Oleh: Wan Ji bin Wan Hussin
MUQADDIMAH
Pada awal tahun 2000, Profesor Dr.Mahmud Zuhdi yang ketika itu Pengarah Akademi Islam Universiti Malaya ada mendedahkan bahawa amalan mengintip di hotel-hotel yang kononnya membendung kesalahan zina dan khalwat dalam tatacara kerja penguatkuasa agama yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam di Malaysia membuka ruang kepada mereka untuk terlibat dengan rasuah seks. Semasa mereka menangkap pesalah, mereka menawarkan pembebasan dengan syarat melakukan hubungan seks dengan mereka. (Utusan Malaysia, arkib: 29/05/2000)
Demikian juga, Che Ibrahim Muhammad yang merupakan bekas hakim Mahkamah Syariah Kelantan ada mendedahkan bahawa di Kelantan pernah terjadi, “team pencegah maksiat” menyalahgunakan kuasa yang beroperasi dengan memeras mangsa menyerahkan barang kemas dan wang.
Setelah isu intipan dibangkitkan oleh Menteri Agama baru-baru ini, banyak tulisan dari mangsa-mangsa Jabatan Agama Islam terpapar dalam Facebook mereka. Dalam tulisan itu, dikatakan bahawa tindakan pegawai penguatkuasa tersebut merempuh bilik hotel dan bertindak keras, tanpa sempat mereka menutup aurat, walhal ketika itu mereka bersama suami mereka. Apabila dihalang, pegawai penguatkuasa agama itu mendakwa bahawa mereka bertindak sebegitu untuk memastikan bukti bersekedudukan tanpa nikah itu tidak hilang.
Didapati kejadian sebegini bukan terpencil, malahan terdapat banyak kes yang melibatkan orang awam yang tidak bersalah menjadi mangsa. Boleh dikatakan, hampir semua mendedahkan sepakat bahawa tindakan penguatkuasa agama tersebut amat tidak berakhlak dari penguatkuasa Jabatan Agama Islam ini, seperti tidak memberi salam, mengetuk pintu dengan kuat dan sebagainya.
Dalam merungkai perkara ini, dibawakan beberapa wacana berikut:
Satu: Dosa dan hukuman di dunia
Dalam fiqh Islam, terdapat perbincangan antara “Diyanatan” dan “Qadhaan”, iaitu sesuatu hukum di sisi agama (Diyanatan) dan hukum di sini undang-undang (Qadhaan). Dengan demikian, terdapat kes bahawa sesuatu itu dianggap sah di sisi agama, tetapi tidak sah di sisi undang-undang.
Contohnya, seseorang suami yang telah menceraikan isterinya di rumah. Dari sudut agama (Dinayatan), talak sudah jatuh. Tetapi, memandangkan berlaku di rumah, makanya selama belum diputuskan di peringkat mahkamah oleh hakim sebagai jatuh talak, dari sudut undang-undang (Qadhaan) perempuan yang ditalak tetap tidak dapat berkahwin dengan lelaki lain, walaupun mengikut jarak masa dari awal ditalak di rumah, iddahnya sudah habis.
Kadang-kala ia sah dari sudut undang-undang, tetapi tidak dikira sebagai dosa di sisi agama. Contohnya, langgar lampu merah adalah satu kesalahan dalam undang-undang, tetapi tidak berdosa di sisi agama.
Ada pula, ia dianggap salah di sisi agama dan salah di sisi undang-undang. Contohnya, kesalahan memfitnah zina atau liwat kepada seseorang, yang dari sudut agama, amalan itu adalah dosa dan salah dari sudut undang-undang.
Secara dasarnya, dosa dan pahala adalah urusan yang melibatkan kepada kepercayaan (aqidah). Justeru, penentuannya tertakluk kepada apa yang disebut dalam wahyu, sama ada al-Quran dan al-Sunnah. Implikasi dari dosa adalah penentuan kecelakaan dan implikasi pahala adalah mendapat penentuan kebahagiaan di akhirat.
Manusia tidak mempunyai sebarang hak dalam penentuan dosa dan pahala. Ini kerana, penentuan dosa dan pahala adalah perkara akhirat, sedangkan manusia tidak dapat memahami perkara akhirat kecuali apa yang diberitahu melalui khabar sadiq (Melayu: berita benar) menerusi wahyu.
Penentuan dosa perlu melalui teks wahyu, sama ada berbentuk larangan, atau penentuan azab, atau berbentuk laknat, atau janji kecelakaan. Ekoran itu, tidak menunaikan solat dianggap sebagai dosa, kerana dalam teks wahyu ada menyatakan kecelakaan bagi mereka yang tidak menunaikan solat; mengumpat dianggap dosa, kerana dalam teks wahyu menyatakan azab bagi mereka yang mengumpat. Demikianlah bagi dosa menipu dalam perbualan harian dan begitulah selainnya.
Dalam pada itu, tidak semua perkara yang dianggap dosa, maka perlu diwujudkan undang-undang. Dengan demikian, tidak pernah terjadi pada zaman Nabi Muhammad menetapkan hukuman bagi mereka yang tidak menunaikan solat, tidak wujud hukuman bagi mereka yang tidak berpuasa dan sebagainya.
Ini kerana, undang-undang tidak diasaskan kepada dosa, tetapi berasaskan kepada menolak kerosakan dan keburukan. Ekoran itu, ada perkara itu tidak dikira sebagai dosa, tetapi ada hukuman dari sudut perundangan, seperti melanggar lampu merah.
Dalam pada itu, terdapat beberapa hukuman itu dikira sebagai dosa, seperti rasuah, menipu dalam perniagaan, pengkhianatan terhadap harta manusia dan sebagainya.
Dari penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat dua perkara yang menjadi perbahasan Islam, iaitu (a) kesalahan bersifat awam, sama ada dikira berdosa atau tidak, dan (b) dosa yang bersifat peribadi atau moral.
Hukuman dalam Islam adalah pada kesalahan-kesalahan yang bersifat awam, dan dapat memberi kerosakan kepada orang lain, seperti mencuri, menyeleweng, membunuh dan sebagainya. Namun, bagi kesalahan dan dosa yang bersifat peribadi dan moral, Islam tidak menetapkan sebarang hukuman.
Ekoran itu, pesalah zina, walaupun berdosa, Islam tidak menentapkan hukuman selama ia tidak dilakukan sehingga mengganggu khalayak awam, seperti dalam al-Quran menetapkan sehingga dapat dilihat oleh empat orang yang baik dan beragama dengan mata kepala mereka. Demikian juga, tidak pernah Islam menetapkan hukuman bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat sembahyang, walaupun Islam melihat dosa tidak menunaikan solat antara dosa-dosa yang paling besar.
Dua: Intipan Tiada Dalam Wahyu
Tidak terdapat walaupun satu ayat al-Quran atau al-Hadis berkenaan amalan intipan bagi pesalah agama sepertimana yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam ini.
Pun begitu, terdapat beberapa larangan dari melakukan intipan, walaupun dalam perkara yang dianggap dosa, seperti berzina, minum arak dan sebagainya. Antara hujah-hujahnya adalah seperti berikut:
Pertama, kewajipan menjaga maruah manusia.
Kesalahan besar yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam, dengan alasan mereka mahu mengelak muslim dari zina, mereka sendiri telah melanggar ajaran Islam dengan melakukan tindakan sehingga membuka aib manusia lain.
Bukan sekadar melarang dari mengintip dengan melihat, malahan mengambil perhatian dengan mendengar sebarang suara yang mendatangkan aib kepada manusia lain juga dihalang dalam agama Islam. Dalam hadis, Nabi saw ada berkata:
“Hindari diri kamu dari sangkaan buruk pada orang lain. Ini kerana, sangkaan buruk itu boleh mendatangkan perkataan yang dusta. Jangan kamu mengintai, jangan kamu curi-curi dengar, jangan saling marah memarahi, maka jadilah kamu bersaudara” (al-Bukhari, Hadis no: 5143)
Islam juga melarang membuka aib manusia lain, kerana tindakan sebegitu dibimbangi aib dirinya terbuka pada suatu masa yang lain. Dalam hadis, Nabi Muhammad saw ada berkata:
“Wahai mereka yang memberi keamanan dengan lidahnya, yang sudah tentu tiada sebarang keraguan iman dalam hatinya, bahawa jangan kamu mengumpat orang lain, dan jangan kamu membuka aib orang lain. Andai dia membuka aib orang lain, pasti Allah akan bukan aib dirinya” (Abu Daud, Hadis no: 4880)
Islam juga ada menjelaskan bahawa pemerintah yang cuba mencari kesalahan dan keaiban rakyatnya, hakikatnya adalah menghancurkan rakyatnya sendiri. Dalam hadis yang lain pula, Nabi saw ada berkata:“Sesungguhnya pemerintah yang mencari kesalahan rakyatnya, sebenarnya pemerintah itu membinasakan rakyat itu” (Abu Daud, Hadis no: 4889)
Kedua, larangan mengintip.
Dalam al-Quran terdapat larangan dari tajassus, iaitu mengintip (Surah al-Hujurat 49 : 12). Begitu juga, al-Imam al-Qurtubi ada menyatakan bahawa seorang sahabat Nabi besar bernama Saidina Omar tidak mengambil tindakan undang-undang kepada Abu Mihjan al-Saqafi yang minum arak dalam rumahnya (al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jld 16, hlmn 333).
Demikian juga, seorang sahabat nabi yang lain bernama Abdul Rahman bin Auf bersama Saidina Omar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf yang minum arak dalam rumah beliau, walaupun ia dalam pengetahuan mereka. (Al-Kharaiti, Makarim al-Akhlak, Hadis no: 425)
Bukan sekadar berlaku pada Saidina Omar dan Abdul Rahman bin Auf, malahan kejadian yang hampir sama berlaku pada Abdullah bin Mas’ud; bahawa beliau melarang diambil tindakan dari orang yang melakukan tindakan bukan di ruangan awam. (Abu Daud, Hadis no: 4890)
Malahan, pada zaman hayat hidup Nabi, terdapat kes seorang lelaki bernama Maiz bin Malik yang mengaku berzina di hadapan baginda. Menarik dari kisah itu, Baginda meminta agar dia bertaubat dan meminta ampun dengan Allah sahaja (Al-Bukhari, Hadis no: 6069)
Tiga: Pengamalan di Malaysia
Tanpa dinafikan, Islam melihat zina (persetubuhan di luar nikah) yang melibatkan muslim adalah sesuatu yang dilarang dalam agama. Teks wahyu menjelaskan, larangan itu bukan pada melakukannya sahaja, malahan larang dari menghampirinya juga.
Dengan demikian, walaupun tidak terdapat dalam teks wahyu, terdapat sebilangan ilmuwan muslim di Malaysia bersetuju untuk mewujudkan undang-undang intipan bagi kesalahan khalwat (berdua-duaan lelaki dan perempuan yang tidak bernikah yang memungkinkan berlaku zina).
Hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:
Pertama, menggunakan kaedah Sad al-Zaraie (Melayu: mencegah dari berlaku sesuatu keburukan), iaitu dari mengelak dari berlaku penzinaan, mereka membenarkan intipan demi mengelak dari berlaku khalwat dan seterusnya mengelak dari berlaku zina.
Kedua, mereka mengkiaskan dengan jenayah-jenayah lain, seperti dibenarkan intipan bagi jenayah mencuri, jenayah membunuh, jenayah dadah dan sebagainya. Dengan demikian, mereka menganggap sama dalam berhadapan bagi kesalahan zina.
Apa yang pasti, tindakan intipan ini bukan berasaskan kepada teks wahyu, tetapi ia sekadar pendapat ilmuwan muslim di Malaysia. Justeru, ia bukan hukum Islam, tetapi ia sekadar hukum ciptaan manusia sahaja.
Penutup
Sesuatu amalan yang dilakukan oleh mahkamah syariah atau Jabatan Agama Islam, walaupun mereka menggunakan label “Islam” dan “syariah”, tidak bermakna amalan tersebut wujud al-Quran dan al-Hadis.
Banyak kes berlaku, sesuatu amalan itu dikatakan bersandar kepada Islam, walhal hakikatnya bukan bersumberkan al-Quran dan al-Hadis. Ia sekadar pendekatan dari muslim-muslim tertentu, tetapi diberikan jenama Islam.
Maka demikian juga dalam isu intipan khalwat yang menjadi perbincangan muslim di Malaysia. Ia bukan wujud dalam al-Quran dan hadis, tetapi sekadar pendapat ulama dengan alasan mahu mengelak muslim dari terlibat dengan zina.
Disiarkan di Oriental Daily (Bahagian pertama, 12 Oktober 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/263337
Disiarkan di Oriental Daily (Bahagian kedua, 19 Oktober 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/264274
Facebook Comments