Secara dasar, semua kandungan teks al-Quran dan Hadis menampilkan penjagaan enam perkara: nyawa, agama, keturunan, akal, harta dan maruah. Penjagaan enam perkara ini dikenali sebagai maqasid syariah (Melayu: tujuan tertinggi bagi penurunan syariah). Semua ini bertujuan untuk memastikan kehidupan manusia menjadi baik.
Dilarang membunuh dan menjaga kesihatan yang baik – itu di bawah maksud penjagaan nyawa. Dianggap berdosa besar bagi mereka yang murtad dan tidak menunaikan solat – itu adalah maksud penjagaan agama. Larangan berzina, itu maksud bagi penjagaan keturunan. Dihalang dari mabuk, itu maksud penjagaan akal. Dikenakan hukuman bagi pesalah mencuri, itu maksud penjagaan harta. Dihalang melakukan tuduhan palsu dan fitnah, itu lambang penjagaan maruah manusia.
Pun begitu, menarik untuk difikirkan, iaitu ketika hampir dengan saat kewafatan, tiga perkara sahaja dipesan Nabi Muhammad kepada umat Islam yang hidup untuk dijaga – iaitu nyawa, harta dan maruah. Malahan, Nabi berpesan pula agar mereka yang mendengar pesanan itu menyampaikan kepada kalangan yang tidak hadir.
Persoalannya, mengapa tiga penjagaan yang berbaki (agama, keturunan dan akal) tidak ditekankan oleh Nabi sebelum baginda wafat?
Dosa
Setiap muslim wajib percaya tentang kehidupan selepas mati. Selepas mati, manusia akan dihidupkan dan dipertanggungjawabkan segala amalan mereka semasa hidup dahulu. Andai mereka melakukan kebaikan, mereka akan mendapat balasan nikmat; andai mereka melakukan kejahatan, mereka akan mendapat balasan azab seksa.
Amalan yang memberi implikasi azab seksa di akhirat disebut sebagai dosa, iaitu sesiapa sahaja yang tidak melaksanakan sebarang suruhan Tuhan dan melakukan segala larangan Tuhan.
Konsep dosa, perlu ada ketetapan dari Tuhan menerusi teks wahyu, sama ada al-Quran ataupun Hadis. Manusia setahap ulama dan ilmuwan besar mana sekalipun tidak mempunyai hak untuk menentukan sesuatu amalan itu sebagai berdosa.
Kejahatan
Minum arak bagi muslim adalah satu dosa. Tetapi, pada zaman pemerintahan Saidina Omar, beliau membenarkan non-muslim minum arak. Alasan beliau, ia dibenarkan dalam agama mereka. Dengan ini, dapat difahami bahawa terdapat perbezaan antara dosa dan kejahatan. Bermaksud, minum arak itu adalah dosa, tetapi tidak semestinya ia satu kejahatan.
Berbeza dengan mencuri, ia bukan sekadar berdosa, malah satu kejahatan. Dengan demikian, muslim tidak dibenarkan mencuri. Non-muslim juga turut dihalang dari mencuri.
Tiga perkara dosa
Apabila dapat dibezakan antara dosa dan kejahatan, mungkin ini memudahkan untuk kita fahami bahawa mengapa Nabi saw membataskan tiga perkara dalam pesanan Baginda saw, iaitu, tiga perkara yang dipesan oleh Nabi saw itu melibatkan dosa dan kejahatan, sedangkan tiga perkara yang tidak dalam pesanan Nabi itu sekadar dosa sahaja.
Justeru itu, mereka yang tidak solat dan murtad (jaga agama), mereka yang berzina dan minum arak dianggap sebagai berdosa, tetapi semua ini tidak dikenakan hukuman dunia (undang-undang) kecuali setelah ia dilakukan sehingga melibatkan ruangan awam sehingga dilihat mata kepala oleh empat orang lelaki yang soleh. Andai berlaku dalam ruangan peribadi, ia tidak dikenakan hukuman.
Ekoran daripada itu, pada hayat hidup Nabi Muhammad saw, tidak pernah kedengaran pelaksanaan hukuman kepada orang yang murtad dan tidak menunaikan solat kecuali pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq – beliau membunuh orang murtad, apabila orang murtad itu sudah melakukan pemberontakan, angkat senjata dan menggugat ketenteraman awam. Demikian juga hukuman zina seratus sebatan, dilaksanakan apabila zina itu berlaku di ruangan awam, sehingga dilihat empat orang lelaki yang soleh, dan dilihat itu dengan mata kepala mereka.
Dalam isu arak pula, terbukti dari amalan sahabat-sahabat yang mendapat didikan Nabi, iaitu Saidina Omar bin al-Khattab, Abdullah bin Mas’ud dan Abdul Rahman bin Auf – bahawa pernah mereka berjumpa dengan muslim minum arak di tempat tertutup, tetapi mereka abaikan.
Dengan ini, jelas bahawa dalam hal penjagaan agama, keturunan dan akal; perlanggarannya adalah dosa yang memadai dengan menyuruh mereka tertaubat kepada Allah, dan tidak perlu dijatuhkan hukuman di dunia kecuali jika mereka melakukan dosa itu di ruangan awam.
Tiga perkara kejahatan
Berbeza dengan tiga perkara yang menjadi pesanan nabi sebelum Baginda saw wafat, amalan tiga perkara ini, bukan sekadar dosa, malahan ia melibatkan kepada kerosakan awam, seperti membunuh (jaga nyawa), mencuri (jaga harta) dan melakukan fitnah dan tuduhan palsu terhadap seseorang manusia (jaga maruah).
Dengan sebab itu, seseorang yang didapati benar-benar membunuh dengan sengaja (bukan tersilap atau terpaksa), terang-terangan al-Quran menyatakan hukumannya adalah bunuh balas kecuali mendapat kemaafan dari kelurga mangsa (Surah al-Baqarah 2 : 178). Bagi kesalahan mencuri, al-Quran menjelaskan hukuman halangan dari pencuri itu mengulangi mencuri (sama ada dengan potong tangan, ataupun penjarakan dia agar dia tidak mengulangi mencuri) (Surah al-Maidah 5 : 38). Begitu juga dengan tuduhan palsu atau fitnah, yang al-Quran nyatakan perlu disebat sebanyak 80 kali sebatan (Surah al-Nur 24 : 4).
Penutup
Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara berikut:
Pertama, kesalahan dalam agama perlu dilihat pada dua kerangka: (a) sekadar dosa, (b) dosa dan kejahatan.
Kedua, sebarang kesalahan berbentuk dosa, seperti berzina, tidak menunaikan solat dan minum arak, Islam menganjurkan agar pelaku tersebut dinasihatkan dan diminta dia bertaubat kepada Allah. Tidak terdapat sebarang hukuman di dunia (undang-undang) selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam.
Ketiga, kesalahan yang berbentuk kejahatan, ia sudah pasti wujud undang-undang terhadap pelaku yang melakukan kesalahan tersebut, seperti membunuh, memfitnah dan mencuri.
Disiarkan Oriental Daily (16 November 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/267822
Facebook Comments