Print Friendly, PDF & Email

Hampir dengan saat kewafatan, Nabi Muhammad memberi ucapan yang dikenali sebagai Khutbah al-Widaˇ. Dalam ucapan itu, banyak pesanan penting yang disampaikan Nabi. Pun begitu, tidak ramai yang mengambil perhatian termasuk muslim sendiri.

Antaranya, Nabi menekankan bahawa orang Arab tidak boleh dianggap lebih mulia berbanding bangsa lain. Di dunia, manusia adalah sama, tidak kira apa keturunan, kaum, bangsa dan warna kulit. Di akhirat pula, kemulian diukur berdasarkan ketaqwaan mereka terhadap Tuhan ketika di dunia. (Tibrani, al-Mukjam al-Awsat, Hadis no: 4749)

Bukan sekadar itu, malah dalam piagam Madinah dalam fasal 2 hingga 11, membuktikan bahawa pengamalan Islam secara wahyu dari Tuhan, tidak sekali-kali mengangkat bangsa Arab lebih tinggi berbanding bangsa lain. Perbezaan dari sudut bangsa dan kaum adalah lumrah yang tidak boleh dinafikan, malahan setiap mereka wajar diangkat nilai kemanusiaannya yang dikenali dengan ungkapan karamah insaniyyah (kemulian manusia).

Pada peringkat awal ketika Muhammad saw berjaya menguasai Mekah dalam sejarah yang dikenali Pembukaan Kota Mekah (Arab : Fath Mekah), Nabi saw mengarahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan sebagai lambang kemenangan.

Ketika sedang melaungkan azan, sebilangan muslim yang munafik melihat. Memandangkan Bilal adalah orang Habsyah (Afrika) yang berkulit hitam, ada sebilangan muslim berbangsa Arab yang berada di situ berkata, ¨Muhammad itu tidak melantik orang yang melaungkan azan kecuali si gagak hitam.〃

Tindakan mereka itu adalah lambang kemunafikan. Ia amat tidak disukai oleh Nabi. Dengan demikian, Allah menurunkan ayat al-Quran yang bermaksud, ¨Wahai manusia, kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan beretnik-etnik supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia (di akhirat kelak) di sisi Allah, adalah orang yang bertaqwa dari kalangan kamu.〃 (Surah al-Hujurat 49:13)

Ayat ini menjelaskan bahawa semangat perkauman ditolak dalam Islam. Walaupun Bilal bin Rabah adalah seorang yang asalnya adalah hamba dan berkulit hitam, tetapi dia tidak layak dipandang hina. Makanya, muslim munafiq yang mengangkat semangat perkauman dan memandang remeh atas dasar warna kulit itu ditegur oleh Allah menerusi al-Quran.

Melihat kepada kisah ini, di samping pesanan Nabi dalam khutbah Widaˇ dan juga Piagam Madinah yang dinukilkan di atas, kita akan sedar bahawa Islam adalah agama yang bukan sekadar melawan diskriminasi kaum, malah menentang kecenderungan diskriminasi kaum. Dengan sebab itu, wujud bangsa selain Arab berlindung dalam kerajaan Madinah pimpinan Nabi, dan non-muslim terasa aman dengan pentadbiran tersebut.

Lebih menarik, pada fasal 2, secara terang-terang dinyatakan bahawa setiap rakyat Madinah, tidak kira dari apa bangsa dan apa anutan agama mereka, mereka tetap dianggap sebagai umat yang satu. Malah, setiap rakyat dalam Madinah perlu bersama memastikan keamanan Madinah, dan saling mempertahankan kerajaan dari sebarang serangan musuh (fasal 18).

Di samping jaminan terhadap nyawa dan keamanan, Piagam Madinah itu menjamin kesamarataan ekonomi tanpa dilebihkan dari satu kaum terhadap kaum lain, dari satu penganut agama terhadap penganut agama yang lain (lihat fasal 24 dan 37).

Semangat dan roh yang ada dalam Piagam Madinah ini, amat jelas menampilkan sebarang elemen diskriminasi kaum dan anutan agama terhindar. Makanya tidak hairan, kandungannya semasa dibuat, tidak mendapat bantahan, malahan mendapat sokongan dari semua pihak di Madinah.

Agama diperalatkan

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa amalan-amalan perkauman yang disandarkan kepada agama itu hakikatnya berlaku. Lebih sadis lagi, atas asas kaum itu, dilakukan amalan jahat dan keganasan. Lalu mahu dihalalkan dengan peralatkan hujah agama.

Andai diteropong pada sejarah manusia, kita akan tahu bagaimana projek memperalatkan agama untuk menghalalkan kejahatan itu sememangnya berlaku. Di Amerika, pernah wujud kumpulan ¨white Supremacist〃 atau pelampau kulit putih seperti Ku Klux Klan (KKK) yang membunuh dan merosakkan harta orang kulit hitam. Mereka menganggap amalan mereka bertepatan dengan kristian, malahan tanpa rasa bersalah mereka mengangkat salib terbakar dengan anggapan bahawa tindakan mereka diredhai Tuhan.

Walaupun bercanggah dengan ajaran agama Kristian, tentera Serb membunuh dan merogol wanita Islam semasa perpecahan Yugoslavia. Dalam melakukan itu, mereka mengangkat semangat nasionalisme Serb dengan dikaitkan dengan pegangan kristian Ortdhodox. Lebih buruk lagi, turut kelihatan paderi Orthodox berdoa agar diberikan keberkatan terhadap tentera Serb ketika itu.

Di Myanmar pun tidak jauh beza. Agama Buddha yang mengajar keamanan dan penghormatan terhadap makhluk yang bernyawa, tiba-tiba terdapat sebilangan sami Buddha yang tidak bertanggungjawab mengangkat semangat membenci warga Rohingya sehingga melahirkan pembunuhan kejam tanpa perikemanusiaan.

Demikian juga yang berlaku dalam kalangan umat muslim sejak turun temurun. Walaupun dari sudut fakta, melalui ucapan, amalan dan dokumen bertulis (seperti Piagam Madinah) yang melibatkan Nabi menampilkan Islam tidak cenderung kepada diskriminasi, jauh sekali bertindak ganas, terdapat sebilangan umat muslim yang tetap menggunakan alasan untuk melakukan diskriminasi yang berasaskan kepada agama.

Islam sebagai teladan

Atas asas kemuliaan bangsa, Israel merasa tidak bersalah melakukan diskriminasi kepada bangsa Arab Palestine. Bagi pencinta keamanan, pasti tidak bersetuju dengan Israel. Andai Israel mengikut ajaran Islam, sudah pasti penindasan terhadap rakyat Palestine tidak akan berlaku. Apa yang pasti, amalan Israel itu, bukan sekadar bercanggah dengan hak asasi manusia, sudah pasti bercanggah dengan agama Islam.

Walaupun dalam kes Israel, muslim Palestine yang menjadi mangsa, tetapi sudah pasti umat muslim tidak boleh melakukan perkara yang sama kepada kalangan yang berbeza bangsa dengan mereka.

Dengan sebab itu, mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya, pasti akan dapati keamanan dalam masyarakat. Kejadian sepertimana berlaku di Palestine, pembunuhan dan kerosakan, pasti ia tidak akan berlaku.

Penutup

Dari perbahasan ini, difahami bahawa Islam hadir untuk memberi keamanan. Dengan demikian, diskriminasi berasaskan kaum sudah pasti ditolak dalam agama.

Pun begitu, terdapat beberapa kes bahawa ada sebilangan mereka yang melakukan diskriminasi kaum dengan menyandarkan hujah mereka kepada agama. Hakikatnya, ia bukan isu agama, tetapi amalan orang-orang yang tidak bertanggungjawab terhadap agamanya.

Disiarkan di Oriental Daily (23 November 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/268722

Facebook Comments