Print Friendly, PDF & Email

Oleh : Wan Ji bin Wan Hussin

Muqaddimah

Ketuanan Melayu, satu ungkapan yang amat popular dalam budaya politik di Malaysia. UMNO yang sejak sekian lama membawa agenda perkauman Melayu menjadikan ungkapan ini sebagai “kalam keramat” ketika berhadapan dengan musuh-musuh partinya.

Dari sudut sejarah, ungkapan ini bermula pada tahun 1986. Pada peringkat awalnya, ia adalah ucapan seorang pemimpin UMNO Kelantan yang dikenali sebagai Abdullah Kok Lanas (nama sebenarnya : Tan Sri Abdullah bin Ahmad, meninggal dunia pada 12 Jun 2016) dalam satu ucapan beliau di Singapura. Dalam ucapan tersebut, allahyarham Abdullah mengungkapkan istilah “Malay Dominance”, tetapi kemudiannya diterjemah kepada bahasa Melayu sebagai “Ketuanan Melayu”.

Pemaknaan dan definisi bagi ketuanan Melayu tidak pernah jelas. Dari sudut persepsi, terdapat pelbagai kefahaman terhadap ketuanan Melayu. Walau bagaimanapun, pemahaman yang popular adalah, ia sebagai konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang: Malaysia).

Implikasi kefahaman ini menjadikan orang Cina dan India dianggap sebagai pendatang dan terhutang budi kepada orang Melayu. Dengan itu, wujud sentimen bahawa Malaysia ini dimiliki oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan berketurunan Melayu adalah hamba. Jika tidak dianggap sebagai hamba sekalipun, mereka dianggap mempunyai tahap kasta yang rendah berbanding Melayu.

Dari sudut pengamalan, ia dilaungkan oleh UMNO. Namun, pada akhir tahun 2010, Presiden PKR, Dr.Wan Azizah Wan Ismail menyatakan bahawa slogan ini digunakan oleh UMNO untuk mengkayakan pemimpin Melayu dan mengabaikan warga Melayu yang miskin. Kenyataan tersebut mendapat kecaman hebat dari pemimpin UMNO.

Kesan dari kecaman tersebut, Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Ketua Umum PKR mengulangi slogan “Ketuanan Rakyat” yang pernah diungkapkan tahun 2008. Anwar membangkitkan perihal hak ekonomi kaum selain Melayu, seperti Kadazan, Iban, Cina dan India.

Atas semangat Islam, pada tahun 2010, Nik Abdul Aziz pernah mengungkapkan bahawa perjuangan “Ketuanan Melayu” adalah sia-sia sahaja. Allahyarham Nik Aziz menyatakan bahawa laungan ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan orang Melayu lebih hina, bukan lebih mulia. ((https://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm))

Lebih berani lagi, pada tahun 1999, Nik Abdul Aziz bukan sahaja membangkitkan soal ketuanan Melayu, malah mempertikaikan konsep hak istimewa Melayu. Allahyarham Nik Aziz berkata,

“Sesuatu bangsa itu tiada hak istimewa. Kalau ada bangsa Arab boleh diberi hak, tetapi Islam tidak memberikan kepada mana-mana bangsa. Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan istilah (hak istimewa Melayu) itu.” ((https://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1126&pub=utusan_malaysia&sec=Pilihan_Raya&pg=pr_08.htm))

Kewarganegaraan

Dalam era konsep kewarganegaraan (Arab: al-Muwatanah), asas kerakyatan bagi sesebuah negara bukan lagi berasaskan kepada kaum, tetapi berasaskan pengiktirafan perlembagaan sesebuah negara terhadap individu rakyat. Ini berbeza dengan pengamalan pada zaman pemerintahan muslim dahulu, di mana kewarganegaraan berasaskan kepada anutan agama. Ini berlaku dalam pemerintahan Osmaniyyah, Abasiyyah, Umawiyyah, Fatimiyyah dan banyak lagi.

Seseorang itu dikira sebagai warganegara, apabila dia telah memeluk agama Islam. Apabila seseorang itu tidak beragama Islam, maka dia dibebankan untuk membayar jizyah (cukai kepada orang yang tidak beragama Islam). Dengan membayar jizyah, maka dia dikira sebagai kafir zimmi (non-muslim yang wajib dijaga kebajikannya oleh sesebuah kerajaan). Kafir zimmi ini dianggap sebagai golongan kelas kedua dalam sesebuah kerajaan. Andai non-muslim tersebut tidak mahu membayar jizyah, dia dianggap sebagai kafir harbi (non-muslim yang boleh diperangi). Ini kerana, dengan sikapnya yang berkeras tidak mahu memeluk agama Islam dan tidak mahu membayar jizyah, diragui motifnya berada dalam pemerintahan muslim. Kemungkinan besar dia mempunyai hasrat untuk memberontak.

Konsep ini berteraskan bahawa muslim sebagai tuan bagi sesebuah negara. Jelas, konsep itu sudah tidak relevan untuk diamalkan dalam bentuk negara bangsa seperti Malaysia, malahan di semua negara dalam dunia pada hari ini. Dalam konsep sekarang, semua rakyat yang disahkan secara perlembagaan dikira sebagai rakyat dalam negara, tidak kira apa anutan agamanya. Setiap mereka mendapat hak keamanan dan kesejahteraaan sebagai rakyat.

Namun, di Malaysia terdapat satu sentimen yang dikenali sebagai “ketuanan Melayu”, yang meletakkan asas kaum Melayu sebagai “tuan rumah”. Dengan sentimen ini, lahir tanggapan bahawa bangsa selain Melayu, seperti Cina dan India sebagai pendatang, walaupun mereka sudah menjadi warganegara Malaysia secara sah dan secara berperlembagaan.

Dari sudut sejarah Islam, semasa Nabi saw masuk ke Madinah bersama para sahabat yang dikenali sebagai Muhajirin (kalangan rakyat Mekah yang bersama-sama dengan Nabi saw berhijrah ke Madinah), status Nabi dan sahabat Muhajirin bukan “warganegara” Madinah (ketika itu : Yasrib). Pun begitu, kehadiran Nabi dan sahabat Muhajirin diterima rakyat Madinah yang dikenali sebagai Ansar sehingga melantik Baginda saw sebagai ketua kerajaan di Madinah. Penerimaan terhadap rakyat Mekah untuk dijadikan ketua kerajaan di Madinah berlanjutan turun temurun; iaitu apabila Abu Bakar al-Siddiq diterima menjadi ketua kerajaan, kemudian disambung oleh Saidina Omar, Osman dan Ali dan seterusnya, walhal mereka berasal dari Mekah.

Tanpa dinafikan, memang terdapat rakyat asal Madinah yang tidak bersetuju, iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Dengan status Nabi sebagai “orang luar”, menyebabkan dia merancang untuk mengeluarkan Baginda saw dari Madinah. Tindakan itu menyebabkan dia mendapat celaan al-Quran sepertimana diceritakan dalam ayat ke-8, dari surah al-Munafiqu. ((Surah al-Munafiqun 63 : 8:
يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari padanya.” Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.))

Tokoh politik yang menolak

Apa yang pasti, ketuanan Melayu tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Menurut pakar sejarah, Prof Khoo Kay Kim, istilah ketuanan Melayu tidak pernah digunakan dalam sejarah ((https://www.youtube.com/watch?v=Q2bXvWYf6ic : 00:45 minit – 1:10 minit.)). Dengan sebab itu, tidak hairan terdapat sebilangan tokoh besar dalam negara yang menolak konsep tersebut.

Antara yang menolak konsep ini adalah Allahyarham Nik Abdul Aziz, bekas Menteri Besar Kelantan. Atas semangat Islam, beliau berkata,

“Jika di Malaysia ini, suka sangat sebut ketuanan Melayu, sebab Melayu bangsa asal, tetapi kita lupa bahawa bumi ini adalah kepunyaan Allah. Sepatutnya, kita kena sebut ketuanan Allah. Sepatutnya, lagu ini (seperti ini) cara berfikir orang-orang beriman. ((Annual Bakri Haron, Nik Abdul Aziz : Pemikiran dan Kebijaksanaan Berpolitik, hlmn 10))”

Dalam kenyataan yang lain, Nik Abdul Aziz pernah menyatakan bahawa dia secara terang-terangan menolak konsep “ketuanan Melayu”. Beliau berkata, “Sebab tu kita buat PAS for All. Lama dah 1Malaysia ini dilakukan oleh PAS, lama dah. Dan DAP sebut, Malaysian Malaysia. Lama dah. Jadi, oleh yang demikian, 1Malaysia ini tiru gerakan Islam sebenarnya, bukan gerakan Melayu. Sebab itu saya lawan ketuanan Melayu. ((https://www.youtube.com/watch?v=ihR8dflw1kM : 8:48 minit – 9:06 minit.))”

Juga menolak konsep ini adalah Dr. Mahathir. Malahan beliau menampilkan pula kegagalan Melayu dalam ekonomi berbanding bangsa lain. Dengan demikian, beliau menganggap slogan ketuanan Melayu sebagai sia-sia. Kata Dr.Mahathir, “Tidak guna (tidak ada faedah) kita panggil diri kita tuan. Ooo kita bangga kerana kita adalah tuan. Kalau kita jadi pemandu kereta dan ada orang di belakang yang mengarah kita ke mana-mana. Apakah kita tuan, atau yang di belakang itu adalah tuan?”

“Kadang-kadang kita terpaksa cuci kasut orang. Orang yang mempunyai kasut itu tuan, atau kita (orang yang cuci kasut) itu tuan?”

“Tidak ada gunanya laung, ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu… ketuanan, (kalau) jadi kuli orang, (itu) bukan tuan. ((https://www.youtube.com/watch?v=LzO-QNfGagg : 7:40 minit – 8:38 minit))”

Pada Jun 2018, bekas Ketua Wanita UMNO, Rafidah Aziz ada menyatakan, sudah sampai masanya ditinggalkan konsep “Ketuanan Melayu” dan digantikan dengan konsep “Ketuanan Malaysia”. Beliau berkata, “Kenapa kita mahu bersaing sesama kita? Kita sepatutnya bersaing dengan yang terhebat di rantau ini, yang terbaik di dunia. Janganlah lagakan antara warisan Melayu dengan warisan Cina. Kita rakyat Malaysia. Kita mahu negara ini menjadi tuan di rantau ini.”

“Ia sudah tidak sesuai digunakan dalam masyarakat kini. Kini, konsep yang lebih sesuai adalah ketuanan Malaysia. Negara ini mesti didahulukan. ((https://www.malaysiakini.com/news/427989))”

Anwar Ibrahim pula pernah membangkitkan persoalan kepada pemaknaan bagi “tuan” dalam pengistilahan “Ketuanan Melayu”. Anwar Ibrahim berkata, “Tuan itu, (maknanya) yang berkuasa, yang utama, yang memiliki. Jadi, kalau Melayu itu tuan, bagaimana kedudukan Iban, Kadazan, Cina, India? ((https://www.youtube.com/watch?v=3s8_PxwOF1Y : 00:55 minit – 1:08 minit))”

Dalam satu ucapan di Kampung Baru pada 14 April 2008 yang dikenali sebagai “Dari Black 14 ke arah kemenangan rakyat”, Anwar Ibrahim pernah menggantikan sentimen “Ketuanan Melayu” kepada “Ketuanan Rakyat”. Dalam ucapan itu, beliau berkata, “Kita tidak bicara soal ketuanan Melayu, tetapi program kita akan lebih banyak membela nasib orang Melayu. Kita tidak bicarakan ketuanan Melayu, kerana yang kita bicarakan adalah ketuanan rakyat. ((https://www.youtube.com/watch?v=hcWQLTOsooc : 1:05 minit – 1:25 minit))”

Islam tolak perhambaan

Dari sudut persepsi, ketuanan Melayu melahirkan gambaran seakan-akan wujud kekastaan berdasarkan bangsa dan kaum, atau wujud eleman mahu menjadikan bangsa lain sebagai hamba. Persoalannya, apa sudut pandang Islam dalam melihat gambaran ini?

Dalam Islam, perhambaan hanya kepada Tuhan. Dengan demikian, Islam tidak mengiktiraf amalan perhambaan sesama manusia. Jauh sekali menerima konsep kasta. Ini disandarkan kepada beberapa bukti:

Pertama, seorang sahabat bernama al-Rab’ie bin ‘Amir berhadapan dengan Raja Rustum dari kerajaan Farsi, dia berkata bahawa Allah swt mendatangkan muslim untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah ((Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld 7, hlmn 46.)).

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ

Kedua, di awal Islam berkembang, sistem perhambaan sesama manusia masih lagi diamalkan. Memandangkan amalan itu adalah sesuatu yang diterima secara lumrah dalam masyarakat Arab, Islam hapuskan sistem itu secara bertahap-tahap. Antara caranya pembebasan terhadap hamba melalui membayar kifarat pada saat melakukan kesalahan dalam beribadat, seperti bersetubuh dengan isteri pada siang hari pada saat sedang berpuasa Ramadan ((Al-Bukhari, بَابُ إِذَا جَامَعَ فِي رَمَضَانَ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَيْءٌ، فَتُصُدِّقَ عَلَيْهِ فَلْيُكَفِّرْ, hadis no : 1936)).

هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: «مَا لَكَ؟» قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟» قَالَ: لاَ، قَالَ: «فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ»، قَالَ: لاَ، فَقَالَ: «فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا». قَالَ: لاَ، قَالَ: فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ - وَالعَرَقُ المِكْتَلُ - قَالَ: «أَيْنَ السَّائِلُ؟» فَقَالَ: أَنَا، قَالَ: «خُذْهَا، فَتَصَدَّقْ بِهِ» فَقَالَ الرَّجُلُ: أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا - يُرِيدُ الحَرَّتَيْنِ - أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: «أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ»

Ketiga, ketika beribadat di Mekah dalam musim Haji atau Umrah, terdapat amalan memakai Ihram. Ia tidak membezakan antara kasta sesama manusia, tidak kira ia dari kalangan Raja, atau bukan; dari kalangan orang berkuasa atau rakyat biasa.

Islam menolak perkauman

Apabila Islam menolak sistem perhambaan dan kekastaan, makanya tidak hairan Islam tidak menerima konsep kemuliaan seseorang manusia itu berdasarkan kaum dan bangsa. Ini disandarkan kepada beberapa dalil berikut:

Pertama, al-Quran menyatakan bahawa manusia itu diciptakan Tuhan dari lelaki dan perempuan, berbangsa dan beretnik. Tujuannya adalah untuk manusia saling kenal-mengenali sesama mereka ((Surah al-Hujurat 49 : 13 : “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”)).

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Kedua, dalam Hadis, Nabi saw ada menyatakan bahawa bangsa Arab tidak lebih mulia berbanding bangsa lain. Kemuliaan di sisi Allah di akhirat kelak adalah ketaqwaan manusia itu kepada Allah. ((Al-Mukjam al-Awsat, hadis no : 4749))

إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَأَبَاكُمْ وَاحِدٌ، وَلَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا أَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

Ketiga, dalam Hadis ada diceritakan bahawa Bilal bin Rabah dihina oleh Abu Zar. Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa Abu Zar memanggilnya, “Wahai Anak kepada perempuan yang berkulit hitam”. Perkara itu menjadikan Rasulullah saw berkata kepadanya, “Wahai Abu Zar, kamu telah menghina ibunya? Sesungguhnya kamu masih ada lagi sifat-sifat jahiliyyah. ((Al-Bukhari, بَابٌ: المَعَاصِي مِنْ أَمْرِ الجَاهِلِيَّةِ، وَلاَ يُكَفَّرُ صَاحِبُهَا بِارْتِكَابِهَا إِلَّا بِالشِّرْكِ, hadis no : 30))”

إِنِّي سَابَبْتُ رَجُلًا فَعَيَّرْتُهُ بِأُمِّهِ، فَقَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا ذَرٍّ أَعَيَّرْتَهُ بِأُمِّهِ؟ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ

Pemimpin berasaskan Kelayakan

Islam melihat bahawa pelantikan seseorang pemimpin, bukan berasaskan kepada kaum dan etnik tertentu, sebaliknya berasaskan kelayakan dan kemampuan dalam mengurus sehingga memberi kebaikan kepada rakyat. Asas ini berdasarkan kepada beberapa dalil berikut:

Pertama, Abu Hurairah bercerita bahawa ketika Nabi saw sedang berada dalam satu kalangan sahabat dan menyampaikan ucapan. Tiba-tiba datang seorang lelaki badwi. Dia bertanya, bilakah kehancuran akan berlaku? Nabi tidak menjawab, sebaliknya terus dengan ucapan Baginda sehingga ada dari kalangan sahabat berkata, bahawa Nabi saw mendengar soalan tersebut dan Nabi tidak suka soalan sebegitu.

Sebilangan yang lain pula kata, Nabi saw tidak mendengar soalan badwi itu. Apabila selesai, Nabi saw bertanya, di mana orang yang bertanya berkenaan kehancuran. Lalu, badwi itu menyahut dan mengulangi soalannya. Lalu jawab Nabi, apabila dikhianati amanah, ketika itu sampai saat kehancuran. Lalu, badwi itu bertanya lagi, bagaimana cara khianati amanah tersebut. Jawab Nabi saw, “Apabila diberikan sesuatu urusan itu bukan kepada orang yang berkelayakan, maka tunggu saat kehancuran. ((Al-Bukhari, بَابُ مَنْ سُئِلَ عِلْمًا وَهُوَ مُشْتَغِلٌ فِي حَدِيثِهِ، فَأَتَمَّ الحَدِيثَ ثُمَّ أَجَابَ السَّائِلَ, hadis no : 59))”

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ القَوْمَ، جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ، فَقَالَ بَعْضُ القَوْمِ: سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ لَمْ يَسْمَعْ، حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ: «أَيْنَ - أُرَاهُ - السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ» قَالَ: هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «فَإِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ»، قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: «إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ»

Kedua, Nabi saw dilahirkan di Mekah. Tetapi, apabila Nabi saw sampai ke Madinah yang ketika itu dikenali Yasrib, Baginda saw dilantik jadi ketua kerajaan. Walaupun Nabi saw bukan rakyat tempatan Madinah, tetapi berasaskan kelayakan, Nabi saw dilantik menjadi ketua kerajaan di Madinah.

Ketiga, memandangkan Nabi bukan berasal dari Madinah, makanya selepas kewafatan Nabi saw, masyarakat Madinah bersetuju untuk melantik orang tempatan menjadi pemimpin. Sa’ad bin Ubbadah yang merupakan calon pemimpin mereka berkata, “Wahai masyarakat Ansar, kamu adalah golongan terawal dengan agama dan mempunyai kelebihan tersendiri dalam Islam yang tidak ada kabilah lain dari kalangan Arab. ((Ibn ‘Abidin, Rad al-Muhtar ‘Ala Dar al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar, jld 2, hlmn 270.))”

Walaupun berlaku kempen mengangkat Sa’ad bin Ubbadah yang merupakan orang tempatan, tetapi perdebatan sesama sahabat dalam pelantikan yang akhirnya bersetuju melantik Abu Bakar al-Siddiq menjadi khalifah, walaupun Abu Bakar kelahiran Mekah.

Keempat, lebih jelas lagi apabila Nabi saw suruh taat kepada pemimpin, walaupun bukan dari kalangan bangsa Arab. Dalam hadis, perkataan Nabi saw dipetik, dengar dan taat, walaupun yang menjadi pemimpin yang ditaati itu adalah seorang hamba yang berbangsa Habsyah (berkulit hitam) yang rambutnya seakan-akan buah kismis (Melayu: buah anggur kering). ((لكم سابقة في الدين وفضيلة في الإسلام ليست لقبيلة من العر))

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا، وَإِنِ اسْتُعْمِلَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ، كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ»

Tindakan afirmatif

Tindakan afirmatif dalam konteks bernegara adalah merujuk kepada bantuan yang diberikan kepada golongan minoriti yang kurang mampu dari segi sosio-ekonomi dan pembangunan. Pada saat golongan majoriti bersaing secara sihat, terdapat golongan minoriti yang gagal untuk setahap dalam persaingan. Dengan demikian, golongan minoriti ini “dibimbing tangan mereka” dengan bantuan kerajaan agar dapat bersaing secara sihat.

Dari sudut ekonomi, Islam cenderung kepada persaingan sihat. Ini didasarkan kepada satu kisah bahawa ada dari kalangan sahabat berjumpa dengan Nabi minta agar buat penetapan harga kerana harga barangan telah naik di pasaran. Nabi saw terus menyatakan bahawa baginda tiada hak untuk buat penetapan harga, malahan menyatakan semua itu bergerak di pasaran berdasarkan ketetapan Tuhan. ((Al-Tarmizi, بَابُ مَا جَاءَ فِي التَّسْعِيرِ, hadis no : 1314))

عَنْ أَنَسٍ قَالَ: غَلاَ السِّعْرُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، سَعِّرْ لَنَا، فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ، القَابِضُ، البَاسِطُ، الرَّزَّاقُ، وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ

Hadis ini menjadi bukti bahawa harga barangan di pasaran bukan ditetapkan oleh pihak yang berkuasa, tetapi perlu berdasarkan persaingan di pasar secara “permintaan” dan “tawaran”. Apabila ada persaingan antara ramai peniaga terhadap sesuatu barangan jualan, sudah pasti setiap mereka mahu memastikan barangan mereka dibeli, makanya mereka akan menawarkan barangan mereka yang lebih kualiti dan paling murah. Dengan itu, para pembeli akan dapat membuat pilihan dan keuntungan.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan bahawa ada dari kalangan yang lemah dan tidak mampu bersaing secara sihat yang memerlukan afirmatif. Dalam tradisi Islam, tidak terdapat langsung tindakan afirmatif berasaskan bangsa atau kaum tertentu. Bantuan diberikan berdasarkan keperluan bagi orang yang memerlukan, tidak kira apa bangsa atau kaum dia sekalipun.

Antara bukti-buktinya adalah seperti berikut:

Pertama, semasa berlaku peperangan di Khaibar, Nabi saw membahagikan harta rampasan perang (arab:Ghanimah ((Dari sudut fiqh Islam, harta rampasan perang diagihkan kepada para tentera yang terlibat dengan perang berdasarkan keperluan berikut; Keperluan kehidupan individu tentera dan keluarganya. Memandangkan datang ke medan peperangan tidak ada kos perjalanan, makanya setiap individu tentera akan menggunakan wang mereka sendiri. Apabila menang perang, harta rampasan perang akan digunakan untuk membayar balik kos perjalanan ke medan peperangan dan segala keperluan perang kepada individu tentera terbabit. Harta rampasan perang akan digunakan untuk pembiayaan kepada tentera yang luka dalam perang, termasuk untuk pembiayaan terhadap keluarga kepada tentera-tentera yang telah gugur dalam peperangan. 2% dari harta rampasan perang itu digunakan untuk kegunaan kerajaan Madinah untuk keperluan awam.))) kepada sahabat yang terlibat dengan perang. ((

Muwatta’, مَا جَاءَ فِي الْغُلُولِ, hadis no : 1669

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ؛ أَنَّهُ قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، عَامَ حُنَيْنٍ. فَلَمْ نَغْنَمْ ذَهَباً، وَلاَ وَرِقاً، إِلاَّ الْأَمْوَالَ: الثِّيَابَ، وَالْمَتَاعَ. قَالَ: فَأَهْدَى رِفَاعَةُ بْنُ زَيْدٍ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، غُلاَماً أَسْوَدَ، يُقَالُ لَهُ مِدْعَمٌ. فَوَجَّهَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى وَادِي الْقُرَى. حَتَّى إِذَا كُنَّا بِوَادِي الْقُرَى، بَيْنَمَا مِدْعَمٌ يَحُطُّ رَحْلَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، إِذْ جَاءَهُ سَهْمٌ عَائِرٌ. فَأَصَابَهُ، فَقَتَلَهُ. فَقَالَ النَّاسُ: هَنِيئاً لَهُ [ش: 82] الْجَنَّةُ. فَقَالَ [ص:654] رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: «كَلاَّ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنَّ الشَّمْلَةَ الَّذِي أَخَذَ يَوْمَ حُنَيْنٍ مِنَ الْمَغَانِمِ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ، لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ نَاراً»

Daripada Abu Hurairah berkata, kami keluar bersama dengan Rasulullah saw dalam tahun (perang) hunain. Kami tidak dapati emas dan perak (harta rampasan perang) kecuali harta berbentuk pakaian. Rifa’ah bin Zaid (seorang sahabat) telah memberi hadiah kepada Nabi seorang hamba berkulit hitam. Orang sering memanggilnya dengan nama Mid’am. Rasulullah saw menuju ke arah lembah. Ketika kami sampai di lembah, tiba-tiba Mid’am melepaskan kenderaan Nabi, menyebabkan datang anak panah mengenainya dan dia mati. Ramai dari kalangan sahabat berkata, bahawa dia masuk ke syurga. Nabi saw membantah dan menyatakan bahawa dia tidak masuk ke syurga, kerana dia telah mengambil harta Hunain dari harta rampasan perang tanpa dibahagikan terlebih dahulu. Dengan demikian, neraka menyala membakarnya.

)). Pemberian tersebut tidak berasaskan kepada kaum, tetapi merentasi bangsa dan kaum, kerana antara yang menerima itu adalah Bilal bin Rabah yang berbangsa Habsyah (golongan kulit hitam).

Kedua, konsep zakat diberikan bukan berdasarkan sesuatu kaum atau bangsa, tetapi berdasarkan keperluan dan kebajikan kepada yang memerlukan. Dalam al-Quran, dinyatakan lapan golongan yang layak terima zakat, iaitu (1) fakir, (2) miskin, (3) amil zakat, (4) muallaf, (5) orang yang tertawan (hamba), (6) orang yang berhutang, (7) orang yang berada di jalan Allah dan (8) orang ada masalah kewangan semasa dalam perjalanan. ((Al-taubah 9 : 60 : Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.))

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Bagi fakir ((Fakir adalah orang miskin yang keperluan hariannya lebih tinggi berbanding penghasilan harian yang dia dapat. Contohnya, dia bekerja, dia dapat gaji sehari sebanyak RM 10, tetapi perbelanjaan sehari sebanyak RM15.)), miskin ((Miskin dalam terma al-Quran bermaksud orang miskin juga, tetapi keperluan hariannya sama tahap dengan penghaisilan hariannya. Contohnya, dia bekerja sehari dalam RM10, dan perbelanjaan seharinya juga RM10.)) , riqab (hamba yang mahu dimerdekakan), Garimin (orang yang dikekang hutang), Ibn Sabil (orang yang ada masalah kewangan ketika dalam perjalanan ((Seperti dia asalnya adalah orang kaya. Dia bermusafir di suatu tempat. Di tempat tersebut, dia jatuh miskin, mungkin disebabkan dicuri atau sebagainya.))) adalah kelompok manusia yang memerlukan kepada bantuan kewangan, tidak kira dari apa bangsa dia. Amil zakat (pengutip zakat yang dilantik kerajaan) pula, berdasarkan kepada kebajikan terhadap hasil kerja yang dilakukannya. Muallaf pula adalah memberi bantuan kewangan kepada mereka yang dibuang ahli keluarga mereka ekoran baru memeluk Islam atau kecenderungannya kepada agama Islam.

Dari konsep zakat ini, amat kelihatan bahawa bantuan tidak diberikan berdasarkan sentimen sesuatu kaum dan bangsa, tetapi berdasarkan kepada golongan yang memerlukan dan keperluan mendapat kebajikan. Lebih-lebih lagi, pada zaman Omar menjadi khalifah, beliau pernah menafsirkan maksud orang fakir dan miskin itu merujuk kepada orang ahli kitab ((Musannaf Ibn Abi Syaibah, مَا قَالُوا فِي الصَّدَقَةِ فِي غَيْرِ أَهْلِ الْإِسْلَامِ, hadis no : 10406)) yang tidak beragama Islam, sudah pasti tidak berbangsa Arab, kerana ahli kitab pada zaman itu adalah berbangsa Bani Israel.

عَنْ عُمَرَ، فِي قَوْلِهِ تَعَالَى: {إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ} [التوبة: 60] قَالَ: «هُمْ زَمْنَى أَهْلِ الْكِتَابِ»

Ketiga, pendekatan tidak berorientasikan bangsa ini lebih kelihatan apabila Nabi saw berpesan kepada Muaz bin Jabal semasa dilantik menjadi gabenor di Yaman, bahawa beliau perlu ajar kepada masyarakat Yaman yang Allah mewajibkan diambil sedekah dari harta orang-orang kaya yang kemudian perlu diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka ((Al-Bukhari, بَابُ وُجُوبِ الزَّكَاةِ, hadis no : 1395)).

أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Keempat, pada zaman Saidina Omar menjadi khalifah, beliau telah ke pasar, beliau dapati Hatib bin Abi Balta’ah menjual buah zabib (anggur yang telah dikeringkan) dengan harga yang murah. Dengan kadar yang murah itu, menyebabkan peniaga-peniaga lain yang mempunyai kadar kos yang rendah tidak dapat bersaing dengan dia. Dengan demikian, Omar pun berkata kepada Hatib, “Sama ada kamu mahalkan harganya, ataupun kamu pergi berniaga di tempat lain”. ((Muwataa’, الْحُكْرَةُ، وَالتَّرَبُّصُ, hadis no : 2399))

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، مَرَّ بِحَاطِبِ بْنِ أَبِي بَلْتَعَةَ. وَهُوَ يَبِيعُ زَبِيباً لَهُ، بِالسُّوقِ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: إِمَّا أَنْ تَزِيدَ فِي السِّعْرِ، وَإِمَّا أَنْ تَرْفَعَ مِنْ سُوقِنَا.

Hatib bin Abi Balta’ah berbangsa Arab sedangkan peniaga-peniaga di pasar itu bercampur dengan pelbagai kaum. Kewujudan Hatib bin Balta’ah menjadikan pasaran tidak seimbang. Makanya, Hatib yang berbangsa Arab diminta menaikkan harga jualannya ataupun dia pergi ke pasar yang lain supaya dia tidak membebankan peniaga lain dalam pasaran.

Ini menjadi bukti, pembelaan bagi golongan yang tidak mampu bersaing bukan berasaskan kaum dan bangsa, tetapi tahap kemampuan, tidak kira apa bangsa dan kaum dia sekalipun.

Kelima, semasa Saidina Omar memerintah, beliau tidak membenarkan pengutipan jizyah dari orang-orang yang lemah seperti kaum wanita dan kanak-kanak ((Al-Amwal (ibn Zanjawiyyah), hadis no : 143)).

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، كَتَبَ إِلَى أَهْلِ الْجِزْيَةِ «أَلَّا يَضْرِبُوا الْجِزْيَةَ، إِلَّا عَلَى مَنْ جَرَتْ عَلَيْهِ الْمَوَاسِي، وَلَا يَضْرِبُوهَا عَلَى النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ»

Begitu juga, surat beliau kepada gabenor beliau yang bernama Osman bin Hunaif yang melarang mengambil jizyah dari orang yang lemah dari kalangan orang terlalu tua, wanita, orang gila, orang tidak ada kemampuan bekerja, orang yang tidak ada kemampuan untuk mendapat upah dan para ahli ibadat yang beribadat dalam rumah ibadat mereka ((Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jld 6, hlmn 260.)).

لَا تُؤْخَذُ مِنْ شَيْخٍ فَانٍ وَلَا زَمِنٍ وَلَا امْرَأَةٍ وَلَا مَجْنُونٍ وَلَا عَاجِزٍ عَنِ الْكَسْبِ وَلَا أَجِيرٍ وَلَا مِنْ أَصْحَابِ الصَّوَامِعِ وَالدِّيَارَاتِ

Jelas dari tindakan Saidina Omar ini bahawa memberi bantuan bukan berasaskan kepada kaum dan bangsa, tetapi berasaskan kepada kelemahan individu dan kebajikannya yang perlu dijaga.

Ketuanan Melayu wujud dalam Islam?

Berbalik ke Malaysia, seringkali konsep Ketuanan Melayu cuba dihalalkan dengan beberapa hujah, dengan memetik kisah dalam Hadis.

Hujah pertama:

Ketuanan Melayu ini wujud dalam Islam, dengan merujuk kepada tindakan Saidina Omar, iaitu ketika tentera muslim telah menguasai Iraq selepas dijajah Farsi, tanah-tanah masyarakat Iraq sewajarnya dibahagikan kepada tentera muslim sebagai ghanimah. Perkara ini dituntut oleh Bilal bin Rabah. Walau bagaimanapun, Saidina Omar tidak bersetuju dan meminta agar tanah itu diberikan semula kepada orang tempatan di Iraq. Pendapat Saidina Omar itu disokong oleh Abd al-Rahman bin ‘Auf.

Jawab:

Perlu difahami bahawa sesuatu tindakan Saidina Omar dari kisah ini bercanggah dengan prinsip yang diajar oleh Nabi, iaitu pembahagian harta ghanimah. Apabila demikian tindakan Saidina Omar, sudah pasti terdapat tujuan atau punca (Arab : illat atau manat) terhadap tindakan tersebut.

Apa yang pasti, terdapat riwayat bahawa beberapa kalangan bangsa Arab yang beragama Yahudi yang dikenali sebagai Bani Tughlub. Mereka memohon untuk duduk dalam kerajaan Madinah semasa Saidina Omar menjadi khalifah. Memandangkan mereka tidak beragama Islam, makan mereka perlu membayar jizyah.

Ketua mereka melihat bahawa orang Islam diwajibkan membayar zakat, sedangkan golongan bukan Islam termasuk Bani Tughlub tidak membayar zakat, sebaliknya perlu membayar jizyah. Sebagai kalangan yang mempunyai sentimen yang suka berperang, ketua Yahudi Bani Tughlub itu berjumpa dengan Saidina Omar dan menyatakan kebimbangannya — Andainya Yahudi Bani Tughlub membayar jizyah yang berbeza dengan orang Islam yang membayar zakat, akan melahirkan tanggapan bahawa mereka sebagai golongan kelas kedua dalam masyarakat Madinah.

Dengan ini, dibimbangi di masa akan datang, kelompok Yahudi Bani Tughlub akan bangun memberontak. Mendengar kebimbangan ketua Yahudi Bani Tughlub tersebut, Saidina Omar pun menyuruh tukar bentuk bayaran jizyah itu, bukan lagi dijenamakan sebagai jizyah, tetapi dijenamakan sebagai zakat.

Kisah ini membuktikan bahawa kebimbangan Saidina Omar adalah faktor masalah kerajaan tidak stabil di masa akan datang, iaitu kebimbangan masyarakat Bani Tughlub akan memberontak. Demikian juga ketika baru sahaja mengusai Iraq sejurus kekalahan Farsi. Ia bukan soal “ketuanan” tetapi soal menjamin kestabilan kerajaan dari sebarang elemen yang boleh membawa kepada pemberontakan.

Hujah kedua:

Terdapat dalam Hadis bahawa Nabi saw berkata, pemimpin itu dari kalangan Quraish. Dengan itu, ia menjadi dalil bahawa Nabi saw mengangkat konsep “Ketuanan Quraish”, dan ia selaras dengan konsep “ketuanan Melayu”.

Jawab:

Sesuatu hukum itu dilihat pada dua sudut, iaitu (a) hukum asal (Arab:al-hukmu Lizatih), dan (b) hukum yang berubah dengan sebab faktor-faktor tertentu (Arab: al-Hukmu li Ghairih). Bagi pemahaman konsep hukum ini, kita mengambil contoh menjual anggur yang dari sudut hukum asalnya adalah harus. Tetapi, andai tindakan itu memberi implikasi secara pasti untuk dibuat arak, maka hukum jual anggur yang asalnya harus itu telah bertukar menjadi haram.

Demikian juga hadis yang menyatakan bahawa pemimpin itu dari kalangan Quraish. Secara hukum asalnya, pemimpin itu dilantik berdasarkan kepada kelayakan, merentasi kaum dan etnik. Ini berdasarkan Hadis bahawa Nabi saw menyatakan, “Apabila disandarkan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggu saat kehancuran”, dan Hadis bahawa Nabi saw bersabda, “Dengar dan taat, walaupun kepada pemimpin itu seorang hamba yang berbangsa habsyah (berkulit hitam) yang rambutnya seakan-akan buah anggur yang kering” (Lihat kupasan di atas).

Pun begitu, andai pelantikan selain Quraish membawa implikasi pertumpahan darah, maka dalam ketika dan tempat itu, perlu dilantik bangsa Quraish. Dengan makna, pada ketika dan di tempat yang lain pula, pelantikan selain dari Quraish tidak mendatangkan implikasi pembunuhan, maka ia tidak termasuk dalam maksud hadis tersebut.

Penutup

Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, konsep Ketuanan Melayu bukan sekadar tidak wujud dalam Islam, malahan ia tidak wujud dalam perlembagaan seperti mana yang diakui oleh pakar sejarah, pakar perlembagaan dan tokoh-tokoh besar dalam politik Malaysia.

Kedua, walaupun konsep ketuanan Melayu tidak ada, ia tetap dimainkan oleh parti Melayu UMNO. Pun begitu, konsep ini mendapat serangan dari beberapa tokoh politik, seperti Dr.Wan Azizah, Anwar Ibrahim, Dr.Mahathir, Rafidah Aziz dan sebagainya.

Ketiga, kesan dari mengangkat konsep ketuanan Melayu, melahirkan persepsi bahawa wujud tanggapan bahawa bangsa selain Melayu sebagai hamba atau sentimen kekastaan antara sesama manusia berasaskan kepada bangsa. Tanggapan sebegini, sudah pasti bercanggah dengan ajaran Islam, kerana Islam menolak konsep perhambaan, dan menolak konsep perkauman dan kasta.

Keempat, demikian juga, kesan dari mengangkat konsep ketuanan Melayu ini melahirkan tanggapan bahawa bangsa selain Melayu sebagai penumpang dan pendatang. Keadaan ini tidak jauh beza tindakan orang munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai bin Salul terhadap Nabi Muhammad sehingga Abdullah mendapat kecaman dari al-Quran.

Kelima, konsep ketuanan Melayu sering dikaitkan dengan tindakan afirmatif yang memberi bantuan; keutamaannya kepada bangsa Melayu. Secara dasarnya, afirmatif yang diterima dalam Islam bukan berasaskan kepada kaum dan bangsa, tetapi kepada membangunkan orang yang lemah dan memerlukan, tidak kira apa bangsa dan anutan agama dia.

Facebook Comments