh dan gereja pula tersergam gagah.
Tidak jauh beza dengan kejadian banjir besar yang menimpa Kelantan pada tahun 2014 yang lalu. Ketika itu, Dewan Undangan Negeri mahu membincangkan soal hudud. Apabila wartawan bertanya, Nik Abduh yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, banjir besar itu berlaku disebabkan Kelantan tidak melaksanakan hudud.
Agamawan dangkal
Setiap kali berlaku sebarang bencana alam, pasti akan ada agamawan tertentu mengeluarkan komentar sehingga melahirkan imej lucu pada agama. Agama datang bukan untuk diketawakan, tetapi agama sering diketawakan disebabkan wujud agamawan-agamawan bercakap tanpa asas.
Masalah besar pada agamawan di Malaysia, malahan dalam banyak negara, apabila mereka tidak memahami ilmu alam, lalu dibahaskan sesuatu malapetaka alam dengan disandarkan kepada al-Quran dan al-Hadis.
Tidak dinafikan bahawa dalam al-Quran ada menyatakan ayat yang berbunyi, “Telah nyawa kehancuran di daratan dan di lautan berpuncakan tangan-tangan manusia.” (Surah al-Rum 30 : 41). Justeru, dengan kedangkalan ilmu alam, mereka menyandarkan bahawa bencana alam berlaku dengan sebab manusia tidak beribadat, kufur, berzina, minum arak dan sebagainya.
Semasa mereka memberi komentar yang tidak tepat terhadap ayat itu, mereka tidak sedar bahawa mereka sudah dilihat sebagai “pak lawak” di mata-mata mereka yang berkepakaran. Terutama, kupasan mereka itu, hakikat dan makna ayat yang sebenar tidak sedemikian.
Hukum Alam
Para ilmuwan yang berkepakaran dalam bidang Islam menekankan bahawa al-Quran itu, apabila dibahas tentang hukum dan ketetapan Tuhan, ia perlu dilihat pada dua sudut, iaitu hukum syariah (Hakimiyyah Tasyriiyyah) dan hukum alam (Hakimiyyah Kawniyyah).
Maksud dengan hukum syariah seperti solat, puasa, zakat, tidak berzina, tidak minum arak dan sebagainya. Maksud dengan hukum alam pula, seperti sebab-akibat: air membasah, api membakar dan sebagainya.
Ayat al-Quran yang dinyatakan di atas, tidak tepat jika dilihat dalam kerangka hukum syariah. Yang tepat, ia dilihat dalam kerangka hukum alam. Dengan makna, soal bencana alam dan malapetaka, ia bukan isu pelanggaran terhadap hukum Allah bersifat syariah, tetapi pelanggaran hukum Allah yang bersifat alam.
Ekoran daripada itu, apabila hutan ditebang, sudah pasti akan wujud masalah pada peredaran oksigen dan karbon dioksida yang sudah pasti memberi kesan pada kehidupan manusia; apabila tanah ditarah, sudah pasti akan berlaku masalah kehilangan topsoil, yang dengan itu hujan yang sedikit pun boleh membawa kepada banjir yang merosakkan.
Demikian juga dengan beberapa tempat di bumi ini, terdapat beberapa tempat yang digelar sebagai lingkaran api pasifik, yang pergerakan plat bumi yang aktif boleh mengakibatkan gegaran berskala ritchter yang agak kuat.
Semua perkara ini, ia bukan isu hukum Allah bersifat syariah, tetapi hukum Allah bersifat alam; yang jika berlaku pelanggaran dari kebiasaan, ia akan melahirkan berbagai kerosakan kepada manusia.
Tidak masuk akal
Semasa kejadian tsunami 2004 yang lalu, ada beberapa buah negara yang terkesan. Namun, dalam banyak negara yang terkesan itu, Acheh adalah wilayah yang paling teruk sekali.
Sepertimana yang diketahui umum, Acheh adalah sebuah wilayah di Indonesia yang mempunyai penduduk yang majoriti beragama Islam dan punyai pengamalan agama Islam yang agak kuat. Andai bencana alam ini berkaitan dengan dosa dan maksiat manusia, sudah pasti tempat yang “paling afdhal” tertimpa bencana alam itu bukan Acheh, tetapi negara-negara orang bukan Islam, seperti Sweden, Kanada dan sebagainya.
Demikian juga, dalam kepercayaan muslim bahawa Kristian sebagai agama yang tidak benar. Andai bencana alam adalah disebabkan tidak mengamalkan Islam, sudah pasti dalam tsunami di Sulawesi itu, masjid tidak akan runtuh. Tetapi yang berlaku, masjid yang runtuh, dan gereja pula yang tersergam gagah.
Penutup
Agama datang, bukan sekadar membetulkan jiwa-jiwa manusia, malahan hadir untuk membina daya intelektual. Ekoran itu, ketika wujud kedangkalan, hakikatnya bukan agama, tetapi kerana agamawan yang kurang pemahaman terhadap agama.
Agama ini adalah sesuatu yang serius. Tetapi, sering dianggap lucu, bukan kerana hakikat agama, tetapi kedangkalan agamawannya.
Manusia beragama cukup ramai. Tetapi, tidak ramai beragama secara pengetahuan. Bahkan, tidak sedikit beragama secara ikut-ikutan.
Kebenaran bukan mesti dari agamawan, bahkan banyak kejadian bahawa kebenaran itu hanya dapat diperjelaskan oleh bukan agamawan. Agama perlu berpijak pada berfikir dan ilmu pengetahuan, bukan taqlid buta pada agamawan.
Disiarkan di Oriental Daily (5 Oktober 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/262424
Gambar: Arimacswilander
Facebook Comments