Oleh: Wan Ji bin Wan Hussin
Muqaddimah
Semasa hampir dengan saat kewafatan Nabi Muhammad saw, Baginda saw menyampaikan satu khutbah terakhir yang dikenali sebagai khutbah al-Wada’. Dari sudut bahasa Arab, kalimah “wada’” bermakna “ucapan selamat tinggal”. Dengan itu, khutbah wada’ bermaksud khutbah yang disampaikan Nabi ketika hampir waktu kewafatan, seakan-akan Nabi mahu mengucapkan selamat tinggal kepada umat Islam yang masih hidup.
Dalam khutbah tersebut, Nabi Muhammad saw menyebut satu perkara yang menjadi wacana besar dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia, iaitu apabila Nabi saw berkata, “Sesungguhnya nyawa-nyawa kamu, harta-harta kamu dan maruah-maruah kamu; (semua ini) sesama kamu adalah haram (perlu dijaga) sepertimana haramnya hari kamu ini, pada bulan kamu ini dan dalam negara kamu ini. Orang yang hadir perlu maklumkan perkara ini kepada orang yang tidak hadir. Semoga orang yang dimaklumkan itu mendapat kesedaran yang tinggi berbanding orang yang hadir (pada hari ini).” ((
Al-Bukhari, بَابُ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «رُبَّ مُبَلَّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ», hadis no : 67
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا، لِيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الغَائِبَ، فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ))
Apa yang menarik dalam Hadis ini, Nabi saw membataskan penjagaan yang perlu dilakukan oleh orang Islam kepada tiga perkara: (a) nyawa, (b) harta, dan (c) maruah, walhal seluruh ilmuwan muslim mengakui bahawa dari sudut maqasid syariah (bahasa Melayu: tujuan tertinggi dalam Islam), semua ayat dalam al-Quran dan Hadis Nabi — secara dasarnya ia mengajar berkenaan keperluan yang wajib dijaga oleh setiap muslim adalah lima perkara, iaitu (a) nyawa, (b) agama, (c) keturunan, (d) akal, dan (e) harta. Dalam pada itu, terdapat sebilangan ulama menambah satu lagi, iaitu (f) maruah. ((Wan Ji bin Wan Hussin, Pemahaman Maqasid Syariah melaui Teori Fath al-Zaraie dalam menanggapi beberapa isu fiqh di Malaysia (tesis Master), hlmn 64 - 65.))
Dengan konsep menjaga nyawa, maka Islam melarang berlaku pembunuhan sesama manusia; dengan menjaga agama, Islam melarang dari murtad (bahasa Melayu: muslim keluar dari Islam); dengan menjaga keturunan, Islam melarang muslim dari berzina; dengan menjaga akal, Islam menghalang muslim dari minum mabuk; dengan menjaga harta, Islam melarang dari amalan mencuri; dengan menjaga maruah, Islam melarang dari amalan fitnah dan tuduhan palsu sesama manusia.
Persoalan ini agak menarik untuk direnungi — apabila Islam mengajar bahawa semua kandungan al-Quran dan Hadis adalah menjaga enam perkara, tetapi mengapa sebelum Nabi Muhammad wafat, Baginda berpesan agar dijaga tiga perkara sahaja, iaitu dibataskan kepada larangan membunuh (nyawa), larangan mencuri (harta) dan larangan membuat fitnah dan tuduhan palsu (maruah)?
Bagaimana pula dengan tiga lagi yang berbaki, seperti larangan murtad (agama), larangan mabuk (akal) dan larangan zina (keturunan)?
Diyanatan dan Qadha-an
Semua tahu bahawa tidak menunaikan solat adalah dosa bagi muslim. Tetapi, amalan solat itu tidak boleh dipaksa kepada non-muslim untuk diamalkan. Begitu juga dengan minum arak, bahawa ia adalah dosa bagi orang Islam. Namun, bagi masyarakat non-muslim yang berada dalam sesebuah kerajaan muslim, pemimpin muslim tidak boleh menghalang non-muslim dari minum arak. Demikian juga, tidak berpuasa bagi muslim adalah berdosa, tetapi ia tidak boleh dipaksa ke atas non-muslim untuk berpuasa.
Jikalau kita memahaminya, pasti kita akan faham tentang dua konsep penting, iaitu konsep dosa dan konsep kejahatan. Maksudnya, apabila disebut dosa, ia melibatkan kepada orang Islam sahaja, sedangkan kejahatan, ia bersifat sejagat — muslim dan non-muslim dikira sebagai sama.
Justeru itu, bagi mereka yang mendalami pengajian undang-undang Islam, pasti akan menemui dua istilah penting, iaitu Diyanatan dan Qadda-an. Kalimah Diyanatan bermaksud sebarang hukuman bersifat agama yang mendapat balasan di akhirat kelak (dosa), sedangkan Qadha-an bermaksud sebarang hukuman bersifat undang-undang yang dikenakan semasa di dunia.
Penentuan sesuatu dosa (Diyanatan) perlu bersumberkan teks wahyu. Dengan demikian, tidak menunaikan solat adalah berdosa, tidak berpuasa adalah berdosa, tidak menunaikan ibadat haji di Mekah bagi yang mampu adalah berdosa. Dalam keadaan semua ini dikira sebagai dosa, wahyu tidak pernah menyatakan hukuman dunia bagi mereka yang melakukan dosa berbentuk ini.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang dikenakan hukuman dunia (undang-undang atau Qadha-an), seperti membunuh, mencuri dan membuat fitnah dan tuduhan palsu terhadap seseorang, yang semua ini bukan sekadar dosa, malahan ia satu kejahatan.
Kejahatan
Penentuan suatu amalan itu sebagai dosa perlu terikat kepada teks wahyu (al-Quran dan al-Hadis). Penentuan kejahatan pula, kadangkala ditentukan oleh wahyu, dan kadangkala boleh difahami secara fitrah manusia.
Contohnya, bagi hal penjagaan harta seperti amalan mencuri, walaupun secara fitrahnya manusia sudah tahu mencuri adalah suatu kejahatan, tetapi ia tetap dinyatakan dalam teks wahyu. Dengan demikian, al-Quran menyatakan hukuman bagi pesalah mencuri. ((Surah al-Maidah 5 : 38:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”))
Ada pula kesalahan yang termaktub dalam teks wahyu yang dianggap sebagai dosa dan kejahatan serentak. Contohnya, bagi hal penjagaan maruah seperti kesalahan memfitnah dan membuat tuduhan palsu kepada manusia lain, maka al-Quran menjelaskan hukumannya (kesalahan qazaf, iaitu tuduhan zina tanpa mendatangkan empat orang saksi. ((Surah al-Nur 24 : 4:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.”)) Dalam hal penjagaan nyawa, al-Quran menjelaskan hukuman bagi kesalahan membunuh (iaitu hukuman qisas). ((Al-Baqarah 2 : 178:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pema’afan dari saudaranya, hendaklah (yang mema’afkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi ma’af) membayar (diat) kepada yang memberi ma’af dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih.”))
Dari perbahasan ini, pasti kita akan faham bahawa pesanan Nabi saw dalam khutbah al-Wida’ itu adalah berkaitan dengan dosa yang melibatkan kepada undang-undang. Selain dari tiga perkara itu, ia adalah dosa dan sudah pasti ada kewajipan yang perlu dijaga, tetapi tidak semestinya diwujudkan undang-undang.
Dosa yang bukan kejahatan
Dari sudut penjagaan agama, Islam memang melarang muslim dari murtad, malahan menganggap sebagai suatu dosa yang amat besar. Pun begitu, al-Quran tidak pernah menyatakan hukuman bunuh bagi pesalah murtad, malahan pada hayat hidup Nabi Muhammad, walaupun terdapat orang yang murtad, tidak pernah Nabi melaksanakan hukuman kepada mereka.
Walau bagaimanapun, pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, berlaku pemberontakan (angkat senjata) dari kalangan muslim yang keluar dari Islam (murtad). Lantas, mereka diserang oleh kerajaan yang memerintah. Mereka diserang bukan kerana murtad, tetapi kerana mereka telah melakukan pemberontakan. Hukuman terhadap pemberontak ini dinyatakan dalam al-Quran. ((Al-Maidah 5 : 33:
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar.”))
Dari sudut penjagaan agama juga, Islam menganggap dosa yang amat besar bagi mereka yang tidak menunaikan solat, sehinggakan dosanya setahap dengan kesalahan murtad. Dalam Hadis, Nabi saw ada berkata, “Sesiapa yang tidak menunaikan solat, maka dia (setahap) kufur. ((Ibn Majah, بَابُ مَا جَاءَ فِيمَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ, hadis no : 1079
الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Perbezaan antara kita dan mereka (non Muslim) adalah solat. Sesiapa yang meninggalkannya (solat) sesungguhnya dia sudah (sampai setahap) kufur.))
Walaupun tidak solat dan murtad adalah dosa yang amat besar, tetapi teks wahyu tidak pernah menetapkan sebarang undang-undang dan hukuman di dunia. Ini kerana, kedua-dua ini adalah dosa yang bukan kejahatan. Disebabkan itu, non-muslim tidak dipaksa memeluk Islam dan menunaikan solat.
Memandangkan ia dosa yang bukan kejahatan, makanya teks wahyu tidak pernah menyatakan hukuman bagi pesalah murtad dan tidak menunaikan solat.
Dosa yang boleh jadi kejahatan
Ada kesalahan yang dianggap sebagai dosa sahaja selagi ia tidak dilakukan di ruangan terbuka. Namun, apabila dilakukan di ruangan terbuka, ia bukan sekadar dosa, malahan sudah dianggap sebagai kejahatan.
Contohnya kesalahan zina. Ini kerana, ada Hadis menjelaskan bahawa seorang sahabat bernama Maiz bin Malik berjumpa Nabi dan mengaku berzina. Setelah mendengar pengakuannya itu, Baginda menyuruh dia kembali dan bertaubat. ((Muslim, بَابُ مَنِ اعْتَرَفَ عَلَى نَفْسِهِ بِالزِّنَى , hadis no : 1695
جَاءَ مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، طَهِّرْنِي، فَقَالَ: «وَيْحَكَ، ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللهَ وَتُبْ إِلَيْهِ»
“Maiz bin Malik datang berjumpa dengan Nabi, lalu dia berkata, Wahai Rasulullah, bersihkan aku (dari dosa zina). Nabi berkata, celaka sungguh. Pulanglah, mintalah ampun kepada Allah, dan bertaubatlah kepadaNya.”)). Dengan ini menjadi bukti, kesalahan zina yang dilakukan secara tertutup, ia adalah dosa, tetapi tidak dikenakan hukuman, tetapi cukup dengan individu terbabit bertaubat kepada Allah.
Pun begitu, apabila dilakukan di tempat terbuka sehingga dilihat empat orang yang soleh, dan melihat itu pula dengan mata kepala secara pasti, bukan sekadar mendengar dari cerita-cerita orang sahaja, ketika itu baru dijatuhkan hukuman seratus sebatan. ((Surah al-Nur 24 : 2.
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”))
Bagi konsep penjagaan akal seperti larangan minum arak — dalam pengamalan para sahabat setahap Umar bin al-Khattab, Abdul Rahman bin Auf dan Abdullah bin Mas’ud bahawa mereka abaikan, malahan tidak memberikan sebarang hukuman kepada muslim yang minum arak di ruangan tertutup. Dengan ini, hukuman yang dikenakan kepada pesalah minum arak, apabila ia sudah menganggu ruangan awam.
Dalam pada hukuman dikenakan kepada pesalah arak yang minum mengganggu ruangan awam, para ulama Islam masih berbeza pendapat dalam menentukan hukumannya. Ada sebilangan menganggap sebagai hudud, dan ada sebilangan yang lain menganggap ia sekadar takzir; iaitu terpulang kepada pemerintah untuk mewujudkan hukuman ataupun tidak.
Penutup
Dari perbahasan ini, kesimpulannya adalah seperti berikut:
Pertama, undang-undang dalam Islam, ia berasaskan kepada konsep kejahatan, bukan konsep dosa. Maka dengan demikian, dalam pesanan Nabi dalam khutbah al-Wida’, Baginda memfokuskan kepada penjagaan tiga perkara, iaitu nyawa, harta dan maruah; yang ketiga-tiga perkara ini melibatkan kejahatan manusia terhadap manusia yang lain.
Kedua, di sana terdapat perkara yang dikira sebagai dosa, tetapi bukan kejahatan, sepertimana bagi penjagaan agama. Bagi muslim, murtad dan tidak solat adalah dosa yang amat besar, tetapi hukumannya tidak pernah dinyatakan dalam teks al-Quran dan Hadis.
Ketiga, ada beberapa dosa itu, seperti zina dan minum arak, pesalahnya disuruh bertaubat tanpa dikenakan sebarang hukuman kecuali jika ia dilakukan sehingga mengganggu ruangan awam.
Facebook Comments