Print Friendly, PDF & Email

Malaysia menongkah arus global sebagai antara 15 buah negara yang tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), tatkala 175 buah negara lain di dunia ini telah berbuat demikian. Lebih ganjil, Malaysia menolak keperluan ratifikasi Icerd atas alasan bahawa kita telah menolak diskriminasi di tanah air sendiri. Sikit lucu kerana ia seolah-olah berbunyi, kita menolak Icerd kerana kita menolak diskriminasi, sedangkan matlamat Icerd adalah untuk menolak diskriminasi.

Pertikaian ICERD menemui kebuntuan apabila kesemua komuniti etnik menganggap diri sebagai mangsa yang tertindas dalam negara ini. Umumnya, Melayu menganggap kedudukan ekonominya lebih rendah berbanding Cina, lantas memerlukan “kedudukan istimewa” untuk memastikan dirinya tidak tercicir apabila bersaing dengan Cina. Sementara itu, Cina pula melihat “kedudukan istimewa” itu sebagai “ketidaksamarataan”, Melayu ditempatkan pada kelas yang lebih tinggi, dan menerima layanan yang lebih baik berbanding kaum lain.

Lebih-lebih lagi, jurang persepsi ini diisi pula dengan syak wasangka dan prejudis antara satu sama lain. Ia diapi-apikan dengan sentimen perkauman dan agama, sehingga semakin sempit ruang dan suasana untuk berdialog secara rasional. Label rasis dan pelampau saling dilontarkan ke “sebelah yang lain”. Forum disampahkan, panelis dianjingkan – tanpa sehiris kesabaran untuk menelaah pandangan atau hujah yang berbeza.

Sementara itu, barang siapa yang cuba membawa wacana baru untuk merombak status quo, akan dilabel oleh puak kaum dirinya sebagai “pengkhianat” yang berganjak langkah ketika berdepan dengan “musuh di sebelah sana”. Nilai bertimbang rasa dan bermurah hati diketepikan, kerana masing-masing mengandaikan pihak sebelah sana akan menuntut paha jika diberi betis. Bertolak ansur diertikan sebagai ditolak beransur-ansur.

Dari mana dan ke mana?

Sesungguhnya perbincangan isu ICERD harus mengambil kira latar belakang dan konteks sejarah tanah air. Saya sedar bahawa masyarakat Melayu terkesan apabila dituduh “mendiskriminasi kaum bukan Melayu”, setelah memberi hak kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India pada zaman kemerdekaan. Bukan itu sahaja, komuniti bukan Melayu diberi kebebasan untuk menjalankan aktiviti ekonominya dan mengamalkan anutan agamanya; malah, aliran pendidikan bahasa ibunda pelbagai etnik dibenarkan untuk bercambah dan berkembang di atas bumi ini, mencorakkan kepelbagaian budaya dalam masyarakat majmuk sedia ada.

“Apa lagi Cina mahu?” Barangkali soalan ini kembali berlegar-legar dalam minda sesetengah orang Melayu, sungguhpun setelah kita menyaksikan pertukaran kerajaan persekutuan dalam PRU14 pada 9 Mei yang lalu.

Tuduhan “diskriminasi” itu mungkin kurang adil untuk komuniti Melayu seandainya ditinjau dari sudut sejarah, apatah lagi jikalau dibandingkan dengan pengalaman negara lain. Namun demikian, wacana ini tidak lengkap sekiranya kita hanya menoleh ke belakang untuk mempertikaikan asal-usul kita. Kita gagal menyelami emosi dan sentimen komuniti bukan Melayu, seandainya mengabaikan kesediaan dan hasrat komuniti bukan Melayu untuk berbakti dan berkorban demi tanah air ini.

Dengan kata lain, apabila Melayu menganggap dirinya “memberi kebebasan kepada Cina untuk berniaga”, perlu disedari bahawa pada masa yang sama peniaga Cina turut menyumbang untuk membangunkan ekonomi negara melalui pembayaran cukai. Tatkala pendidikan aliran bahasa Cina dan Tamil dibenarkan untuk melanjutkan kelangsungannya, bakat-bakat yang berpotensi telah dipupuk sebagai modal insan untuk memajukan negara.

Lebih penting, generasi selepas merdeka telah menganggap Malaysia sebagai tanah airnya, dan mencurahkan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap negara ini. Apabila Lee Chong Wei berhempas pulas di atas gelanggang badminton; apabila anak muda tidak kira warna kulit sanggup merisikokan dirinya untuk berdepan dengan gas pemedih mata ketika perhimpunan BERSIH; apabila orang asal membentengkan tanah adat dengan susuk tubuhnya daripada diceroboh syarikat pembalakan – kesemua ini memperlihatkan jiwa mereka yang sudah sebati dengan ibu pertiwi.

Mereka mencuba sedaya-upaya agar jalur gemilang berkibar di persada antarabangsa; mereka berazam untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah; mereka bertekad mempertahankan setiap inci tanah yang dilimpahi rahmat ini, agar generasi cucu-cicit kita mampu menikmati berkatnya. Kesemua ini bukan slogan yang berbuih-buih mahupun retorik yang berapi-api, tetapi diterjemahkan kepada aksi dan langkah untuk membina Malaysia yang lebih baik.

Peliknya, pengalaman sedemikian seringkali membuat kita menitiskan air mata hanya apabila ia dirakamkan sebagai filem. Terharu kita apabila pengundi yang bermastautin di luar negeri melakukan segala yang mampu untuk memastikan kertas undinya sampai ke Malaysia pada 9 Mei 2018. Kita tidak bertanya apakah warna kulit seseorang pengundi itu apabila mereka bersama melakar masa depan Malaysia, tetapi kini kita mempersoalkan asal-usulnya selepas kita mencipta sejarah bersama.

Tidak bebas memilih warna kulit

Bayangkan, apakah perasaan anda, jikalau anda dilahirkan sebagai seorang bukan Melayu di Malaysia? Apakah itu pilihan dia, untuk dilahirkan sebagai Cina di Kampung Baru pada tahun 1981? Bayangkan, apakah perasaan seorang warga emas India yang menetap di bumi ini untuk 65 tahun, digelar sebagai “pendatang” oleh seorang anak muda Melayu yang hanya berusia 22 tahun? Apakah itu dosa yang wajib dipikulnya, semata-mata kerana dilahirkan berkulit hitam?

Tiada sesiapapun dalam kalangan kita yang mampu menentukan keturunan, warna kulit, waktu dan tempat kita dilahirkan. Maka tiada sesiapa pun dalam kalangan kita yang harus diberi layanan berbeza mengikut warna kulit. Kita perlu sedar, bahawa tamadun manusia bukan lagi diukur berdasarkan ketinggian longgokan kekayaan satu-satu bangsa, tetapi sejauh mana masyarakat itu merapatkan jurang antara kaya dan miskin.

Kelaparan dan kesejukan tidak mengenal warna kulit. Rata-rata kaum bukan Melayu tidak membantah seandainya tindakan afirmatif disasarkan kepada golongan miskin yang memerlukan. Emosinya hanya berkocak apabila kemiskinan itu dibeza-bezakan mengikut warna kulit. Tepuk dada tanya selera, antara pelajar miskin dari keluarga Melayu, Cina, India dengan orang asal, siapa yang lebih berpeluang untuk menerima bantuan daripada kerajaan? Bukankah ia satu diskriminasi kaum, apabila seseorang pelajar dari keluarga yang sama miskin dengan rakannya dari keturunan etnik berbeza, tidak berkongsi peluang yang sama untuk melonjakkan dirinya dalam masyarakat, lantaran keturunan etniknya?

Sasarkan penguasa, bukan rakyat

Masyarakat Malaysia, terutamanya Melayu harus sedar, bahawa kebobrokan dan ketempangan ini padahalnya datang daripada sang penguasa yang rakus dan gelojoh. Dana yang seharusnya disalurkan sebagai biasiswa untuk anak Melayu yang berkemampuan, diragut untuk dijadikan cincin berkilauan yang menghiasi jari isteri penguasa. Wang yang sepatutnya diperuntukkan kepada petani dan nelayan, dipunggah ke dalam bagasi yang disimpan dalam kediaman penguasa.

Jelas, sang penguasa yang mengkhianati Melayu, tetapi Melayu pula dihasut untuk menyasarkan kemarahannya terhadap kaum bukan Melayu, yang kebanyakannya tidak berkuasa untuk memerah satu sen pun daripada Melayu. Bagaimana emosi bukan Melayu tidak terusik, apabila mereka yang tidak mampu memilih warna kulitnya, tidak berkuasa untuk memperbaiki nasib Melayu – dipersalahkan atas penyelewengan yang dilakukan oleh sang penguasa yang mengkhianati Malaysia?

Masa depan Malaysia

PRU14 telah membuka lembaran sejarah baru, sebagai permulaan untuk masyarakat Malaysia memperbetulkan struktur dan sistem politik yang bobrok, dan mengorak langkah baru melakar masa depan bumi ini.

Apa pun perbezaan dan perselisihan dalam kalangan kita sepanjang enam dekad ini, rakyat Malaysia telah ditakdirkan hidup bersama atas tanah air ini. Kita bergelut dalam isu bahasa, dasar budaya, hukum agama dan sebagainya, tetapi hakikatnya kepelbagaian dalam masyarakat majmuk ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa di mata dunia. Kita berselisih, bergaduh, berjabat tangan dan berpeluk; kita bertengkar, berdebat, berdialog dan bermuafakat. Setelah liku-liku ini diharungi sepanjang lebih setengah abad, masyarakat kita semakin matang untuk mengerti bahawa perbezaan kita yang menjadikan kita lebih hebat dan dinamik, dan kepelbagaian kita yang menjadikan Malaysia lebih unik dan indah.

Akhirnya, jikalau ditanya hati kecil dalam diri kita, tiada rakyat Malaysia yang sepatutnya merasakan dirinya mangsa atau golongan tertindas di bawah sistem ini. Kita perlu menanam keyakinan dan kepercayaan sesama diri kita, bahawa Malaysia hanya boleh berjaya seandainya tiada komuniti merasakan diri mereka tersisih dalam pembangunan negara, dan terabai dalam perkongsian pengagihan kekayaan negara. Makcik yang tua diberi tempat duduk. Mangsa kemalangan dihulurkan tangan. Persaudaraan manusia terjalin kerana kasih sayang, dan tidak harus terpisah kerana warna kulit mahupun perbezaan agama, budaya dan bahasa.

Justeru itu, tiada sebab kita berlumba-lumba untuk menjadi “mangsa” dalam negara ini. Jelas, ia sekadar mainan politik untuk mencetuskan kegusaran dan ketidakpuasan etnik, agar rakyat hilang waras untuk berfikir, dan menari mengikut rentak yang didendangkan politikus. Sudah tibanya masa kita berhenti dengan slogan dan retorik murahan, dan bermula dengan dasar dan langkah membina untuk membangunkan setiap rakyat Malaysia yang lemah dan terpinggir.

Tanpa melupakan sejarah, sudah tiba masanya kita lebihkan perbincangan “ke mana kita pergi selepas ini”, daripada “dari mana kita berasal sebelum ini”. Masa depan yang kita bincangkan dahulu telah terpampang di depan mata kita. Semoga kegelapan yang dilalui zaman silam menemukan Malaysia dengan harapan yang cerah.

Disiarkan di Malaysiakini (23 November 2018): https://www.malaysiakini.com/columns/453152

Facebook Comments