Print Friendly, PDF & Email

Oleh: Wan Ji bin Wan Hussin

Arak atau khamr dalam bahasa Arab, bermakna minuman yang boleh menghilangkan akal. Ia adalah sejenis minuman yang terdapat larangan dari meminumnya dari al-Quran dan hadis. Namun begitu, dalam kalangan ilmuwan-ilmuwan muslim yang muktabar, terdapat beberapa perdebatan berkenaan arak ini.

Dalam artikel ini, ada beberapa wacana yang cuba dikemukakan adalah seperti berikut:

Ayat al-Quran berkaitan arak

Pada peringkat awal, larangan arak itu dengan surah al-Baqarah (2), ayat 219, iaitu al-Quran menyatakan, ada orang bertanya kepada Nabi berkenaan arak dan dunia. Al-Quran menyatakan bahawa Nabi disuruh beritahu bahawa kedua-dua ini adalah dosa yang besar. Namun, tidak boleh dinafikan bahawa ia ada manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, dosa kedua-duanya lebih besar berbanding manfaat.

Justeru, sebilangan sahabat menyatakan bahawa mereka tetap minum arak kerana faktor manfaatnya, sedangkan sebilangan sahabat yang lain tetap meninggalkan dari minum arak dengan alasan bahawa ia tiada kebaikan di samping minum itu, ada dosa. ((Syed Sabiq, Fiqh al-Sunnah, jld 2, hlmn 369))

وأخرج عبد بن حميد عن عطاء قال: أول ما نزل من تحريم الخمر: ” يسألونك عن الخمر والميسر قل فيهما إثم كبير ومنافع للناس، وإثمهما أكبر من نفعهما. ” فقال بعض الناس: نشربها لمنافعها، وقال آخرون: لا خير في شئ فيه إثم.

Kemudian, turun pula ayat (Surah al-Nisa’ 4 : 43) yang melarang mendekati solat dalam keadaan mabuk sehingga orang yang solat itu tahu apa yang dia perkatakan. Dengan turun ayat ini, setengah sahabat berkata bahawa mereka masih minum arak lagi, dan duduk di rumah sahaja. Setengah yang lain pula kata, tidak ada kebaikan lagi pada arak, kerana ia menghalang dari menunaikan solat sesama orang Islam yang lain. ((ibid))

ثم نزلت: يا أيها الذين آمنوا لا تقربوا الصلاة وأنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون ” فقال بعض الناس نشربها ونجلس في بيوتنا، وقال آخرون: لا خير في شئ يحول بيننا وبين الصلاة مع المسلمين.

Lalu turun ayat (al-Maidah 5 : 90 – 92) bahawa Allah menyatakan arak, judi, berhala dan tenung nasib sebagai najis dan ia dari amalan-amalan syaitan. Juga menyatakan bahawa arak dan judi itu boleh membawa kepada permusuhan dan kebencian. Dengannya juga, boleh menghalang dari mengingati Allah dan terhalang dari menunaikan solat. Justeru, perlu hindari diri darinya demi untuk kejayaan. Dengan turun ayat ini, mereka pun berhenti dari minum arak. ((Ibid, hlmn 370))

فنزلت: ” يا أيها الذين آمنوا إنما الخمر والميسر والانصاب والازلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون – إنما يريد الشيطان أن يوقع بينكم العداوة والبغضاء في الخمر والميسر، ويصدكم عن ذكر الله وعن الصلاة، فهل أنتم منتهون ” فنهاهم فانتهوا.

Dalam kalangan pengkaji-pengkaji Islam, mereka berbeza pendapat dalam menyatakan waktu pengharaman arak. Qatadah menyatakan, ia selepas perang Ahzab (perang ahzab berlaku pada tahun 4 atau hijrah). Ibn Ishaq kata, pada perang Bani Nadhir, iaitu tahun 4 hijrah. Al-Dimyati pula kata, ia diharamkan pada tahun 6 hijrah, iaitu tahun perjanjian Hudaibiyyah. ((ibid))

وعن قتادة أن الله حرم الخمر في سورة المائدة بعد غزوة الاحزاب، وكانت غزوة الاحزاب سنة أربع أو خمس هجرية. وذكر إبن اسحاق أن التحريم كان في غزوة بني النضير وكانت سنة أربع هجرية على الراجح. وقال الدمياطي في سيرته: كان تحريمها عام الحديبية سنة ست هجرية.

Maksud dan Hukum Arak

Pemahaman arak, terdapat perbezaan penafsiran seperti berikut:

Pertama, pendapat majoriti ilmuwan muslim.

Arak adalah setiap perkara yang memabukkan, tidak kira ia dibuat dari anggur, kurma, barli, beras atau apa jenis sekalipun. Justeru, mana-mana minuman yang memabukkan, ia tetap diharamkan minum, walaupun sesetengah individu tertentu tidak mabuk semasa meminumnya.

Justeru, dalam pendapat ini sebarang minuman yang pada tabiinya memabukkan, tidak kira dari apa asalnya, maka hukumnya adalah haram diminum.

Kedua, pendapat imam Abu Hanifah.

Arak adalah sejenis minuman yang memabukkan yang diperbuat dari anggur dan kurma sahaja. Selain dari itu, ia bukan arak. Justeru, mana-mana minuman yang memabukkan bukan dari anggur dan kurma, ia tidak dikira haram bagi sesiapa sahaja yang meminumnya selama peminum tersebut tidak mabuk. Dengan demikian, sebarang minuman yang memabukkan dari anggur dan kurma, maka ia adalah arak. Maka, hukumnya adalah haram.

Dalam pada itu, selain dari kedua-dua ini, sebarang minuman itu tidak dikira haram selama individu yang minum itu tidak mabuk. Perkara ini pernah dinyatakan oleh al-Tahawi dalam Syarh al-Ma’ani al-Astar dan Ibn Abd al-Bar dalam al-Tahmid. ((1. Ibn Abd al-Bar, al-Tamhid, jld 1, hlmn 245

                وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِي سَائِرِ الْأَنْبِذَةِ الْمُسْكِرَةِ فَقَالَ الْعِرَاقِيُّونَ إِنَّمَا الْحَرَامُ مِنْهَا السُّكْرُ وَهُوَ فِعْلُ الشَّارِبِ وَأَمَّا النَّبِيذُ فِي نَفْسِهِ فَلَيْسَ بِحَرَامٍ (*) وَلَا نَجِسٍ لِأَنَّ الْخَمْرَ الْعِنَبُ لَا غَيْرُهُ بِدَلِيلِ قَوْلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا يَعْنِي عِنَبًا : 2. Al-Tahawi, Syarh Ma’ani al-Astar, jld 4, hlmn 214: نَحْنُ نَشْهَدُ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ , أَنَّهُ حَرَّمَ عَصِيرَ الْعِنَبِ إِذَا حَدَثَتْ فِيهِ صِفَاتُ الْخَمْرِ , وَلَا نَشْهَدُ عَلَيْهِ أَنَّهُ حَرَّمَ مَا سِوَى ذَلِكَ إِذَا حَدَثَ فِيهِ مِثْلُ هَذِهِ الصِّفَةِ. فَالَّذِي نَشْهَدُ عَلَى اللهِ بِتَحْرِيمِهِ إِيَّاهُ هُوَ الْخَمْرُ الَّذِي آمَنَّا بِتَأْوِيلِهَا , مِنْ حَيْثُ قَدْ آمَنَّا بِتَنْزِيلِهَا. وَالَّذِي لَا نَشْهَدُ عَلَى اللهِ أَنَّهُ حَرَّمَ هُوَ الشَّرَابَ الَّذِي لَيْسَ بِخَمْرٍ. فَمَا كَانَ مِنْ خَمْرٍ , فَقَلِيلُهُ وَكَثِيرُهُ حَرَامٌ , وَمَا كَانَ مِمَّا سِوَى ذَلِكَ مِنَ الْأَشْرِبَةِ , فَالسُّكْرُ مِنْهُ حَرَامٌ , وَمَا سِوَى ذَلِكَ مِنْهُ مُبَاحٌ. هَذَا هُوَ النَّظَرُ عِنْدَنَا , وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَنِيفَةَ , وَأَبِي يُوسُفَ , وَمُحَمَّدٍ رَحِمَهُمُ اللهُ. غَيْرَ نَقِيعِ الزَّبِيبِ وَالتَّمْرِ خَاصَّةً , فَإِنَّهُمْ كَرِهُوا))

Hujah mereka adalah seperti berikut:

Pertama:

Pendapat pertama menyatakan bahawa dalam hadis; daripada Ibn Omar bahawa Nabi Muhammad SAW berkata, “Setiap yang memabukkan adalah arak, dan setiap yang memabukkan adalah haram.” ((Muslim, بَابُ بَيَانِ أَنَّ كُلَّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَأَنَّ كُلَّ خَمْرٍ حَرَامٌ, hadis no : 2003))

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ

Dijawab oleh pendapat kedua, bahawa  hadis ini bersifat umum. Di sana, terdapat hadis lain yang mengkhususkan bahawa maksud dengan arak dalam hadis ini adalah merujuk kepada arak yang diperbuat dari anggur dan kurma sahaja. Dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah berkata, “Arak itu dari dua pokok: Kurma dan Anggur.” ((Muslim, بَابُ بَيَانِ أَنَّ جَمِيعَ مَا يُنْبَذُ مِمَّا يُتَّخَذُ مِنَ النَّخْلِ وَالْعِنَبِ يُسَمَّى خَمْرًا, hadis no : 1985))

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” الْخَمْرُ مِنْ هَاتَيْنِ الشَّجَرَتَيْنِ: النَّخْلَةِ وَالْعِنَبَةِ “

Bahkan dalam al-Quran ada menceritakan bahawa salah seorang yang bersama Nabi Yusuf dalam penjara bermimpi memerah anggur untuk dijadikan arak. Firman Allah:

وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانِ قَالَ أَحَدُهُمَا إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا

“Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memerah arak (anggur).”

Juga, dalam ayat lain, al-Quran ada menyebut:

وَمِنْ ثَمَرَاتِ النَّخِيلِ وَالْأَعْنَابِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

“Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesunggguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang memikirkan.”  (Surah al-Nahl 16 : 67)

Kedua:

Pendapat pertama menyatakan bahawa Saidina Omar pernah berkata bahawa arak itu tidak dibataskan kepada dua perkara ini sahaja, bahkan suatu hari ketika beliau berkhutbah di atas mimbar Nabi, Saidina Omar berkata bahawa semasa pengharaman arak diturunkan, terdapat lima jenis minuman yang berkaitan dengan arak, iaitu anggur, kurma, gandum, tepung dan madu. Beliau berkata juga bahawa arak adalah apa-apa yang boleh menutup akal. ((Al-Bukhari, بَابٌ: الخَمْرُ مِنَ العِنَبِ, hadis no : 5588))

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: خَطَبَ عُمَرُ، عَلَى مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ” إِنَّهُ قَدْ نَزَلَ تَحْرِيمُ الخَمْرِ وَهِيَ مِنْ خَمْسَةِ أَشْيَاءَ: العِنَبِ وَالتَّمْرِ وَالحِنْطَةِ وَالشَّعِيرِ وَالعَسَلِ، وَالخَمْرُ مَا خَامَرَ العَقْلَ

Dijawab oleh pendapat kedua, bahawa perkataan Saidina Omar itu bukan bermuarakan dari perkataan Nabi, sebaliknya itu pendapat Saidina Omar (hadis mauquf, bukan marfu’). Wahyu itu semestinya dari al-Quran dan Hadis, bukan dari perkataan sahabat. Sebarang perkataan sahabat, dianggap sekadar pendapat sahaja, bukan sumber hukum.

Dari perbahasan ini, kelihatan bahawa kedua-dua pendapat ini sepakat bahawa arak yang diperbuat dari anggur dan kurma adalah haram. Justeru, sebarang perkara yang berkaitan dengan arak, maka hukumnya juga adalah haram. Dalam hadis, terdapat laknat bagi mereka yang terlibat dengan arak, bukan semata-mata bagi yang meminumnya, malahan terhadap tukang tuang, penjual, pembeli, pemerah, orang yang meminta perah, orang yang membawanya dan orang yang dibawa kepadanya. ((Abu Daud, بَابُ الْعِنَبِ يُعْصَرُ لِلْخَمْرِ, hadis no : 3674))

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ، وَشَارِبَهَا، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَمُبْتَاعَهَا، وَعَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Namun begitu, perbezaan antara dua pendapat ini adalah dari sudut minuman yang diperbuat dari selain anggur dan kurma, seperti beras, madu, gandum, tepung dan sebagainya. Pada pendapat kedua, arak selain dari dua perkara ini tidak dikira haram selagi ia tidak memabukkan.

Dalam pada itu, terdapat pula pendapat yang ganjil dari kebiasaan umat Islam di seluruh dunia sehingga mengundang kritikan ramai. Pendapat ini membezakan antara dua istilah: “muskir” (memabukkan) dan “al-Khamr” (Arak). Pada mereka, pengharaman itu hanya berlaku pada minuman yang memabukkan. Justeru, sebarang perahan anggur, ataupun selain anggur yang membawa kepada mabuk, maka baru ia haram. Jika tidak mendatangkan mabuk, maka ia tidak haram.

Mereka beralasan dengan hadis di atas, bahawa Nabi saw menyatakan “setiap yang memabukkan adalah arak. Setiap yang memabukkan adalah haram.” ((Muslim, بَابُ بَيَانِ أَنَّ كُلَّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَأَنَّ كُلَّ خَمْرٍ حَرَامٌ, hadis no : 2003))

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ

Lebih-lebih lagi, dalam hadis Nabi saw ada menyatakan bahawa samak kulit binatang menjadikan kulit itu halal digunakan, sepertimana halalnya cuka, walaupun berasal dari arak. ((Al-Mukjam al-Kabir (al-Tibrani), hadis no : 847))

فَإِنَّ دِبَاغُهَا ذَكَاتُهَا يَحِلُّ كَمَا يَحِلُّ الْخَلُّ مِنَ الْخَمْرِ

Justeru, mereka beranggapan bahawa seseorang yang minum arak, lalu ia tidak mabuk, maka minum arak bagi individu terbabit adalah tidak haram. Namun, individu yang lain yang minum pula boleh mendatangkan mabuk, maka bagi dirinya adalah haram.

Penghujahan itu merujuk kepada beberapa hujah, antaranya adalah seperti berikut;

Pertama:

Dalam al-Quran ada disebut larangan dari membazir. Firman Allah:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’araf 7 : 31)

Larangan dari berlebih-lebihan tidak sama antara satu dengan yang lain. Bagi orang kaya, memakai pakaian mewah tidak dianggap sebagai larangan, sedangkan bagi orang miskin, ia dilarang. Dengan demikian, mereka berhujah bahawa haram itu bagi orang yang mabuk, sedangkan bagi orang yang tidak mabuk, maka arak itu baginya tidak haram.

Kedua:

Dalam hadis daripada al-Nu’man bin Basyir berkata bahawa Rasulullah saw berkata, “Wahai Manusia, Sesungguhnya ada sebahagian dari anggur itu adalah arak, ada dari sebahagian  kismis itu arak, ada dari sebahagian kurma itu arak, ada dari sebahaguan madu itu arak, dan aku mencegah dari setiap yang memabukkan.” ((Al-Mu’jam al-Awsat, hadis no : 5712; Abu Daud, بَابُ الْخَمْرِ مِمَّا هُوَ, hadis no : 3676))

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ مِنَ الْعِنَبِ خَمْرًا، وَإِنَّ مِنَ الزَّبِيبِ خَمْرًا، وَإِنَّ مِنَ التَّمْرِ خَمْرًا، وَإِنَّ مِنَ الْعَسَلِ خَمْرًا، وَأَنَا أَنْهَى عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ

Dengan hadis ini, mereka menyatakan bahawa selagi mana tiada mabuk, maka selagi itu ia bukan arak. Justeru, minum dari perahan anggur, kurma dan apa pun, ia tidak dikira sebagai dilarang selama ia tidak ada mabuk.

Ketiga:

Mereka membezakan antara arak (Khamr) dan Nabiz (tuak). Mereka menyatakan, selama buah atau atau hirisan buah yang direndam dalam air sehingga rasanya meresap dalam air tersebut tidak memabukkan, maka ia adalah nabiz. Namun, apabila sudah capai mabuk, maka ia baru disebut sebagai khamr (arak). ((

Al-Nawawi, Syarh Muslim, jld 9, hlmn 64.

                وَهَذَا النَّبِيذُ مَاءٌ مُحَلًّى بِزَبِيبٍ أَوْ غَيْرِهِ بِحَيْثُ يَطِيبُ طَعْمُهُ وَلَا يَكُونُ مُسْكِرًا فَأَمَّا إِذَا طَالَ زَمَنُهُ وَصَارَ مُسْكِرًا فَهُوَ حَرَام))

Dalil mereka adalah hadis: Abu Musa al-As’ari berkata bahawa Rasulullah ada melantik beliau dan Muaz menjadi gabenor di Yaman. Mereka bertanya kepada Nabi bahawa di Yaman ada dua jenis minuman yang diperbuat dari gandum dan tepung. Salah satunya dikenali sebagai “al-Mizr”, dan satu lagi dikenali sebagai “al-Bit’”. Mereka bertanya, apakah boleh mereka minum minuman tersebut? Jawab Nabi saw, “minumlah, dan jangan kamu mabuk.” ((Syarh Ma’ani al-Astar, بَابُ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّبِيذِ, hadis no : 6472))

عَنْ أَبِي بُرْدَةَ بْنِ أَبِي مُوسَى , عَنْ أَبِيهِ قَالَ بَعَثَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَمُعَاذًا , إِلَى الْيَمَنِ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ , إِنَّ بِهَا شَرَابَيْنِ يُصْنَعَانِ مِنَ الْبُرِّ وَالشَّعِيرِ , أَحَدُهُمَا يُقَالُ لَهُ الْمِزْرُ , وَالْآخَرُ يُقَالُ لَهُ الْبِتْعُ , فَمَا نَشْرَبُ؟ . فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اشْرَبَا , وَلَا تَسْكَرَا»

Keempat:

Mereka turut berhujah dengan merujuk seorang ulama bernama Khatib al-Baghdadi yang ada meriwayatkan bahawa Ibn Kasyram melihat seorang ulama bernama Ibn Aliyyah dilihat minum “nabiz” (buah atau atau hirisan buah yang direndam dalam air sehingga rasanya meresap dalam air tersebut) sehingga dia terpaksa dihantar pulang ke rumahnya (kerana mabuk).

Guru al-Imam al-Syafie bernama Waqie berkata, andai kamu melihat orang basrah minum Nabiz, maka dia tertohmah. Namun, apabila kamu lihat orang kufah minum, maka ia tidak tertohmah. Ditanya, kenapa boleh jadi demikian. Jawab Waqie, orang kufah minum nabiz berfaktorkan agama, dan orang basrah tidak minum kerana agama.” ((Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, jld 7, hlmn 196))

قال: أخبرنا سهل بن شاذويه، قال: سمعت عليا، يعني: ابن خشرم، يقول: قلت لوكيع: رأيت ابن علية يشرب النبيذ حتى يحمل على الحمار يحتاج من يرده إلى منزله، فقال وكيع: إذا رأيت البصري يشرب فاتهمه، وإذا رأيت الكوفي يشرب فلا تتهمه، قلت: وكيف؟! قال: الكوفي يشربه تدينا، والبصري يتركه تدينا

Dari kisah ini, mereka berhujah bahawa pengharaman itu pada mabuk, bukan pada arak tersebut. Selama sesuatu minuman itu tidak memabukkan, maka arak itu dikenali sebagai nabiz. Makanya, ia tidak diharamkan. Namun, jika sudah capai mabuk, baru hukumnya adalah haram.

Kelima:

Diriwayatkan bahawa Saidina Omar ketika hampir dengan kematian ekoran ditikam oleh Abu Lu’luah bahawa beliau dibawa air nabiz, lalu Saidina Omar minum air tersebut, dan air itu keluar dari lukanya.” ((Al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa’, hlmn 108))

وأتي عمر بنبيذ فشربه فخرج من جرحه فلم يتبين

Dalam riwayat lain pula diceritakan bahawa setelah Saidina Omar ditikam, seorang tabib dipanggil. Semasa merawat, Tabib itu bertanya kepada Saidina Omar, minuman apa yang paling dia suka. Jawab Omar, air Nabiz. Lalu, Saidina Omar diberi minum air nabiz, dan air itu keluar dari luka-lukanya. ((Ibn Sa’ad, al-Tabaqat al-Kubra, jld 3, hlmn 341))

أَيُّ شَرَابٍ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قَالَ: نَبِيذٌ، فَسُقِيَ نَبِيذًا فَخَرَجَ مِنْ بَعْضِ طَعَنَاتِهِ

Dalam riwayat al-Bukhari pula, dinyatakan bahawa Saidina Omar diberikan air nabiz, lalu beliau minum, dan air nabiz itu keluar dari perutnya. Kemudian, didatangkan pula air susu, lalu beliau minum, dan air susu itu keluar dari lukanya. ((Al-Bukhari, بَابُ قِصَّةِ البَيْعَةِ، وَالِاتِّفَاقِ عَلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ وَفِيهِ مَقْتَلُ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, hadis no : 3700))

فَأُتِيَ بِنَبِيذٍ فَشَرِبَهُ، فَخَرَجَ مِنْ جَوْفِهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِلَبَنٍ فَشَرِبَهُ فَخَرَجَ مِنْ جُرْحِهِ

Dari perbahasan ini, mereka menyimpulkan bahawa yang diharamkan itu adalah minuman yang diminum oleh individu yang boleh mabuk. Dengan demikian, air itu dimaksudkan sebagai arak. Namun, bagi individu lain yang tidak mabuk semasa minumnya, bagi individu tersebut ia tidak dikira sebagai arak. Walau bagaimanapun, pendapat ini dikritik hebat oleh ilmuwan muslim.

Kenajisan Arak

Dalam Surah al-Maidah (5), ayat 90, al-Quran menyatakan, “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah najis dan ia termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Memandangkan dalam ayat ini ada disebut “rijs” yang diterjemah sebagai najis. Makanya, majoriti ulama berpendapat bahawa air arak itu adalah najis. Namun, ada sebilangan ulama menyatakan bahawa air arak itu tidak najis, sebaliknya maksud “najis” dalam ayat merujuk kepada najis secara maknawi.” ((Syed Sabiq, Fiqh al-Sunnah, jld 1, hlmn 29))

الخمر: وهي نجسة عند جمهور العلماء، لقول الله تعالى (إنما الخمر والميسر والانصاب والازلام رجس من عمل الشيطان) وذهبت طائفة إلى القول بطهارتها، وحملوا الرجس في الاية على الرجس المعنوي، لان لفظ (رجس) خبر عن الحمر، وما عطف عليها، وهو لا يوصف بالنجاسة الحسية قطعا

Dengan demikian, andai air arak itu terkena pada pakaian. Makanya, menunaikan solat dengan pakaian yang terkena arak tersebut menjadikan solat tidak sah, sepertimana menurut pendapat majoriti ulama. Namun, menurut pandangan sebilangan yang lain, solat itu tetap sah.

Hukuman peminum arak di dunia

Tidak terdapat sebarang ayat al-Quran yang menyatakan bahawa hukuman dikenakan kepada peminum arak. Yang wujud, hanya dalam hadis Nabi. Antaranya adalah seperti berikut:

Pertama:

Al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Anas bin Malik menyatakan bahawa Nabi saw sebat peminum arak dengan pelepah tamar dan (baling) kasut sebanyak empat puluh kali. Demikian juga Abu Bakar al-Siddiq. ((Al-Bukhari, بَابُ الضَّرْبِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ, hadis no : 6776))

جَلَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ، وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ

Kedua:

Dalam al-Bukhari juga; Abu Hurairah bercerita bahawa suatu hari Nabi saw dibawa datang seseorang lelaki yang telah minum arak. Lalu, Nabi saw menyuruh sahabat pukul dia. Abu Hurairah menyatakan, ada dari kalangan sahabat memukulnya dengan tangan, dan ada dengan kasut, dan ada dengan baju. Lalu, apabila selesai, setengah dari kalangan sahabat berkata kepada peminum arak itu, “Allah telah menghina kamu”. Nabi saw terus menegur dengan menyatakan bahawa tindakan mereka mencela itu adalah membantu syaitan.” ((Al-Bukhari, بَابُ الضَّرْبِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ, hadis no : 6777))

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ قَدْ شَرِبَ، قَالَ: «اضْرِبُوهُ» قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَمِنَّا الضَّارِبُ بِيَدِهِ، وَالضَّارِبُ بِنَعْلِهِ، وَالضَّارِبُ بِثَوْبِهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ بَعْضُ القَوْمِ: أَخْزَاكَ اللَّهُ، قَالَ: «لاَ تَقُولُوا هَكَذَا، لاَ تُعِينُوا عَلَيْهِ الشَّيْطَانَ»

Ketiga:

Anas bin Malik ada menyatakan bahawa Nabi saw sebat peminum arak dengan pelepah tamar dan kasut sebanyak empat puluh kali. Demikian juga Abu Bakar al-Siddiq. Namun, pada zaman Omar bin al-Khattab, beliau berjumpa orang ramai dan bertanya berkenaan sebatan kepada peminum arak. Abd al-Rahman bin Auf menyatakan pendapat bahawa ia boleh dinaikkan, tetapi hendaklah lebih ringan dari hudud. Dengan demikian, Omar sebat peminum arak sebanyak 80 sebatan.” ((Muslim, بَابُ حَدِّ الْخَمْرِ, hadis no : 1706))

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، «أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَدَ فِي الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ، وَالنِّعَالِ»، ثُمَّ جَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ، فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ، وَدَنَا النَّاسُ مِنَ الرِّيفِ وَالْقُرَى، قَالَ: «مَا تَرَوْنَ فِي جَلْدِ الْخَمْرِ؟» فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا كَأَخَفِّ الْحُدُودِ، قَالَ: «فَجَلَدَ عُمَرُ ثَمَانِينَ»

Dari semua hadis yang dikemukakan ini, dalam kalangan ilmuwan Islam berbeza pendapat dalam isu melibatkan hukuman sebatan bagi pesalah minum arak. Perbezaan itu adalah seperti berikut:

Pendapat pertama:

Hukuman sebatan bagi peminum arak sebanyak 40 sebatan adalah hukuman hudud. Namun, penambahan 40 kali yang dilakukan oleh Saidina Omar itu adalah hukuman takzir. Menurut Ibn Hajar, ini adalah pandangan ulama-ulama bermazhab Syafie. ((Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-bari, jld 12, hlmn 73))

أَقَلُّ مَا فِي حَدِّ الْخَمْرِ أَرْبَعُونَ وَتَجُوزُ الزِّيَادَةُ فِيهِ إِلَى الثَّمَانِينَ عَلَى سَبِيلِ التَّعْزِيرِ

Justeru, pemerintah wajib melaksanakan hukuman sebat bagi pesalah arak sebanyak 40 sebatan. Sedangkan, tambahan 40 lagi itu terpulang kepada pemerintah untuk dilaksanakan atau tidak.

Pendapat kedua:

Hukuman sebatan bagi pesalah arak adalah takzir. Ini kerana, sebarang kesalahan hudud, tidak boleh dikurangkan dan tidak boleh ditambah. Dalam kes sebatan arak, didapati Saidina Omar menambah 40 sebatan lagi. Menandakan, ia bukan hudud, sebaliknya takzir.

Antara yang menyatakan demikian adalah Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari dengan kata beliau, “Sesungguhnya Tabari, Ibn Munzir dan seumpamanya menghikayatkan bahawa ada satu kelompok dari ahli ilmu menganggap bahawa (kesalahan minum) arak tidak dikenakan hukuman hudud, sebaliknya dikenakan hukuman takzir.” ((Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jld 12, hlmn 72))

أَنَّ الطَّبَرِيّ وبن الْمُنْذِرِ وَغَيْرَهُمَا حَكَوْا عَنْ طَائِفَةٍ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ أَنَّ الْخَمْرَ لَا حَدَّ فِيهَا وَإِنَّمَا فِيهَا التَّعْزِيرُ

Dengan demikian, hukuman yang mahu dilaksanakan bagi pesalah arak itu terpulang kepada pemerintah untuk melaksanakannya atau tidak.

Perbahasan di atas, semua ulama sepakat bahawa hukuman yang dikenakan andai peminum itu minum arak yang diperbuat dari anggur dan kurma. Namun, dalam pandangan mazhab Hanafi, tidak dikenakan hukuman hudud (juga takzir) bagi peminum arak yang diperbuat dari selain anggur, sama ada diminum itu membawa kepada mabuk ataupun tidak mabuk. ((

Ibn Hazm, al-Muhalla bi al-Astar, jld 12, hlmn 378.

                قَالَ أَبُو مُحَمَّدٍ: أَبَاحَ أَبُو حَنِيفَةَ شُرْبَ نَقِيعِ الزَّبِيبِ إذَا طُبِخَ، وَشُرْبَ نَقِيعِ التَّمْرِ إذَا طُبِخَ، وَشُرْبَ عَصِيرِ الْعِنَبِ إذَا طُبِخَ حَتَّى يَذْهَبَ ثُلُثَاهُ – وَإِنْ أَسْكَرَ كُلُّ ذَلِكَ – فَهُوَ عِنْدَهُ حَلَالٌ، وَلَا حَدَّ فِيهِ مَا لَمْ يَشْرَبْ مِنْهُ الْقَدْرَ الَّذِي يُسْكِرُ – وَإِنْ سَكِرَ مِنْ شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ فَعَلَيْهِ الْحَدُّ. وَإِنْ شَرِبَ نَبِيذَ تِينٍ مُسْكِرٍ، أَوْ نَقِيعَ عَسَلٍ مُسْكِرٍ، أَوْ عَصِيرَ تُفَّاحٍ مُسْكِرٍ، أَوْ شَرَابَ قَمْحٍ، أَوْ شَعِيرٍ، أَوْ ذُرَةٍ مُسْكِرٍ: فَسَكِرَ مِنْ كُلِّ ذَلِكَ، أَوْ لَمْ يَسْكَرْ، فَلَا حَدَّ فِي ذَلِكَ أَصْلًا؟ قَالَ أَبُو مُحَمَّدٍ – رَحِمَهُ اللَّهُ -: وَهُمْ يَقُولُونَ: إنَّ الْحُدُودَ لَا تُؤْخَذُ قِيَاسًا أَصْلًا))  Alasan mereka, haram arak yang diperbuat dari anggur dan kurma itu adalah termaktub dalam hadis, sedangkan selain dari anggur adalah haram secara pendapat ulama sahaja (ijtihad) ((

Al-Kasani, Bada’ al-Sana’, jld 7, hlmn 40.

                أَعْلَمُ وَأَمَّا الْأَشْرِبَةُ الَّتِي تُتَّخَذُ مِنْ الْأَطْعِمَةِ كَالْحِنْطَةِ وَالشَّعِيرِ وَالدُّخْنِ وَالذُّرَةِ وَالْعَسَلِ وَالتِّينِ وَالسُّكَّرِ وَنَحْوِهَا، فَلَا يَجِبُ الْحَدُّ بِشُرْبِهَا؛ لِأَنَّ شُرْبَهَا حَلَالٌ عِنْدَهُمَا، وَعِنْدَ مُحَمَّدٍ وَإِنْ كَانَ حَرَامًا لَكِنْ هِيَ حُرْمَةُ مَحَلِّ الِاجْتِهَادِ))

Arak untuk non-muslim

Secara dasarnya, hukum Islam tidak dibebankan kepada non-muslim. Justeru, hukum haram arak hanya dibebankan kepada muslim sahaja. Perkara ini berasaskan kepada firman Allah, “Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku.” (Surah al-Kafirun 109 : 6)

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Begitu juga ayat al-Quran yang menyatakan, “tiada paksaan dalam agama”. (Surah al-Baqarah 2 : 256)

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Dalam pemerintahan Saidina Omar, beliau mengambil 1/10 cukai dari arak. ((Al-Surakhsi, Syarh al-Syarh al-Kabir, jld 1, hlmn 2143.

                وَإِذَا كَانَ كَذَلِكَ كَانَ حُرْمَةُ الْخَمْرِ أَخَفَّ، فَجَازَ أَنْ يُؤْخَذَ الْعُشْرُ مِنْ الْخَمْر))  Andai cukai arak diambil, sudah pasti wujud jualan arak dalam kalangan non-muslim dalam pentadbiran Omar. Dengan ini, tidak boleh halang non-muslim minum arak dalam pemerintahan muslim.

Walaupun ulama sepakat menyatakan bahawa tidak boleh berlaku jualan arak dari muslim kepada muslim, tetapi ilmuwan muslim berbeza pendapat dalam hukum muslim menjual arak kepada non-muslim.

Pendapat pertama yang merupakan pandangan majoriti ulama bahawa haram muslim menjual arak kepada non-Muslim.

Pendapat kedua, iaitu sebilangan ilmuwan muslim dari mazhab Hanafi menyatakan tidak menjadi salah muslim menjual arak kepada non-muslim, andai muslim terbabit berada di negara orang bukan Islam. ((Al-Kasani, Badai’ al-Sanaie, jld 5, hlmn 192.

            إذَا دَخَلَ مُسْلِمٌ دَارَ الْحَرْبِ تَاجِرًا فَبَاعَ حَرْبِيًّا دِرْهَمًا بِدِرْهَمَيْنِ، أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ مِنْ سَائِرِ الْبُيُوعِ الْفَاسِدَةِ فِي حُكْمِ الْإِسْلَامِ أَنَّهُ يَجُوزُ عِنْدَ أَبِي حَنِيفَةَ وَمُحَمَّدٍ، وَعِنْدَ أَبِي يُوسُفَ لَا يَجُوزُ))

Hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:

Pertama:

Pendapat kedua berhujah dengan mengemukakan kaedah “perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram”.

Ini dimisalkan, seseorang itu dilarang dari menjual najis, kerana najis haram dimakan. Namun, jika dijual najis untuk kegunaan baja, maka ia tidak diharamkan. Ini kerana, najis yang diharamkan itu, jika digunakan untuk makanan, sedangkan baja bukan untuk dimakan.

Demikian juga, hukum menjual ular untuk dimakan adalah haram, tetapi tidak haram jika dijual ular kepada pihak zoo (sebagai contoh), kerana Zoo menggunakan ular bukan untuk dimakan, tetapi untuk pertunjukan sahaja.

Makanya, jualan arak kepada non-muslim juga sama. Ini kerana, arak adalah haram untuk muslim. Justeru, ia haram dijual kepada muslim. Namun, Islam tidak melarang non-muslim untuk meminum arak. Makanya, menjual arak kepada non-muslim bukan suatu yang salah.

Kedua:

Pendapat pertama berhujah bahawa dalam hadis ada menyatakan laknat terhadap arak, bukan sekadar kepada peminum, malahan turut dilaknat kepada pembawa, penjual, pemerah dan sebagainya.

Pendapat kedua jawab, larangan dalam hadis itu hanya difokuskan kepada sesama muslim. Ini kerana, arak haram dalam kalangan muslim. Makanya, hadis ini tidak termasuk kepada non -muslim, kerana non-muslim tidak dilarang dari minum arak. Justeru, mereka berpendapat bahawa muslim menjual arak kepada non-muslim bukan sesuatu yang dilarang.

Ketiga:

Pendapat pertama berhujah dengan ayat al-Quran, “jangan kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah 5 : 2)

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Mereka menyatakan, arak adalah dosa. Justeru, menjual arak kepada non-muslim adalah membantu dalam melakukan dosa.

Pendapat kedua jawab, bahawa konsep dosa minum arak hanya ditekankan kepada muslim, bukan kepada non-muslim. Justeru, pada mereka penghujahan itu tidak tepat.

Kesimpulan

Dari segala perbahasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, ilmuwan muslim berbeza pendapat dalam memahami maksud arak. Perbezaan itu adalah seperti berikut:

  1. Majoriti mereka menyatakan, sebarang minuman yang menghilangkan akal pada tabiatnya, sama ada dari anggur, tamar, gandum, tepung; atau apapun, maka ia adalah arak. Justeru, haram meminumnya, sama ada peminum itu mabuk atau tidak.
  2. Hanafi menyatakan, arak adalah minuman yang memabukkan dari dua jenis sahaja, iaitu anggur dan kurma. Secara tabiatnya, minuman yang pada tabiatnya memabukkan yang berasal dari dua jenis ini dikira sebagai arak. Makanya, ia diharamkan. Namun, selain itu, ia tidak dikira sebagai arak selagi tabiatnya tidak memabukkan.
  3. Pendapat yang luar dari kebiasaan umat Islam dunia menyatakan, sebarang minuman yang andai individu tertentu minum boleh menjadikannya mabuk, maka ia diharam bagi individu terbabit. Tetapi, andai ada individu lain yang minumnya, dan tidak mabuk, maka bagi individu terbabit tidak menjadi haram.

Kedua, ilmuwan Islam berbeza pendapat dalam isu kenajisan arak. Perbezaan itu adalah seperti berikut:

  1. Pendapat majoriti ilmuwan Islam kata, zat air arak itu adalah najis. Justeru, andai air arak kena pada pakaian, maka solat dengan memakai pakaian tersebut tidak sah.
  2. Pendapat sebilangan yang lain kata, zat air arak itu tidak najis.

Ketiga, dalam al-Quran, tidak pernah ada ayat yang menjelaskan bahawa peminum arak akan dikenakan sebarang hukuman. Tetapi, hukuman terhadap peminum arak termaktub dalam hadis. Namun begitu, ilmuwan Islam berbeza pendapat:

  1. Majoriti menyatakan, hukuman itu adalah hukum hudud. Andai muslim didapati secara pasti minum arak, maka dia dikenakan hukuman sebat sebanyak 40 sebatan.
  2. Minoriti menyatakan, hukuman itu bukan hudud, tetapi takzir; iaitu hukuman yang ditetapkan oleh pemerintah. Justeru, terpulang kepada pemerintah, sama ada untuk melaksanakannya atau tidak melaksanakannya, ataupun kadar yang mahu ditetapkan oleh pemerintah. Namun begitu, pemerintah hendaklah mengambil kira maslahah dan keperluan.

Keempat, pemerintah muslim tidak boleh halang non-muslim untuk minum arak. Ini konsep kebebasan mengamalkan agama oleh non-muslim dalam sesebuah negara yang diperintah oleh muslim. Dengan itu juga, jual beli arak sesama non-muslim tidak dihalang.

Kelima, muslim menjual arak sesama muslim adalah dilarang. Namun, berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan muslim dalam isu muslim menjual arak kepada non-muslim.

  1. Majoriti menyatakan, muslim dihalang, malahan dianggap haram menjual arak kepada non-muslim.
  2. Sebilangan kecil dalam kalangan ilmuwan muslim menyatakan, muslim menjual arak kepada non-muslim dalam negara yang diperintah oleh non-muslim tidak dikira sebagai haram.

Facebook Comments

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *